Tengah malam tadi, seluruh
warga maya digegarkan dengan berita kepulangan semula Cristiano Ronaldo ke Old
Trafford, walaupun sebelum itu beliau digembar-gemburkan lebih condong bakal
menyarung jersi biru Manchester City. Sejak meninggalkan kelab pada musim panas
2009, penyokong-penyokong Manchester United sentiasa mendambakan agar suatu
hari nanti Ronaldo akan kembali semula ke Old Trafford, bermain dan menyarung
jersi merah The Red Devils sebelum bersara. Jadi kepulangan semula beliau
selepas 12 tahun meninggalkan kelab merupakan hadiah yang sangat istimewa buat
penyokong-penyokong United.
Selama enam musim menabur bakti
di Old Trafford, Ronaldo memang menjadi pujaan jutaan penyokong-penyokong
United menerusi sumbangan besar yang beliau mainkan di atas padang. Kelicikan beliau
membelah pertahanan lawan menerusi skill individu memukau, jaringan demi
jaringan yang dihasilkannya serta kerja kerasnya menyebabkan Ronaldo muncul
antara pemain United yang sangat digilai dan begitu dicintai oleh penyokong-penyokong.
Atas sebab itulah mengapa majoriti penyokong-penyokong United masih memuja
Ronaldo, sama ada ketika beliau menyarung jersi Real Madrid ataupun Juventus.
Prospek
Untuk Kembali
Sebenarnya, penyokong-penyokong
United tidak pernah berhenti berharap untuk melihat Ronaldo kembali ke pangkuan
kelab. Pada Mac 2013, terdapat rumours yang mengaitkan perpindahan
semula beliau ke Old Trafford. Ketika itu Chevrolet diberitakan sedia membiayai
`perpindahan semula’ Ronaldo dengan nilai sebanyak £55 juta. Kemudian pada
Februari 2016, desas-desus tentang kembalinya Ronaldo ke Old Trafford bertiup
semula. Bagaimanapun, Ronaldo kemudiannya mengeluarkan kenyataan bahawa beliau
akan terus kekal di Santiago Bernabeu hingga kontraknya tamat pada 2018.
Bagaimanapun pada 2018, Ronaldo
tidak kembali ke England. Sebaliknya beliau menyertai Juventus dan menjadikan
Serie A sebagai cabaran baharu dalam kariernya. Penyokong United hampa lagi, kerana
pada usia 33 tahun ketika itu, peluang melihat Ronaldo kembali ke Old Trafford sebenarnya
semakin malap. Apa yang boleh anda gambarkan ketika itu ialah Ronaldo akan
bermain selama empat musim di Turin dan menamatkan kariernya bersama Juventus.
Jangkaan bagaimanapun tidak selalunya tepat, ramalan juga tidak selalunya
menjadi kenyataan. Begitu jugalah dengan situasi Ronaldo.
Secara tiba-tiba Ronaldo enggan
bermain lagi untuk Juventus meskipun kontraknya bersama gergasi Itali itu masih
berbaki semusim. Sejak awal bulan ini lagi, desas-desus tentang kemungkinan Ronaldo
meninggalkan kota Turin sudah bertiup kencang. Cuma yang menjadi persoalan ketika
itu ialah kemanakah destinasi baharu yang beliau akan tuju. Dua kelab paling
disebut-sebut bakal disertai Ronaldo ialah Paris St Germain (PSG) dan
Manchester City. Prospek menggabungkan dua GOAT dalam sebuah pasukan tentunya
idea yang hebat untuk PSG selepas mereka terlebih dahulu berjaya mendapatkan tandatangan
Lionel Messi.
Di England pula, bukan United tetapi
City adalah kelab yang diletakkan sebagai favourite untuk Pep Guardiola menyenaraikan
Ronaldo dalam kesebelasan utama beliau. Segala aspek memihak kepada City, apatah
lagi Ronaldo juga dikhabarkan secara peribadi sudah bersetuju dengan segala
terma dan syarat untuk beliau menyertai skuad juara bertahan Liga Perdana itu. Berbanding
City, United pula lebih defensive bila berbicara tentang Ronaldo, malah
terdapat juga laporan yang mengatakan bahawa kelab tidak berminat membawa
pulang semula pemenang lima anugerah Ballon d’Or itu ke Old Trafford.
Bergerak
Dalam Senyap
Ketika Ronaldo dikhabarkan
semakin hampir menyertai City, United pula rupa-rupanya tidak pernah diam berpeluk
tubuh. Mana mungkin membiarkan pemain yang sudah diletakkan statusnya sebagai lagenda
kelab itu beraksi untuk seteru yang cukup sinonim dengan label sebagai `jiran
yang bising’ itu. Dalam laporan Manchester Evening News, mereka menyebut
bahawa keluarga Glazer turut memainkan peranan penting dalam misi United
memintas City bagi mendapatkan khidmat Ronaldo.
Sebaik sahaja kelab mengetahui bahawa
Ronaldo sah mahu meninggalkan Juventus, gerakan pun dilakukan secara senyap bagi
mendapatkan kembali pemain itu. Sudah tentu orang paling layak mengetuai misi
tersebut ialah Sir Alex Ferguson, individu yang sering dianggap Ronaldo sebagai
mentor beliau. Fergie dilaporkan menghubungi Ronaldo pada pagi Jumaat ketika
khabar angin semakin kuat bertiup mengaitkan perpindahan bekas anak didik
beliau itu ke Stadium Etihad.
Akhirnya pada tengah malam tadi,
United mengumumkan kejayaan misi mereka di laman rasmi milik kelab selepas kesepakatan
dengan Ronaldo berjaya dicapai. Pengenalan secara rasmi Ronaldo selaku `pemain
baharu’ United akan dilakukan selepas beliau selesai menjalani ujian perubatan.
Berita ini akhirnya menamatkan segala teka-teki, debaran dan plot tentang saga
perpindahan Ronaldo, hanya dua minggu selepas Lionel Messi melengkapkan
perpindahannya ke PSG.
Perpindahan
Saga
Bursa perpindahan pemain musim
panas kali ini digoncangkan dengan dua perpindahan besar membabitkan dua pemain
yang dilabel sebagai terbaik pada era mereka. Messi menyertai PSG, manakala
Ronaldo pula pulang semula ke pangkuan United. Pada awalnya ramai pihak menyangka
bahawa berita perpindahan Messi akan menjadi satu-satunya berita perpindahan
besar musim panas ini, tetapi kini tidak lagi. Dua minggu lalu berita
perpindahan Messi mendominasi halaman belakang akhbar, tetapi selepas ini giliran
Ronaldo pula mengambilalih perhatian warga dan peminat bolasepak.
Jika perpindahan Ronaldo ke
Manchester City menjadi kenyataan, ia akan menjadi berita besar tetapi impaknya
tidak akan sebesar dengan berita kepulangan beliau ke pangkuan United. 18 tahun
silam, Sir Alex Ferguson menandatangani Ronaldo dari Sporting Lisbon, di mana
idea beliau ketika itu ialah meletakkan seorang `prospek panas’ sebagai
pengganti David Beckham yang dilepaskan ke Real Madrid. Ronaldo tidak perlu
menunggu lama untuk beliau mempesonakan khalayak penyokong-penyokong United.
Penampilan pertama ketika berdepan Bolton Wanderers menjadi `signature’
kehadiran beliau dan kekal diingati hingga kehari ini.
Masih segar diingatan bagaimana
seorang remaja kurus kering berjaya memaksa pertahanan berpengalaman seperti
Ivan Campo dan Bruno N’Gotty bekerja keras selama 30 minit sebaik sahaja Fergie
memberikan penampilan pertama buat Ronaldo diminit ke-60 dalam perlawanan itu. Diamanah
jersi `nombor 7’ yang ikonik itu rupa-rupanya bukanlah satu tekanan yang
terlalu berat untuk beliau pikul. Selepas aksi menentang Bolton pada Ogos 2003
itu, Ronaldo tidak lagi menoleh kebelakang. Dari remaja kurus kering, Ronaldo
membina kariernya hingga muncul mesin gol United dan pemain yang sangat
ditakuti mana-mana pertahanan lawan.
Penutup
Persoalannya sekarang, masih
relevankah Ronaldo untuk United pada usia beliau yang sudah mencecah angka 36
tahun? Ronaldo memang sudah dimamah usia, tetapi apa yang patut anda perhatikan
ialah prestasinya di atas padang. Ingat lagi bagaimana beliau memecut selaju 32
km/j pada jarak 97 meter ketika menjaringkan gol pertama Portugal dalam aksi
menentang Jerman di Euro 2020 yang lalu? Ronaldo antara segelintir pemain yang
sangat komited menjaga prestasinya, jadi tidak hairanlah mengapa beliau masih
mampu tampil memukau ketika ramai pemain seusianya tidak lagi mampu beraksi di
pentas tertinggi.
Kini Ronaldo datang ke Old Trafford bukan lagi sebagai remaja kurus kering yang naif tentang bolasepak peringkat tinggi. Kini beliau datang dengan reputasi sebagai bintang besar bolasepak dunia, serta pemain yang diiktiraf sebagai terbaik pada eranya. Selama 12 tahun sejak beliau meninggalkan kelab, Ronaldo sudah memenuhi ambisinya untuk menjadi yang terbaik dan memenangi kesemua trofi yang ditawarkan di peringkat kelab. Jadi apa lagi yang paling sempurna bagi beliau selain kembali ke `tempat asal’, menghabiskan masa-masa penghujung kariernya di sini dan dicintai penyokong sebagai lagenda kelab. Tiada tempat selain di sini untuk anda lebih dicintai Ronaldo…Glory Glory Manchester United!!!