Final Piala FA awal pagi semalam merupakan
ulangan pertembungan Manchester United dan Crystal Palace di pentas yang sama
26 tahun lalu. Ketika itu, United di bawah kendalian Alex Ferguson (sekarang
Sir Alex Ferguson) berjaya menjulang trofi kejohanan kalah mati tertua di dunia
itu selepas menewaskan Palace pada perlawanan ulangan. Format kejohanan ketika
itu yang mensyaratkan agar perlawanan ulangan diadakan jika kedua-dua finalis
terikat dengan keputusan seri selepas tambahan masa menyaksikan United menamatkan
kemarau kejuaraan mereka sejak ketibaan Sir Alex di Old Trafford pada musim
panas 1986 menerusi gol tunggal Lee Martin.
Kejayaan United menjulang kejuaraan Piala FA
ketika itu dianggap cukup penting kepada survival
Sir Alex sebagai pengurus di Old Trafford. Apa tidaknya kerana sepanjang empat
musim selepas beliau menggantikan tempat Ron Atkinson, United tidak memenangi
sebarang trofi kejuaraan malah kedudukan mereka dalam saingan liga juga sering
terumbang-ambing. Pencapaian terbaik United dalam tempoh empat musim pertama
Sir Alex di Old Trafford ialah menduduki tangga kedua liga (pada musim 1987-88)
di belakang Liverpool tetapi prestasi mereka kembali menjunam dua musim
berikutnya.
United menamatkan musim 1988-89 di tangga
ke-11 manakala musim berikutnya (1989-90) mereka terus mengalami kemerosotan
apabila menamatkan saingan di tangga ke-13. Ramai kebingungan melihat prestasi
United terus merudum di bawah kendalian Sir Alex apatah lagi bila mengingatkan
reputasi beliau yang pernah mengemudi Aberdeen muncul sebagai kuasa bolasepak
di Scotland selain berjaya membawa trofi UEFA Cup Winners Cup dan UEFA Super
Cup ke Pittodrie Stadium. Ketika kemarahan di kalangan penyokong semakin
memuncak manakala kesabaran pihak pengurusan kian menipis, final Piala FA edisi
1989-90 hadir tepat pada masanya dalam usaha Sir Alex menyelamatkan kariernya
di Old Trafford.
Jika jaringan kemenangan Mark Robins ketika
menyingkirkan Oldham Athletic di peringkat separuh akhir dikatakan penyebab
pihak pengurusan kelab menangguhkan hasrat memecat Sir Alex, gol Lee Martin di
final ulangan pula adalah tiket buat Sir Alex untuk terus mengekalkan
jawatannya sebagai pengurus United. Sejak kejayaan di Wembley pada 12 Mei 1990
itu, United di bawah kendalian Sir Alex tidak lagi menoleh ke belakang menerusi
kejuaraan demi kejuaraan yang mereka menangi selama lebih dari dua dekad.
Terima kasih kepada Mark Robins dan Lee Martin, kerana jaringan mereka menyelamatkan
karier Sir Alex yang ketika itu seolah-olah sudah berada di titik noktah.
Memori 1990 nampaknya kembali berulang dan
kali ini Louis Van Gaal mendapati dirinya berada dalam situasi hampir sama
dengan apa yang dialami Sir Alex 26 tahun lalu. United kembali ke final Piala
FA selepas 12 tahun sejak kali terakhir Roy Keane menjulang kejuaraan tersebut
pada 2004. Sepertimana 26 tahun lalu, lawan United di pentas final Piala FA juga
ialah Crystal Palace. Dan ketika khabar angin tentang kemungkinan Van Gaal
tidak lagi menguruskan United musim hadapan kian bertiup kencang, final Piala
FA hadir tepat pada waktunya buat beliau.
Akhirnya skrip sama berulang lagi bilamana
Palace versi 2016 pimpinan Alan Pardew menerima nasib serupa dengan skuad
bimbingan Steve Coppell 26 tahun lalu. Awal pagi semalam Palace terpaksa
menerima hakikat mereka sekali lagi ditewaskan United dalam final Piala FA
kedua mereka biarpun pada awalnya berjaya mendahului menerusi gol jaringan
Jason Puncheon. Jika 26 tahun lalu, kejayaan menjulang kejuaraan Piala FA
menyelamatkan karier Sir Alex di Old Trafford, nasib yang sama mungkin tidak
berlaku kepada Van Gaal. Dengan perkhabaran bahawa Jose Mourinho semakin hampir
menyertai United, Van Gaal nampaknya sudah boleh mula mengosongkan pejabatnya
dan mengucapkan selamat tinggal.
Kejayaan membawa kelab menjulang kejuaraan
Piala FA buat kali ke-12 nampaknya gagal menyakinkan pihak pengurusan United
untuk mengekalkan Van Gaal semusim lagi sebagai pengendali. Jika diambilkira
berita-berita yang diterbitkan media sebaik final Piala FA berakhir, hampir
pasti tidak akan ada lagi kelibat Van Gaal di kerusi pengurus musim hadapan.
Dua musim di Old Trafford dengan perbelanjaan membeli pemain-pemain baharu
mencecah £250 juta, United di bawah era Van Gaal gagal memenangi kejuaraan liga,
terkeluar dari saingan Liga Juara-Juara di peringkat kumpulan dan musim ini
menamatkan saingan liga di tangga kelima sekaligus sekadar beraksi di pentas Liga
Europa musim hadapan.
Sehingga artikel ini diterbitkan, Van Gaal
masih lagi pengurus United tetapi saya yakin mungkin hanya bertahan untuk
tempoh seminggu. Angin perubahan yang diinginkan penyokong-penyokong nampaknya turut
mempengaruhi pihak pengurusan kelab dan Van Gaal bakal menjadi korban. Van Gaal
sendiri nampaknya seperti sudah pasrah dengan nasibnya dan hal ini keluar dari
mulut beliau ketika sidang media selepas berakhirnya final Piala FA. Ketika
menjawab ucapan selamat dari James Cooper (wartawan Sky Sports), Van Gaal
mengatakan “Tidak, tidak….segalanya sudah berakhir”.
Tentu sahaja apa yang dikatakan Van Gaal di
hadapan wartawan menguatkan lagi spekulasi bahawa ini adalah musim terakhir
beliau di Old Trafford dan akan ada individu lain yang bakal menggantikan
tempatnya. Seperti yang saya katakan tadi, Jose Mourinho adalah individu yang
disebut-sebut sangat hampir menggantikan tempat Van Gaal. Keinginan Mourinho
untuk menguruskan United nampaknya sudah tidak dapat ditahan lagi, seiring
dengan keinginan majoriti penyokong-penyokong yang mahukan Van Gaal segera
angkat kaki.
Mourinho sendiri dikhabarkan sudah menolak
tawaran menggantikan posisi Laurent Blanc di Parc des Princes demi memenuhi
impian sejak sekian lamanya untuk duduk di kerusi pengurus United. Guardian
dalam laporan mereka menyebut bahawa perbincangan antara kem United dan
Mourinho sudah menuju peringkat terakhir sebelum dimuktamadkan dan bakal diumumkan
secara rasmi dalam tempoh terdekat. Jika benar apa yang dilaporkan media,
jaringan Juan Mata dan Jesse Lingard di Wembley awal pagi semalam nampaknya
gagal menyelamatkan karier Van Gaal di Old Trafford.
Tidak sepertimana jaringan Mark Robins (di
peringkat separuh akhir) dan jaringan kemenangan Lee Martin (ulangan final) 26
tahun lalu yang menyelamatkan Sir Alex dari dipecat, kejuaraan Piala FA kali
ini mungkin tanda perpisahan dari Van Gaal kepada penyokong-penyokong yang
kebanyakannya memang mahukan beliau pergi. Dua musim diberikan peluang
disamping dibekalkan dengan dana yang cukup besar bagi menguatkan skuadnya,
kejuaraan Piala FA kali ini pada pandangan saya cumalah mercu tanda kegagalan
beliau apatah lagi ketika misi ke Liga Juara-Juara sekali lagi terlepas dari
jangkauan.
Kejuaraan Piala FA kali ini hanyalah sekadar `hiburan
sampingan’ buat penyokong-penyokong yang begitu kecewa dengan janji kosong Van
Gaal yang mahu menjadikan United kembali digeruni dan dicemburui. Di sebalik
musim yang serba tidak menjadi, permainan skuadnya pula dilabel sebagai
membosankan, mujurlah masih ada sesuatu yang boleh diraikan sebelum musim
kompetitif 2015-16 menutup tirainya. Jika benar Van Gaal bakal ditamatkan
kontraknya setahun lebih awal dan jika benar Mourinho bakal menggantikan tempat
beliau, saya berharap ada sesuatu yang lebih menarik bakal menanti kita musim
hadapan.
Buat masa ini ketepikan dulu teori anti football yang dikatakan menjadi
amalan Mourinho (jika beliau dilantik pengurus United) dalam taktikal
permainannya. Sisi negatif Mourinho itu akan segera dilupakan
penyokong-penyokong jika dipenghujung musim hadapan barisan United pimpinan
beliau berjaya menjulang kejuaraan liga, Liga Europa dan kembali ke saingan
Liga Juara-Juara (musim 2017-18). Terus terang saya katakan bahawa jika boleh
saya lebih mahukan Mauricio Pochettino menggantikan tempat Van Gaal atau
peluang juga boleh diberikan kepada Ryan Giggs. Bagaimanapun Mourinho sudah membuktikan siapa beliau sebenarnya dengan deretan trofi yang berjaya beliau menangi bersama FC Porto, Chelsea, Inter Milan dan Real Madrid.
Di Stamford Bridge, beliau berjaya
menjadikan Chelsea pasukan yang cukup sukar ditewaskan oleh Sir Alex, menewaskan
Van Gaal di final Liga Juara-Juara ketika bersama Inter Milan dan di Santiago
Bernabeu beliau berjaya meneutralkan penguasaan tiki-taka Barcelona ketika era
Pep Guardiola. Dengan adanya Antonio Conte di Stamford Bridge, Pep Guardiola di
Stadium Etihad, Jurgen Klopp yang kini berpeluang membentuk skuadnya sendiri di
Anfield dan Arsene Wenger yang bakal melakukan rombakan besar kepada barisan
Arsenal, adalah menarik untuk menyaksikan apa bakal dilakukan Mourinho bagi
menambahkan lagi `huru-hara’ di Liga Perdana musim hadapan. Apapun memenangi Piala FA tetap satu pengakhiran yang indah di sebalik musim buruk United...Glory Glory
Manchester United!!! - AJ
Tiada ulasan:
Catat Ulasan