Keputusan
demi keputusan yang tidak menepati kehendak penyokong menyebabkan Louis Van
Gaal semakin tertekan walaupun beliau tetap optimis dengan mengatakan bahawa
beliaulah individu paling tepat untuk duduk di kerusi pengurus Manchester
United. Di sebalik kegagalan skuadnya mara ke pusingan kalah mati Liga
Juara-Juara dan kekalahan kepada AFC Bournemouth dalam saingan liga, Van Gaal
seolah-olah merasakan bahawa tiada apa yang perlu beliau risaukan dan yakin
kedudukannya selaku pengendali tidak akan tergugat meskipun api kemarahan di
kalangan penyokong kian marak.
Apa
yang berlaku ke atas David Moyes pada 2014 nampaknya bakal berulang sekali lagi
apabila penyokong-penyokong mula melancarkan kempen “Van Gaal Out” selepas
mereka tidak berpuashati dengan prestasi kelab walaupun pengendali dari Belanda
itu sudah berbelanja besar dalam tempoh dua musim terakhir. Kadangkala saya
sendiri agak bingung apa sebenarnya yang ada dalam fikiran Van Gaal dalam
merencana taktikal permainan skuadnya. Paling ketara tindakan `berani’ beliau
mengeluarkan Juan Mata, dan menggantikan pemain Sepanyol itu dengan Nick Powell
ketika skuadnya sedang ketinggalan pada aksi menentang Wolfsburg.
Dua lagenda
United, Paul Scholes dan Rio Ferdinand mengatakan pencapaian kelab dalam
saingan Liga Juara-Juara musim ini sebagai memalukan. Meskipun terpaksa
menyaksikan skuad mahalnya tersingkir di peringkat kumpulan dalam saingan Liga
Juara-Juara, Van Gaal nampaknya masih terus lantang mempertahankan dirinya.
“Dalam bolasepak ada ketika anda menang dan ada ketikanya anda kalah. Sebagai
pengurus dan pemain, anda harus menerimanya. Saya serta pemain sudah berusaha
keras dan melakukan semua yang terbaik. Masalahnya kami terpaksa memikul
harapan yang tinggi dalam sebuah kelab seperti Manchester United”, kata Van
Gaal baru-baru ini.
Menyaksikan
wang yang begitu banyak sudah dibelanjakan Van Gaal bagi menguatkan skuadnya
dalam tempoh dua musim terakhir, sudah tentu pencapaian buruk di pentas Liga
Juara-Juara dan beberapa siri kekalahan serta keputusan `yang tidak sepatutnya’
mereka capai dalam aksi liga menimbulkan kemarahan penyokong. Meskipun Van Gaal
mengatakan menjuarai Liga Europa tetap sesuatu yang boleh dibanggakan, saya
pula tetap menganggap bahawa United sepatutnya berada di kelompok 16 pasukan di
pusingan kalah mati Liga Juara-Juara.
Apapun
segalanya sudah berakhir buat United (di Liga Juara-Juara), dan sama ada suka
atau tidak, anda terpaksa menerima hakikat bahawa Liga Europa adalah tempat
selayaknya buat kelab meneruskan saingan di peringkat Eropah musim ini. Cuma
saya berharap kegagalan di Liga Juara-Juara akan menjadi tonik mujarab buat
anak-anak buah Van Gaal untuk bangkit selepas gagal mencatat sebarang
kemenangan sejak 26 November lalu. Sebelum Van Gaal berhajat mahu meletakkan
United kembali ke landasan sepatutnya, beliau bagaimanapun perlu mengatasi
cabaran yang datang dari dalam skuadnya sendiri.
Kini
sudah timbul desas desus rasa tidak puas hati beberapa pemain tonggak United
terhadap gaya kepimpinan Van Gaal selepas tewas kepada Bournemouth minggu lalu,
Bukan sahaja taktikal di atas padang, malah kaedah latihan yang beliau terapkan
juga nampaknya tidak disenangi para pemainnya. Kaedah latihan Van Gaal dilabel
sebagai membosankan dan punca mengapa ramai pemain utama mengalami kecederaan. Mirror dalam laporannya menyebut dua
pemain senior United sudah bersemuka dengan Van Gaal untuk menyampaikan rasa
tidak puas hati mereka.
Jika
benar apa yang dilaporkan Mirror, ini
bukanlah satu petanda bagus untuk kelab dan saya berharap pemberontakan di
Stamford Bridge yang akhirnya menyebabkan Jose Mourinho tersingkir tidak
merebak ke Old Trafford. Apabila pemain sudah menterjemahkan rasa tidak puas
hati mereka terhadap pengurus di atas padang, kesannya sudah pasti bukan
sedikit dan tentunya turut menjejaskan misi pasukan dalam saingan musim ini.
Jika (benar) ada pemain yang tidak berpuashati dengan taktikal dan kaedah
latihan Van Gaal, kita yang berada di luar padang apa kurangnya.
Walau
berat, saya terpaksa mengakui bahawa corak permainan United di bawah kendalian
Van Gaal agak membosankan. Meskipun sering memenangi statistik penguasaan bola,
United tidak menjaringkan banyak gol selain kurangnya percubaan-percubaan ke arah
gawang lawan. Mengikut catatan, United berada di kelompok lima terbawah pasukan
yang kerap melakukan percubaan ke arah gawang lawan dengan purata 11.1 percubaan
setiap perlawanan. Dalam hal ini, saya agak cemburu bila menyaksikan betapa
menariknya variasi serangan Manchester City bertunjangkan kekuatan Yaya Toure,
kreativiti David Silva, kemahiran Raheem Sterling dan ketajaman Sergio Aguero.
Faktor-faktor
yang saya sebutkan tadi selain tumpulnya penyudah Wayne Rooney seolah-olah
semakin mencabar kesabaran penyokong di mana api kemarahan terhadap Van Gaal
kian marak selepas diaibkan Bournemouth, kelab yang menghuni kelompok bawahan liga
minggu lalu. Tersingkir dari kempen Liga Juara-Juara dan kemudiannya tewas
kepada pasukan kerdil dalam saingan domestik menyebabkan Van Gaal kian dihimpit
tekanan. Bukan sahaja menerima tekanan dari luar, malah Van Gaal turut dikhabarkan
semakin hilang sokongan dari dalam. Kini semakin lantang kedengaran suara-suara
yang menginginkan agar pengendali berpengalaman itu segera angkat kaki dari Old
Trafford.
Kelompok
penyokong yang tidak berpuashati dengan prestasi pengurusan Van Gaal semakin berkembang
dan kemungkinan besar malam ini anda akan dapat saksikan sepanduk terbang “Van
Gaal Out” melintasi ruang udara Theatre
of Dreams. Jika taktikal permainan yang beliau terapkan di atas padang
dianggap membosankan, bagaimana pula dengan polisi pembelian pemain yang beliau
amalkan sepanjang dua musim terakhir ini? £250 juta yang beliau belanjakan bagi
membina skuad impiannya dianggap satu pembaziran, apatah lagi bila melihat
pemain seperti Memphis Depay masih gagal memenuhi jangkaan walaupun saingan
musim ini bakal memasuki fasa kedua.
Musim
lalu, beliau melakukan kesilapan besar membeli Angel Di Maria yang akhirnya
tidak cocok dengan gaya permainan bolasepak Inggeris manakala percubaan beliau
menyelamatkan karier Radamel Falcao turut gagal selepas penyerang Colombia itu
semakin hilang bisanya sejak pulih dari kecederaan lutut. Musim ini skrip sama
nampaknya bakal berulang sekali lagi dimana kegagalan Memphis Depay beradaptasi
dengan gaya permainan pasukan barunya terus mengundang kecaman. Selaku
pengendali Van Gaal turut menerima tempiasnya apabila beliau dilabel sebagai `tidak
tahu menilai pemain mana yang sepatutnya beliau tandatangani’.
Jika
gagal memenangi sebarang trofi `major’
musim ini, saya tanpa ragu turut senada mengatakan bahawa wang yang begitu
banyak sudah dilaburkan beliau selama dua musim sebagai satu pembaziran. Itu
belum lagi termasuk wang yang akan dibelanjakan beliau ketika jendela
perpindahan pertengahan musim dibuka Januari ini. Jelas Van Gaal semakin tidak
popular dimata penyokong-penyokong United di mana dalam satu undian yang
dilakukan oleh ESPN FC, 61% koresponden mahukan agar Van Gaal segera angkat
kaki, 32% mahukan beliau kekal hingga akhir musim dan hanya 7% mahukan beliau
menyelesaikan baki kontraknya hingga 2017.
Barometer
tekanan nampaknya semakin tinggi menjelang aksi menentang Norwich City malam ini
dan Van Gaal nampaknya tiada pilihan lain selain memacu skuadnya meraih
kemenangan. Penyokong-penyokong nampaknya tidak akan menerima sebarang
keputusan selain dari kemenangan dan itulah yang perlu Van Gaal usahakan jika
tidak mahu kecaman lebih hebat terus menghujani beliau. Kemenangan ke atas
Norwich setidak-tidaknya memberikan ruang buat Van Gaal bernafas seketika
sebelum memikirkan strategi terbaik untuk meletakkan United kembali selaku
pencabar kejuaraan liga musim ini.
Dengan
segala macam perkara yang nampaknya tidak memihak kepada Van Gaal, satu-satunya
faktor yang boleh beliau manfaatkan ialah masa. Jika mahu terus kekal
dikerusinya, beliau perlu menggunakan sepenuhnya peluang mendapatkan pemain
baharu sepanjang tempoh perpindahan pemain pertengahan musim yang bakal dibuka
Januari ini. Sudah tentu posisi yang perlu beliau berikan perhatian ialah
menyuntik bisa di barisan hadapan skuadnya, posisi yang beliau terlepas pandang
untuk diperkuatkan ketika jendela perpindahan pemain musim panas dibuka Jun
lalu.
Saya
anggap Januari adalah usaha terakhir Van Gaal menyelamatkan kariernya di Old
Trafford. Jika gagal menggunakan peluang serta masa yang ada dan sekali lagi
wang terus dibazirkan membeli pemain yang `tidak tepat’, saya yakin beliau bakal
menyusul jejak Jose Mourinho. Seperti yang pernah saya katakan dulu, musim ini
sasaran yang patut dicapai Van Gaal bukan lagi meletakkan United dalam kelompok
empat teratas, tetapi membawa pulang sekurang-kurangnya satu trofi ke Old
Trafford. Dengan begitu banyak wang yang sudah beliau laburkan untuk membina
kembali United selepas kejatuhan semasa era David Moyes, saya percaya keluarga
Glazer tidak akan berpeluk tubuh melihat kelab terus ketandusan kejuaraan.
Kelompok empat teratas adalah misi wajib yang perlu beliau laksanakan, tetapi
tanpa trofi bermakna Van Gaal juga harus pergi. Glory Glory Manchester
United!!! - AJ