29 Ogos 2017

MARTIAL ATAU RASHFORD?



Kedua-duanya masih muda, kedua-duanya memiliki kelajuan dan kedua-duanya juga dianugerahkan skill kawalan bola yang bagus. Prestasi Rashford dan Martial sangat menyerlah ketika kelab ditangani Louis Van Gaal tetapi musim lalu mereka (terutamanya Martial) berdepan masalah mengekalkan konsistensi di atas padang. Masalah mengekalkan konsentrasi dan konsistensi merupakan hal yang biasa dihadapi oleh pemain muda seperti mereka namun musim ini Rashford dan Martial bermula dengan baik.

Rashford diturunkan Mourinho dalam kesebelasan utama ketika United berdepan West Ham dan Swansea City, manakala Martial pula bertindak sebagai pemain gantian. Rashford tidak menjaringkan gol dalam dua perlawanan itu tetapi Martial mencetuskan sensasi menerusi satu gol dan satu assist yang diciptanya ketika berdepan West Ham. Di Stadium Liberty, Martial sekali lagi menemui sentuhan gol selepas hanya sembilan minit beliau berada di atas padang (menggantikan Rashford).

Ketika berdepan Leicester City, giliran Martial pula merasai aksi dalam kesebelasan utama manakala Rashford pula bermula dari bangku simpanan. Sepertimana kerja-kerja yang dilakukan Rashford ketika berdepan West Ham dan Swansea, hal yang sama juga dilakukan Martial ketika berdepan Leicester. Kelajuan dan skill kawalan bola yang dimiliki Martial memaksa bek kanan lawan (Danny Simpson) bekerja lebih keras dari biasa.

Akhirnya selepas mental dan fizikal Simpson didera sehabisnya oleh Martial, warga Perancis itu dikeluarkan Mourinho di minit ke-74, kemudian beliau mengubah posisi Rashford di sebelah kiri dan meletakkan pengganti Martial (Jesse Lingard) di sebelah kanan. Hasilnya, selepas hanya tiga minit Rashford berada di atas padang, pintu gol Leicester berjaya dibolosi beliau. Tidak kira sama ada Martial atau Rashford yang memulakan permainan dalam kesebelasan utama, mereka kini tampak seperti senjata tambahan yang dimiliki Mourinho dari bangku simpanannya.

Dari tiga perlawanan awal, Mourinho kelihatannya seperti menggunakan taktik yang sama iaitu silih berganti menurunkan salah seorang dari mereka dalam kesebelasan utamanya. Ketika berdepan West Ham dan Swansea, Rashford digunakan Mourinho untuk mendera Pablo Zabaleta dan Kyle Naughton selama lebih sejam sebelum beliau memasukkan Martial. Di Old Trafford tempohari, hal yang sama sekali lagi dilakukan Mourinho tetapi kali ini beliau memilih Martial pula dalam `line up’ permulaan.

Strategi Mourinho menggunakan kelajuan yang dimiliki Martial dan Rashford untuk mendera pertahanan lawan berhasil apabila kedua-dua mereka berjaya menjaringkan gol selepas masuk sebagai pemain gantian. Melihat kerja-kerja yang sudah dilakukan dua anak muda ini dari tiga penampilan di awal musim, saya fikir tidak timbul sebarang perdebatan tentang siapa di antara mereka yang sepatutnya memulakan aksi dalam kesebelasan utama.

Mengawal pemain yang memiliki kelajuan seperti Martial dan Rashford ditambah pula dengan kemampuan kawalan bola dimiliki mereka memang melelahkan mana-mana pemain pertahanan lawan. Zabaleta antara bek kanan yang saya kagumi, jadi sedikit simpati juga untuk veteran Argentina ini selepas melihat bagaimana teruknya beliau didera Rashford ketika West Ham berkunjung ke Old Trafford 13 Ogos lalu.

Setakat ini Rashford dan Martial sudah memainkan peranan mereka dengan berkesan dalam `membunuh’ bek kanan lawan tetapi saya mahu melihat apa yang mereka mampu lakukan ketika berdepan Liverpool, Chelsea, Arsenal, Manchester City dan Spurs pula. Tetapi sebelum itu biarkan mereka `merosakkan’ pertahanan Stoke City, FC Basel, Everton, Southampton, CSKA Moscow dan Crystal Palace terlebih dahulu...Glory Glory Manchester United!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan