Tidak keterlaluan jika saya menganggap
kejayaan Leicester City menjulang kejuaraan liga musim ini sebagai satu
fenomena luarbiasa yang jarang-jarang berlaku. Sejak kejayaan Tim Sherwood pada
musim 1994-95, tiada mana-mana kapten pasukan selepas itu selain dari
Manchester United, Arsenal, Chelsea dan Manchester City berpeluang berdiri di
atas podium sambil menjulang trofi Liga Perdana. Kejayaan The Foxes kali ini lebih mengejutkan berbanding pencapaian Rovers
21 tahun lalu kerana Kenny Dalglish ketika itu memiliki beberapa pemain ternama
dalam skuadnya seperti Alan Shearer, Tim Sherwood, David Batty, Chris Sutton
dan Colin Hendry.
Melihat kepada skuad keseluruhan yang
dimiliki Claudio Ranieri, anda akan disebut sebagai gila jika di awal musim berani
bertaruh dengan meletakkan Leicester City sebagai calon juara Liga Perdana
musim ini. Apa tidaknya, berbanding tiga lagi pasukan yang berada di kelompok
empat teratas ketika ini (Tottenham Hotspurs, Arsenal dan Manchester City),
Leicester hanya memiliki barisan pemain bernilai £54.4 juta. Nilai keseluruhan
skuad kendalian Ranieri ini bersamaan dengan harga yang terpaksa dibayar
Manchester City kepada VfL Wolfsburg untuk mendapatkan tandatangan Kevin De
Bruyne musim panas lalu.
Christian Fuchs, Marcin Wasilewski, Marc
Albrighton, Mark Schwarzer, Jeffrey Schlupp dan Andy King, semuanya
ditandatangani secara percuma manakala Riyad Mahrez (Pemain Terbaik PFA musim
ini) pula tiba dari Le Havre pada 2014 dengan nilai cuma £400 ribu. Bukan
sekadar tentang wang, skuad mahal, strategi di atas padang atau pemain mana
yang anda beli tetapi banyak lagi fakta yang boleh dipelajari kelab-kelab besar
(terutamanya Manchester United) di sebalik kejayaan gemilang The Foxes musim ini. Jadi apa lagi
tauladan yang boleh dipelajari oleh pihak pengurusan United dari kisah epik yang
dicipta Leicester City musim ini?
PRESTASI
KESELURUHAN PASUKAN
Memang diakui prestasi yang ditunjukkan Jamie
Vardy dan Riyad Mahrez musim ini cukup mengagumkan sekaligus menyumbang kepada
kejayaan Leicester muncul juara liga buat pertama kali dalam sejarah kelab.
Namun di sebalik suksesnya Vardy dan Mahrez, jangan lupakan juga sumbangan
besar yang dimainkan oleh keseluruhan pasukan secara konsisten. Berbanding
kelab-kelab besar seperti United yang biasanya terlalu bergantung kepada dua
atau tiga bintang utama mereka, Ranieri pula menjadikan sebelas pemainnya yang
beraksi di atas padang sebagai satu unit pemusnah. Walaupun tidak berbelanja
besar, beliau bijak menggunakan kualiti pemain yang ada disekelilingnya dan
menjadikan mereka sama penting sepertimana peranan yang dimainkan Vardy dan
Mahrez.
PEMBELIAN
PEMAIN YANG BERBALOI
Seperti yang saya katakan di awal tadi,
melihat kepada barisan skuad dimiliki Ranieri, pastinya tiada siapa yang
menyangka mereka bakal keluar sebagai juara liga musim ini. Tidak sepertimana
Van Gaal, Ranieri tidak dibekalkan dengan wang ratusan juta pound bagi
membentuk skuadnya. Dengan belanjawan terhad, tiada peluang buat Ranieri
mendapatkan pemain-pemain kelas dunia bagi memperkuatkan skuadnya, situasi yang
jauh berbeza berbanding apa yang beliau nikmati di Stamford Bridge 13 tahun
lalu. Bagaimanapun `kesempitan’ itu tidak menghalang Ranieri dalam membentuk
skuad Leicester yang ampuh menerusi pembelian bijak beberapa pemain yang dilakukan
beliau.
Robert Huth ditandatangani beliau secara
tetap dari Stoke City bagi memperkuatkan benteng pertahanannya dengan nilai £3
juta, membayar £5.6 juta kepada Caen untuk N’Golo Kante bagi mengisi posisi di
bahagian tengah, berjaya memujuk Shinji Okazaki bermain di Liga Perdana dengan
nilai perpindahan £7 juta dari Mainz 05 dan paling hebatnya sudah tentu
kejayaan beliau mendapatkan khidmat Christian Fuchs secara percuma. Mungkin
pengalaman mengendalikan 14 buah kelab sebelum ini menjadikan Ranieri bijak
dalam hal menilai dan memilih pemain yang sesuai dengan falsafah permainannya
dan itulah yang beliau lakukan untuk Leicester City musim ini.
FORMASI
4-4-2 YANG MASIH RELEVAN
Ketika kelab-kelab besar seperti United,
Manchester City, Arsenal dan Chelsea semakin jarang menggunakan formasi tradisi
4-4-2 ini dalam sistem permainan mereka, juara Liga Perdana ini pula masih
mengamalkan formasi ini secara konsisten sepanjang musim. Meskipun muncul berbagai
formasi dalam era bolasepak moden, namun akhirnya formasi tradisi 4-4-2 inilah
yang membawa kejayaan manis kepada Leicester City. Jika United di bawah era Van
Gaal sering sahaja bertukar-tukar formasi permainan, Ranieri pula menjadikan
Leicester pasukan yang sukar ditumbangkan menerusi formasi 4-4-2 dengan taktik
serang balas pantas dan hantaran-hantaran jauh mereka.
BERJUANG
HINGGA MINIT TERAKHIR
Lama dahulu penyokong-penyokong United cukup
berbangga dengan mentaliti “Never give up or say die” yang diterapkan
pemain-pemain ketika di atas padang tetapi kini giliran Ranieri pula
mengaplikasikan semangat ini ke dalam diri barisan kendaliannya. Musim ini
sudah banyak momen kebangkitan yang ditunjukkan kesebelasan The Foxes dalam aksi mereka dan contoh
terbaik serta paling hampir ialah kejayaan mereka mengikat West Ham 2-2 di
gelanggang sendiri 17 April lalu. Ketinggalan 1-2 dan beraksi pula dengan
sepuluh pemain selepas Vardy dilayangkan kad merah (minit ke-56), mereka
akhirnya berjaya memadam kelebihan milik pelawat di penghujung permainan
menerusi sepakan penalti Leonardo Ulloa.
BOS
YANG BIJAK MENGAWAL SITUASI
Berbanding dengan Louis Van Gaal yang
beberapa kali tercuit emosinya ketika berdepan soalan-soalan panas wartawan,
Ranieri pula jauh lebih rileks dan bijak dalam sesi medianya. Pengaruh beliau
bukan sahaja cukup penting dalam mengatur strategi permainan atau memotivasikan
pemain-pemainnya dari tepi padang tetapi juga saat berdepan wartawan. Ketika orang-orang
disekelilingnya sudah mula yakin bahawa trofi Liga Perdana akan dibawa ke King
Power Stadium, Ranieri pula bersikap sebaliknya. Beliau bukan sahaja berjaya
mengawal dirinya tetapi juga seluruh pasukan supaya kekal tenang dan fokus biarpun
peluang skuadnya menjulang kejuaraan liga semakin hari menjadi semakin besar.
“Semuanya berada di tangan kami sendiri.
Sekarang kami hanya perlu menjalankan tugas kami. Jika nantinya ada pasukan
lain yang berjaya memintas kami, saya tetap ok. Kami sudah menjalan tugas kami
dengan baik musim ini dan saya berpuashati dengan prestasi pasukan”, kata
Ranieri bulan lalu sebaik mengetahui hanya Tottenham Hotspurs satu-satunya
pasukan yang mampu menafikan peluang pasukannya menjulang kejuaraan liga.
Akhirnya sikap tenang serta bijak beliau mengawal situasi ketika berdepan
tekanan membawa hasil bila Leicester dinobatkan sebagai juara Liga Perdana
musim ini, sesuatu yang pastinya anda tidak pernah dan akan bayangkan di awal
musim.
Akhir sekali buat Leicester City, tahniah
diucapkan atas kejayaan mereka menjulang kejuaraan liga. Dari pasukan yang
hampir tersingkir ke Liga Kejuaraan musim sebelumnya, mereka kini gah menakluk
pentas Liga Perdana ketika kelab-kelab besar Inggeris yang lain sekadar
memerhati dengan penuh rasa cemburu. Dari David Cameron hinggalah ke Matteo
Renzi, kata-kata pujian, penghargaan serta penghormatan terus menghujani
Ranieri dan anak-anak buahnya atas kejayaan tidak terduga mereka. Meskipun
berasa sedikit cemburu, saya berharap kejayaan Leicester ini menjadi wakeup call kepada United untuk muncul
pasukan yang jauh lebih kuat musim hadapan.
Selepas mengharungi tiga musim tanpa
kejuaraan liga, menarik untuk kita saksikan tindakan drastik apa yang bakal
diambil pihak pengurusan kelab bagi mengembalikan maruah yang sudah tercalar. United
tidak seperti Leicester kerana dengan sokongan kewangan yang besar, Van Gaal
atau mana-mana individu yang bakal menggantikan tempat beliau akan sekali lagi
berbelanja besar musim panas ini. Persoalannya sekarang bukan tentang kemampuan
Leicester mempertahankan kejuaraan liga yang mereka menangi musim ini tetapi
lebih menjurus kepada kemampuan pengurus United (Van Gaal, Mourinho atau siapa
sahaja) meletakkan kelab kembali ditabalkan sebagai raja di Liga Perdana musim
hadapan. Glory Glory Manchester United!!! - AJ
Tiada ulasan:
Catat Ulasan