“Cristiano Ronaldo Sasaran United
Seterusnya”? Tajuk berita ini memang enak didengar tetapi saya berharap anda
tidak mudah terpesona dan kembali berpijak di bumi nyata. Saya akui sesiapapun
dikalangan penyokong United (termasuk saya) pasti mengharapkan pemenang Ballon
d’Or ini kembali menyarung jersi The Red
Devils selepas meninggalkan Old Trafford enam tahun yang lalu.
Ronaldo dan Lionel Messi adalah pemain
terbaik di planet ini, di mana kehadiran mereka mampu memberikan kesan besar
kepada prestasi mana-mana pasukan yang mereka wakili. Real Madrid dan Barca
beruntung kerana memiliki dua pemain ini dalam pasukan mereka manakala kita
sendiri pernah menyaksikan impak yang diberikan Ronaldo sepanjang beliau
bermain untuk United selama enam musim.
Saya akui bolasepak merupakan permainan
berpasukan tetapi adakah Real atau Barca pasukan yang sama jika mereka beraksi
tanpa kelibat Ronaldo dan Messi? Tanpa ragu-ragu saya akan katakan tidak. Tanpa
Ronaldo dan Messi, Real serta Barca masih dominan di La Liga tetapi saya yakin
mereka tidak mampu melakukan hal yang sama ketika beraksi di pentas Eropah.
Jadi mana mungkin Florentino Perez mahupun
Josep Maria Bartomeu sanggup melepaskan aset paling berharga mereka kepada
mana-mana pasukan biar ditawarkan dengan harga setinggi mana sekalipun. Pada
usia mencecah 30 tahun, Ronaldo masih lagi sukar disekat, memiliki sepasang
kaki yang pantas, bijak menghidu peluang dan naluri pembunuh yang masih tajam.
Saya yakin Ronaldo akan kekal di Santiago
Bernabeu dua atau tiga musim lagi sebelum prstasinya mula merosot akibat faktor
usia. Ketika itu, barulah Perez (jika beliau masih kekal di kerusi presiden)
sanggup melafazkan `talak’ kepada beliau sepertimana nasib yang menimpa Raul
Gonzalez dan Iker Casillas sebelum ini.
Meskipun Louis Van Gaal mengatakan beliau
memerlukan seorang penyerang berkualiti bagi menggantikan tempat Robin Van
Persie dan Radamel Falcao, saya yakin Ronaldo bukanlah pemain yang beliau maksudkan.
Misi membawa keluar Ronaldo dari Santiago Bernabeu adalah misi mustahil
sekalipun David De Gea dijadikan sebagai pertukaran.
Mengapa? Kerana seperti yang saya sebutkan
tadi Ronaldo merupakan aset paling berharga di Santiao Bernabeu sama seperti Messi
di Nou Camp. Jadi beliau bukanlah pemain yang Real mahu letakkan dalam pasaran
perpindahan pemain. Sebab kedua sudah tentu tentang wang. Berapa banyak yang
perlu United belanjakan seandainya Real mahu melepaskan Ronaldo?
Saya tidak fikir kelab akan memecahkan rekod
perpindahan dunia hanya semata-mata mahu membawa Ronaldo pulang semula ke Old
Trafford. Meskipun Ronaldo masih pemain terbaik di planet ini, adalah sesuatu
yang kurang berbaloi jika kelab terpaksa membayar £80 atau £90 juta untuk
seorang pemain yang sudahpun berusia 30 tahun.
United pada pandangan saya sudah memiliki
barisan pemain hampir lengkap selepas Van Gaal membawa masuk Bastian
Schweinsteiger, Morgan Schneiderlin, Memphis Depay, Matteo Darmian dan Sergio
Romero. Cuma apa yang kurang ialah kreativiti dalam permainan mereka
sepertimana yang diakui Van Gaal baru-baru ini.
Walaupun menang kesemua tiga perlawanan pra
musim mereka setakat ini, Van Gaal mengakui beliau perlu menambah kreativiti
dalam skuadnya. Untuk itu saya percaya akan ada satu atau dua lagi pembelian
yang bakal beliau lakukan bagi menambah apa yang kurang dalam pasukan sebelum
bermulanya cabaran musim baharu.
Pemain mana yang bakal beliau sasarkan
selepas ini? Yang pastinya bukan Ronaldo kerana buat masa ini bukan hanya Van
Gaal tetapi mana-mana pengurus/jurulatih tidak memiliki peluang walau 1% pun
membawa beliau keluar dari Santiago Bernabeu.
Meskipun terdapat beberapa laporan
kebelakangan ini yang menyebut tentang rasa tidak puashati Ronaldo terhadap
Benitez mahupun Perez, saya nasihatkan anda supaya jangan terbawa-bawa dengan laporan
ini kerana akhirnya nanti beliau akan tetap kekal sebagai pemain Real. Apa yang
berlaku kepada Sergio Ramos adalah contoh terdekat dan paling baik.
Kesimpulannya, impian mahu menyaksikan
Ronaldo kembali ke Old Trafford sebagai pemain United mustahil direalisasikan
bukan hanya kerana faktor wang tetapi juga disebabkan keinginan Perez untuk
terus mengekalkan beliau di Bernabeu. Biar apa pun yang dilaporkan media, saya
percaya Ronaldo tidak akan kemana-mana kerana beliau gembira di sana.
Jika ditakdirkan satu hari nanti Ronaldo
meninggalkan Real, itu bukanlah disebabkan kerana beliau memang mahu menyertai
pasukan lain tetapi kerana khidmatnya sudah tidak lagi diperlukan Perez.
Persoalannya sekarang adakah ketika itu beliau masih relevan membarisi
kesebelasan utama United? Saya rasa tidak…Glory Glory Manchester United!!! – A.J
Tiada ulasan:
Catat Ulasan