Ahad lalu, Manchester United
berjaya mengutip tiga mata penuh ketika mereka menewaskan Norwich City di
gelanggang lawan. Tiga gol berjaya dihasilkan United dalam perlawanan itu dan
salah satunya merupakan gol yang sangat istimewa. Istimewa kerana ia merupakan
gol ke-2000 yang dihasilkan United dalam penyertaan mereka di Liga Perdana dan
pemain bertuah yang berjaya menghasilkan gol tersebut ialah Scott McTominay.
Gol itu juga merupakan gol
kedua sumbangan McTominay musim ini, tetapi lebih penting gol itu meletakkan
nama pemain antarabangsa Scotland ini dalam tinta sejarah United. Ketika
ditanya tentang perasaan beliau selepas menjaringkan gol tersebut, McTominay
berkata, “Sebelum perlawanan saya tahu tentang rekod tersebut. Menjaringkan gol
di Liga Perdana satu pencapaian yang membanggakan. Saya hanya ingin membayar
kepercayaan yang diberikan pengurus. Paling penting kami bermain baik dalam
perlawanan ini”.
McTominay sudah mencatatkan
namanya selaku penjaring gol ke-2000 untuk United di Liga Perdana. Tetapi tanpa
yang pertama tidak akan ada yang kedua, ketiga hinggalah yang ke-2000. Nama
bekas penyerang Sheffield United, Brian Deane akan kekal terpahat selaku pemain
pertama menjaringkan gol di era Liga Perdana, tetapi siapakah pula penyumbang
gol-gol istimewa untuk United sejak Liga Divisyen 1 England dijenamakan semula
kepada Liga Perdana pada musim 1992/93.
Yang
Pertama
Gol pertama United di era
Liga Perdana dijaringkan oleh Mark Hughes. Gol itu dihasilkan Hughes ketika
aksi menentang Sheffield United pada 15 Ogos 1992 yang dilangsungkan di
gelanggang lawan.
Selepas Brian Deane
meletakkan The Blades dua gol di
hadapan menerusi tandukan diminit ke-5 dan sepakan penalti diminit ke-50,
Hughes akhirnya berjaya merapatkan kedudukan apabila beliau menyempurnakan hantaran
jauh yang dilakukan Peter Schmeichel.
Biarpun United tewas (1-2)
dalam perlawanan itu, gol diminit ke-60 yang menewaskan Simon Tracey itu
meletakkan `Sparky’ selaku penjaring
gol pertama untuk United di era Liga Perdana.
Yang
Ke-500
Kira-kira tujuh tahun selepas
Hughes meledak gawang Sheffield United, sekaligus muncul pemain pertama
menjaringkan gol untuk United di era Liga Perdana, kini giliran Andy Cole pula
memahat namanya selaku penyumbang gol ke-500.
Dalam aksi menentang Nottingham
Forest yang dilangsungkan di City Ground pada 6 Februari 1999 itu, United
melakar kemenangan besar (8-1) keatas skuad bimbingan Ron Atkinson, yang juga
merupakan bekas pengendali United dari 1981 hingga 1986.
Ole Gunnar Solskjaer adalah
bintang dalam perlawanan itu menerusi empat gol yang diledak beliau ke gawang
Dave Beasant, tetapi jaringan Cole diminit ke-50 sangat istimewa kerana itu
adalah gol ke-500 United di Liga Perdana.
Yang
Ke-1000
30 Oktober 2005, United
bertandang ke Riverside untuk berdepan Middlesbrough, kesebelasan yang ketika
itu dibanjiri nama-nama hebat seperti Michael Reiziger, Jimmy Floyd
Hasselbaink, Gaizka Mendeita, Mark Viduka, Gareth Southgate, Fabio Rochemback
dan Abel Xavier.
Agak malang kunjungan United
ke Riverside ketika itu berakhir `tragedi’ apabila lawan meledak empat gol
menerusi Gaizka Mendeita (dua gol), Ayegbeni Yakubu dan Emmanuel Pogatetz.
Gol tunggal United pula
dijaringkan Cristiano Ronaldo di penghujung permainan sekaligus memahat namanya
selaku penjaring gol ke-1000 The Red
Devils di Liga Perdana.
Meskipun gol itu merupakan
gol yang istimewa, tiada keraian berlebihan yang dilakukan Ronaldo memandangkan
United sudah ketinggalan tiga gol, selain peluang untuk mereka melakukan
kebangkitan juga sudahpun tertutup.
Yang
Ke-1500
Skrip sama ketika Ronaldo
menjaringkan gol ke-1000 United di Liga Perdana berulang lagi enam tahun
selepas itu. Aksi menentang Blackburn Rovers di Old Trafford pada tanggal 31
Disember 2011 sepatutnya berakhir indah, apatah lagi perlawanan itu berlangsung
pada hari ulang tahun kelahiran ke-70 Sir Alex Ferguson.
Dalam tempoh 51 minit, United
sudah ketinggalan dua gol menerusi jaringan Ayegbeni Yakubu yang dihasilkan
beliau diminit ke-16 dan 51. Hanya dalam tempoh seminit selepas gol kedua
Yakubu dijaringkan, United merapatkan kedudukan menerusi gol tandukan Dimitar
Berbatov.
Berba menjaringkan dua gol
dalam perlawanan itu (minit ke-52 dan 62), tetapi tetap gagal menghalang Rovers
dari pulang ke Ewood Park dengan tiga mata penuh selepas Grant Hanley
menjaringkan gol kemenangan diminit ke-80.
Gol jaringan Berba diminit
ke-52 itu adalah gol ke-1500 yang dihasilkan United di Liga Perdana. Tetapi raut
wajah beliau selepas tamat perlawanan begitu suram, berbeza sekali berbanding
musim sebelumnya saat Berba menewaskan Paul Robinson sebanyak lima kali di sebalik
kemenangan besar (7-1) yang dilakar United ke atas Rovers.
Penutup
Sejak era Liga Perdana
bermula pada musim 1992/93, United muncul kesebelasan pertama yang berjaya
mencecah angka 2000 jaringan gol. Secara keseluruhannya selepas aksi menentang
Norwich City tempohari, United sudah menghasilkan 2002 jaringan gol di era Liga
Perdana.
Jumlah 2002 gol yang
dijaringkan United itu disumbang oleh 100 pemain, bermula dari Mark Hughes
hinggalah ke Anthony Martial. Manakala McTominay pula menyertai Hughes, Cole,
Ronaldo dan Berbatov dalam `kelab elit’ penjaring gol pertama, ke-500, ke-1000,
ke-1500 dan ke-2000 untuk United di Liga Perdana.
Jika dihitung kepada jarak
masa diperlukan Cole, Ronaldo, Berba dan McTominay menjaringkan gol ke-500,
1000, 1500 dan 2000 United di Liga Perdana, anda mungkin boleh menjangkakan bahawa
gol ke-2500 nanti akan hadir dalam tempoh enam atau tujuh tahun dari sekarang. Siapakah
pemain bertuah yang bakal melakukannya? Glory Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan