29 Mei 2016

BIARKAN MATLAMAT MENGHALALKAN CARA

Louis Van Gaal pergi dan Jose Mourinho datang…itulah peristiwa terbesar yang berlaku di Old Trafford minggu lepas. Gagal meletakkan kelab di kelompok empat teratas sekaligus gagal juga beraksi di pentas Liga Juara-Juara merupakan kesalahan terbesar Van Gaal hingga memaksa beliau `dibersarakan’ setahun lebih awal meskipun berjaya membawa kelab menjulang trofi Piala FA. Seperti dijangka hanya kurang 48 jam selepas pemecatan Van Gaal, United mengumumkan secara rasmi perlantikan Mourinho sebagai pengganti beliau.

Dilantik sebagai pengurus United umpama impian menjadi kenyataan buat Mourinho. Bukan rahsia lagi bahawa beliau memang mengidamkan jawatan itu sejak Sir Alex Ferguson masih berkuasa di Old Trafford. Kuasa mutlak yang diberikan pihak pengurusan kelab kepada Sir Alex dalam mengendalikan skuadnya menyebabkan Mourinho sedikit `iri hati’ kerana situasi tersebut tidak dinikmati beliau di Stamford Bridge. Di Stamford Bridge, Roman Abramovich selaku pemilik kelab dikatakan gemar campurtangan dari hal jual/beli pemain hinggalah ke taktik yang digunakan di atas padang.

Adakah langkah pihak pengurusan kelab menamakan Mourinho sebagai pengganti Van Gaal satu keputusan yang tepat atau sebaliknya? Memang ada pro dan kontranya berhubung perlantikan Mourinho sebagai pengurus United dan hal ini nampaknya hangat di perdebatkan di kalangan lagenda kelab sendiri dan juga penyokong-penyokong sama ada di restoran mamak mahupun di media sosial. Phil Neville mengatakan perlantikan Mourinho satu keputusan yang tepat meskipun beliau percaya pemenang medal Liga Juara-Juara sebanyak dua kali itu tidak akan bertahan lama di Old Trafford.

Bagi Eric Cantona pula, Mourinho bukanlah individu yang tepat sebagai perancang taktikal United di atas padang kerana falsafah anti football beliau atau juga lebih dikenali sebagai `taktik parkir bas’ di kalangan peminat-peminat bolasepak. Neville dan Cantona adalah dua contoh terbaik sikap berbelah bahagi dalam membicarakan tentang perlantikan Mourinho sebagai pengurus baharu di Old Trafford. Seperti yang pernah saya sebutkan dalam artikel sebelum ini (Piala FA…Pengakhiran Indah Kepada Musim Buruk United), saya lebih memilih Mauricio Pochettino atau Ryan Giggs sebagai pengganti Van Gaal berbanding Mourinho.

Pochettino memiliki persamaan dengan Van Gaal kerana kebolehan beliau membangunkan skuadnya bertunjangkan pemain-pemain muda sepertimana yang dilakukan beliau ke atas Harry Kane, Dele Alli, Eric Dier dan Ben Davies. Spurs dengan skuad muda mereka di bawah kendalian Pochettino meledak musim ini namun sayangnya tewas kepada Leicester City dalam perlumbaan merebut kejuaraan liga, malah kedudukan tangga kedua mereka turut dipintas Arsenal pada perlawanan terakhir.

Giggs pula meskipun kredibiliti beliau sebagai pengurus masih belum diuji (hanya mengendalikan empat perlawanan terakhir United dimusim 2013-14 selepas Moyes dipecat) tetap ada aura tersendiri. Sudah dua musim Giggs menjadi pembantu kepada Van Gaal dan sudah tentu sedikit sebanyak beliau juga sudah belajar serta menimba pengalaman dalam aspek pengurusan dan kejurulatihan dari warga Belanda itu. Jika Pep Guardiola boleh berjaya selepas beliau dilantik menggantikan tempat Frank Riijkaard di Nou Camp pada 2008, mengapa perkara sama tidak dicuba pihak pengurusan United kepada Giggs?

Bagaimanapun Mourinho juga ada kelas tersendiri berdasarkan track record beliau selama 16 tahun kariernya sebagai pengurus/jurulatih. Tidak adil untuk menilai beliau sedangkan Mourinho belum lagi memulakan tugasnya secara rasmi sebagai pengurus United. Hanya pencapaian kelab dalam saingan kompetitif musim depan kayu ukur sebenar sama ada Mourinho pilihan yang tepat ataupun tidak selaku pengganti Van Gaal. Jika diukur daripada pencapaian dan medal-medal kejuaraan yang sudah beliau menangi selama ini, Mourinho adalah individu yang tepat (bukan paling) untuk dilantik sebagai pengurus kelab besar seperti United.

Neville mengatakan bahawa Mourinho pilihan yang tepat tapi dalam masa yang sama beliau juga mengatakan bahawa Mourinho tidak akan kekal lama di Old Trafford. Sejak bersama Benfica pada 2000 hinggalah yang terakhir di Stamford Bridge (kerana beliau dipecat), Mourinho menghabiskan tempoh tidak lebih tiga musim bersama kelab yang beliau sertai. Melihat kepada trend tempoh khidmat beliau bermula di Benfica, Uniao de Leiria, FC Porto, Chelsea, Inter Milan, Real Madrid dan kembali semula ke Chelsea, mungkin ada benarnya apa yang dikatakan Neville (bahawa Mourinho tidak akan berkhidmat untuk tempoh yang lama di Old Trafford).

Ketepikan berapa lama Mourinho akan berkhidmat untuk United kerana saya lebih gemar melihat statistik pencapaian dalam musim penuh beliau ketika mengendalikan Porto, Chelsea, Inter Milan, Real Madrid dan Chelsea sekali lagi (sila rujuk info grafik di atas). Pemecatan sebagai pengurus Chelsea selepas 16 perlawanan liga musim lalu tetap detik hitam dalam karier Mourinho, tetapi perkara itu tidak akan memadam fakta bahawa beliau antara pengurus/jurulatih paling dikehendaki dalam dunia bolasepak.

Dari statistik info grafik di atas, Mourinho bagi saya adalah individu yang tepat (buat masa ini) untuk dilantik sebagai pengurus United musim depan. Dengan segala pencapaian yang sudah beliau lakukan selama ini, saya yakin kehadiran Mourinho di Old Trafford bakal menjadikan persaingan merebut kejuaraan Liga Perdana musim depan lebih sengit dan menarik. Statistik peratusan kemenangan beliau di Liga Perdana yang mencapai 66% (melebihi catatan Sir Alex dan Carlo Ancelotti) saya anggap amaran awal kepada Guardiola, Conte, Klopp, Wenger, Pochettino dan Ranieri bahawa United musim depan adalah skuad yang jauh berbeza berbanding tiga musim lalu.

Saya tidak ambil pusing jika Mourinho mengamalkan taktik `parkir bas’ dalam gaya permainan United dan membelakangkan permainan bolasepak indah asalkan di penghujung musim nanti The Red Devils menjulang trofi kejuaraan liga (bagaimanapun saya juga perlu realistik kerana ini adalah musim pertama Mourinho), mengekalkan trofi Piala FA dan kembali beraksi di pentas Liga Juara-Juara (musim 2017-18). Bagaimanapun ini bukan bermakna saya menyukai corak permainan anti football kerana dalam situasi sekarang, penyokong lebih mahukan trofi utama menghiasi kabinet kejuaraan di Old Trafford bukan permainan cantik seperti Barcelona ataupun Bayern Munich.

Apa gunanya memiliki statistik penguasaan bola 60% hingga 70% setiap perlawanan tetapi tetap terkial-kial mencatat kemenangan ketika berdepan kelab pertengahan serta bawahan liga? Menerusi taktik `parkir bas’ ala Mourinho, Porto dan Inter Milan menjulang trofi Liga Juara-Juara serta trofi liga domestik, Chelsea memecah monopoli United dan Arsenal selepas mereka muncul juara liga sebanyak 2 kali, Piala FA dan Piala Liga (dari 2004 hingga 2007), Real Madrid mengimbangi penguasaan tiki-taka Barcelona menerusi kejayaan mereka menjuarai La Liga serta Copa del Rey dan beliau kembali memenangi kejuaraan Liga Perdana bersama Chelsea pada musim 2014-15 selepas pulang semula ke Stamford Bridge pada 2013.

Buat masa ini, biarlah “matlamat menghalalkan cara” kerana jika United mahu bermain cantik, mereka sepatutnya mendapatkan Guardiola bukan Mourinho atau jika tidak pun kekalkan sahaja Van Gaal dengan falsafah possession football beliau. Berbekalkan kredibiliti yang ada pada Mourinho ditambah pula dengan pembelian bijak hasil dari peruntukan besar yang saya percaya bakal beliau perolehi untuk membentuk skuadnya, yakinlah bahawa musim depan United akan lebih kompetitif berbanding tiga musim terakhir.

Akhir sekali dalam kita mengharapkan sesuatu yang lebih menggembirakan musim depan, dalam masa yang sama kita juga sepatutnya bersikap lebih realistik. Musim depan merupakan musim pertama Mourinho di Old Trafford dan beliau juga cumalah manusia biasa, bukan Raja Midas yang mampu menukar apa sahaja yang beliau sentuh menjadi emas. Ramai di luar sana sudah mula bercakap bukan sahaja tentang taktik `parkir bas’ Mourinho, malah perkembangan pemain muda United yang bakal terencat disebabkan kehadiran beliau.

Berbalik semula kepada apa yang saya katakan tadi, buat masa ini penyokong mahukan trofi kejuaraan utama dan jika Mourinho mampu meletakkan United sebagai pasukan yang digeruni, kembali menjuarai trofi Liga Perdana dan beraksi di Liga Juara-Juara (musim 2017-18), beliau adalah pengganti yang tepat kepada kekosongan yang ditinggalkan Van Gaal. Buat masa ini jangan serabutkan kepala anda dengan memikirkan hal-hal berkaitan pembangunan akar umbi pemain-pemain  muda United atau taktik yang bakal digunakan Mourinho di atas padang. Biarkan dahulu “matlamat menghalalkan cara” dan biarkan juga Mourinho menjadikan United kembali digeruni menerusi taktik `parkir bas’ nya. Mourinho sentiasa mahu menjadi nombor 1 dan beliau kini berada di kelab yang dahulunya sering berada di kedudukan nombor 1...Glory Glory Manchester United!!! – A.J

27 Mei 2016

CATATAN YANG TERTINGGAL....

Akhirnya detik yang dinanti-nanti ramai penyokong Manchester United tiba juga bilamana Louis Van Gaal dipecat secara rasmi sebagai pengurus empat hari lalu. Selepas hanya dua musim, membelanjakan £250 juta bagi membeli pemain-pemain yang beliau rasakan sesuai dengan falsafah bolasepaknya, membawa kembali kelab ke saingan Liga Juara-Juara (musim 2015-16) dan menghadiahkan kejuaraan Piala FA selepas kemarau selama 12 tahun, Van Gaal akhirnya terpaksa mengakhiri karier kejurulatihannya di Old Trafford biarpun masih memiliki baki setahun kontrak.

Nasib `malang’ Van Gaal memang sudah dapat dihidu sebaik United tewas kepada Manchester City dalam perebutan tangga keempat liga sekaligus sekadar beraksi di Liga Europa musim hadapan. Terlepas slot ke Liga Juara-Juara merupakan kegagalan total buat Van Gaal meskipun United berjaya mengakhiri kemarau 12 tahun kejuaraan Piala FA mereka. Meskipun pada mulanya dicanangkan sebagai pengganti paling sesuai kepada Sir Alex Ferguson dan dikatakan memiliki DNA lagenda hidup itu dalam aspek kejurulatihan, beliau gagal membawa kelab kembali sebagai pasukan yang digeruni, malah lebih malang permainan United di bawah kendalian beliau dilabel sebagai membosankan.

Selama dua musim sebagai pengendali United, Van Gaal gagal mencapai sasaran dan KPI yang diletakkan ke atas beliau, jadi menunjukkan pintu keluar kepada beliau adalah jalan terbaik. Musim hadapan Manchester City bakal muncul pasukan yang menghiburkan di bawah kendalian Pep Guardiola, Chelsea pastinya pasukan yang berbeza di era Antonio Conte, bayangkan Jurgen Klopp kini berpeluang membentuk skuadnya sendiri di Anfield, pemain-pemain muda Tottenham Hotspurs yang pastinya akan terus meningkat di bawah bimbingan Mauricio Pochettino dan Arsene Wenger yang dikhabarkan bakal melakukan rombakan besar kepada skuad Arsenal.

Jadi adakah United mampu bersaing dengan City, Chelsea, Liverpool, Spurs dan Arsenal jika Van Gaal masih lagi dikekalkan? Saya rasa tidak. Melihat kepada hasil kerja beliau sepanjang dua musim sebagai pengurus United, saya tidak nampak kelab akan lebih kompetitif musim hadapan jika Van Gaal masih lagi duduk di bangku pengurus. United perlukan perubahan tampuk ketua kejurulatihan sepertimana yang berlaku di Stamford Bridge dan Stadium Etihad jika mahu bersaing secara serius dalam perebutan kejuaraan musim hadapan. Untuk itu langkah memecat Van Gaal adalah keputusan paling tepat.

Sejak 19 Mei 2014 hinggalah perlawanan terakhir beliau sebagai pengurus United, ada beberapa catatan yang boleh kita kenang selepas ini bila menyebut tentang individu bernama Louis Van Gaal. Bermula dari kejayaan beliau mengetengahkan pemain-pemain muda ke skuad utama hinggalah ke aksi terakhir United di pentas final Piala FA, ada tiga catatan menarik yang beliau tinggalkan meskipun gagal membawa kelab kembali sebagai raja di Liga Perdana. Untuk itu saya senaraikan tiga catatan tersebut yang ditinggalkan Van Gaal sebagai memperingati apa yang telah beliau lakukan sepanjang dua musim bergelar pengurus United.

1.  KEMUNCULAN PEMAIN-PEMAIN MUDA

Tidak dinafikan bahawa Van Gaal memang memiliki kelebihan dalam menghidu bakat-bakat muda berpotensi untuk diketengahkan ke dalam skuad utama. Kejayaan beliau mencungkil bakat-bakat muda seperti Paddy McNair, Timothy Fosu-Mensah, Jesse Lingard, Cameron Borthwick-Jackson, Marcus Rashford dan pembelian bijak ke atas Anthony Martial yang baru berusia 20 tahun merupakan sumbangan terbesar yang beliau lakukan sepanjang berada di Old Trafford. Di era Van Gaal, Lingard muncul pemain muda pertama (dari akademi) diberikan peluang tampil bersama skuad senior sebelum disusuli dengan beberapa lagi pemain muda hinggalah Rashford mencetuskan sensasi.

Meskipun pada awalnya Van Gaal dikritik kerana membayar yuran perpindahan mahal untuk mendapatkan seorang pemain muda  seperti Anthony Martial, namun pengritik beliau akhirnya terpaksa menelan hakikat bahawa pembelian bekas pemain AS Monaco itu memang berbaloi. Menerusi kemahiran individu yang dimiliki, Martial bagi saya pemain United paling mempersonakan musim ini menerusi gerakan-gerakan liciknya. Marcus Rashford pula langsung tidak menunjukkan bahawa beliau baru berusia 18 tahun menerusi ketajamannya di hadapan gawang lawan umpama penyerang yang sudah bertahun-tahun beraksi di peringkat tinggi.

Pemain-pemain muda (dari akademi) yang lain seperti Timothy Fosu-Mensah, Paddy McNair, Guillermo Varela, Cameron Borthwick-Jackson dan Andreas Pereira pula hanya memerlukan sedikit waktu untuk memberikan saingan kepada pemain-pemain senior dalam skuad utama United. Selaku pengurus, Van Gaal sudah melakukan tugasnya dengan cukup cemerlang (dalam hal mengetengahkan pemain-pemain muda) dan senarai yang saya sebutkan di atas bukti bagaimana bagusnya naluri Van Gaal terhadap bakat-bakat muda berpotensi bermula sejak beliau memulakan karier kejurulatihannya di Amsterdam Arena hinggalah yang terakhir di Old Traffrod.

2.  MENUKAR POSISI ASAL PEMAIN

Siapapun sebelum ini pastinya tidak akan menyangka bahawa Ashley Young dan Marouane Fellaini beraksi sebagai penyerang, Jesse Lingard dan Memphis Depay memainkan peranan sebagai `pemain nombor 10’, tetapi itulah yang berlaku di era Van Gaal. Beliau pernah melakukan hal yang sama ketika mengendalikan Barcelona dan Bayern Munich (menukar posisi asal Andres Iniesta, Xavi Hernandez, Thomas Mueller, Holger Badstuber dan Bastian Schweinsteiger), jadi apa yang beliau lakukan di Old Trafford bukanlah sesuatu yang baharu.

Tidak cukup dengan `eksperimen’ yang beliau lakukan ke atas Young, Fellaini, Depay dan Lingard, Van Gaal juga mengubah posisi Antonio Valencia dari pemain sayap kepada bek kanan manakala Daley Blind pula pernah beliau cuba di posisi pemain tengah bertahan dan akhirnya kekal sebagai bek tengah bersama Chris Smalling. Selain Blind, Juan Mata juga agak bernasib baik kerana mampu melaksanakan tanggungjawabnya bila dipaksa bermain sebagai pemain sayap meskipun posisi asalnya ialah sebagai pemain tengah menyerang.

Di final Piala FA, perjudian Van Gaal sebelum ini meletakkan pemain-pemainnya di luar posisi asal mereka membuahkan hasil. Peranan yang dimainkan Wayne Rooney hingga terhasilnya gol penyamaan adalah sebab kukuh mengapa tugas sebagai `pemain nombor 10’ diberikan Van Gaal kepada beliau. Begitu juga dengan gol kemenangan jaringan Jesse Lingard. Gol jaringan Lingard adalah hasil dari nalurinya yang pernah bermain di posisi `pemain nombor 10’ sebelum ini. Lihat bagaimana Lingard datang dari belakang untuk menyudahkan hantaran Valencia ketika pertahanan Palace lebih menumpukan kawalan mereka terhadap Martial dan Rooney.

3.  BERAKHIRNYA KEMARAU KEJUARAAN PIALA FA

Selain dari kemampuan Van Gaal mengetengahkan bakat-bakat muda dari akademi, kejayaan menjulang kejuaraan Piala FA buat kali ke-12 (sekaligus berkongsi rekod dengan Arsenal) juga bakal diingati oleh penyokong-penyokong United selepas pemergian beliau. Seperti yang anda tahu, ini adalah kejuaraan Piala FA pertama dalam tempoh 12 tahun, jadi sudah tentu kemenangan kedua ke atas Palace di pentas final kali ini cukup istimewa dan wajar diingati. Medal kejuaraan Piala FA kali ini juga sebenarnya cukup istimewa buat pemain senior seperti Wayne Rooney dan Michael Carrick kerana ia adalah pelengkap kepada koleksi kejuaraan domestik mereka bersama United.

PENUTUP

Terpulang kepada anda sama ada mahu berseronok dan meraikan pemecatan Van Gaal atau sebaliknya kerana saya faham anda sudah dibuai dan dimanjakan dengan kejayaan demi kejayaan ketika era keemasan Sir Alex Ferguson.

Menyaksikan kelab saban tahun memenangi sekurang-kurangnya satu kejuaraan, sentiasa muncul calon utama menjulang kejuaraan liga dan beraksi di Liga Juara-Juara adalah kemahuan penyokong yang mesti dipenuhi oleh mana-mana pengurus United selepas era Sir Alex.

Jadi apa yang berlaku semasa era David Moyes dan Van Gaal bolehlah dianggap sebagai kegagalan dan tempoh yang suram disebabkan standard tinggi dan gemilang yang sebelumnya sudah dicipta oleh Sir Alex selama lebih dua dekad beliau menguruskan kelab.

Sebelum beliau menerima tawaran menggantikan tempat Moyes, saya yakin Van Gaal juga sedar harapan serta standard tinggi yang perlu beliau penuhi di Old Trafford dan tentunya beliau juga tahu apa yang bakal beliau hadapi jika standard serta harapan tinggi itu gagal beliau penuhi.

Daripada komen-komen `membingungkan’ semasa sesi media, terlupa nama pemainnya sendiri (memanggil Smalling sebagai `Mike’), memakai kaca mata hitam di Carrow Road, aksi diving yang beliau lakukan ketika berdepan Arsenal dan rekod-rekod buruk yang dicipta United di era beliau, semuanya akan menyebabkan Van Gaal sentiasa diingati buat tempoh yang lama.

Pada usia 64 tahun, Van Gaal sepatutnya sudah boleh bersara, berehat bersama keluarga, sesekali minum petang bersama rakan-rakan seusianya sambil bercerita pengalaman penuh warnanya sebagai jurulatih bermula dengan Ajax Amsterdan hinggalah yang terakhir di Manchester United. “Berehatlah dan terima kasih Van Gaal untuk segala yang anda lakukan selama dua musim”….Glory Glory Manchester United!!! - AJ

23 Mei 2016

PIALA FA...PENGAKHIRAN INDAH KEPADA MUSIM BURUK UNITED

Final Piala FA awal pagi semalam merupakan ulangan pertembungan Manchester United dan Crystal Palace di pentas yang sama 26 tahun lalu. Ketika itu, United di bawah kendalian Alex Ferguson (sekarang Sir Alex Ferguson) berjaya menjulang trofi kejohanan kalah mati tertua di dunia itu selepas menewaskan Palace pada perlawanan ulangan. Format kejohanan ketika itu yang mensyaratkan agar perlawanan ulangan diadakan jika kedua-dua finalis terikat dengan keputusan seri selepas tambahan masa menyaksikan United menamatkan kemarau kejuaraan mereka sejak ketibaan Sir Alex di Old Trafford pada musim panas 1986 menerusi gol tunggal Lee Martin.

Kejayaan United menjulang kejuaraan Piala FA ketika itu dianggap cukup penting kepada survival Sir Alex sebagai pengurus di Old Trafford. Apa tidaknya kerana sepanjang empat musim selepas beliau menggantikan tempat Ron Atkinson, United tidak memenangi sebarang trofi kejuaraan malah kedudukan mereka dalam saingan liga juga sering terumbang-ambing. Pencapaian terbaik United dalam tempoh empat musim pertama Sir Alex di Old Trafford ialah menduduki tangga kedua liga (pada musim 1987-88) di belakang Liverpool tetapi prestasi mereka kembali menjunam dua musim berikutnya.

United menamatkan musim 1988-89 di tangga ke-11 manakala musim berikutnya (1989-90) mereka terus mengalami kemerosotan apabila menamatkan saingan di tangga ke-13. Ramai kebingungan melihat prestasi United terus merudum di bawah kendalian Sir Alex apatah lagi bila mengingatkan reputasi beliau yang pernah mengemudi Aberdeen muncul sebagai kuasa bolasepak di Scotland selain berjaya membawa trofi UEFA Cup Winners Cup dan UEFA Super Cup ke Pittodrie Stadium. Ketika kemarahan di kalangan penyokong semakin memuncak manakala kesabaran pihak pengurusan kian menipis, final Piala FA edisi 1989-90 hadir tepat pada masanya dalam usaha Sir Alex menyelamatkan kariernya di Old Trafford.

Jika jaringan kemenangan Mark Robins ketika menyingkirkan Oldham Athletic di peringkat separuh akhir dikatakan penyebab pihak pengurusan kelab menangguhkan hasrat memecat Sir Alex, gol Lee Martin di final ulangan pula adalah tiket buat Sir Alex untuk terus mengekalkan jawatannya sebagai pengurus United. Sejak kejayaan di Wembley pada 12 Mei 1990 itu, United di bawah kendalian Sir Alex tidak lagi menoleh ke belakang menerusi kejuaraan demi kejuaraan yang mereka menangi selama lebih dari dua dekad. Terima kasih kepada Mark Robins dan Lee Martin, kerana jaringan mereka menyelamatkan karier Sir Alex yang ketika itu seolah-olah sudah berada di titik noktah.

Memori 1990 nampaknya kembali berulang dan kali ini Louis Van Gaal mendapati dirinya berada dalam situasi hampir sama dengan apa yang dialami Sir Alex 26 tahun lalu. United kembali ke final Piala FA selepas 12 tahun sejak kali terakhir Roy Keane menjulang kejuaraan tersebut pada 2004. Sepertimana 26 tahun lalu, lawan United di pentas final Piala FA juga ialah Crystal Palace. Dan ketika khabar angin tentang kemungkinan Van Gaal tidak lagi menguruskan United musim hadapan kian bertiup kencang, final Piala FA hadir tepat pada waktunya buat beliau.

Akhirnya skrip sama berulang lagi bilamana Palace versi 2016 pimpinan Alan Pardew menerima nasib serupa dengan skuad bimbingan Steve Coppell 26 tahun lalu. Awal pagi semalam Palace terpaksa menerima hakikat mereka sekali lagi ditewaskan United dalam final Piala FA kedua mereka biarpun pada awalnya berjaya mendahului menerusi gol jaringan Jason Puncheon. Jika 26 tahun lalu, kejayaan menjulang kejuaraan Piala FA menyelamatkan karier Sir Alex di Old Trafford, nasib yang sama mungkin tidak berlaku kepada Van Gaal. Dengan perkhabaran bahawa Jose Mourinho semakin hampir menyertai United, Van Gaal nampaknya sudah boleh mula mengosongkan pejabatnya dan mengucapkan selamat tinggal.

Kejayaan membawa kelab menjulang kejuaraan Piala FA buat kali ke-12 nampaknya gagal menyakinkan pihak pengurusan United untuk mengekalkan Van Gaal semusim lagi sebagai pengendali. Jika diambilkira berita-berita yang diterbitkan media sebaik final Piala FA berakhir, hampir pasti tidak akan ada lagi kelibat Van Gaal di kerusi pengurus musim hadapan. Dua musim di Old Trafford dengan perbelanjaan membeli pemain-pemain baharu mencecah £250 juta, United di bawah era Van Gaal gagal memenangi kejuaraan liga, terkeluar dari saingan Liga Juara-Juara di peringkat kumpulan dan musim ini menamatkan saingan liga di tangga kelima sekaligus sekadar beraksi di pentas Liga Europa musim hadapan.

Sehingga artikel ini diterbitkan, Van Gaal masih lagi pengurus United tetapi saya yakin mungkin hanya bertahan untuk tempoh seminggu. Angin perubahan yang diinginkan penyokong-penyokong nampaknya turut mempengaruhi pihak pengurusan kelab dan Van Gaal bakal menjadi korban. Van Gaal sendiri nampaknya seperti sudah pasrah dengan nasibnya dan hal ini keluar dari mulut beliau ketika sidang media selepas berakhirnya final Piala FA. Ketika menjawab ucapan selamat dari James Cooper (wartawan Sky Sports), Van Gaal mengatakan “Tidak, tidak….segalanya sudah berakhir”.

Tentu sahaja apa yang dikatakan Van Gaal di hadapan wartawan menguatkan lagi spekulasi bahawa ini adalah musim terakhir beliau di Old Trafford dan akan ada individu lain yang bakal menggantikan tempatnya. Seperti yang saya katakan tadi, Jose Mourinho adalah individu yang disebut-sebut sangat hampir menggantikan tempat Van Gaal. Keinginan Mourinho untuk menguruskan United nampaknya sudah tidak dapat ditahan lagi, seiring dengan keinginan majoriti penyokong-penyokong yang mahukan Van Gaal segera angkat kaki.

Mourinho sendiri dikhabarkan sudah menolak tawaran menggantikan posisi Laurent Blanc di Parc des Princes demi memenuhi impian sejak sekian lamanya untuk duduk di kerusi pengurus United. Guardian dalam laporan mereka menyebut bahawa perbincangan antara kem United dan Mourinho sudah menuju peringkat terakhir sebelum dimuktamadkan dan bakal diumumkan secara rasmi dalam tempoh terdekat. Jika benar apa yang dilaporkan media, jaringan Juan Mata dan Jesse Lingard di Wembley awal pagi semalam nampaknya gagal menyelamatkan karier Van Gaal di Old Trafford.

Tidak sepertimana jaringan Mark Robins (di peringkat separuh akhir) dan jaringan kemenangan Lee Martin (ulangan final) 26 tahun lalu yang menyelamatkan Sir Alex dari dipecat, kejuaraan Piala FA kali ini mungkin tanda perpisahan dari Van Gaal kepada penyokong-penyokong yang kebanyakannya memang mahukan beliau pergi. Dua musim diberikan peluang disamping dibekalkan dengan dana yang cukup besar bagi menguatkan skuadnya, kejuaraan Piala FA kali ini pada pandangan saya cumalah mercu tanda kegagalan beliau apatah lagi ketika misi ke Liga Juara-Juara sekali lagi terlepas dari jangkauan.

Kejuaraan Piala FA kali ini hanyalah sekadar `hiburan sampingan’ buat penyokong-penyokong yang begitu kecewa dengan janji kosong Van Gaal yang mahu menjadikan United kembali digeruni dan dicemburui. Di sebalik musim yang serba tidak menjadi, permainan skuadnya pula dilabel sebagai membosankan, mujurlah masih ada sesuatu yang boleh diraikan sebelum musim kompetitif 2015-16 menutup tirainya. Jika benar Van Gaal bakal ditamatkan kontraknya setahun lebih awal dan jika benar Mourinho bakal menggantikan tempat beliau, saya berharap ada sesuatu yang lebih menarik bakal menanti kita musim hadapan.

Buat masa ini ketepikan dulu teori anti football yang dikatakan menjadi amalan Mourinho (jika beliau dilantik pengurus United) dalam taktikal permainannya. Sisi negatif Mourinho itu akan segera dilupakan penyokong-penyokong jika dipenghujung musim hadapan barisan United pimpinan beliau berjaya menjulang kejuaraan liga, Liga Europa dan kembali ke saingan Liga Juara-Juara (musim 2017-18). Terus terang saya katakan bahawa jika boleh saya lebih mahukan Mauricio Pochettino menggantikan tempat Van Gaal atau peluang juga boleh diberikan kepada Ryan Giggs. Bagaimanapun Mourinho sudah membuktikan siapa beliau sebenarnya dengan deretan trofi yang berjaya beliau menangi bersama FC Porto, Chelsea, Inter Milan dan Real Madrid. 

Di Stamford Bridge, beliau berjaya menjadikan Chelsea pasukan yang cukup sukar ditewaskan oleh Sir Alex, menewaskan Van Gaal di final Liga Juara-Juara ketika bersama Inter Milan dan di Santiago Bernabeu beliau berjaya meneutralkan penguasaan tiki-taka Barcelona ketika era Pep Guardiola. Dengan adanya Antonio Conte di Stamford Bridge, Pep Guardiola di Stadium Etihad, Jurgen Klopp yang kini berpeluang membentuk skuadnya sendiri di Anfield dan Arsene Wenger yang bakal melakukan rombakan besar kepada barisan Arsenal, adalah menarik untuk menyaksikan apa bakal dilakukan Mourinho bagi menambahkan lagi `huru-hara’ di Liga Perdana musim hadapan. Apapun memenangi Piala FA tetap satu pengakhiran yang indah di sebalik musim buruk United...Glory Glory Manchester United!!! - AJ

11 Mei 2016

UNITED LEMAS DENGAN TAKTIK HANTARAN BOLA TINGGI DAN PERMAINAN FIZIKAL THE HAMMERS

Manchester United melepaskan peluang untuk memintas Manchester City di tangga keempat liga selepas mereka tewas 2-3 di tangan West Ham awal pagi tadi. Meskipun hadir di Boleyn Ground dengan rekod baik (tidak tewas pada 3 kunjungan terakhir dalam saingan liga), United akhirnya terpaksa akur dengan persembahan bersemangat barisan tuan rumah sepanjang 90 minit permainan. Kekalahan awal pagi tadi juga menyaksikan United kekal ketinggalan dua mata di belakang City dengan baki satu perlawanan sekaligus menyaksikan pintu untuk beraksi di saingan Liga Juara-Juara semakin tertutup rapat.

Memang saya akui West Ham pasukan yang bagus musim ini di bawah kendalian Slaven Bilic, tetapi aura beraksi buat kali terakhir di Boleyn Ground selepas 112 tahun menjadikan mereka pasukan yang jauh berbeza. Ketika misi mengutip tiga mata atau sekurang-kurang satu mata menjadi taruhan barisan Van Gaal, United pada pandangan saya datang di tempat dan waktu yang kurang tepat. Walaupun hanya tiga hari sebelumnya mereka di belasah 1-4 oleh Swansea City di gelanggang yang sama, The Hammers kali ini nampaknya tidak mahu aksi terakhir di gelanggang keramat mereka dicemari dengan satu lagi kekalahan.

Skrip ketika menang 2-1 di Boleyn Ground pada aksi ulangan suku akhir Piala FA tidak berulang bilamana West Ham bangkit dengan dua gol dalam masa empat minit menerusi tandukan Michail Antonio dan Winston Reid sekaligus mengakhiri aksi mereka di Boleyn Ground dengan momen yang cukup manis. Memang sejak dari awal United diramal bakal berdepan kesukaran atas faktor emosi aksi terakhir tuan rumah di Boleyn Ground. Belumpun masuk ke padang, skuad United sudah dilanda gelora apabila bas yang mereka naiki `diserang hendap’ penyokong tuan rumah hingga menyebabkan perlawanan tertangguh.


Barisan West Ham menganggap perlawanan terakhir di Boleyn Ground ini terlalu istimewa dan  wajib mereka menangi tanpa sebarang kompromi, begitu juga dengan penyokong-penyokong The Hammers yang mahu kehadiran mereka buat kali terakhir digelanggang ini disudahi dengan keraian kemenangan. Sudah tentu sukar buat mana-mana pasukan pelawat berdepan dengan skuad yang semangatnya tinggi menggunung seperti ini dan akhirnya United menjadi korban dan tercatat dalam sejarah sebagai pasukan terakhir yang tumbang di Boleyn Ground.

Menyentuh tentang hal di atas padang pula, Van Gaal menggunakan formasi 4-1-4-1 dengan meletakkan Wayne Rooney sebagai pemain tengah bersama Ander Herrera, manakala Morgan Schneiderlin pula bertindak sebagai holding midfielder. Bagaimanapun hal yang menjadi sorotan utama sepanjang 90 minit permainan ialah betapa benteng pertahanan United bergelut menangani corak permainan fizikal lawan. Menerusi kekuatan yang dimiliki Andy Carroll, Diafro Sakho, Cheikhou Kouyate, Winston Reid dan Angelo Ogbonna, mereka mendominasi serangan menerusi umpanan-umpanan silang, hantaran-hantaran jauh dan juga set piece.

Sepanjang permainan tuan rumah melakukan 21 umpanan silang dengan 10 daripadanya menuju ke sasaran, 49 hantaran jauh (29 daripadanya berhasil) dan juga mencipta 7 peluang gol dari situasi bola mati. Malah dua gol yang mereka jaringkan menerusi tandukan Antonio dan Reid berpunca dari situasi ini (bola mati). Benteng pertahanan (terutamanya centre back) United seolah-olah tiada jawapan dalam menangani hantaran-hantaran silang dan corak permainan fizikal lawan. Daley Blind, Marcos Rojo, Antonio Valencia, Morgan Schneiderlin hinggalah Chris Smalling semuanya bergelut sepanjang permainan ketika lawan melambungkan bola terus ke dalam petak penalti.

Lebih parah di bangku simpanan pula tiada seorang pun pemain yang boleh dimasukkan bagi menerutralkan taktik hantaran tinggi lawan hingga menyebabkan saya mula merindui kelibat centre back kental seperti Rio Ferdinand dan Nemanja Vidic. Ketiadaan Marouane Fellaini yang digantung kerana menyiku Robert Huth menyebabkan Van Gaal hilang pemain yang mampu menangani kekuatan Carroll, Kouyate dan Sakho. Meskipun berjaya mendahului tuan rumah menerusi dua gol Anthony Martial, kegagalan United meneutralkan taktik hantaran bola tinggi lawan menyebabkan mereka akhirnya terpaksa akur dan mengharapkan ada keajaiban di perlawanan terakhir untuk layak ke Liga Juara-Juara.

Sebaik berakhirnya aksi terakhir di Boleyn Ground, saya yakin wajah pertama yang muncul dalam bayangan penyokong-penyokong United pastinya si tinggi lampai Marouane Fellaini. Biarpun beliau antara pemain yang kerap dijadikan bahan ejekan penyokong-penyokong sendiri, satu fakta yang tidak boleh kita ketepikan ialah bahawa United perlukan seorang pemain yang memiliki kekuatan seperti beliau bagi menangani corak permainan fizikal dan hantaran bola tinggi lawan seperti West Ham. Ketiadaan `pokok’ memang dirasai, tetapi dalam masa yang sama saya hairan mengapa nama Timothy Fosu-Mensah tercicir sedangkan anak muda ini memiliki tubuh yang tinggi serta tegap bagi menyaingi permainan fizikal dan bola tinggi lawan? Mungkin Van Gaal ada jawapannya…..Glory Glory Manchester United!!! – A.J

10 Mei 2016

TERAKHIR DI BOLEYN GROUND

Selepas 112 tahun bermain di Boleyn Ground (atau dulu lebih dikenali sebagai Upton Park), awal pagi esok bakal menjadi aksi terakhir West Ham di gelanggang yang pernah melahirkan lagenda-lagenda hebat bolasepak England itu. Dari Geoff Hurst, Bobby Moore, Martin Peters hinggalah ke generasi Rio Ferdinand dan Frank Lampard, Boleyn Ground sudah menjadi saksi kelahiran bintang-bintang ternama yang pernah menghiasi kancah bolasepak Inggeris dan skuad kebangsaan England. Selepas diaibkan Swansea City Sabtu lalu, The Hammers pastinya mahu mengakhiri aksi mereka di Boleyn Ground dengan catatan kemenangan pada aksi ke-113 mereka menentang United dalam sejarah saingan liga.

Kemenangan ke atas United merupakan hadiah perpisahan terbaik kepada Boleyn Ground sebelum mereka berpindah ke Olympic Stadium musim hadapan dan itulah yang bakal anak-anak buah Slaven Bilic usahakan awal pagi esok. Kekalahan kepada Swansea Sabtu lalu menyebabkan mereka ketinggalan empat mata di belakang United dalam misi menyingkirkan Manchester City yang kini berada di tangga keempat liga dalam perebutan slot ke Liga Juara-Juara musim hadapan. Jadi hanya kemenangan ke atas United sahaja yang mampu menghidupkan kembali peluang The Hammers untuk menamatkan musim mereka dalam kelompok empat teratas.

Walau bagaimanapun kehadiran Louis Van Gaal dan anak-anak buahnya di Boleyn Ground kali bukan untuk menyaksikan majlis perpisahan tuan rumah di gelanggang keramat mereka itu tetapi berbekalkan misi mahu merampas kedudukan City di tangga keempat liga. Tangga keempat merupakan tiket untuk beraksi di Liga Juara-Juara dan itulah misi terakhir yang sedang cuba dicapai oleh barisan United sebelum musim berakhir. Keputusan seri yang dilakar City ketika berdepan Arsenal kelmarin membuka kembali peluang United mencapai misi empat teratas tambahan pula barisan Van Gaal memiliki kelebihan satu perlawanan dalam tangan berbanding jiran mereka itu.

Jika diimbas sejarah pertemuan kedua-dua pasukan (dalam semua kejohanan) sejak April 2011, United sepatutnya mampu meneruskan trend positif mereka ke atas skuad Slaven Bilic itu. Dari tiga kunjungan terakhir mereka ke Boleyn Ground dalam saingan liga pula, United berjaya mencatat dua keputusan seri dan satu kemenangan. Kejayaan menyingkirkan lawan di sini pada perlawanan ulangan peringkat suku akhir Piala FA sepatutnya menjadi pemangkin kepada barisan The Red Devils meneruskan rekod baik mereka setiap kali berdepan West Ham dan dalam masa yang sama juga saya berharap anak-anak buah Bilic masih belum pulih dari kejutan dari kekalahan besar yang mereka alami kepada Swansea City, Ahad lalu.

Berbanding Bilic yang cuma terlepas khidmat Adrian dan Carl Jenkinson (ACL dan kecederaan lutut), Van Gaal pula nampaknya sekali lagi dihadapkan dengan masalah kecederaan yang melanda pemain-pemainnya selain penggantungan Marouane Fellaini. Kelibat Anthony Martial dan Matteo Darmian masih belum dapat dipastikan tetapi Van Gaal dijangka bakal menurunkan semula Marcus Rashford serta Daley Blind yang direhatkan ketika kunjungan di Carrow Road Sabtu lalu. Saya berharap sentuhan Wayne Rooney dan Juan Mata, dua watak penting di sebalik kemenangan ke atas Norwich mampu membantu Rashford yang bakal memikul watak utama selaku penggempur.


Keputusan seri yang dicatatkan City ketika berdepan Arsenal dan kemenangan penting yang dilakar United di Carrow Road hujung minggu lalu menjadikan situasi kini sudah sedikit berubah. Jika sebelumnya ramai yang bersikap pesimis tentang peluang United berada di kelompok empat teratas, kini sikap mereka sudah bertukar sebaliknya. Kunci untuk membuka pintu ke Liga Juara-Juara sudah berada ditangan, kini terpulang kepada Van Gaal dan barisan pemainnya untuk menentukan di manakah kedudukan mereka musim hadapan, sama ada mahu beraksi di Europa League atau bersama kelompok elit di Liga Juara-Juara…Glory Glory Manchester United!!! - AJ

05 Mei 2016

HAL-HAL YANG BOLEH DIPELAJARI DARI KEJAYAAN LEICESTER CITY

Tidak keterlaluan jika saya menganggap kejayaan Leicester City menjulang kejuaraan liga musim ini sebagai satu fenomena luarbiasa yang jarang-jarang berlaku. Sejak kejayaan Tim Sherwood pada musim 1994-95, tiada mana-mana kapten pasukan selepas itu selain dari Manchester United, Arsenal, Chelsea dan Manchester City berpeluang berdiri di atas podium sambil menjulang trofi Liga Perdana. Kejayaan The Foxes kali ini lebih mengejutkan berbanding pencapaian Rovers 21 tahun lalu kerana Kenny Dalglish ketika itu memiliki beberapa pemain ternama dalam skuadnya seperti Alan Shearer, Tim Sherwood, David Batty, Chris Sutton dan Colin Hendry.

Melihat kepada skuad keseluruhan yang dimiliki Claudio Ranieri, anda akan disebut sebagai gila jika di awal musim berani bertaruh dengan meletakkan Leicester City sebagai calon juara Liga Perdana musim ini. Apa tidaknya, berbanding tiga lagi pasukan yang berada di kelompok empat teratas ketika ini (Tottenham Hotspurs, Arsenal dan Manchester City), Leicester hanya memiliki barisan pemain bernilai £54.4 juta. Nilai keseluruhan skuad kendalian Ranieri ini bersamaan dengan harga yang terpaksa dibayar Manchester City kepada VfL Wolfsburg untuk mendapatkan tandatangan Kevin De Bruyne musim panas lalu.

Christian Fuchs, Marcin Wasilewski, Marc Albrighton, Mark Schwarzer, Jeffrey Schlupp dan Andy King, semuanya ditandatangani secara percuma manakala Riyad Mahrez (Pemain Terbaik PFA musim ini) pula tiba dari Le Havre pada 2014 dengan nilai cuma £400 ribu. Bukan sekadar tentang wang, skuad mahal, strategi di atas padang atau pemain mana yang anda beli tetapi banyak lagi fakta yang boleh dipelajari kelab-kelab besar (terutamanya Manchester United) di sebalik kejayaan gemilang The Foxes musim ini. Jadi apa lagi tauladan yang boleh dipelajari oleh pihak pengurusan United dari kisah epik yang dicipta Leicester City musim ini?

PRESTASI KESELURUHAN PASUKAN

Memang diakui prestasi yang ditunjukkan Jamie Vardy dan Riyad Mahrez musim ini cukup mengagumkan sekaligus menyumbang kepada kejayaan Leicester muncul juara liga buat pertama kali dalam sejarah kelab. Namun di sebalik suksesnya Vardy dan Mahrez, jangan lupakan juga sumbangan besar yang dimainkan oleh keseluruhan pasukan secara konsisten. Berbanding kelab-kelab besar seperti United yang biasanya terlalu bergantung kepada dua atau tiga bintang utama mereka, Ranieri pula menjadikan sebelas pemainnya yang beraksi di atas padang sebagai satu unit pemusnah. Walaupun tidak berbelanja besar, beliau bijak menggunakan kualiti pemain yang ada disekelilingnya dan menjadikan mereka sama penting sepertimana peranan yang dimainkan Vardy dan Mahrez.

PEMBELIAN PEMAIN YANG BERBALOI

Seperti yang saya katakan di awal tadi, melihat kepada barisan skuad dimiliki Ranieri, pastinya tiada siapa yang menyangka mereka bakal keluar sebagai juara liga musim ini. Tidak sepertimana Van Gaal, Ranieri tidak dibekalkan dengan wang ratusan juta pound bagi membentuk skuadnya. Dengan belanjawan terhad, tiada peluang buat Ranieri mendapatkan pemain-pemain kelas dunia bagi memperkuatkan skuadnya, situasi yang jauh berbeza berbanding apa yang beliau nikmati di Stamford Bridge 13 tahun lalu. Bagaimanapun `kesempitan’ itu tidak menghalang Ranieri dalam membentuk skuad Leicester yang ampuh menerusi pembelian bijak beberapa pemain yang dilakukan beliau.

Robert Huth ditandatangani beliau secara tetap dari Stoke City bagi memperkuatkan benteng pertahanannya dengan nilai £3 juta, membayar £5.6 juta kepada Caen untuk N’Golo Kante bagi mengisi posisi di bahagian tengah, berjaya memujuk Shinji Okazaki bermain di Liga Perdana dengan nilai perpindahan £7 juta dari Mainz 05 dan paling hebatnya sudah tentu kejayaan beliau mendapatkan khidmat Christian Fuchs secara percuma. Mungkin pengalaman mengendalikan 14 buah kelab sebelum ini menjadikan Ranieri bijak dalam hal menilai dan memilih pemain yang sesuai dengan falsafah permainannya dan itulah yang beliau lakukan untuk Leicester City musim ini.

FORMASI 4-4-2 YANG MASIH RELEVAN

Ketika kelab-kelab besar seperti United, Manchester City, Arsenal dan Chelsea semakin jarang menggunakan formasi tradisi 4-4-2 ini dalam sistem permainan mereka, juara Liga Perdana ini pula masih mengamalkan formasi ini secara konsisten sepanjang musim. Meskipun muncul berbagai formasi dalam era bolasepak moden, namun akhirnya formasi tradisi 4-4-2 inilah yang membawa kejayaan manis kepada Leicester City. Jika United di bawah era Van Gaal sering sahaja bertukar-tukar formasi permainan, Ranieri pula menjadikan Leicester pasukan yang sukar ditumbangkan menerusi formasi 4-4-2 dengan taktik serang balas pantas dan hantaran-hantaran jauh mereka.

BERJUANG HINGGA MINIT TERAKHIR

Lama dahulu penyokong-penyokong United cukup berbangga dengan mentaliti “Never give up or say die” yang diterapkan pemain-pemain ketika di atas padang tetapi kini giliran Ranieri pula mengaplikasikan semangat ini ke dalam diri barisan kendaliannya. Musim ini sudah banyak momen kebangkitan yang ditunjukkan kesebelasan The Foxes dalam aksi mereka dan contoh terbaik serta paling hampir ialah kejayaan mereka mengikat West Ham 2-2 di gelanggang sendiri 17 April lalu. Ketinggalan 1-2 dan beraksi pula dengan sepuluh pemain selepas Vardy dilayangkan kad merah (minit ke-56), mereka akhirnya berjaya memadam kelebihan milik pelawat di penghujung permainan menerusi sepakan penalti Leonardo Ulloa.

BOS YANG BIJAK MENGAWAL SITUASI

Berbanding dengan Louis Van Gaal yang beberapa kali tercuit emosinya ketika berdepan soalan-soalan panas wartawan, Ranieri pula jauh lebih rileks dan bijak dalam sesi medianya. Pengaruh beliau bukan sahaja cukup penting dalam mengatur strategi permainan atau memotivasikan pemain-pemainnya dari tepi padang tetapi juga saat berdepan wartawan. Ketika orang-orang disekelilingnya sudah mula yakin bahawa trofi Liga Perdana akan dibawa ke King Power Stadium, Ranieri pula bersikap sebaliknya. Beliau bukan sahaja berjaya mengawal dirinya tetapi juga seluruh pasukan supaya kekal tenang dan fokus biarpun peluang skuadnya menjulang kejuaraan liga semakin hari menjadi semakin besar.

“Semuanya berada di tangan kami sendiri. Sekarang kami hanya perlu menjalankan tugas kami. Jika nantinya ada pasukan lain yang berjaya memintas kami, saya tetap ok. Kami sudah menjalan tugas kami dengan baik musim ini dan saya berpuashati dengan prestasi pasukan”, kata Ranieri bulan lalu sebaik mengetahui hanya Tottenham Hotspurs satu-satunya pasukan yang mampu menafikan peluang pasukannya menjulang kejuaraan liga. Akhirnya sikap tenang serta bijak beliau mengawal situasi ketika berdepan tekanan membawa hasil bila Leicester dinobatkan sebagai juara Liga Perdana musim ini, sesuatu yang pastinya anda tidak pernah dan akan bayangkan di awal musim.

Akhir sekali buat Leicester City, tahniah diucapkan atas kejayaan mereka menjulang kejuaraan liga. Dari pasukan yang hampir tersingkir ke Liga Kejuaraan musim sebelumnya, mereka kini gah menakluk pentas Liga Perdana ketika kelab-kelab besar Inggeris yang lain sekadar memerhati dengan penuh rasa cemburu. Dari David Cameron hinggalah ke Matteo Renzi, kata-kata pujian, penghargaan serta penghormatan terus menghujani Ranieri dan anak-anak buahnya atas kejayaan tidak terduga mereka. Meskipun berasa sedikit cemburu, saya berharap kejayaan Leicester ini menjadi wakeup call kepada United untuk muncul pasukan yang jauh lebih kuat musim hadapan.

Selepas mengharungi tiga musim tanpa kejuaraan liga, menarik untuk kita saksikan tindakan drastik apa yang bakal diambil pihak pengurusan kelab bagi mengembalikan maruah yang sudah tercalar. United tidak seperti Leicester kerana dengan sokongan kewangan yang besar, Van Gaal atau mana-mana individu yang bakal menggantikan tempat beliau akan sekali lagi berbelanja besar musim panas ini. Persoalannya sekarang bukan tentang kemampuan Leicester mempertahankan kejuaraan liga yang mereka menangi musim ini tetapi lebih menjurus kepada kemampuan pengurus United (Van Gaal, Mourinho atau siapa sahaja) meletakkan kelab kembali ditabalkan sebagai raja di Liga Perdana musim hadapan. Glory Glory Manchester United!!! - AJ

02 Mei 2016

`SETAN-SETAN MUDA' YANG SEDANG MENGINTAI PELUANG

Berbanding skuad senior yang ketandusan kejuaraan sejak persaraan Sir Alex Ferguson pada 2013, skuad U21 United pula sebaliknya membuktikan bahawa kelab tidak pernah ketandusan pemain-pemain muda berbakat apabila berjaya meraih kejuaraan Liga Perdana U21 buat kali ketiga dalam tempoh empat musim terakhir. Anak-anak buah Warren Joyce mengesahkan kejuaraan milik mereka selepas menang 3-2 ke atas Tottenham Hotspurs 19 April lalu sekaligus mengatasi Sunderland di tangga kedua.

United U21 menjanjikan bakat-bakat masa depan bagi skuad senior meskipun tidak ramai di antara kita mengenali barisan pemain kendalian Joyce itu. Sudah ada beberapa pemain yang diketengahkan Louis Van Gaal ke dalam skuad senior antaranya ialah Donald Love, Cameroon Borthwick-Jackson, Paddy McNair, Guillermo Varela dan Andreas Pereira. Kali ini saya senaraikan sebelas pemain-pemain berbakat dalam skuad United U21 yang mungkin pada suatu hari nanti muncul tonggak utama kepada skuad senior. Siapakah mereka?

JOEL PEREIRA (PENJAGA GOL)

Kapten skuad United U21 ini ditandatangani dari Neuchatel Xamax pada 2012 dan diberikan kontrak baharu pada 2015 sebagai persediaan kemungkinan kelab kehilangan khidmat David De Gea yang digembar-gemburkan ingin menyertai Real Madrid. Musim ini Joel sempat di hantar ke Rochdale sebagai pemain pinjaman bagi menimba pengalaman tetapi dipanggil pulang semula ke Old Trafford. Panggilan ke skuad senior akhirnya tiba selepas beliau disenaraikan Van Gaal saat berdepan FC Midjylland dalam saingan Liga Europa di Old Trafford.

Eric Steele (bekas jurulatih penjaga gol United) pernah menilai Joel sebagai pengganti paling sesuai buat Ben Amos selaku penjaga gol kedua United, manakala Keith Hill (pengurus Rochdale) meramalkan remaja berusia 19 tahun ini bakal muncul penjaga gol kelas dunia suatu hari nanti. Prestasi bagus yang dipamerkan Joel di gawang United dalam saingan Liga Remaja UEFA menyaksikan beliau dilantik selaku kapten skuad United U21 dan dianggap antara `pemain berpengalaman’ dalam skuad Joyce.

DONALD LOVE (BEK KANAN)

Posisi bek kanan skuad United U21 sering berpindah milik antara Timothy Fosu-Mensah, Love dan Guillermo Varela. Menariknya ketiga-tiga bakat muda ini juga sudah merasai aksi bersama skuad senior United dengan Love diberikan penampilan pertama ketika berdepan Sunderland di Stadium of Light 13 Februari lalu. Kelebihan yang ada pada Love ialah corak permainan beliau yang energik dan meskipun memiliki mentaliti menyerang beliau mampu turun kebawah dengan pantas  mengawal posisinya ketika lawan melakukan serangan. Bukan sahaja boleh beraksi selaku bek kanan, Love juga pernah digunakan Joyce di bahagian tengah kerana memiliki permainan yang dinamik.

RO-SHAUN WILLIAMS (BEK TENGAH)

Baru berusia 17 tahun, tetapi Williams sudah berjaya meletakkan dirinya dalam skuad United U21 serta tersenarai dalam skuad senior United. Gandingan ampuh beliau bersama Axel Tuanzebe untuk skuad United U18 menarik perhatian Joyce membawa masuk anak muda ini dalam skuad kendaliannya. Pada usia 16 tahun, Joyce tanpa ragu memberikan penampilan pertama kepada Williams dalam aksi Liga Perdana U21. Williams `dilahirkan’ sebagai pelari pecut tetapi menjadikan bolasepak sebagai pilihan kerjayanya.

Pada Ogos 2014, nama Williams menjadi sebutan selepas beliau berjaya memecahkan rekod 100m berusia 25 tahun sekolahnya yang pernah dicipta  Darren Campbell (pemenang pingat emas Olimpik Athens 2004 bagi acara  4 x 100m). Jadi tidak hairanlah selain dikenali sebagai pertahanan yang agresif, kepantasan juga menjadi aset utama permainan Williams di atas padang ketika menutup pergerakan penyerang lawan. Di peringkat antarabangsa, Williams antara anggota skuad England U17 di Kejohanan Piala Dunia U17 yang berlangsung di Chile tahun lalu.

AXEL TUANZEBE (BEK TENGAH)

Antara pemain yang sering digunakan Warren Joyce sebagai rakan gandingan Ro-Shaun Williams di benteng tengah skuadnya selain Paddy McNair. Berbeza dengan McNair yang sudah merasai aksi bersama skuad senior United, Tuanzebe pula masih menanti peluang penampilan sulung di Liga Perdana. Pemain berusia 18 tahun kelahiran Republik Demokratik Rakyat Congo tetapi memilih mewakili skuad England U18 ini memiliki reputasi permainan yang keras tanpa kompromi ketika melakukan tackle. Kebolehan beliau sebagai pemimpin di atas padang juga menyaksikan Tuanzebe pernah dilantik sebagai ketua pasukan skuad United U18.

CAMERON BORTHWICK-JACKSON (BEK KIRI)

Musim ini Borthwick-Jackson antara pemain muda paling menyerlah saat diberikan peluang tampil bersama skuad senior oleh Van Gaal. Pemain berusia 19 tahun ini sudah terlibat dengan beberapa perlawanan kompetitif United di peringkat domestik dan juga Eropah. Memiliki gaya permainan yang sederhana tapi efektif, kebolehan taktikal yang bagus ketika bertahan dan tahu bila waktu yang tepat untuk naik ke atas bagi membantu rakan-rakan ketika menyerang. Kebolehan beliau melakukan hantaran-hantaran berbahaya terus ke dalam petak penalti lawan menjadikan posisi bek kiri skuad United U21 sukar digantikan oleh mana-mana pemain meskipun Warren Joyce sering melakukan penggiliran dengan pemain serba boleh lain seperti Joe Riley di posisi tersebut.

PADDY McNAIR (BEK TENGAH/PEMAIN TENGAH BERTAHAN)

Dengan rekod 27 penampilan bersama skuad senior (dalam semua kejohanan) menjadikan McNair antara pemain paling berpengalaman dalam skuad United U21. Di peringkat liga pula, pemain kelahiran Ireland Utara ini sudah bermain sebanyak 24 perlawanan bersama skuad senior sejak tampil pertama kali pada September 2014. Di pentas antarabangsa, beliau memiliki enam caps bersama skuad kebangsaan apabila Michael O Neill menggunakan khidmatnya dalam perlawanan kelayakan Euro 2016.

Dikenali sebagai pemain serba boleh, McNair bermula sebagai pemain tengah menyerang namun Van Gaal meletakkan beliau di posisi bek tengah ketika kelab dilanda krisis kecederaan pemain musim lalu. Bersama skuad kebangsaan Ireland Utara dan United U21 pula, posisi selaku pemain tengah bertahan bukanlah asing buat beliau. Kelebihan dimiliki pemain ini ialah keberanian beliau melakukan dribble bagi memecah benteng pertahanan lawan.

JOE RILEY (BEK SAYAP/PEMAIN TENGAH)

Seorang lagi pemain serba boleh yang ada dalam skuad Warren Joyce. Pemain kelahiran Blackpool ini boleh berfungsi sebagai bek sayap, sayap kiri dan midfielder. Riley pemain yang cukup energik menerusi kebolehan untuk bergerak di segenap ruang, mampu melakukan umpanan-umpanan silang berbahaya selain ada kebolehan menjaringkan gol dalam situasi bola mati. Melihat kepada bakat dan kebolehan dipamerkan pemain yang dilahirkan pada 6 Disember 1996 ini, Riley sebenarnya hanya menunggu masa untuk mengetuk pintu dalam skuad senior United.

DEVONTE REDMOND (SAYAP/PEMAIN TENGAH MENYERANG)

Gaya permainan Redmond dikatakan mirip kepada rakan seangkatannya Marcus Rashford yang kini semakin meledak bersama skuad senior. Sepertimana Rashford yang boleh diletakkan sebagai pemain sayap, begitu jugalah halnya dengan Redmond. Tipikal permainannya yang gemar membawa bola dan kemudiannya memecah masuk ke dalam petak penalti lawan menjadikan beliau pemain yang cukup berbahaya sama ada ketika berfungsi sebagai pemain sayap ataupun ketika berperanan sebagai pemain tengah menyerang. Redmond menyertai United pada musim panas 2013 dan menjaringkan gol sulungnya ketika membantu skuad United U21 menewaskan Leicester City (U21) 6-1 pada Disember 2015.

JAMES WEIR (PEMAIN TENGAH MENYERANG)

Menyertai United dari Preston North End pada 2008, Weir secara perlahan-lahan mula menunjukkan konsistensinya dalam kejohanan-kejohanan peringkat umur. Sebagai pemain tengah menyerang, Weir bukan sahaja memiliki visi permainan yang bagus tapi mampu membekalkan umpanan-umpanan berkualiti untuk rakan-rakan di barisan hadapan. Karakternya yang tenang di atas padang membantu beliau menjaga penguasaan bola di bahagian tengah manakala hantaran-hantarannya pula kerap memerangkap pertahanan lawan.

GUILLERMO VARELA (BEK KANAN/SAYAP)

Kesilapan mudah yang dilakukan Varela hingga membolehkan Phillipe Coutinho menjaringkan gol penyamaan di Old Trafford pada aksi kedua pusingan kalah mati Liga Europa 18 Mac lalu menyaksikan beliau dihantar semula menyertai rakan-rakan seusianya dalam skuad remaja United. Selepas melakukan kesilapan seperti itu, penting buat pemain muda ini mengasah semula kemampuan serta membina kembali keyakinan dirinya sebelum kembali semula ke level tertinggi. Varela memiliki mentaliti menyerang serta kemampuan menjaringkan gol yang tinggi, jadi tidak hairanlah mengapa beliau sering diletakkan Warren Joyce di sebelah sayap meskipun posisi azalinya ialah sebagai bek kanan.

ANDREAS PEREIRA (PEMAIN TENGAH MENYERANG/PENYERANG)

Pereira pernah meluah kekecewaan kerana kurangnya tempoh bermain bersama skuad senior apatah lagi beliau sendiri sudah mula memasang angan-angan menyarung jersi skuad kebangsaan Brazil suatu hari nanti. Meskipun dinobatkan sebagai pemain terbaik skuad United U21 musim lalu, Pereira nampaknya masih bergelut untuk meletakkan dirinya dalam kesebelasan utama skuad senior. Ada sebab mengapa Pereira agak kecewa dengan situasi yang beliau hadapi sekarang kerana sejak menyertai United dari PSV Eindhoven pada 2012, beliau hanya berpeluang tampil dalam empat aksi Liga Perdana bersama United.

Berbanding rakan seangkatan beliau, Paul Pogba yang kini sudah mengecap gemilang bersama Juventus selepas meninggalkan Old Trafford secara percuma, Pereira pula sekadar berpuashati memegang watak utama bersama skuad United U21. Sepertimana kebanyakan pemain berdarah Brazil, Pereira juga memiliki kawalan bola menarik, mampu memanfaatkan peluang dalam situasi bola mati dari tendangan bebasnya selain bijak membuka peluang buat rakan menerusi peranan yang dimainkan beliau selaku pemain tengah menyerang. Apakah nasib pemain berbakat besar ini sama seperti Pogba, gagal bersama United tetapi cemerlang bila menyertai pasukan lain?

GLORY GLORY MANCHESTER UNITED!!! – A.J