26 Disember 2019

HADIAH PALING ISTIMEWA PERNAH DIBERIKAN FERGIE SEMPENA HARI NATAL



Pada Disember 2017, Liverpool memecahkan rekod dunia untuk seorang pemain pertahanan ketika mereka membayar £75 juta kepada Southampton bagi mendapatkan khidmat Virgil Van Dijk. Bagaimanapun gelaran selaku pemain pertahanan termahal dunia milik Van Dijk lebur setahun setengah selepas itu apabila tawaran kedua sebanyak £80 juta yang dilakukan Manchester United terhadap Harry Maguire akhirnya diterima Leicester City.

Keperluan mendesak untuk mendapatkan seorang pemain pertahanan berpengaruh bagi mengukuhkan benteng mereka memaksa United melabur besar, dan pada 5 Ogos lalu Maguire akhirnya melengkapkan perpindahan beliau ke Old Trafford  dengan ikatan kontrak selama enam tahun. Meskipun prestasi United musim ini sukar diramal, tetapi Maguire sedikit sebanyak sudah membuktikan bahawa beliau adalah sosok pertahanan tengah yang memang diperlukan United.

Pelaburan besar yang dilakukan Liverpool ke atas Van Dijk pula nyata berbaloi apabila pertahanan antarabangsa Belanda itu memainkan peranan yang sangat signifikan di benteng The Reds. Sukar untuk menafikan bahawa sepanjang musim 2018/19, beliau adalah pertahanan terbaik dunia menerusi kemampuannya mengemudi benteng juara Eropah itu. Secara peribadi saya memilih Van Dijk sebagai pemain terbaik dunia sepanjang musim 2018/19 walaupun Balon d’Or akhirnya dianugerahkan kepada Lionel Messi.

Peranan dan sumbangan besar yang diberikan Van Dijk antara faktor penting disebalik kejayaan Liverpool menjulang trofi Liga Juara-Juara musim lalu. Jadi tidak hairanlah mengapa pembelian Van Dijk pada Disember 2017 dianggap oleh penyokong-penyokong Liverpool sebagai `hadiah’ Hari Natal paling istimewa buat mereka.  Van Dijk memang `hadiah’ Hari Natal yang istimewa tetapi untuk mendapatkannya Liverpool terpaksa mengeluarkan belanja yang besar.

14 tahun lalu, penyokong-penyokong United juga pernah diberikan `hadiah’ Hari Natal yang istimewa oleh Sir Alex Ferguson. Cuma bezanya beliau berjaya mendapatkan `hadiah’ istimewa itu dengan harga yang cukup murah. Ketika penyokong-penyokong United yang beragama Kristian sedang bergembira menyambut Hari Natal, kelab pula mengumumkan kejayaan mereka mendapatkan khidmat Nemanja Vidic (Vida) dari Spartak Moscow tepat pada tarikh 25 Disember 2005.

Sebelas hari selepas itu, Vida tiba di Old Trafford untuk diumumkan secara rasminya sebagai sebahagian daripada anggota skuad The Red Devils pimpinan Fergie. Berapakah harga yang dibayar United bagi mendapatkan tandatangan Vida ketika itu? Hanya £7 juta…ya itulah nilai yang dibayar oleh United ketika Fergie terpaksa keluar dari kebiasaan beliau dengan melakukan pembelian pemain baharu pada musim sejuk demi mengukuhkan benteng pertahanan skuadnya.

Meskipun dibeli dengan harga yang cukup murah, Vida berjaya meletakkan diri sebagai pertahan tengah paling `menakutkan’ pernah disaksikan aksinya di Old Trafford. Selama lapan musim setengah berada di Old Trafford, Vida melakukan 300 penampilan untuk United, menjaringkan 21 gol dan mencipta lima bantuan gol dalam semua peringkat kejohanan. Paling penting kombinasi beliau bersama Rio Ferdinand diiktiraf sebagai gandingan pertahanan tengah terbaik pernah disaksikan dalam sejarah kelab.

Jumlah medal kejuaraan yang berjaya beliau menangi bersama United juga adalah kayu ukur terbaik untuk menilai betapa cemerlangnya Vida sepanjang beliau ditugaskan selaku pengawal di benteng dalam melindungi Edwin Van der Sar dan juga David De Gea. Secara keseluruhannya, Vida berjaya membantu United menjulang lima trofi Liga Perdana, tiga kejuaraan Piala Liga, lima Perisai Komuniti, satu trofi Liga Juara-Juara dan satu trofi Kejuaraan Kelab-Kelab Dunia.

Sebagai penyokong United, menyaksikan Vida beraksi di atas padang dan juga ketika beliau mengetuai rakan-rakan sepasukan menjulang trofi kejuaraan memang antara momen yang sangat menakjubkan. Tetapi lebih daripada itu, Vida adalah lambang seorang pemimpin sejati yang sentiasa memberikan sepenuh jiwa dan raganya ketika beliau diberikan tanggungjawab untuk mengetuai sepuluh rakan sepasukannya di atas padang.

Masih wujudkah lagi `spesis’ pertahanan seperti Vida yang tanpa ragu meletakkan kepala sendiri di kaki lawan demi menghalang mereka dari melakukan percubaan berbahaya ke arah gawang sendiri? Itulah aksi penuh berani yang dilakukan Vida ketika United berdepan Arsenal pada April 2009. Untuk itu, Emmanuel Adebayor akhirnya terpaksa mengakui bahawa Vida adalah pertahanan paling kental yang pernah dihadapi beliau sepanjang kariernya sebagai pemain.  

Mengenang kembali genap sepuluh tahun aksi berani Vida menghalang percubaan Adebayor, bekas pemain antarabangsa Togo itu sekali lagi melahirkan kekaguman beliau terhadap Vida. “Vidic adalah lelaki yang kuat dan paling keji. Ketika anda melanggarnya, ia umpama berlari ke arah dinding batu. Dia akan berjalan ke arah anda dan berkata maaf. Kemudian dia menendang anda dan berkata maaf sekali lagi. Ketika dia menjerit kepada kamu, dia akan meludah sedikit. Lelaki ini memang siap membunuh anda”, kata Adebayor kepada Goal.com pada April lalu.

United akhirnya menikmati impak yang sangat besar menerusi pelaburan `kecil’ yang dilakukan mereka ke atas Vida. Gandingan beliau bersama Ferdinand pula saling melengkapi antara satu sama lain sekaligus muncul gandingan `paling sempurna’ pernah disaksikan, bukan sahaja dalam sejarah kelab tetapi juga di Liga Perdana. Pada Februari 2014, Vida akhirnya memutuskan menyertai Inter Milan sekaligus menamatkan era keemasan selama lapan musim gandingan beliau bersama Ferdinand di benteng pertahanan United.

Mengingatkan bahawa harga pemain sekarang yang semakin `tidak masuk akal’, sebesar manakah kemungkinan untuk kita melihat pemain seperti Vida dapat direkrut dengan harga yang cukup murah? Dengan perubahan drastik dalam pasaran perpindahan pemain yang sedang berlaku sekarang, hampir mustahil sebenarnya untuk kita melihat senario pembelian seperti Vida berlaku lagi, bukan sahaja di United tetapi juga oleh mana-mana kelab.

Bagi penyokong United yang beragama Kristian, Vida adalah `hadiah paling istimewa’ yang diberikan Fergie pada Hari Natal 14 tahun yang silam. Tetapi bagi saya pula, Vida adalah antara pembelian bijak dan berbaloi yang pernah dilakukan Fergie sepanjang era pengurusan beliau di Old Trafford. Pastinya sangat sukar untuk kita menemui semula pertahanan penuh karisma dan berkualiti seperti Vida yang ditandatangani pada harga kurang 10% dari nilai keseluruhan dibelanjakan United ke atas Harry Maguire. Glory Glory Manchester United!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan