Marcus Rashford memulakan
kempen saingan liga musim ini dengan sangat cemerlang menerusi dua gol yang
diledak beliau ke gawang Chelsea. Meskipun garang pada perlawanan pertama,
Rashford bagaimanapun seperti hilang selera ketika berada di hadapan gawang lawan
selepas itu apabila beliau kemarau jaringan dalam tiga perlawanan
berturut-turut ketika berdepan Wolverhampton, Crystal Palace dan Southampton.
Nama Rashford kembali berada dalam
senarai penjaring United ketika barisan The
Red Devils menewaskan Leicester City (1-0) dalam aksi yang dilangsungkan di
Old Trafford pada 14 September lalu. Bagaimanapun jaringan yang dihasilkan
Rashford itu bukanlah jaringan padang, tetapi sebaliknya dilakukan beliau
menerusi sepakan penalti. Selepas membantu United menewaskan Leicester,
Rashford sekali lagi berdepan kesukaran menembusi pintu gol lawan dalam tiga
aksi menentang West Ham, Arsenal dan Newcastle United.
Hanya tiga gol dari lapan
penampilan pertama liga musim ini menyaksikan Rashford antara pemain yang
paling teruk dijadikan sasaran kritikan, lantas mencetuskan tandatanya tentang
kemampuan beliau untuk menggalas tugas selaku penggempur utama United selepas
pemergian Romelu Lukaku ke Inter Milan. Bagaimanapun Rashford menjawab segala
keraguan terhadap kemampuannya menerusi jaringan yang dilakukan beliau ke
gawang Liverpool dalam aksi yang
berlangsung di Old Trafford pada 20 Oktober lalu.
Aksi North West Derby itu bagaimanapun berakhir dengan keputusan seri
(1-1), sekaligus menyaksikan skuad kendalian Jurgen Klopp keciciran mata buat
pertama kali dari sembilan aksi awal liga mereka musim ini. Paling penting keayaan
Rashford menewaskan Alisson Becker itu saya anggap satu isyarat jelas yang
beliau berikan kepada pengkritiknya bahawa Ole Gunnar Solskjaer boleh mengharapkan
sentuhan tajamnya selaku pemburu gol utama untuk United musim ini.
Bermula dari aksi menentang
Liverpool itulah, Rashford kini sudah meledak tujuh gol dari lapan penampilan
terakhirnya untuk United dalam saingan liga. Paling menarik apabila menyaksikan
beliau menjaringkan dua gol ketika United membenam Tottenham Hotspurs di Old
Trafford dan satu gol ketika The Red
Devils menjadikan bandaraya Manchester berwarna merah ketika mereka
menewaskan Manchester City di gelanggang lawan minggu lalu.
Setakat ini Rashford sudah
meledak 13 gol dari 21 penampilan yang dilakukan beliau dalam semua kejohanan.
Catatan ini sebenarnya sudah menyamai pencapaian yang dilakukan beliau pada
musim 2017/18 dan 2018/19. Memandangkan saingan musim ini masih lagi panjang, ramai
penyokong-penyokong United mula meletakkan sasaran agar Rashford mampu melepasi
angka 20 jaringan peribadi semusim buat pertama kali sejak musim 2015/16.
Sepertimana yang anda tahu,
10 dari 13 jaringan yang dihasilkan Rashford setakat ini diledak beliau dalam
aksi liga. Catatan ini juga turut menyamai jumlah jaringan yang dilakukan
beliau sepanjang musim lalu. Untuk rekod, Robin Van Persie muncul pemain
terakhir United yang menjaringkan lebih 20 gol semusim dalam kempen Liga
Perdana sepanjang tempoh enam musim terakhir. Van Persie melakukannya pada
musim pertama beliau di Old Trafford menerusi 26 gol yang diledak beliau ke
gawang lawan.
Mengingatkan bahawa United
masih memiliki baki 22 aksi liga musim ini, peluang untuk Rashford muncul
pemain pertama selepas Van Persie yang berjaya menjaringkan lebih 20 gol
semusim di Liga Perdana sebenarnya terbuka luas. Melihat kepada jumlah gol yang
sudah dihasilkannya setakat ini, musim ini mungkin boleh menjadi musim terbaik
untuk Rashford sejak beliau melakukan penampilan pertama bersama skuad senior
United pada 2016. Itu pun jika beliau tidak diganggu dengan kecederaan panjang
atau penurunan prestasi secara mendadak.
Big
Game Player
Apa yang menariknya, sembilan
dari 13 gol yang sudah dijaringkan Rashford setakat ini terhasil ketika United
berdepan pasukan-pasukan dari kelompok pencabar kejuaraan liga. Empat gol
berjaya diledak Rashford ke gawang Chelsea, dua gol ke gawang Spurs dan satu
gol ketika United berdepan Leicester City, Liverpool dan Manchester City.
Secara keseluruhannya juga, Rashford sudah menjaringkan 16 gol ketika United
berdepan kelab-kelab top six sejak
2016 atau hampir 1/4 dari jumlah keseluruhan gol yang sudah dihasilkannya
setakat ini.
Untuk seorang pemain yang
baru berusia 22 tahun, penampilan yang dilakukan Rashford ketika berdepan
kelab-kelab besar ini sebenarnya sangat mengagumkan. Kekuatan mentalnya antara
faktor terpenting mengapa Rashford jarang menghampakan kita ketika beliau
diturunkan dalam perlawanan-perlawanan besar. Jadi tidak hairanlah mengapa
label sebagai big game player sangat
dekat dengan diri anak muda bernama Marcus Rashford ini.
Mengulas tentang hal
tersebut, Solskjaer berkata, “Rashford sangat matang ketika berdepan
pemain-pemain dari kelab besar Liga Perdana. Ada ketikanya kami sangat
bergantung kepadanya kerana konsistensi yang ditunjukkannya dalam
perlawanan-perlawanan besar”. Ya...Rashford memang diakui memiliki mentaliti `besar’
ketika berdepan perlawanan-perlawanan besar kerana keberadaannya di atas padang
biasanya memberikan perbezaan yang signifikan kepada penampilan United.
Corak permainannya sentiasa
mampu memancing mana-mana pertahanan lawan untuk melakukan kesilapan-kesilapan
mudah. Lihat sahaja dua sepakan penalti yang dihadiahkan pengadil ketika United
berdepan Spurs dan Manchester City berpunca dari kegopohan pertahanan lawan
dalam usaha mereka menghentikan pergerakannya. Rashford memang `jaguh’ ketika
berdepan kelab-kelab pencabar kejuaraan, tetapi bagaimana pula pencapaiannya
saat United berdepan kelab-kelab pertengahan/bawahan liga?
Perbezaan
Gaya
Dari 16 perlawanan liga yang
sudah diharungi United setakat ini, mereka tidak tewas ketika mereka berdepan
Chelsea, Arsenal, Leicester City, Liverpool, Spurs dan (Manchester) City.
Kecuali Leicester yang mana prestasi mereka musim ini agak mengejutkan kita,
Chelsea, Arsenal, Liverpool, Spurs dan City
pula saban musim sentiasa diletakkan dalam kelompok pencabar kejuaraan
liga.
Walaupun pada awalnya timbul
keraguan tentang kemampuan United untuk berdepan Liverpool, Spurs, Chelsea,
City dan Arsenal, hal sebaliknya pula berjaya dibuktikan mereka di atas padang.
Begitu juga dengan kemampuan Rashford yang menepati label beliau sebagai big game player menerusi ketajamannya
ketika menembusi pintu gol Chelsea, Leicester, Liverpool, Spurs dan City.
Walaupun masih mampu
menjaringkan gol ketika berdepan Norwich, Brighton dan Sheffield United, Rashford
bagaimanapun dilihat berdepan masalah besar dalam aksi menentang Wolves,
Palace, Southampton, West Ham, Newcastle, Bournemouth dan Aston Villa. Apa yang
menyebabkan Rashford berdepan kesukaran ketika berdepan lawan dari kelompok
pertengahan/bawahan liga berbanding aksinya ketika menentang barisan pencabar
kejuaraan seperti Chelsea, Leicester, Liverpool, Spurs ataupun City?
Gaya permainan berbeza yang
ditampilkan pasukan kelompok teratas antara penyebab utama mengapa Rashford
kurang produktif ketika United berdepan lawan dari kelompok pertengahan/bawahan
liga. Aksi menentang lawan seperti Chelsea, Spurs, Liverpool, Arsenal,
Leicester atau City biasanya menyaksikan corak permainan yang lebih terbuka,
lantas membuka banyak ruang kosong untuk dimanfaatkan Rashford menerusi
kepantasan larian yang dimilikinya.
Kerana kelajuan sambil
dibantu ketajaman yang dimiliki Rashford inilah mengapa strategi counter attack yang digunakan Solskjaer
sangat berhasil ketika United berdepan lawan-lawan dari kelompok atasan liga.
Bagaimanapun ketika berdepan lawan yang mengamalkan pendekatan garis pertahanan
rendah seperti Aston Villa, Bournemouth atau West Ham, strategi counter attack United tidak lagi
berkesan sekaligus turut menyumbang kepada penurunan produktiviti Rashford
dalam menghasilkan gol.
Posisi
Terbaik
Di manakah sebenarnya posisi
terbaik untuk Rashford diletakkan dalam skema formasi yang digunakan Solskjaer?
Ketika menentang Liverpool, Rashford digandingkan bersama Daniel James selaku
penggempur dalam formasi 3-4-1-2. Sepanjang perlawanan itu, Rashford sebenarnya
lebih banyak bertindak selaku `pemain nombor 9’. Meskipun berjaya menjaringkan
gol, manakala gandingan beliau bersama James memaksa Virgil Van Dijk bekerja
keras, peranan sebagai `pemain nombor 9’ bagaimanapun bukanlah tugas yang
sesuai dilaksanakan oleh Rashford dari kacamata Jose Mourinho.
“Ketika kami mengalahkan
Liverpool tahun lalu, saya menggandingkan Rashford bersama Romelu Lukaku. Dia
bukan target man. Dia tipikal pemain
yang suka bergerak. Saya tidak fikir dia `pemain nombor 9’ tulen. Tetapi jika
Ole terus meletakkan dia dengan peranan seperti ini pada perlawanan-perlawanan
akan datang, maka saya fikir Rashford boleh melaksanakan tugasnya dengan baik.
Bagi saya, dia berpotensi untuk menjadi pemain yang sangat baik. Mungkin dia
akan memainkan beberapa peranan dalam beberapa posisi”, kata Mourinho.
Bagaimanapun menurut Mourinho
lagi, sebagai target man, beliau
percaya Rashford tidak akan mampu menjaringkan lebih 20 gol semusim. “Dia boleh
menjadi pemain yang lebih baik jika dia diberikan kebebasan untuk bergerak.
Tipikal pemain seperti dia sangat sukar untuk dibentuk menjadi pemain nombor 9”,
sambung Mourinho lagi. Pandangan Mourinho ini ada benarnya kerana secara
peribadi saya berpendapat Rashford lebih berkesan jika beliau diberikan
kebebasan untuk bergerak dari sebelah sisi.
Sesuai dengan strategi counter attack versi Solskjaer, Rashford
biasanya akan mendominasi penguasaan bola dari sebelah sisi untuk beliau bawa
ke tengah. Rashford adalah pemain hadapan yang suka bergerak, bukan jenis
pemain yang hanya menunggu umpanan rakan di hadapan pintu gol lawan. Jadi permainan
terbaik Rashford biasanya datang dari sisi, terutamanya di sebelah kiri. Bagaimanapun
aksi menentang Liverpool juga sebenarnya menunjukkan bahawa Rashford mampu
bertindak selaku `pemain nombor 9’ dengan baik, sepertimana kata Mourinho.
Penutup
Untuk memaksima potensi sebenar
Rashford, beliau sepatutnya diletakkan di posisi di mana beliau selesa bermain.
Meskipun penampilan beliau sebagai `pemain nombor 9’ ketika berdepan Liverpool
dilabel Solskjaer sebagai `penampilan terbaik Rashford dalam tempoh 10 bulan’,
satu hakikat yang terpaksa kita akui ialah beliau tidak sekuat Harry Kane atau
Romelu Lukaku untuk bertindak sebagai seorang target man.
Gaya permainan Rashford ialah
gaya permainan penyerang moden sepertimana Cristiano Ronaldo, Lionel Messi atau
Mo Salah yang memiliki kelajuan dan kawalan bola yang bagus untuk melepasi
mana-mana pertahanan lawan dari sebelah sisi. Dari sebelah sisilah beliau
memiliki lebih banyak ruang untuk mencipta peluang jaringan gol. Bagaimanapun masih
banyak aspek yang perlu diperbaiki dalam permainan Rashford sebelum beliau
muncul selaku finisher hebat suatu
hari nanti.
Mentaliti Rashford ketika
berdepan perlawanan-perlawanan besar memang tidak perlu diragui. Buktinya,
hampir 1/4 dari keseluruhan jaringan beliau untuk United terhasil ketika
Rashford diturunkan menentang kelab-kelab pencabar kejuaraan liga. Tetapi harus
diingat bahawa setiap musim aksi menentang kelab-kelab pencabar kejuaraan liga biasanya
hanya membabitkan sepuluh perlawanan sahaja. Selebihnya United perlu bertarung dalam
28 perlawanan menentang kelab-kelab pertengahan/bawahan liga.
Untuk itu, jika Rashford
berhasrat mahu melepasi angka 20 jaringan setiap musim secara konsisten, beliau
tidak boleh `malu-malu’ lagi ketika berdepan kelab-kelab seperti Bournemouth,
Aston Villa, West Ham ataupun Watford. Berbeza dengan Romelu Lukaku yang dahulunya
dikritik kerana sering `hilang’ dalam perlawanan-perlawanan besar, Rashford
pula nampaknya dituntut untuk lebih aktif dan tajam ketika berdepan pertahanan lawan
seperti Tyrone Mings, Phil Jagielka, Steve Cook atau Angelo Ogbonna. Glory
Glory Manchester United!!!