Anda masih kecewa dan marah
atas kegagalan Manchester United menandatangani bintang muda sedang meningkat
naik, Erling Braut Haaland? Selepas mengikuti secara rapat khabar angin demi
khabar angin yang mengaitkan minat United terhadap bintang muda dari Norway itu
selama beberapa minggu, saya faham mengapa ada di kalangan penyokong-penyokong
United yang begitu marah dan kecewa apabila Haaland akhirnya memilih Borussia
Dortmund berbanding menyertai United atau Juventus.
Untuk seorang pemain yang baru
berusia 19 tahun, dan menjaringkan lapan gol pula di peringkat kumpulan Liga
Juara-Juara musim ini, sudah tentu Erling Haaland antara pemain paling diburu
kelab-kelab besar Eropah ketika jendela perpindahan pemain musim sejuk dibuka.
Apakah yang berlaku di sebalik kegagalan United menandatangani Erling Haaland,
meskipun pada awalnya mereka dikatakan kelab yang berada di barisan paling hadapan
dalam misi mendapatkan pemain muda ini dari RB Salzburg?
Sejujurnya, Ole Gunnar
Solskjaer memang meminati penampilan anak kepada Alf Inge Haaland ini. Apatah
lagi Erling sendiri pernah bermain di bawah kendaliannya semasa Solskjaer
melatih FK Molde dahulu. Jika Solskjaer tidak menaruh minat terhadap Erling,
masakan beliau secara terbuka memuji penampilan bekas anak didiknya itu. “Erling
adalah pemain yang saya suka. Kami memang mencari pemain hebat. Saya tidak
perlu banyak bercakap tentang dia, tetapi sebagai pengurus saya sentiasa
mencari pemain yang dapat melengkapi keperluan pasukan”, kata Solskjaer selepas
aksi Piala Liga menentang Colchester.
United Menarik Diri?
Apakah yang menyebabkan
kegagalan United menandatangani Erling meskipun sebelumnya mereka
digembar-gemburkan menunjukkan minat begitu tinggi terhadap `bintang dalam
pembikinan’ itu? Menurut Mino Raiola yang juga merupakan agen pemain itu,
Erling sebenarnya sudah menetapkan sasaran sejak awal mahu berpindah ke Signal
Iduna Park berbanding menyertai United atau Juventus. Benarkah apa yang
dikatakan oleh Raiola?
Atau adakah selama ini Dortmund
melakukan misi underground secara sulit hingga membolehkan mereka `merampas’
Erling secara drastik dari jangkauan United? Dalam hal ini, setidak-tidaknya terdapat
dua media di England yang melaporkan sebab sebenar mengapa United mengeluarkan
Erling dari radar buruan mereka. Menurut The Independent, syarat kontrak yang
mengarut antara penyebab utama mengapa United menarik diri dari pemburuan Erling.
Media berpangkalan di London
itu melaporkan bahawa antara syarat yang diletakkan terhadap United jika mereka
mahu menandatangani Erling ialah Raiola dan Alf Inge Haaland akan diberikan hak
kawalan sepenuhnya ke atas sebarang proses perpindahan pemain muda itu di masa
hadapan. Dalam pada itu Manchester Evening News juga senada dengan laporan yang
dikeluarkan oleh The Independent. Malah mereka juga melaporkan Raiola dan Inge
Haaland akan menerima bayaran yang besar jika United menjual Erling kepada
kelab lain suatu hari nanti.
United menarik diri kerana
mereka mendapati terdapat ketidak seimbangan dalam klausa yang diletakkan dalam
kontrak Erling. Akhirnya seperti yang anda tahu pemain muda itu `jatuh ke dalam
pelukkan’ Dortmund. Dortmund tidak mengumumkan nilai sebenar yuran perpindahan
yang terpaksa mereka bayar kepada RB Salzburg, tetapi La Gazetta dello Sport
dan Tuttosports dalam laporan mereka mengatakan bahawa gergasi Jerman itu
terpaksa `pecah tabung’ demi mendapatkan tandatangan Erling.
Menurut laporan mereka,
Dortmund membayar €20 juta kepada RB Salzburg bagi merealisasikan perpindahan
Erling ke Signal Iduna Park. Selain klausa pembatalan kontrak, Dortmund juga
dilaporkan membayar sebanyak €15 juta kepada Raiola dan €10 juta kepada ayah
Erling. Sementara itu media Jerman, Bild pula melaporkan bahawa Erling akan
dibayar gaji sebanyak €8 juta semusim sehingga 2024. Sudah tentu dalam hal ini
pihak yang paling beruntung dalam perpindahan Erling ke Dortmund ialah Raiola dan
Inge Haaland.
Penutup
Kegagalan United mendapatkan
khidmat Erling memang sedikit mengecewakan. Tetapi jika benar laporan yang
diterbitkan oleh The Independent dan Manchester Evening News ini, United pada
pandangan saya sudah melakukan tindakan yang sepatutnya dari terbabit dalam
urusan yang boleh dilabel sebagai `bad for industry’ ini. United sendiri
pernah terlibat dengan beberapa urusan perpindahan yang merugikan, jadi pastinya
mereka sudah belajar dan tidak mahu kesilapan sama berulang lagi. Glory Glory
Manchester United!!!
Perghhh serius laaa blog ni masih aktif???????????? Aku follow since 2013 smpi 2015 je..tak sangka blog ni still aktif...terbaikkkk lah Red Army..GGMU!
BalasPadam