Jose Mourinho
menyebut “Keadilan akhirnya datang kembali”, manakala Paul Pogba pula
mengatakan “Inilah keindahan bolasepak” selepas Manchester United bangkit
secara dramatik ketika mereka menewaskan Middlesbrough 2-1 semalam, sekaligus
menutup tirai 2016 dengan lima kemenangan berturut-turut dalam saingan liga.
Bermula
dengan keputusan kontroversi Lee Mason membatalkan jaringan Zlatan Ibrahimovic,
percubaan Pogba yang terkena tiang dan penalti yang sepatutnya diberikan kepada
Marcus Rashford di babak kedua, United tampak seperti bakal berdepan satu lagi
kekalahan di gelanggang sendiri musim ini.
Meskipun
mendominasi penguasaan bola (66%) sepanjang 90 minit perlawanan serta
melepaskan 32 percubaan, kegagalan menyempurnakan beberapa peluang selain
prestasi bagus yang ditunjukkan Victor Valdes di gawang lawan menyebabkan
United terpaksa begelut sebelum berjaya mengutip tiga mata penuh.
Sebaik Grant
Leadbitter menjaringkan gol pendahuluan lawan diminit ke-67, saya fikir tuah
memang tidak mengiringi United pada aksi terakhir mereka di tahun 2016,
tambahan pula bila mengingatkan fakta bahawa Boro tidak pernah tewas dalam enam
aksi mereka di penghujung tahun sejak 2009.
Bagaimanapun
United akhirnya bangkit memadam kelebihan lawan menerusi dua gol dalam tempoh
dua minit di penghujung perlawanan menerusi jaringan Anthony Martial dan Paul
Pogba. Mendominasi permainan, semangat fantastis yang ditunjukkan pemain dan
diakhiri pula dengan dua gol ke gawang lawan memang pengakhiran yang sempurna
buat penyokong sebagai penutup tahun 2016.
Sudah tentu
kemenangan semalam juga merupakan hadiah yang cukup istimewa sempena ulang
tahun ke-75 Sir Alex Ferguson. Menyaksikan cara United bermain semalam
terutamanya dalam tempoh 20 minit terakhir mengingatkan kita kepada semangat juang
yang sama pernah ditunjukkan barisan The
Red Devils ketika era beliau sebagai pengurus.
Aksi
menentang Boro semalam antara aksi paling menarik pernah saya saksikan musim
ini, dan aksi semalam juga mengingatkan saya kepada kebangkitan-kebangkitan dramatik
yang pernah dipamerkan United ketika era Sir Alex. Masih terlalu awal untuk
kita menilai prestasi Mourinho, tetapi sejak kedatangan beliau ke Old Trafford,
api perjuangan dalam `tubuh’ Manchester United kembali menyala.
Tiga musim selepas
Sir Alex mengumumkan persaraannya, laungan keramat “Never give up or say die” yang sering mengiringi perjuangan barisan
pemainnya turut ikut pergi bersama beliau. Sejak itu juga United bukan sahaja tidak
lagi bermain sepertimana mereka sepatutnya bermain, tetapi mereka juga tidak
lagi dihormati dan ditakuti lawan.
Bagaimanapun
semalam saya menyaksikan watak United yang cukup berbeza berbanding tiga musim
sebelumnya. United sepanjang aksi semalam ialah barisan United yang penuh
semangat, tidak kenal lelah, angkuh dan penuh keazaman, persis barisan The Red Devils ciptaan Sir Alex. Barisan
pemain yang suatu ketika dahulu pernah menghadirkan rasa gerun kepada setiap lawan mereka sejak
detik awal hinggalah ke detik akhir perlawanan...Glory Glory Manchester
United!!! - AJ
Tiada ulasan:
Catat Ulasan