Manchester United melepaskan peluang untuk
memintas Manchester City di tangga keempat liga selepas mereka tewas 2-3 di
tangan West Ham awal pagi tadi. Meskipun hadir di Boleyn Ground dengan rekod
baik (tidak tewas pada 3 kunjungan terakhir dalam saingan liga), United
akhirnya terpaksa akur dengan persembahan bersemangat barisan tuan rumah
sepanjang 90 minit permainan. Kekalahan awal pagi tadi juga menyaksikan United
kekal ketinggalan dua mata di belakang City dengan baki satu perlawanan
sekaligus menyaksikan pintu untuk beraksi di saingan Liga Juara-Juara semakin
tertutup rapat.
Memang saya akui West Ham pasukan yang bagus
musim ini di bawah kendalian Slaven Bilic, tetapi aura beraksi buat kali
terakhir di Boleyn Ground selepas 112 tahun menjadikan mereka pasukan yang jauh
berbeza. Ketika misi mengutip tiga mata atau sekurang-kurang satu mata menjadi
taruhan barisan Van Gaal, United pada pandangan saya datang di tempat dan waktu
yang kurang tepat. Walaupun hanya tiga hari sebelumnya mereka di belasah 1-4
oleh Swansea City di gelanggang yang sama, The Hammers kali ini nampaknya tidak
mahu aksi terakhir di gelanggang keramat mereka dicemari dengan satu lagi
kekalahan.
Skrip ketika menang 2-1 di Boleyn Ground pada
aksi ulangan suku akhir Piala FA tidak berulang bilamana West Ham bangkit
dengan dua gol dalam masa empat minit menerusi tandukan Michail Antonio dan
Winston Reid sekaligus mengakhiri aksi mereka di Boleyn Ground dengan momen
yang cukup manis. Memang sejak dari awal United diramal bakal berdepan
kesukaran atas faktor emosi aksi terakhir tuan rumah di Boleyn Ground. Belumpun
masuk ke padang, skuad United sudah dilanda gelora apabila bas yang mereka
naiki `diserang hendap’ penyokong tuan rumah hingga menyebabkan perlawanan
tertangguh.
Barisan West Ham menganggap perlawanan
terakhir di Boleyn Ground ini terlalu istimewa dan wajib mereka menangi tanpa sebarang kompromi,
begitu juga dengan penyokong-penyokong The Hammers yang mahu kehadiran mereka
buat kali terakhir digelanggang ini disudahi dengan keraian kemenangan. Sudah
tentu sukar buat mana-mana pasukan pelawat berdepan dengan skuad yang
semangatnya tinggi menggunung seperti ini dan akhirnya United menjadi korban
dan tercatat dalam sejarah sebagai pasukan terakhir yang tumbang di Boleyn
Ground.
Menyentuh tentang hal di atas padang pula,
Van Gaal menggunakan formasi 4-1-4-1 dengan meletakkan Wayne Rooney sebagai
pemain tengah bersama Ander Herrera, manakala Morgan Schneiderlin pula
bertindak sebagai holding midfielder. Bagaimanapun hal yang menjadi sorotan utama
sepanjang 90 minit permainan ialah betapa benteng pertahanan United bergelut
menangani corak permainan fizikal lawan. Menerusi kekuatan yang dimiliki Andy
Carroll, Diafro Sakho, Cheikhou Kouyate, Winston Reid dan Angelo Ogbonna,
mereka mendominasi serangan menerusi umpanan-umpanan silang, hantaran-hantaran
jauh dan juga set piece.
Sepanjang permainan tuan rumah melakukan 21
umpanan silang dengan 10 daripadanya menuju ke sasaran, 49 hantaran jauh (29
daripadanya berhasil) dan juga mencipta 7 peluang gol dari situasi bola mati.
Malah dua gol yang mereka jaringkan menerusi tandukan Antonio dan Reid berpunca
dari situasi ini (bola mati). Benteng pertahanan (terutamanya centre back)
United seolah-olah tiada jawapan dalam menangani hantaran-hantaran silang dan corak
permainan fizikal lawan. Daley Blind, Marcos Rojo, Antonio Valencia, Morgan
Schneiderlin hinggalah Chris Smalling semuanya bergelut sepanjang permainan
ketika lawan melambungkan bola terus ke dalam petak penalti.
Lebih parah di bangku simpanan pula tiada
seorang pun pemain yang boleh dimasukkan bagi menerutralkan taktik hantaran
tinggi lawan hingga menyebabkan saya mula merindui kelibat centre back kental
seperti Rio Ferdinand dan Nemanja Vidic. Ketiadaan Marouane Fellaini yang
digantung kerana menyiku Robert Huth menyebabkan Van Gaal hilang pemain yang
mampu menangani kekuatan Carroll, Kouyate dan Sakho. Meskipun berjaya
mendahului tuan rumah menerusi dua gol Anthony Martial, kegagalan United
meneutralkan taktik hantaran bola tinggi lawan menyebabkan mereka akhirnya
terpaksa akur dan mengharapkan ada keajaiban di perlawanan terakhir untuk layak
ke Liga Juara-Juara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan