30 Disember 2019

FRED DAN McTOMINAY...ANTARA SISI POSITIF DI SEBALIK PRESTASI NAIK TURUN UNITED



Di sebalik prestasi tidak menentu yang dipamerkan Manchester United, juga kedudukan mereka dalam carta liga yang saban minggu naik dan turun, tetap ada sisi positif yang berlaku dalam skuad The Red Devils musim ini. Bersikap realistiklah kerana dengan kekuatan skuad yang dimiliki Ole Gunnar Solskjaer, United tidak akan mampu menjulang kejuaraan liga. Jika berjaya menamatkan saingan liga musim ini dikelompok empat teratas, pencapaian itu saya anggap satu bonus kepada barisan muda United.

Seperti yang saya sebutkan tadi, tetap ada sisi positif di sebalik prestasi tidak menentu yang dipamerkan United. Antaranya ialah pembelian bijak yang dilakukan Solskjaer ke atas Aaron Wan-Bissaka, Harry Maguire dan Daniel James. Solskjaer membuktikan bahawa pembelian yang dilakukan beliau ke atas (Wan-Bissaka, Maguire dan James) memang menepati keperluan pasukan kerana dalam hampir setiap perlawanan tiga pemain ini sentiasa membarisi kesebelasan utama United.

Keberanian Solskjaer untuk memberikan minit permainan kepada bakat-bakat muda dari akademi juga wajar diberikan pujian. Sejak ketibaan beliau di Old Trafford pada Disember tahun lalu, nama-nama seperti James Garner, Brandon Williams, Angel Gomes, Tahith Chong dan Mason Greenwood nampaknya semakin akrab dengan telinga anda. Di tangan Solskjaer juga pemain-pemain muda lain seperti Scott McTominay dan Marcus Rashford terus ditampilkan beliau selaku tonggak dalam kesebelasan utama.

Potensi besar Mason Greenwood selaku peledak masa depan United kini sedang menjadi buah mulut penyokong-penyokong, tambahan pula selepas pemain berusia 18 tahun ini muncul penyelamat menerusi gol penyamaan yang dijaringkannya ketika berdepan Everton. Greenwood memang antara sisi menarik yang dapat anda lihat dalam skuad United musim ini. Bagaimanapun untuk kali ini, saya lebih tertarik membicarakan tentang kemampuan Fred dan McTominay membentuk gandingan ampuh di bahagian tengah United.

Rahmat Buat Fred

Terpinggirnya Paul Pogba kerana masalah kecederaan sejak September lalu rupa-rupanya satu rahmat buat Fred. Meskipun pada mulanya beliau dilabel sebagai satu lagi `pembelian yang gagal’, Fred akhirnya kembali bangkit dan membuktikan mengapa Jose Mourinho sanggup memaksa pihak pengurusan United membelanjakan sehingga £52 juta demi membawa beliau beraksi di Liga Perdana.

Meskipun pada awalnya Fred dan McTominay bergelut menyesuaikan diri dengan corak permainan masing-masing, namun kombinasi dua pemain ini akhirnya menunjukkan peningkatan prestasi yang sangat ketara terutamanya dalam tempoh dua bulan terakhir. Peningkatan prestasi yang dipamerkan Fred hingga berjaya membentuk gandingan ampuh bersama McTominay ini setidak-tidaknya membuatkan kita terlupa sejenak bahawa United bermain tanpa Pogba selama hampir tiga bulan.

Musim lalu United lebih banyak menggunakan trio Nemanja Matic, Ander Herrera dan Paul Pogba di bahagian tengah. Tidak dinafikan bahawa trio ini merupakan antara komponen penting dalam skuad The Red Devils ketika era Jose Mourinho hinggalah saat pengambilalihan teraju pengurusan oleh Solskjaer. Dengan Pogba bertindak sebagai pemain tengah yang `multifungsi’, Herrera sering ditugaskan untuk merosakkan tempo permainan lawan manakala Matic pula ialah pemain tengah bertahan tulen.

Bagaimanapun pada Mac lalu ketika United berdepan Paris St Germain dalam perlawanan kedua pusingan kalah mati 16 pasukan Liga Juara-Juara di gelanggang lawan, Solskjaer tidak dapat menurunkan trio Pogba, Herrera dan Matic kerana masalah kecederaan dan penggantungan. Solskjaer tiada pilihan lain ketika itu selain menggandingkan McTominay dan Fred di bahagian tengah, manakala Andreas Perreira dan Ashley Young pula bergerak sebagai pemain sayap kiri dan kanan.

Selepas tewas 0-2 pada perlawanan pertama di Old Trafford, tidak banyak harapan yang mampu diletakkan ke atas barisan kendalian Solskjaer ketika mereka melunaskan baki aksi 90 minit di Parc des Princes. Ditambah pula dengan faktor ketiadaan Pogba, Herrera dan Matic di bahagian tengah, barisan United ketika mereka turun di Parc des Princes adalah skuad serba tempang. Atau lebih tepatnya peluang United untuk memadam kelebihan dua gol dimiliki lawan ketika itu sebenarnya hampir tiada langsung.

Ketika tidak ramai pihak yang percaya bahawa United mampu memadam kelebihan dua gol milik PSG, bolasepak sekali mempamerkan kepada kita keajaiban dan keindahannya. Di bawah gemerlapan kota Paris, United menewaskan PSG 3-1 untuk mara ke peringkat suku akhir menerusi peraturan gol di tempat lawan. Dan antara yang paling menjadi tumpuan dalam perlawanan itu ialah kombinasi McTominay serta Fred selaku penggerak jentera tengah United.

Selepas melakar keajaiban di kota Paris, trio Pogba, Herrera dan Matic hanya diturunkan serentak dalam kesebelasan utama sebanyak dua kali dari sepuluh aksi terakhir United musim lalu. Aksi menentang PSG di Parc des Princes itu adalah turning point kepada bermulanya keyakinan Solskjaer untuk lebih kerap meletakkan kombinasi Fred dan McTominay di bahagian tengah meskipun mereka pada mulanya hanyalah opsyen kedua kepada Pogba, Herrera ataupun Matic.

Perjudian Besar Solskjaer

Keputusan Solskjaer melepaskan Ander Herrera adalah satu keputusan yang sangat berisiko mengingatkan bahawa gandingan Fred dan McTominay ini tampak seperti belum bersedia untuk memikul peranan sebagai gandingan utama di bahagian tengah. Meskipun tampil terpuji di Parc des Princes, Fred sering dijadikan sasaran kritikan kerana prestasinya di atas padang tidak seiring dengan harga mahal yang dibayar kelab ketika mereka mendapatkan khidmatnya dari Shakhtar Donetsk.

Meskipun terpaksa berdepan dengan keraguan penyokong dan risiko besar yang diambilnya kerana membenarkan Herrera pergi, Solskjaer tiada pilihan lain selain berharap agar gandingan Fred dan McTominay mampu menggalas tugas selaku penggerak jentera tengah United. Akhirnya Solskjaer menemui titik positif dalam perjudiannya kerana Fred sudah menemui cara terbaik bagaimana beliau sepatutnya bermain bersama McTominay, terutamanya selepas Pogba tersisih selama lebih dua bulan kerana masalah kecederaan.

Semangat, usaha dan kerja keras dua pemain ini akhirnya membuahkan hasil apabila posisi di bahagian tengah United kini seolah-olah tidak lengkap tanpa kehadiran Fred dan McTominay. Aksi terpuji mereka ketika menentang Tottenham Hotspurs dan Manchester City adalah bukti terbaik bagaimana Fred serta McTominay akhirnya berjaya menyerap gaya dan taktik yang digunakan Solskjaer dalam skema permainan United.

Salah satu ciri terbaik yang ada dalam diri Solskjaer sebagai pengurus ialah beliau sentiasa meletakkan kepercayaan yang tinggi kepada pemain-pemainnya biarpun kritikan datang dari segenap sudut terutamanya tentang cara beliau memilih kesebelasan utama skuadnya. Faktor ini jugalah antara penyebab yang membantu peningkatan gandingan Fred dan McTominay secara perlahan-lahan selaku tonggak di bahagian tengah United sejak akhir-akhir ini.

Penutup

Fred dan McTominay bukanlah gandingan pemain tengah yang segenius Paul Scholes. Mereka juga bukanlah jenis pemain tengah yang boleh membuatkan anda terpesona di kaca televisyen sepertimana penampilan Andrea Pirlo atau Andres Iniesta. Namun begitu Fred dan McTominay tetap punya kekuatan tersendiri untuk memikul beban selaku penggerak jentera tengah United.

McTominay bukanlah seorang `kaki tackle’ yang efektif tetapi kekurangan tersebut diimbangi menerusi kehadiran Fred selaku rakan gandingannya. Kekuatan sebenar yang ada dalam ciri permainan beliau ialah kerja, kerja dan kerja dari minit pertama hinggalah minit terakhir permainan. Bagi McTominay, beliau tidak perlu melakukan perkara-perkara yang `spectacular’ di atas padang sepertimana yang sering dilakukan Paul Pogba.

Beliau tidak memiliki skill individu dan teknik permainan sehebat Scholes tetapi disiplin permainan adalah kunci kekuatan sebenar McTominay. Melihat kepada gaya permainan beliau mengingatkan saya kepada bekas pemain tengah Aston Villa dan Manchester City iaitu Gareth Barry. McTominay menarik perhatian kita bukan kerana teknik permainannya yang `berseni’ tetapi kerana kesederhanaan dan kerja kerasnya di atas padang.

Berbanding McTominay, Fred pula bagi saya seorang pemain tengah yang lebih `energetic’. Melihat kepada prestasi beliau ketika era pengurusan Mourinho, siapa pernah menyangka bahawa Fred mampu meraih kepercayaan Solskjaer hinggakan beliau berjaya melakukan 34 penampilan dibawah kendalian warga Norway itu. Dari jumlah tersebut hanya sepuluh perlawanan Solskjaer menggunakan Fred sebagai pemain gantian atau menggantikan beliau dipertengahan perlawanan.

Berperanan sebagai double pivot bersama McTominay, Fred adalah penghubung antara barisan belakang dan hadapan. Adakalanya bila diperlukan, Fred akan berada sedikit ke atas ketika United melancarkan serangan. Mungkin juga kita boleh katakan bahawa peranan Fred ketika ini lebih mirip kepada kerja-kerja yang pernah dilakukan oleh Ander Herrera dahulu. Chemistry yang wujud antara beliau dan McTominay menjadikan semuanya kini kelihatan lebih mudah buat Fred.

Akhirnya pelaburan £52 juta yang dilakukan United ke atas Fred tampak seperti sudah terbayar, manakala masih banyak lagi potensi yang bakal anda lihat dalam diri McTominay selaku prospek masa depan kelab. Cuma satu persoalan besar di sini ialah bagaimanakah agaknya nasib gandingan ini (terutamanya Fred) bila Pogba cergas sepenuhnya dan kembali memikul peranan sebagai `jeneral’ jentera tengah United? Atau berapa besarkah kemungkinan untuk Fred, McTominay dan Pogba diturunkan serentak dalam kesebelasan utama United? Glory Glory Manchester United!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan