Akhirnya detik yang dinanti-nanti ramai
penyokong Manchester United tiba juga bilamana Louis Van Gaal dipecat secara
rasmi sebagai pengurus empat hari lalu. Selepas hanya dua musim, membelanjakan
£250 juta bagi membeli pemain-pemain yang beliau rasakan sesuai dengan falsafah
bolasepaknya, membawa kembali kelab ke saingan Liga Juara-Juara (musim 2015-16)
dan menghadiahkan kejuaraan Piala FA selepas kemarau selama 12 tahun, Van Gaal
akhirnya terpaksa mengakhiri karier kejurulatihannya di Old Trafford biarpun
masih memiliki baki setahun kontrak.
Nasib `malang’ Van Gaal memang sudah dapat
dihidu sebaik United tewas kepada Manchester City dalam perebutan tangga
keempat liga sekaligus sekadar beraksi di Liga Europa musim hadapan. Terlepas
slot ke Liga Juara-Juara merupakan kegagalan total buat Van Gaal meskipun United berjaya mengakhiri kemarau 12
tahun kejuaraan Piala FA mereka. Meskipun pada mulanya dicanangkan sebagai
pengganti paling sesuai kepada Sir Alex Ferguson dan dikatakan memiliki DNA
lagenda hidup itu dalam aspek kejurulatihan, beliau gagal membawa kelab kembali
sebagai pasukan yang digeruni, malah lebih malang permainan United di bawah
kendalian beliau dilabel sebagai membosankan.
Selama dua musim sebagai pengendali United,
Van Gaal gagal mencapai sasaran dan KPI yang diletakkan ke atas beliau, jadi
menunjukkan pintu keluar kepada beliau adalah jalan terbaik. Musim hadapan
Manchester City bakal muncul pasukan yang menghiburkan di bawah kendalian Pep
Guardiola, Chelsea pastinya pasukan yang berbeza di era Antonio Conte,
bayangkan Jurgen Klopp kini berpeluang membentuk skuadnya sendiri di Anfield,
pemain-pemain muda Tottenham Hotspurs yang pastinya akan terus meningkat di
bawah bimbingan Mauricio Pochettino dan Arsene Wenger yang dikhabarkan bakal melakukan
rombakan besar kepada skuad Arsenal.
Jadi adakah United mampu bersaing dengan
City, Chelsea, Liverpool, Spurs dan Arsenal jika Van Gaal masih lagi
dikekalkan? Saya rasa tidak. Melihat kepada hasil kerja beliau sepanjang dua
musim sebagai pengurus United, saya tidak nampak kelab akan lebih kompetitif
musim hadapan jika Van Gaal masih lagi duduk di bangku pengurus. United
perlukan perubahan tampuk ketua kejurulatihan sepertimana yang berlaku di
Stamford Bridge dan Stadium Etihad jika mahu bersaing secara serius dalam
perebutan kejuaraan musim hadapan. Untuk itu langkah memecat Van Gaal adalah
keputusan paling tepat.
Sejak 19 Mei 2014 hinggalah perlawanan
terakhir beliau sebagai pengurus United, ada beberapa catatan yang boleh kita
kenang selepas ini bila menyebut tentang individu bernama Louis Van Gaal. Bermula
dari kejayaan beliau mengetengahkan pemain-pemain muda ke skuad utama hinggalah
ke aksi terakhir United di pentas final Piala FA, ada tiga catatan menarik yang
beliau tinggalkan meskipun gagal membawa kelab kembali sebagai raja di Liga
Perdana. Untuk itu saya senaraikan tiga catatan tersebut yang ditinggalkan Van
Gaal sebagai memperingati apa yang telah beliau lakukan sepanjang dua musim
bergelar pengurus United.
1. KEMUNCULAN PEMAIN-PEMAIN MUDA
Tidak dinafikan bahawa Van Gaal memang
memiliki kelebihan dalam menghidu bakat-bakat muda berpotensi untuk
diketengahkan ke dalam skuad utama. Kejayaan beliau mencungkil bakat-bakat muda
seperti Paddy McNair, Timothy Fosu-Mensah, Jesse Lingard, Cameron Borthwick-Jackson,
Marcus Rashford dan pembelian bijak ke atas Anthony Martial yang baru berusia
20 tahun merupakan sumbangan terbesar yang beliau lakukan sepanjang berada di
Old Trafford. Di era Van Gaal, Lingard muncul pemain muda pertama (dari
akademi) diberikan peluang tampil bersama skuad senior sebelum disusuli dengan
beberapa lagi pemain muda hinggalah Rashford mencetuskan sensasi.
Meskipun pada awalnya Van Gaal dikritik
kerana membayar yuran perpindahan mahal untuk mendapatkan seorang pemain
muda seperti Anthony Martial, namun
pengritik beliau akhirnya terpaksa menelan hakikat bahawa pembelian bekas
pemain AS Monaco itu memang berbaloi. Menerusi kemahiran individu yang
dimiliki, Martial bagi saya pemain United paling mempersonakan musim ini
menerusi gerakan-gerakan liciknya. Marcus Rashford pula langsung tidak
menunjukkan bahawa beliau baru berusia 18 tahun menerusi ketajamannya di
hadapan gawang lawan umpama penyerang yang sudah bertahun-tahun beraksi di
peringkat tinggi.
Pemain-pemain muda (dari akademi) yang lain
seperti Timothy Fosu-Mensah, Paddy McNair, Guillermo Varela, Cameron
Borthwick-Jackson dan Andreas Pereira pula hanya memerlukan sedikit waktu untuk
memberikan saingan kepada pemain-pemain senior dalam skuad utama United. Selaku
pengurus, Van Gaal sudah melakukan tugasnya dengan cukup cemerlang (dalam hal
mengetengahkan pemain-pemain muda) dan senarai yang saya sebutkan di atas bukti
bagaimana bagusnya naluri Van Gaal terhadap bakat-bakat muda berpotensi bermula
sejak beliau memulakan karier kejurulatihannya di Amsterdam Arena hinggalah
yang terakhir di Old Traffrod.
2. MENUKAR POSISI ASAL PEMAIN
Siapapun sebelum ini pastinya tidak akan
menyangka bahawa Ashley Young dan Marouane Fellaini beraksi sebagai penyerang,
Jesse Lingard dan Memphis Depay memainkan peranan sebagai `pemain nombor 10’,
tetapi itulah yang berlaku di era Van Gaal. Beliau pernah melakukan hal yang
sama ketika mengendalikan Barcelona dan Bayern Munich (menukar posisi asal
Andres Iniesta, Xavi Hernandez, Thomas Mueller, Holger Badstuber dan Bastian
Schweinsteiger), jadi apa yang beliau lakukan di Old Trafford bukanlah sesuatu
yang baharu.
Tidak cukup dengan `eksperimen’ yang beliau
lakukan ke atas Young, Fellaini, Depay dan Lingard, Van Gaal juga mengubah
posisi Antonio Valencia dari pemain sayap kepada bek kanan manakala Daley Blind
pula pernah beliau cuba di posisi pemain tengah bertahan dan akhirnya kekal
sebagai bek tengah bersama Chris Smalling. Selain Blind, Juan Mata juga agak
bernasib baik kerana mampu melaksanakan tanggungjawabnya bila dipaksa bermain
sebagai pemain sayap meskipun posisi asalnya ialah sebagai pemain tengah
menyerang.
Di final Piala FA, perjudian Van Gaal sebelum
ini meletakkan pemain-pemainnya di luar posisi asal mereka membuahkan hasil.
Peranan yang dimainkan Wayne Rooney hingga terhasilnya gol penyamaan adalah
sebab kukuh mengapa tugas sebagai `pemain nombor 10’ diberikan Van Gaal kepada
beliau. Begitu juga dengan gol kemenangan jaringan Jesse Lingard. Gol jaringan
Lingard adalah hasil dari nalurinya yang pernah bermain di posisi `pemain
nombor 10’ sebelum ini. Lihat bagaimana Lingard datang dari belakang untuk menyudahkan
hantaran Valencia ketika pertahanan Palace lebih menumpukan kawalan mereka
terhadap Martial dan Rooney.
3. BERAKHIRNYA KEMARAU KEJUARAAN PIALA FA
Selain dari kemampuan Van Gaal mengetengahkan
bakat-bakat muda dari akademi, kejayaan menjulang kejuaraan Piala FA buat kali
ke-12 (sekaligus berkongsi rekod dengan Arsenal) juga bakal diingati oleh
penyokong-penyokong United selepas pemergian beliau. Seperti yang anda tahu,
ini adalah kejuaraan Piala FA pertama dalam tempoh 12 tahun, jadi sudah tentu
kemenangan kedua ke atas Palace di pentas final kali ini cukup istimewa dan
wajar diingati. Medal kejuaraan Piala FA kali ini juga sebenarnya cukup
istimewa buat pemain senior seperti Wayne Rooney dan Michael Carrick kerana ia
adalah pelengkap kepada koleksi kejuaraan domestik mereka bersama United.
PENUTUP
Terpulang kepada anda sama ada mahu
berseronok dan meraikan pemecatan Van Gaal atau sebaliknya kerana saya faham
anda sudah dibuai dan dimanjakan dengan kejayaan demi kejayaan ketika era
keemasan Sir Alex Ferguson.
Menyaksikan kelab saban tahun memenangi
sekurang-kurangnya satu kejuaraan, sentiasa muncul calon utama menjulang
kejuaraan liga dan beraksi di Liga Juara-Juara adalah kemahuan penyokong yang
mesti dipenuhi oleh mana-mana pengurus United selepas era Sir Alex.
Jadi apa yang berlaku semasa era David Moyes
dan Van Gaal bolehlah dianggap sebagai kegagalan dan tempoh yang suram disebabkan
standard tinggi dan gemilang yang sebelumnya
sudah dicipta oleh Sir Alex selama lebih dua dekad beliau menguruskan kelab.
Sebelum beliau menerima tawaran menggantikan
tempat Moyes, saya yakin Van Gaal juga sedar harapan serta standard tinggi yang perlu beliau penuhi di Old Trafford dan
tentunya beliau juga tahu apa yang bakal beliau hadapi jika standard serta harapan tinggi itu gagal
beliau penuhi.
Daripada komen-komen `membingungkan’ semasa
sesi media, terlupa nama pemainnya sendiri (memanggil Smalling sebagai `Mike’),
memakai kaca mata hitam di Carrow Road, aksi diving yang beliau lakukan ketika berdepan Arsenal dan rekod-rekod
buruk yang dicipta United di era beliau, semuanya akan menyebabkan Van Gaal
sentiasa diingati buat tempoh yang lama.
Pada usia 64 tahun, Van Gaal sepatutnya sudah
boleh bersara, berehat bersama keluarga, sesekali minum petang bersama
rakan-rakan seusianya sambil bercerita pengalaman penuh warnanya sebagai
jurulatih bermula dengan Ajax Amsterdan hinggalah yang terakhir di Manchester
United. “Berehatlah dan terima kasih Van Gaal untuk segala yang anda lakukan
selama dua musim”….Glory Glory Manchester United!!! - AJ
Tiada ulasan:
Catat Ulasan