29 Mei 2016

BIARKAN MATLAMAT MENGHALALKAN CARA

Louis Van Gaal pergi dan Jose Mourinho datang…itulah peristiwa terbesar yang berlaku di Old Trafford minggu lepas. Gagal meletakkan kelab di kelompok empat teratas sekaligus gagal juga beraksi di pentas Liga Juara-Juara merupakan kesalahan terbesar Van Gaal hingga memaksa beliau `dibersarakan’ setahun lebih awal meskipun berjaya membawa kelab menjulang trofi Piala FA. Seperti dijangka hanya kurang 48 jam selepas pemecatan Van Gaal, United mengumumkan secara rasmi perlantikan Mourinho sebagai pengganti beliau.

Dilantik sebagai pengurus United umpama impian menjadi kenyataan buat Mourinho. Bukan rahsia lagi bahawa beliau memang mengidamkan jawatan itu sejak Sir Alex Ferguson masih berkuasa di Old Trafford. Kuasa mutlak yang diberikan pihak pengurusan kelab kepada Sir Alex dalam mengendalikan skuadnya menyebabkan Mourinho sedikit `iri hati’ kerana situasi tersebut tidak dinikmati beliau di Stamford Bridge. Di Stamford Bridge, Roman Abramovich selaku pemilik kelab dikatakan gemar campurtangan dari hal jual/beli pemain hinggalah ke taktik yang digunakan di atas padang.

Adakah langkah pihak pengurusan kelab menamakan Mourinho sebagai pengganti Van Gaal satu keputusan yang tepat atau sebaliknya? Memang ada pro dan kontranya berhubung perlantikan Mourinho sebagai pengurus United dan hal ini nampaknya hangat di perdebatkan di kalangan lagenda kelab sendiri dan juga penyokong-penyokong sama ada di restoran mamak mahupun di media sosial. Phil Neville mengatakan perlantikan Mourinho satu keputusan yang tepat meskipun beliau percaya pemenang medal Liga Juara-Juara sebanyak dua kali itu tidak akan bertahan lama di Old Trafford.

Bagi Eric Cantona pula, Mourinho bukanlah individu yang tepat sebagai perancang taktikal United di atas padang kerana falsafah anti football beliau atau juga lebih dikenali sebagai `taktik parkir bas’ di kalangan peminat-peminat bolasepak. Neville dan Cantona adalah dua contoh terbaik sikap berbelah bahagi dalam membicarakan tentang perlantikan Mourinho sebagai pengurus baharu di Old Trafford. Seperti yang pernah saya sebutkan dalam artikel sebelum ini (Piala FA…Pengakhiran Indah Kepada Musim Buruk United), saya lebih memilih Mauricio Pochettino atau Ryan Giggs sebagai pengganti Van Gaal berbanding Mourinho.

Pochettino memiliki persamaan dengan Van Gaal kerana kebolehan beliau membangunkan skuadnya bertunjangkan pemain-pemain muda sepertimana yang dilakukan beliau ke atas Harry Kane, Dele Alli, Eric Dier dan Ben Davies. Spurs dengan skuad muda mereka di bawah kendalian Pochettino meledak musim ini namun sayangnya tewas kepada Leicester City dalam perlumbaan merebut kejuaraan liga, malah kedudukan tangga kedua mereka turut dipintas Arsenal pada perlawanan terakhir.

Giggs pula meskipun kredibiliti beliau sebagai pengurus masih belum diuji (hanya mengendalikan empat perlawanan terakhir United dimusim 2013-14 selepas Moyes dipecat) tetap ada aura tersendiri. Sudah dua musim Giggs menjadi pembantu kepada Van Gaal dan sudah tentu sedikit sebanyak beliau juga sudah belajar serta menimba pengalaman dalam aspek pengurusan dan kejurulatihan dari warga Belanda itu. Jika Pep Guardiola boleh berjaya selepas beliau dilantik menggantikan tempat Frank Riijkaard di Nou Camp pada 2008, mengapa perkara sama tidak dicuba pihak pengurusan United kepada Giggs?

Bagaimanapun Mourinho juga ada kelas tersendiri berdasarkan track record beliau selama 16 tahun kariernya sebagai pengurus/jurulatih. Tidak adil untuk menilai beliau sedangkan Mourinho belum lagi memulakan tugasnya secara rasmi sebagai pengurus United. Hanya pencapaian kelab dalam saingan kompetitif musim depan kayu ukur sebenar sama ada Mourinho pilihan yang tepat ataupun tidak selaku pengganti Van Gaal. Jika diukur daripada pencapaian dan medal-medal kejuaraan yang sudah beliau menangi selama ini, Mourinho adalah individu yang tepat (bukan paling) untuk dilantik sebagai pengurus kelab besar seperti United.

Neville mengatakan bahawa Mourinho pilihan yang tepat tapi dalam masa yang sama beliau juga mengatakan bahawa Mourinho tidak akan kekal lama di Old Trafford. Sejak bersama Benfica pada 2000 hinggalah yang terakhir di Stamford Bridge (kerana beliau dipecat), Mourinho menghabiskan tempoh tidak lebih tiga musim bersama kelab yang beliau sertai. Melihat kepada trend tempoh khidmat beliau bermula di Benfica, Uniao de Leiria, FC Porto, Chelsea, Inter Milan, Real Madrid dan kembali semula ke Chelsea, mungkin ada benarnya apa yang dikatakan Neville (bahawa Mourinho tidak akan berkhidmat untuk tempoh yang lama di Old Trafford).

Ketepikan berapa lama Mourinho akan berkhidmat untuk United kerana saya lebih gemar melihat statistik pencapaian dalam musim penuh beliau ketika mengendalikan Porto, Chelsea, Inter Milan, Real Madrid dan Chelsea sekali lagi (sila rujuk info grafik di atas). Pemecatan sebagai pengurus Chelsea selepas 16 perlawanan liga musim lalu tetap detik hitam dalam karier Mourinho, tetapi perkara itu tidak akan memadam fakta bahawa beliau antara pengurus/jurulatih paling dikehendaki dalam dunia bolasepak.

Dari statistik info grafik di atas, Mourinho bagi saya adalah individu yang tepat (buat masa ini) untuk dilantik sebagai pengurus United musim depan. Dengan segala pencapaian yang sudah beliau lakukan selama ini, saya yakin kehadiran Mourinho di Old Trafford bakal menjadikan persaingan merebut kejuaraan Liga Perdana musim depan lebih sengit dan menarik. Statistik peratusan kemenangan beliau di Liga Perdana yang mencapai 66% (melebihi catatan Sir Alex dan Carlo Ancelotti) saya anggap amaran awal kepada Guardiola, Conte, Klopp, Wenger, Pochettino dan Ranieri bahawa United musim depan adalah skuad yang jauh berbeza berbanding tiga musim lalu.

Saya tidak ambil pusing jika Mourinho mengamalkan taktik `parkir bas’ dalam gaya permainan United dan membelakangkan permainan bolasepak indah asalkan di penghujung musim nanti The Red Devils menjulang trofi kejuaraan liga (bagaimanapun saya juga perlu realistik kerana ini adalah musim pertama Mourinho), mengekalkan trofi Piala FA dan kembali beraksi di pentas Liga Juara-Juara (musim 2017-18). Bagaimanapun ini bukan bermakna saya menyukai corak permainan anti football kerana dalam situasi sekarang, penyokong lebih mahukan trofi utama menghiasi kabinet kejuaraan di Old Trafford bukan permainan cantik seperti Barcelona ataupun Bayern Munich.

Apa gunanya memiliki statistik penguasaan bola 60% hingga 70% setiap perlawanan tetapi tetap terkial-kial mencatat kemenangan ketika berdepan kelab pertengahan serta bawahan liga? Menerusi taktik `parkir bas’ ala Mourinho, Porto dan Inter Milan menjulang trofi Liga Juara-Juara serta trofi liga domestik, Chelsea memecah monopoli United dan Arsenal selepas mereka muncul juara liga sebanyak 2 kali, Piala FA dan Piala Liga (dari 2004 hingga 2007), Real Madrid mengimbangi penguasaan tiki-taka Barcelona menerusi kejayaan mereka menjuarai La Liga serta Copa del Rey dan beliau kembali memenangi kejuaraan Liga Perdana bersama Chelsea pada musim 2014-15 selepas pulang semula ke Stamford Bridge pada 2013.

Buat masa ini, biarlah “matlamat menghalalkan cara” kerana jika United mahu bermain cantik, mereka sepatutnya mendapatkan Guardiola bukan Mourinho atau jika tidak pun kekalkan sahaja Van Gaal dengan falsafah possession football beliau. Berbekalkan kredibiliti yang ada pada Mourinho ditambah pula dengan pembelian bijak hasil dari peruntukan besar yang saya percaya bakal beliau perolehi untuk membentuk skuadnya, yakinlah bahawa musim depan United akan lebih kompetitif berbanding tiga musim terakhir.

Akhir sekali dalam kita mengharapkan sesuatu yang lebih menggembirakan musim depan, dalam masa yang sama kita juga sepatutnya bersikap lebih realistik. Musim depan merupakan musim pertama Mourinho di Old Trafford dan beliau juga cumalah manusia biasa, bukan Raja Midas yang mampu menukar apa sahaja yang beliau sentuh menjadi emas. Ramai di luar sana sudah mula bercakap bukan sahaja tentang taktik `parkir bas’ Mourinho, malah perkembangan pemain muda United yang bakal terencat disebabkan kehadiran beliau.

Berbalik semula kepada apa yang saya katakan tadi, buat masa ini penyokong mahukan trofi kejuaraan utama dan jika Mourinho mampu meletakkan United sebagai pasukan yang digeruni, kembali menjuarai trofi Liga Perdana dan beraksi di Liga Juara-Juara (musim 2017-18), beliau adalah pengganti yang tepat kepada kekosongan yang ditinggalkan Van Gaal. Buat masa ini jangan serabutkan kepala anda dengan memikirkan hal-hal berkaitan pembangunan akar umbi pemain-pemain  muda United atau taktik yang bakal digunakan Mourinho di atas padang. Biarkan dahulu “matlamat menghalalkan cara” dan biarkan juga Mourinho menjadikan United kembali digeruni menerusi taktik `parkir bas’ nya. Mourinho sentiasa mahu menjadi nombor 1 dan beliau kini berada di kelab yang dahulunya sering berada di kedudukan nombor 1...Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Tiada ulasan:

Catat Ulasan