Pada
mulanya beliau dilabel sebagai pembelian panik yang dilakukan United selepas
mereka gagal mendapatkan khidmat Jadon Sancho. Keputusan kelab menandatangani
seorang penyerang yang sudah berusia 33 tahun juga sebenarnya turut dipandang
sinis, kerana Edinson Cavani dikatakan sudah melepasi zaman kemuncaknya selaku
antara penggempur digeruni meskipun beliau memegang status selaku penjaring
terbanyak Paris St Germain sepanjang zaman.
Ketika
kelibatnya turut dikaitkan dengan Atletico Madrid, Leeds United dan Everton,
Cavani akhirnya diumumkan secara rasmi sebagai pemain United pada hari terakhir
sebelum jendela perpindahan pemain musim panas ditutup. Pada usia beliau yang
sudah mencecah 33 tahun, timbul persoalan adakah beliau masih mampu beraksi di
pentas tertinggi liga utama Eropah seperti Liga Perdana?
Pilihan
Lebih Baik Selaku Penyerang Tengah
Jadi
tidak hairanlah mengapa perbandingan mula dibuat sama ada Cavani mampu
memberikan impak sepertimana Zlatan Ibrahimovic atau gagal sepertimana Radamel
Falcao, dua penyerang berprofil tinggi yang pernah membarisi jentera serangan
United. Cavani cuma diberikan kontrak selama setahun, jadi memang jelas bahawa
beliau hanyalah perancangan jangka pendek Ole Gunnar Solskjaer yang terdesak
dan memerlukan seorang penyerang tengah tulen di dalam skuadnya.
Meskipun
begitu, dengan reputasi yang dimilikinya serta statistik jaringannya, Cavani
adalah pilihan yang jauh lebih bagus berbanding Odion Ighalo atau Anthony
Martial untuk menggalas peranan selaku `pemain nombor 9’. Musim lalu Solskjaer
bergantung kepada Martial untuk bertindak sebagai penyerang tengah yang
menyaksikan beliau muncul penjaring terbanyak United menerusi 23 gol yang
dihasilkannya dalam semua peringkat kejohanan.
Bagaimanapun
musim ini graf prestasi Martial menurun secara drastik. Dari lima penampilan
beliau dalam saingan liga, Martial masih tercari-cari gol pertamanya meskipun
beliau sudah menjaringkan dua gol dalam saingan Liga Juara-Juara. Melihat
kepada situasi terkini yang dialami Martial, keputusan kelab mendapatkan
khidmat Cavani adalah satu keputusan yang tepat meskipun pada awalnya beliau
dianggap tidak menepati polisi pembelian pemain baharu United.
Dari
lima penampilan beliau di Liga Perdana, Cavani belum sekalipun diturunkan dalam
kesebelasan utama United. Meskipun begitu, beliau sudah menjaringkan tiga gol
menerusi penampilannya dari bangku simpanan United. Gol pertama dari beliau
hadir ketika United menewaskan Everton (3-1) di Goodison Park pada 7 November
lalu, dan dua lagi gol dijaringkannya ke gawang Southampton dalam aksi yang
dilangsungkan di St Mary.
Naluri
Pembunuh
Sudah
tentu penampilan Cavani di St Mary menjadi bualan hangat penyokong-penyokong
United, kerana dua gol itu (terutamanya jaringan beliau di masa kecederaan)
membolehkan United pulang ke Old Trafford dengan tiga mata penuh. Comeback,
injury time dan supersub adalah tiga elemen yang sebenarnya cukup
sebati dengan `jiwa’ United. Dan elemen itulah yang mewarnai aksi penuh
dramatik di St Mary dengan Cavani muncul antara watak utama.
Sangat
ironi bila memikirkan salah seorang dari mangsa comeback United
kira-kira 20 bulan yang lalu menjadi wira pula kepada kebangkitan barisan The
Red Devils di St Mary. Untuk makluman anda, Cavani adalah antara pemain
yang beraksi di Parc des Princes ketika Paris St Germain disingkir United dari
saingan Liga Juara-Juara menerusi peraturan gol di gelanggang lawan hasil dari kemenangan
(3-1) yang dilakar mereka di kota Paris.
Berbeza
dengan wajah muramnya saat PSG disingkir United dari saingan Liga Juara-Juara
20 bulan lalu, St Mary pula adalah pentas yang seolah-olah dicipta untuk Cavani
mempamerkan naluri pembunuhnya selaku penyerang tengah tulen. Jika pada separuh
masa pertama James Ward-Prowse adalah bintang di St Mary menerusi assist
dan gol menerusi sepakan percuma dari kaki kanannya yang menewaskan David De
Gea, 45 minit babak kedua pula adalah milik mutlak Cavani.
Hanya
15 minit selepas beliau masuk menggantikan Mason Greenwood, hantaran yang
dilakukan Cavani berjaya disudahkan Bruno Fernandes untuk gol pertama United.
Gol itu menghidupkan kembali perjuangan United untuk sekurang-kurangnya memaksa
Southampton berkongsi mata. Bagaimanapun masih ada baki 30 minit selepas gol
jaringan Bruno itu terhasil, dan aura optimisme untuk melihat United melakukan comeback
semakin kuat terasa.
Selang
14 minit kemudian, giliran El Matador pula meletakkan namanya selaku
penjaring di scoreboard, dan sekali lagi kealpaan benteng pertahanan
lawan dihukum beliau menerusi gol kedua yang dijaringkannya di masa kecederaan.
Dua gol yang dijaringkan Cavani adalah contoh terbaik bagaimana dinamisnya
pergerakan tanpa bola beliau di dalam petak penalti lawan, naluri yang
sebenarnya hanya dianugerahkan kepada penyerang tengah tulen seperti beliau.
Gol
kedua dan ketiga United di St Mary memiliki persamaan, iaitu mereka
memanfaatkan kelemahan koordinasi benteng pertahanan lawan pasca situasi bola
mati. Satu kesilapan besar dilakukan Jannik Vestergaard dan Jan Bednarek dengan
membiarkan penyerang yang memiliki instinct seperti Cavani lolos dari
celah-celah pertahanan mereka. Untuk berdepan dengan penggempur seperti Cavani
anda tidak boleh hilang fokus tetapi itulah yang berlaku di penghujung
perlawanan hingga terhasilnya gol kemenangan United dari kepala Cavani.
Belajar
Dari Cavani
Sumbangan
Cavani tidak terbatas dengan dua gol yang dihasilkannya tetapi lihat juga
pergerakan-pergerakan tanpa bola yang dilakukan beliau. Assist yang
dicipta beliau untuk gol pertama adalah contoh terbaik bagaimana `fluidity’nya
gerakan-gerakan yang diatur United berbanding penampilan mereka di separuh masa
pertama. Kelebihan inilah (pergerakan-pergerakan tanpa bola dan naluri) penyudah
beliau di hadapan gawang yang tidak dimiliki sama ada oleh Anthony Martial atau
Mason Greenwood.
Tipikal
penyerang tengah seperti Cavani ialah beliau perlukan rakan-rakan sepasukan untuk
memahami setiap pergerakannya di dalam petak penalti lawan sebelum hantaran
dilakukan. Dan itulah yang dilakukan Marcus Rashford ketika beliau memberikan assist
untuk gol kedua Cavani. “Pergerakan, pergerakan dan pergerakan. Setiap
penyerang muda patut belajar dan lihat bagaimana dia bermain. Ini semua
berkenaan pergerakan tanpa bola”, kata Jimmy Floyd Hasselbaink yang memuji impak
di bawa Cavani pada separuh masa kedua.
Cavani
sudah membuktikan kemampuannya menerusi tiga gol yang beliau jaringkan meskipun
dari lima aksi liga, beliau bermula dari bangku simpanan. Jumlah tiga gol yang
dijaringkan Cavani ini sebenarnya lebih banyak dari shoot on target yang
dihasilkan Martial, pemain yang sebelum ini sering digunakan Solskjaer untuk
berperanan sebagai penyerang tengah. United perlukan elemen instinct
semulajadi dari penyerang tengah tulen seperti Cavani untuk memburu gol,
penyerang yang tahu meletakkan dirinya di posisi yang tepat, bijak melakukan
pergerakan dan mampu menjaringkan gol dalam pelbagai situasi.
Penutup
Tanggungjawab
besar yang bakal dipikul Cavani selepas ini bukan sahaja memenuhi harapan
penyokong sebagai pemburu gol utama The Red Devils tetapi juga sebagai
penyarung jersi `nombor 7’ United yang ikonik. Pada usia 33 tahun, keinginan
beliau untuk menjaringkan gol tetap membara dan keseronokan beliau setiap kali
berjaya menewaskan penjaga gol lawan tidak pernah pudar dari wajahnya. Beliau
pernah mengatakan bahawa jersi `nombor 7’ United adalah motivasi dan bukan satu
tekanan untuk dirinya. Jadi tolong kembalikan semula maruah jersi `nombor 7’ itu
kepada kami wahai Edi Cavani. Glory Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan