Nama Darren Fletcher mungkin
tidak sehebat lagenda-lagenda Manchester United yang lain seperti George Best,
Bryan Robson, David Beckham, Wayne Rooney, Roy Keane, Ruud Van Nistelrooy atau
Eric Cantona. Bagaimanapun satu hakikat yang nyata ialah Fletcher antara nama
yang sangat dipercayai Sir Alex Ferguson untuk beliau letakkan dalam senarai kesebelasan
utamanya ketika United berdepan perlawanan-perlawanan besar.
Pada usia 19 tahun, Fletcher
sudah digunakan Fergie untuk menentang pemain handalan seperti Patrick Vieira
ketika api perseteruan antara United dan Arsenal masih membara. Mengapa Fletcher
sentiasa menjadi pilihan Fergie dalam perlawanan-perlawanan besar? Pada 2017,
Fergie pernah mendedahkan tentang kecenderungan beliau terhadap Fletcher dalam
siaran rasmi kelab West Bromwich Albion ketika pemain itu melakukan penampilan
ke-300 di Liga Perdana.
“Di Old Trafford, Fletcher
bermain dalam semua perlawanan besar untuk United. Fletcher antara pemain
kegemaran saya untuk diturunkan dalam perlawanan besar. Terdapat beberapa
pemain yang memiliki sikap begitu, mereka tidak gentar serta memiliki keupayaan
bermain dalam perlawanan besar. Fletcher antara yang saya maksudkan. Saya juga
memiliki kecenderungan menurunkan beliau menentang Patrick Vieira”, kata
Fergie.
Selain Park Ji-Sung, Fletcher
juga sangat dikenali kerana memiliki work
rate yang tinggi di atas padang serta sedikit keras corak permainannya.
Jadi tidak hairanlah mengapa beliau antara pemain United yang sangat `dibenci’
Arsene Wenger setiap kali United dan Arsenal bertembung. Bagaimanapun Fletcher
akhirnya meninggalkan Old Trafford pada 2015 selepas 12 tahun beliau menyarung
jersi United.
Jelmaan
Fletcher
Dalam aksi menentang
Liverpool tempohari, kelibat seorang anak muda di tengah padang mencuri tumpuan
dan anak muda yang saya maksudkan ialah Scott McTominay. McTominay antara
elemen kejutan yang ditampilkan Ole Gunnar Solskjaer dalam aksi North West Derby tempohari selepas
beliau hilang khidmat Nemanja Matic di bahagian tengah.
Gandingan beliau bersama
Andreas Pereira di bahagian tengah bukanlah tandingan buat trio Giorgino
Wijnaldum, Fabinho dan Jordan Henderson yang lebih berpengalaman, tetapi kredit
tetap perlu diberikan kepada kerja keras anak muda ini sepanjang 90 minit
aksinya di tengah padang. Jadi tidak hairanlah mengapa Solskjaer melabelkan
McTominay sebagai jelmaan Darren Fletcher.
Selaku individu yang pernah
bermain bersama Fletcher, Solskjaer tentu sangat faham karakter permainan yang
dimiliki pemain berusia 35 tahun itu. “Melihat kepada aksi McTominay
mengingatkan saya kepada Darren Fletcher. Dia memiliki karakter permainan mirip
dengan Fletcher. Saya juga puas dengan penampilan Andreas Pereira. Sebelum ini
dia dikritik hebat tapi dia tampil impresif bersama McTominay”, kata Solskjaer
Kredit
Untuk Jose
Jika ada individu yang patut
diberikan penghargaan atas keberanian beliau memberikan peluang kepada bakat
muda seperti McTominay tampil dalam skuad utama United, Jose Mourinho paling
layak menerimanya. Mourinho bukanlah seorang pengurus yang gemar memperjudikan
nasib pasukan di tangan pemain muda sepertimana Arsene Wenger, jadi kemampuan
McTominay melakukan 13 penampilan bersama United dalam saingan liga musim lalu
sangat mengejutkan.
Sudah tentu penampilan paling
diingati dari McTominay dalam kesebelasan utama United ialah ketika mereka
menundukkan Chelsea di Old Trafford dalam saingan liga 25 Februari tahun lalu.
Selain percaturan taktikal yang tepat, apakah faktor tambahan yang membolehkan
United menang dalam perlawanan itu? Selain sistem 3-4-3 Antonio Conte yang
boleh bertukar kepada pola 3-5-2, Mourinho juga menyedari bahawa beliau perlu
menghentikan Eden Hazard jika mahu merosakkan skema permainan Chelsea.
Rencana Mourinho sedikit
terganggu kerana Ander Herrera yang sebelumnya sering diberikan tugas
membayangi Hazard terkeluar dari senarai pemain akibat kecederaan. Tanpa
Herrera, Hazard boleh tersenyum kerana beliau mendapati tugas utamanya untuk
merobek benteng pertahanan United bakal menjadi lebih mudah. Bagaimanapun dalam
masa yang sama, Hazard juga mungkin tidak menyedari bahawa tanpa Herrera,
Mourinho masih memiliki pengganti setanding yang mampu membayangi setiap
pergerakan beliau.
Menjelang sepak mula, anda
akhirnya dapat saksikan nama Scott McTominay dalam susunan formasi United. Ya,
tidak lain dan tidak bukan beliau bakal mengambilalih peranan Herrera atau lebih
tepatnya, beliaulah yang bakal dihadapi Hazard sepanjang 90 minit permainan.
Kesilapan yang dilakukannya diminit ke-31 membolehkan Hazard menyumbang assist untuk gol tunggal Chelsea, tetapi
selain daripada itu McTominay lulus dengan cemerlang dalam melaksanakan tugas
utama yang diberikan Mourinho, iaitu merantai pergerakan Hazard.
Di luar padang, Conte melihat
dengan jelas bagaimana sukarnya Hazard melepasi kekangan yang dilakukan
McTominay ke atasnya. Ketika sumbangan Hazard di atas padang semakin minimum,
Conte tiada jalan lain selain menarik keluar bintang kesayangan penyokong The Blues itu ketika tempoh permainan
sebenar berbaki 15 minit. Selepas tamat pertempuran di Old Trafford itu,
penyokong-penyokong United lebih cenderung membincangkan tentang prestasi hebat
McTominay berbanding jaringan Romelu Lukaku dan Jesse Lingard.
Pemain
Underrated
Bermula dari kejayaan beliau
ketika bersama Porto hinggalah ke Chelsea, Mourinho memang sangat terkenal
dengan reputasi beliau yang gemar membentuk kekuatan skuadnya berteraskan
pemain-pemain berpengalaman. Jadi bukan satu perkara yang mudah buat mana-mana
bakat muda menembusi skuad utama Mourinho dan kemudiannya melakukan penampilan dua
digit dalam saingan liga selama semusim sepertimana yang dilakukan McTominay.
Ketika rakan seangkatan
beliau seperti Angel Gomez yang memiliki skill
individu lebih bagus gagal mengetuk pintu hati Mourinho, McTominay pula secara
perlahan-lahan membina reputasi beliau bersama skuad regular United. Apa
kekuatan sebenar McTominay hingga beliau berjaya melunturkan ego seorang
Mourinho hinggakan beliau diberikan peluang dan kepercayaan melakukan
penampilan dalam skuad utama United?
Jawapannya adalah
kesederhanaan yang ada dalam diri pemain muda ini. “Saya fikir penampilan bagus
McTominay kerana penampilannya yang sederhana. Gaya potongan rambutnya biasa,
tiada tatu, tidak memiliki kenderaan atau memakai jam tangan mewah. Dia seorang
remaja yang sangat merendah diri dan tiba di kelab ini ketika berusia sembilan
atau 10 tahun”, kata Mourinho selepas tamat aksi menentang Chelsea musim lalu.
`Next’ Fletcher?
McTominay bukanlah seorang
pemain tengah yang kreatif, memiliki visi permainan yang tinggi atau bijak
dalam mengawal tempo permainan sepertimana Michael Carrick. Tetapi apa yang
menyebabkan Sir Alex Ferguson menyarankan kepada Mourinho agar memberikan
peluang buat pemain ini tampil lebih kerap bersama skuad utama United? Atau
mengapa Warren Joyce menyebut bahawa McTominay antara produk terbaik dari
akademi yang pernah beliau latih?
Jika anda bukan penyokong
United dan pertama kali menyaksikan aksi McTominay, pasti anda akan
tertanya-tanya sebagus atau sebesar manakah potensi bakat muda ini untuk muncul
sebagai pemain utama United suatu hari nanti? Beliau bukanlah seperti Paul
Scholes, lagenda United di bahagian tengah yang sering melakukan perkara-perkara
spectacular di atas padang, tetapi
McTominay mirip kepada Fletcher kerana kesederhanaan permainannya.
Disiplin dalam taktikal,
patuh arahan dan kerja keras antara elemen penting yang membantu McTominay
sukses merebut tempat dalam skuad utama United berbanding rakan-rakan
seangkatan beliau. McTominay mungkin tidak akan menerima sorotan dari media
sehebat Paul Pogba tetapi beliau akan menjadi seperti Fletcher, pemain
sederhana kepercayaan Fergie yang tiada rasa gentar untuk berdepan perlawanan
besar. Glory Glory Manchester United!!! – Azhar Johar
Tiada ulasan:
Catat Ulasan