05 Julai 2020

TANGGA KETIGA...BUKAN LAGI SATU GURAUAN



Bukan lagi tangga keempat, tetapi kini impian penyokong-penyokong Manchester United ialah mahu melihat barisan kendalian Ole Gunnar Solskjaer menamatkan saingan liga musim ini di tangga ketiga. United masih kekal di tangga kelima selepas mereka memungut 55 mata dari 33 aksi yang sudah diharungi. Bagaimanapun Leicester City selaku pasukan yang berada di tangga ketiga cuma memiliki kelebihan tiga mata, manakala Chelsea (ditangga keempat) pula cuma dipisahkan dua mata dari United.

Sejak Februari lalu, United sudah mengharungi 16 aksi dalam semua kejohanan tanpa tewas dan momentum tersebut berjaya mereka teruskan sebaik sahaja saingan liga disambung semula pada 18 Jun lalu selepas tertangguh selama lebih tiga bulan akibat penularan pandemik virus Covid-19. Kehadiran Bruno Fernandes, prestasi Anthony Martial serta Mason Greenwood yang semakin bagus dan kembalinya Paul Pogba serta Marcus Rashford dari kecederaan panjang menjadikan United kini kesebelasan yang sangat berbeza.

Jika pada Disember lalu ramai pihak yang meragui kemampuan United untuk menggapai misi menamatkan saingan liga di posisi empat teratas, kini situasi sudah berubah 360ยบ. Malah bukan sesuatu yang keterlaluan juga jika penyokong-penyokong United mula mengimpikan agar anak-anak buah Solskjaer menamatkan saingan musim ini dengan menjulang dua kejuaraan memandangkan mereka sudahpun berada di peringkat separuh akhir Piala FA dan hanya selangkah untuk layak ke peringkat suku akhir Liga Europa.

Sebenarnya untuk sebuah kelab seperti Manchester United, menamatkan saingan liga di posisi ketiga bukanlah sesuatu yang perlu dibanggakan. Tetapi di sebalik semua itu, perkara positif yang dapat anda lihat ialah United semakin meningkat dari perlawanan ke setiap perlawanan. Mereka kini bukan lagi kesebelasan yang sering dijadikan bahan jenaka oleh penyokong-penyokong lawan, tetapi United kini sudah berubah kerana mereka kini dilihat sebagai kesebelasan yang `tidak lagi kenal erti kekalahan’.

Jika misi menamatkan saingan liga di tangga ketiga mahu di gapai, United wajib menang kesemua baki lima perlawanan mereka selepas ini. Bukanlah sesuatu yang mustahil untuk mereka melakukannya kerana selain Leicester City, empat lagi pasukan yang bakal dihadapi United (Aston Villa, Southampton, Crystal Palace dan West Ham) merupakan kesebelasan yang berada di kelompok 12 terbawah carta liga. Dari perlawanan ke perlawanan, United kini sudah menunjukkan permainan terbaik mereka, sesuatu yang sebenarnya tidak dapat anda lihat sepanjang fasa pertama saingan liga.

Dalam aksi liga yang dilangsungkan pada Sabtu, barisan kendalian Solskjaer sekali lagi menunjukkan kepada kita bagaimana United sepatutnya bermain. Berdepan dengan AFC Bournemouth, kesebelasan yang pernah menewaskan mereka (1-0) dalam aksi pusingan pertama liga pada November lalu, United berhasil menembusi pintu gol lawan sebanyak lima kali meskipun mereka pada awalnya ketinggalan menerusi gol jaringan Junior Stanislas. Tiada kompromi untuk barisan kendalian Eddie Howe yang kini sedang bergelut untuk keluar dari zon penyingkiran.

Tiga Serangkai

Sorotan utama selepas tamat aksi di Old Trafford itu tentunya penampilan trio Anthony Martial, Marcus Rashford dan Mason Greenwood di barisan hadapan The Red Devils. Empat dari lima gol yang dijaringkan United ke gawang Bournemouth dihasilkan oleh trio ini, dan nampaknya Solskjaer sudah memiliki tiga nama ini sebagai sandaran beliau untuk meledak gawang lawan. Fleksibiliti dalam permainan ketiga-tiga mereka sebenarnya merupakan bonus tambahan untuk Solskjaer selaku pengendali.

Sepertimana yang anda tahu, Martial, Rashford dan Greenwood memiliki kemampuan untuk bermain di semua posisi di bahagian hadapan. Sama ada boleh berperanan sebagai targetman atau bergerak di sisi kiri dan kanan, tipikal permainan ketiga-tiga mereka yang hampir sama membolehkan Solskjaer memberikan mereka kebebasan untuk melakukan gerakan di zon pertahanan lawan. Situasi ini boleh anda lihat apabila ketiga-tiga mereka sering bertukar-tukar posisi terutamanya ketika United berdepan Sheffield United, Brighton dan Bournemouth.

Setakat ini, trio Martial, Rashford dan Greenwood sudah menyumbang 38 jaringan dari jumlah keseluruhan 56 gol yang dihasilkan United dalam saingan liga. Selain daripada itu, Martial dan Rashford juga berkongsi kedudukan sebagai penjaring terbanyak United menerusi 20 gol yang dihasilkan mereka dalam semua kejohanan musim ini. Untuk rekod, ini adalah kali pertama kita menyaksikan dua pemain United berjaya menjaringkan 20 gol selepas Dimitar Berbatov dan Javier Hernandez melakukannya pada musim 2010/11.

Menerusi dua gol yang diledak Greenwood ketika berdepan Bournemouth membolehkan pemain muda ini mengumpul 15 gol dalam saingan musim ini. Catatan ini menyaksikan Greenwood muncul pemain termuda United yang berjaya mencecah angka 15 gol selepas Wayne Rooney pada musim 2004/05. Ketika itu, Rooney berjaya menjaringkan 17 gol semusim dalam semua peringkat kejohanan pada musim pertama beliau di Old Trafford selepas melakukan perpindahan sensasi dari Everton.

Dengan United masih memiliki baki lima perlawanan lagi dalam saingan liga serta prospek untuk melangkah ke pentas final Piala FA serta mara lebih jauh dalam saingan Liga Europa, saya optimis bahawa Greenwood mampu melangkaui angka jaringan yang dilakukan Rooney 15 tahun lalu. Dua gol yang diledak beliau ke gawang Bournemouth juga sebenarnya satu isyarat jelas yang diberikan Greenwood kepada Solskjaer bahawa beliau sebenarnya sudah layak untuk disenaraikan dalam kesebelasan utama United secara lebih kerap selepas ini.

Greenwood adalah penyebab utama mengapa Daniel James lebih kerap memanaskan bangku simpanan United sejak kebelakangan ini. Kemampuan beliau ketika melakukan cut inside selain dianugerahkan sepasang kaki yang sama kuat meletakkan Greenwood pilihan yang lebih unggul berbanding James untuk mengisi posisi di sisi kanan. Tidak ramai sebenarnya pemain kelas dunia yang mampu menggunakan kedua-dua belah kaki mereka dengan baik sepertimana Greenwood. Jadi sudah tentu juga sukar buat mana-mana pemain pertahanan bila berdepan dengan pemain seperti ini.

Impak Bruno

Secara peribadi, saya menganggap United melakukan tindakan yang agak perlahan dalam usaha mereka merekrut Bruno Fernandes. Meskipun sudah dikaitkan dengan perpindahan ke Old Trafford sejak musim panas lagi, perpindahan bintang antarabangsa Portugal itu hanya berjaya direalisasikan pada Januari lalu. Akhirnya sepertimana yang anda lihat, impak yang sangat besar diberikan Fernandes kepada kesebelasan The Red Devils sejak penampilan pertamanya ketika berdepan Wolverhampton Wanderers pada 1 Februari lalu.

Ketika berdepan Bournemouth, Fernandes sekali lagi membuktikan kepada kita mengapa United perlukan seorang playmaker seperti beliau. Dua bantuan gol disumbangkan Fernandes dalam perlawanan ini, selain satu gol indah menerusi sepakan percuma yang terus menerjah ke gawang lawan. Secara keseluruhannya, Fernandes sudah terlibat dengan 11 gol yang dihasilkan United, atau secara spesifiknya beliau sudah menjaringkan enam gol dan mencipta lima assist sejak tiba di Old Trafford pada Januari lalu.

Penutup

Individu yang mula bimbang melihat kebangkitan United terutamanya selepas saingan liga disambung semula tentunya Frank Lampard. Kebimbangan Lampard memang ada asasnya kerana dalam tiga aksi terakhir liga, United sudah meledak gawang lawan sebanyak sebelas kali. Ketika saingan liga berbaki lima perlawanan sebelum ditamatkan, Chelsea pula sekadar memiliki kelebihan dua mata di hadapan United selaku pasukan yang berada di tangga keempat.

Selepas menyaksikan apa yang dilakukan United ketika berdepan Bournemouth, Lampard sedar bahawa Chelsea tidak boleh keciciran mata lagi pada baki saingan musim ini, atau mereka berdepan kemungkinan terlepas slot aksi ke saingan Liga Juara-Juara musim hadapan. Selain Lampard, Brendan Rodgers juga perlu berhati-hati kerana posisi Leicester City di tangga ketiga tidak lagi selamat apatah lagi skuadnya perlu berdepan United pada 26 Julai ini.

Jika dahulunya penyokong-penyokong sekadar mengharapkan agar United mampu menamatkan saingan liga di posisi keempat, kini saya percaya sasaran tersebut sudah berubah. Bukan lagi tangga keempat, tetapi kini misi menyingkirkan Leicester City dari tangga ketiga adalah misi yang mampu dilaksanakan barisan Solskjaer. Kini misi mengejar tangga keempat bukan lagi satu misi mustahil kerana United sebenarnya mampu menamatkan saingan liga di posisi lebih baik, iaitu di belakang Liverpool dan Manchester City selaku tiga kelab terbaik di England. Glory Glory Manchester United!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan