Dua keputusan seri di penghujung musim ketika
berdepan Manchester City dan Swansea menyebabkan Mourinho terpaksa mengucapkan
selamat tinggal kepada perjuangannya untuk meletakkan United di posisi empat
teratas. Ketika mendapati pintu merebut posisi empat teratas hampir tertutup
rapat, beliau mula memberikan peluang buat pemain-pemain muda melakukan
penampilan di Liga Perdana.
Perubahan drastik sudah mula Mourinho lakukan
ketika skuadnya bertandang ke Stadium Emirates di mana beliau memberikan
penampilan kepada Axel Tuanzebe dan Scott Mc Tominay. United tewas 0-2 kepada
Arsenal dalam perlawanan itu tetapi penampilan Tuanzebe yang berjaya merantai
pergerakan Alexis Sanchez sangat mencuri tumpuan.
Skuad
Termuda Dalam Sejarah Liga Perdana...
Keputusan Mourinho menurunkan Joel Pereira
(20 tahun), Axel Tuanzebe (19 tahun), Josh Harrop (21 tahun), Demetri Mitchell
(20 tahun), Timothy Fosu-Mensah (19 tahun) dan Scott Mc Tominay (20 tahun) pada
aksi terakhir liga menentang Crystal Palace menyaksikan United mencipta rekod
sebagai pasukan yang menurunkan barisan termuda dalam sejarah Liga Perdana.
Purata umur barisan pemain yang diturunkan Mourinho ketika melayan
kunjungan Crystal Palace di Old Trafford 21 Mei lalu ialah 22 tahun, 284 hari
dan tambah menarik apabila Angel Gomes pula muncul pemain kelahiran tahun 2000
pertama yang beraksi di Liga Perdana. Meskipun cuma bermain selama enam
minit, Gomes turut mencatat rekod sebagai pemain termuda yang pernah beraksi di
Liga Perdana.
Walau bagaimanapun rekod pemain termuda yang pernah beraksi di
pentas tertinggi liga Inggeris kekal di pegang Duncan Edwards yang masih
bertahan selama 64 tahun. Saat beliau diturunkan menggantikan Wayne
Rooney, Gomes berusia 16 tahun, 8 bulan dan 21 hari, manakala Edwards pula
ketika beliau melakukan debut-nya pada 4 April 1953 berusia 16 tahun, 6 bulan
dan 3 hari.
Misi
Empat Teratas Yang Gagal Disempurnakan....
Mourinho gagal mengotakan janji beliau di
awal musim untuk sekurang-kurangnya meletakkan United di posisi empat teratas.
Untuk berlaku adil kepada beliau, saya secara peribadi tidak meletakkan
sebarang harapan mahu melihat kelab kembali menjulang trofi Liga Perdana pada
musim pertama Mourinho di Old Trafford.
Musim pertama ialah musim `pengenalan’ untuk
Mourinho, mengkaji kekuatan dan kelemahan skuad yang dimilikinya, serta apa
yang perlu beliau perbaiki supaya United muncul barisan lebih kuat pada musim
kedua beliau di Old Trafford nanti. Jadi sasaran empat teratas merupakan misi
paling realistik untuk Mourinho sempurnakan pada musim pertamanya.
Krisis kecederaan yang melanda beberapa
pemain utama dan jadual padat yang terpaksa dihadapi skuadnya antara faktor
yang mengagalkan misi Mourinho memburu posisi empat teratas selain terlalu
banyak keputusan seri yang dicatatkan United musim lalu. Dengan kualiti yang
ada dalam pasukan, secara peribadi saya berpendapat United sepatutnya menamatkan
saingan liga di kedudukan lebih baik dan 24 mata di belakang Chelsea selaku
juara satu jurang yang sangat besar.
Pemain
Terbaik...
Ander Herrera dipilih sebagai pemenang trofi
Sir Mat Busby (Pemain Terbaik Tahunan) selepas persembahan cemerlang yang
dipamerkan beliau di bahagian tengah United sepanjang musim lalu. Pemilihan
Herrera bukanlah sesuatu yang mengejutkan walaupun pada awalnya Zlatan
Ibrahimovic diletakkan calon pilihan untuk meraih anugerah ini selepas beliau
meledak 28 gol untuk United.
Sejak menyertai United tiga tahun lalu, musim
2016-17 saya anggap musim terbaik beliau bersama kelab. Dianggap antara nadi
penting di bahagian tengah, Herrera memainkan peranannya dengan cukup berkesan
sama ada ketika beliau ditugaskan untuk menganggu tempo permainan lawan atau
ketika dalam situasi ofensif menerusi hantaran-hantaran tepatnya kepada rakan
di barisan hadapan.
Selain memiliki mobiliti tinggi dalam
permainannya, Herrera juga mampu membentuk gandingan mantap sama ada ketika
beliau digandingkan bersama Michael Carrick atau Marouane Fellaini. Musim lalu
Herrera melakukan 31 penampilan untuk United dalam saingan liga, menjaringkan
satu gol, mencipta enam assist dan melakukan
1,787 hantaran di mana peratus ketepatan hantarannya mencapai 88%.
Fenomena
Ibra...
Tidak perlu dipertikaikan bahawa Zlatan
Ibrahimovic merupakan pemain United paling sensasi sepanjang musim lalu
menerusi 28 gol yang beliau ledak dalam semua peringkat kejohanan. Di peringkat
liga pula, Ibra menjaringkan 17 gol untuk United sekaligus muncul penjaring
terbanyak kelab sepanjang musim lalu.
Jika tidak kerana faktor kecederaan yang menyebabkan
Ibra terlepas baki tujuh aksi liga musim lalu serta saingan Liga Europa, saya
yakin beliau mampu melepasi angka 30 gol semusim dengan mudah walaupun di
peringkat awal kehadiranya kemampuan Ibra selaku penyerang unggul diragui ramai
pihak.
Unggulnya Ibra sebagai penyerang bukan
sekadar jumlah jaringan yang beliau hasilkan untuk United tetapi juga kemampuan
beliau membuka peluang buat rakan-rakan sepasukan. Dari 28 penampilan liga,
Ibra mencipta 46 peluang di mana lima dari jumlah tersebut berakhir dengan assist.
United
Sudah Memiliki Pengganti Cristiano Ronaldo?...
Kecederaan serius yang dialami Zlatan
Ibrahimovic hingga menyebabkan beliau terpaksa berehat panjang membuka peluang
buat Marcus Rashford membuktikan kemampuannya selaku penyerang utama United
pada baki saingan musim lalu. Masih muda, memiliki kelajuan serta kawalan bola
menarik, Rashford memainkan peranan penting terutamanya di sebalik kejayaan
United mara ke final Liga Europa.
Jaringan menerusi sepakan percuma ketika
pertemuan pertama peringkat separuh akhir menentang Celta Vigo di Balaidos
memberikan kelebihan gol di gelanggang lawan kepada United. Prestasi terpuji
Rashford diteruskan beliau pada perlawanan kedua di Old Trafford menerusi
sumbangan assist-nya yang membawa
kepada gol jaringan Marouane Fellaini.
Michael Owen mengatakan bahawa United bermain
lebih baik ketika Mourinho meletakkan Rashford sebagai penggempur utama kerana
mereka mula menjaringkan gol menerusi gerakan-gerakan berpasukan. Manakala
Thierry Henry pula meramalkan anak muda lulusan akademi United ini akan menjadi
igauan ngeri kepada mana-mana pertahanan lawan selepas beliau memperbaiki
beberapa aspek dalam permainannya.
Paling menarik tentunya pandangan yang
dilontarkan bekas penggempur terbilang England, Gary Lineker. Menurut Lineker,
United sebenarnya sudah memiliki `Next Cristiano Ronaldo’ dalam diri Rashford
selain tertarik dengan karakter pemain berusia 19 tahun itu. Kemunculan
Rashford saya anggap satu fenomena dan sama seperti Ronaldo beliau melakukan
penampilan di Liga Perdana pada usia remaja sebelum berkembang menjadi pemain
kelas dunia.
Berakhirnya
Era Rooney?...
Setakat ini masih belum dapat dipastikan masa
depan Wayne Rooney bersama kelab, namun jika diambilkira penampilan beliau di
era Mourinho, kita mungkin sudah boleh meneka bahawa musim lalu mungkin menjadi
musim terakhir Rooney di Old Trafford. Jarang diturunkan manakala posisi selaku
penyerang tengah yang dahulunya didominasi Rooney kini diambil alih pula oleh
penyerang yang lebih muda seperti Marcus Rashford atau Anthony Martial.
Dengan desas desus bahawa James Rodriguez bakal
menyertai United masih kuat kedengaran, Rooney juga mungkin mendapati peranan
selaku pemain nombor 10 yang sering beliau mainkan dalam tempoh dua atau tiga
musim terakhir bakal terancam. Rooney perlu mencari haluan baharu bagi
menyelamatkan kariernya dan kembali ke tempat di mana beliau bermula (Goodison
Park) serta menamatkan kariernya di sana adalah pilihan terbaik yang perlu
beliau pertimbangkan.
Posisi
Yang Perlu Di Perkuatkan...
Benteng pertahanan, bahagian tengah dan
jentera serangan antara posisi yang saya kira bakal menjadi fokus utama
Mourinho untuk beliau perkuatkan bagi menghadapi cabaran musim baharu. Dengan
prestasi tidak konsisten yang dipamerkan Chris Smalling manakala Phil Jones
pula kerap keluar masuk ke bilik rawatan, penting bagi Mourinho mendapatkan
seorang centre back baharu untuk
memperkuatkan bahagian belakang skuadnya.
Di bahagian tengah pula tugas besar menanti
Mourinho untuk mencari pengganti jangka panjang Michael Carrick, `maestro’ yang sudah memainkan peranannya
dengan cukup berkesan selama bertahun-tahun sejak ketibaannya di Old Trafford
pada 2006. Pada usia 35 tahun, Carrick sudah berada di penghujung kariernya dan
sudah tentu juga beliau tidak akan mampu bermain di tahap tertinggi setiap
minggu.
Eric Dier, Tiemoue Bakayoko dan Toni Kroos
antara nama yang sering disebut-sebut menjadi sasaran United sebagai `successor’ Carrick sebaik jendela
perpindahan pemain musim panas dibuka nanti. Di barisan hadapan pula sudah
tentu kita menanti dengan penuh teruja siapa yang bakal ditandatangani Mourinho
untuk mengisi posisi Zlatan Ibrahimovic selaku penyerang tengah.
Antoine Griezmann sudah berbulan-bulan
disebut-sebut sebagai calon paling cocok mengisi posisi Ibra namun jika bintang
Perancis itu menolak perpindahan ke Old Trafford, saya percaya Mourinho masih
memiliki pilihan lain untuk beliau gandingkan bersama Marcus Rashford dan Anthony
Martial di barisan hadapan. Kylian Mbappe, Alvaro Morata, Andrea Belotti dan
Karim Benzema antara opsyen yang ada di luar sana.
Adakah
Mourinho Berjaya Pada Musim Pertamanya Di Old Trafford?...
Mourinho gagal dalam misinya meletakkan kelab
di posisi empat teratas Liga Perdana tetapi kegagalan tersebut ditebus beliau
menerusi kejayaan menjulang trofi Liga Europa. Selain itu sebagai bonus
tambahan, Mourinho juga berjaya menghadiahkan trofi Perisai Komuniti dan Piala
Liga dalam kabinet kejuaraan kelab, lantas menutup musim pertamanya di Old
Trafford dengan tiga piala.
Selepas kegagalan melaksanakan misi awalnya
di liga domestik, Mourinho akhirnya memilih cara yang boleh dianggap sangat
bergaya untuk meletakkan kelab kembali ke pentas Liga Juara-Juara menerusi
kejayaan menjulang trofi Liga Europa di Friends Arena. Dan kejayaan menjulang
trofi Liga Europa saya harap langkah pertama United di era Mourinho untuk
kembali menakluk pentas Liga Juara-Juara.
14 tahun lalu, beliau memenangi Piala UEFA
(sekarang Liga Europa) pada musim pertamanya bersama FC Porto dan setahun
berikutnya gergasi Portugal itu menakluk pula pentas Liga Juara-Juara menerusi sentuhan
magis Mourinho. Musim depan, kita berharap magis yang sama mampu diulangi
Mourinho selepas kejayaan beliau mengemudi kelab memenangi Liga Europa buat
pertama kali.
Individu berkarisma yang telah memenangi
banyak trofi ini dipilih kerana kelab merasakan beliau calon paling sesuai
untuk mengembalikan United kepada zaman kegemilangannya. Mourinho memiliki
pencapaian menakjubkan di Portugal, England, Itali dan Sepanyol walaupun
kepulangan semula beliau ke Stamford Bridge pada 2013 berakhir dengan
kekecewaan.
Jika 13 tahun lalu penyokong-penyokong United
melabelkan Mourinho sebagai `manusia paling angkuh’, ironinya kini di bahu beliaulah
segala harapan disandarkan agar sentuhan magisnya mampu meletakkan kelab
kembali ke zaman gemilang. Tiga trofi pada musim pertama beliau bukanlah pencapaian
yang buruk, dan semoga di musim hadapan United akan lebih digeruni, kembali
angkuh dan kembali istimewa di bawah kendalian si `Special One’ ini...Glory Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan