03 Oktober 2017

FELLAINI....DARI PETUALANG KEPADA WIRA YANG DIJULANG




Jika ada undian bagi memilih `Pemain Berjiwa Paling Kental’, sudah tentu saya akan berikan undian saya untuk Marouane Fellaini. Sukar untuk membayangkan bagaimana seorang pemain mampu bangkit selepas berdepan kecaman serta ejekan melampau, apatah lagi ia dilakukan oleh penyokong-penyokong sendiri.

Dan sukar juga bila memikirkan bagaimana Fella mampu terus bertahan selepas majoriti penyokong-penyokong United sendiri mahukan beliau `ditendang keluar’ dari Old Trafford dalam satu tinjauan pendapat yang pernah dilakukan oleh Daily Mail tahun lalu.

Kebencian penyokong-penyokong terhadap Fella memuncak selepas `blunder’ yang dilakukannya ketika berdepan Everton pada 5 Disember tahun lalu yang menyaksikan United terlepas peluang berharga membawa pulang tiga mata penuh dari Goodison Park.

Sejak kehadirannya di Old Trafford ketika era David Moyes hinggalah sekarang, Fella bukanlah pemain yang popular di mata penyokong tambahan pula beliau juga bukanlah pemain tengah yang kreatif atau memiliki visi permainan yang bagus berbanding midfielder United yang lain.

2013 Silam...

Fella hadir di Old Trafford kira-kira empat tahun lalu sebagai pemain kedua yang ditandatangani David Moyes selepas beliau dilantik menggantikan posisi Sir Alex Ferguson yang mengumumkan persaraannya sebaik legenda itu berjaya mengemudi United menang kejuaraan liga ke-20 dalam sejarah kelab. Keputusan Moyes membawa masuk Fella memang sudah dihidu lebih awal memandangkan kedua-dua individu ini pernah bekerjasama selama lima tahun di Goodison Park.

Disaat penyokong-penyokong United ketika itu lebih mengimpikan kehadiran Cecs Fabregas sebagai pengganti Paul Scholes, keputusan Moyes menandatangani Fella pastinya bukanlah keputusan yang popular di mata mereka. Akhirnya jodoh Moyes di Old Trafford cuma bertahan selama sepuluh bulan sebelum beliau dipecat kerana kegagalannya meletakkan United dalam kelompok pencabar kejuaraan liga manakala Fella pula di cop sebagai pembelian yang gagal.

Fella Masih Tidak Disukai...

Kedatangan Louis Van Gaal pada 2014 nampaknya gagal mengubah nasib Fella bersama kelab, meskipun kehadiran pengendali Belanda itu pada awalnya disambut penuh optimis oleh penyokong-penyokong United. Berbekalkan reputasi yang dimilikinya, harapan tinggi diletakkan di bahu Van Gaal agar mampu mengubah nasib United pasca persaraan Fergie.

Keterujaan penyokong United terhadap Van Gaal memang ada asasnya berdasarkan kejayaan silam beliau ketika bersama Ajax Amsterdam, Barcelona, AZ Alkmaar dan Bayern Munich selain kejayaan mengemudi skuad Oranje mara hingga ke peringkat separuh akhir Kejohanan Piala Dunia 2014 menerusi corak permainan menghiburkan berteraskan bakat-bakat muda yang dimilikinya.

Kehadiran bintang-bintang ternama di era Van Gaal menyaksikan Fella antara pemain yang disebut-sebut bakal meninggalkan kelab. Meskipun pada 2014 terdapat laporan bahawa Napoli menunjukkan minat yang tinggi untuk membawa beliau beraksi di Serie A, perpindahan Fella ke Naples bagaimanapun gagal direalisasikan selepas beliau mengalami kecederaan.

Sejak itu Fella kekal di Old Trafford hingga sekarang meskipun Van Gaal sudah ditunjukkan jalan keluar bagi memberi laluan kepada regim baharu yang diterajui oleh Jose Mourinho. Van Gaal sudah pergi tapi satu perkara yang masih tidak berubah ialah fakta bahawa Fella masih lagi kekal lelaki yang tidak disukai oleh kebanyakkan penyokong United.

Selepas insiden di Goodison Park Disember tahun lalu, kebencian penyokong-penyokong terhadap Fella tidak dapat dibendung hingga menyaksikan beliau diejek ketika melakukan sesi memanaskan badan dalam aksi menentang Tottenham Hotspurs di Old Trafford. Layanan keras penyokong-penyokong terhadap beliau turut mendapat perhatian Ryan Giggs yang menyifatkan tindakan mereka sebagai `tidak masuk akal’.

Persepsi Yang Semakin Berubah...

Gol jaringan beliau ke gawang Hull City semasa aksi pertama peringkat separuh akhir kejohanan Piala Liga Januari lalu boleh dianggap sebagai titik tolak kepada perubahan persepsi penyokong-penyokong United terhadap Fella. Ternyata keputusan Mourinho yang tetap mempertahankan Fella di sebalik kebencian penyokong terhadap lelaki Belgium ini yang kian memuncak mula membuahkan hasil.

United kemudiannya mara ke final dan menjulang trofi Piala Liga di Wembley buat pertama kali dalam tempoh tujuh tahun tetapi peranan penting Fella tidak terhenti setakat itu sahaja. Di pentas Eropah pula, jaringan Fella ke gawang Celta Vigo pada aksi kedua peringkat separuh akhir Liga Europa membantu United mara ke final meskipun Facundo Roncaglia kemudiannya berjaya menyamakan kedudukan di penghujung permainan.

Di Friends Arena, Stockholm, Fella sekali lagi membuktikan betapa pentingnya peranan beliau dalam kesebelasan United selepas muncul antara watak utama di sebalik kejayaan kelab menjulang trofi Liga Europa buat pertama kali. Umpanan yang dilakukannya membolehkan Paul Pogba meledak gol pertama tetapi jauh lebih penting ialah melihat bagaimana kelebihan Fella `dimanipulasi’ sepenuhnya oleh Mourinho bagi mengatasi kekuatan barisan muda Ajax.

Menerusi pendekatan strategi hantaran-hantaran bola jauh dan tinggi dengan menjadikan kepala Fella sebagai sasaran, United mengajar majoriti pemain-pemain muda Ajax bahawa trofi kejuaraan tidak semestinya hadir menerusi permainan bolasepak menarik. Pendekatan strategi bola tinggi yang digunakan Mourinho itu juga menyaksikan Fella merakamkan rekod sebagai pemain paling banyak memenangi perebutan bola di udara (15 kali) di final Liga Europa sejak 2009.

Bukan Lagi Si Petualang...

Dalam satu wawancara dengan media baru-baru ini, legenda Arsenal, Thierry Henry menyifatkan Fella sebagai pemain yang jujur, bekerja keras dan sentiasa memberikan yang terbaik setiap waktu. “Kelebihan Marouane ialah dia sentiasa memberikan prestasi terbaiknya setiap waktu. Dia pemain yang jujur kerana dia tidak pernah cuba untuk menjadi seperti Paul Scholes dan kita semua tahu tentang hal itu”.

13 September lalu dalam satu temubual yang diadakan di Carrington pula, Mourinho menegaskan betapa pentingnya peranan Fella dalam skuadnya. “Dia pemain yang sangat penting bagi saya, jauh lebih penting dari apa yang anda bayangkan. Tidak menjadi masalah sama ada dia bermula dalam kesebelasan utama atau dari bangku simpanan kerana jika dia berada dalam kondisi yang bagus, sudah tentu dia akan terpilih kerana saya benar-benar perlukannya”.

Sangat mengagumkan untuk melihat bagaimana seorang pemain yang dahulunya paling teruk berdepan kecaman hinggakan penyokong-penyokong sendiri mahukan supaya beliau `dibuang’ kini menjelma antara watak penting di sebalik prestasi terpuji yang dipamerkan United di awal musim. Dari bahan ejekan, nama Marouane Fellaini kini meniti di bibir mereka-mereka yang dahulunya pernah mencemuhnya, kesan dari pengaruh besar yang dimainkan beliau dalam kesebelasan Mourinho.

Hanya mereka-mereka yang memiliki karakter hebat sahaja mampu berdepan dengan ujian getir seperti ini, dan Fella salah seorang di antaranya. Kisah Fella umpama cerita di layar perak, kisah kebangkitan seorang insan yang sebenarnya boleh juga kita jadikan iktibar bahawa menyerah merupakan kekalahan paling besar dalam kehidupan. Ketika berdepan tempoh suram, Fella boleh sahaja pergi meninggalkan kelab dan pergi meninggalkan mereka-mereka yang mengecamnya.

Bagaimanapun beliau memilih untuk terus kekal di Old Trafford, berdepan dengan mereka-mereka yang membencinya dan cuba membuktikan bahawa beliau masih pemain yang berguna untuk United. Akhirnya perjuangan Fella berhasil manakala keputusan Mourinho mempertahankan seorang midfielder yang dikatakan tidak memiliki kualiti hantaran yang bagus, cuai ketika bertahan dan tidak cukup bagus ketika menyerang rupa-rupanya satu keputusan yang tepat.

Melihat kepada statistik beliau ketika berdepan Crystal Palace tempohari (2 gol menerusi 2 percubaan, 2 intercept, 3 kali memenangi perebutan bola tinggi dan peratusan ketepatan hantaran mencapai 90%) mungkin tidak salah kiranya saya menyebut “Mengapa kita perlu menangisi ketiadaan Pogba sedangkan dalam masa yang sama kita juga memiliki Marouane Fellaini”...Glory Glory Manchester United!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan