Manchester United akhirnya
memperkenalkan secara rasmi Raphael Varane selaku pemain baharu mereka. Momen
pengenalan Varane sebagai ahli baharu The Red Devils itu dipilih kelab
sebelum berlangsungnya sepak mula liga menentang Leeds United pada Sabtu lalu.
Sambil mengenggam jersi nombor 19, kehadiran Varane disambut meriah puluhan
ribu penyokong-penyokong United di Old Trafford, tanda mereka sangat meraikan
kehadiran pemenang medal Piala Dunia, tiga kejuaraan La Liga dan empat
kejuaraan Liga Juara-Juara itu.
Secara keseluruhannya,
perpindahan Varane dari Santiago Bernabeu ke Old Trafford membabitkan nilai
sebanyak £41 juta, angka yang boleh dianggap sangat berbaloi jika diambilkira
reputasi dimiliki beliau selaku antara `centre back’ terbaik dunia
ketika ini. United bolos 44 gol dalam saingan liga musim lalu, jadi sudah tentu
mengapa mereka sangat perlukan khidmat seorang pertahanan tengah berpengaruh
seperti Varane bagi menambah kekuatan di benteng pertahanan. Atas sebab itulah
mengapa Varane dianggap sebagai rakan gandingan yang ideal buat Harry Maguire.
Sudah empat musim United
ketandusan sebarang kejuaraan, jadi musim ini merupakan musim yang mencabar
untuk Ole Gunnar Solskjaer merealisasikan impian penyokong-penyokong yang mahu
melihat trofi pertama di bawa masuk ke Old Trafford pada era pengurusan beliau.
Musim lalu, Solskjaer hampir sahaja melakukannya selepas berjaya mengemudi
United mara ke final Liga Europa. Bagaimanapun Solskjaer dan trofi pertama
beliau sebagai pengurus United hanya dipisahkan menerusi satu sepakan penalti
yang gagal disempurnakan. Akibatnya penyokong-penyokong United terpaksa
menunggu lagi.
Jika impian menjulang kejuaraan
mahu direalisasikan, Solskjaer perlu menambahbaik beberapa sektor dalam
skuadnya, dan benteng pertahanan adalah diantaranya. Bukan mahu menidakkan
keupayaan Victor Lindelof, tetapi jika Solskjaer mahu menjadikan United
pencabar utama kejuaraan musim ini, beliau perlu memiliki sepasang bek tengah
yang dominan. Fakta ini sudah dibuktikan Sir Alex Ferguson lama dahulu. Kekuatan
United sepanjang era Fergie dibina menerusi kukuhnya struktur pertahanan
mereka.
Masih ingat lagi dengan
gandingan Steve Bruce/Gary Pallister, Ronny Johnsen/Jaap Stam dan sudah tentu
Rio Ferdinand/Nemanja Vidic antara duo bek tengah paling diingati ketika era
kemasyhuran United. Selepas berakhirnya era Ferdinand/Vidic, United masih
bergelut mencari sepasang bek tengah berpengaruh yang bukan sahaja mampu
menjadi tembok pelindung kepada gawang mereka, tetapi juga komander di benteng
pertahanan. Semoga pencarian selama bertahun-tahun itu berakhir dengan
kedatangan Varane.
Cinta
Lama
Kisah antara United dan Varane bukan kisah
baharu. Analogi paling tepat ialah Varane dan United umpama kisah cinta lama
yang berpaut kembali. Sepuluh tahun lalu, ketika Varane baru berusia 18 tahun,
satu gerakan telah diatur Fergie bagi `mendaratkan’ bek muda ini di Old
Trafford. Perkara ini didedahkan Fergie dalam buku tulisan beliau berjudul Leading
yang diterbitkan pada 2015. “Saya memandu dari Euston ke Lille bagi mendapatkan
seorang bek muda Perancis. Ketika itu, David Gill juga sudah melakukan urusan
berkaitan kontrak dengan Lens. Tetapi entah macam mana Zidane tahu akan hal
tersebut dan merampasnya betul-betul di depan mata kami”, kata Fergie.
Kini selepas sepuluh tahun, peluang
akhirnya datang semula dan kali ini United akhirnya berjaya mendapatkan
tandatangan Varane. Penghijrahan Sergio Ramos yang juga merupakan rakan
gandingan beliau di Madrid, serta pemergian Zidane antara faktor utama yang
membuka jalan perginya Varane dari Santiago Bernabeu ke Old Trafford. Bersama
Real, Varane menjalani tempoh sepuluh tahun yang sangat cemerlang, memenangi
kesemua trofi yang dipertandingkan baik di peringkat domestik, Eropah mahupun
dunia. Selebihnya, beliau perlukan keterujaan baharu dalam kariernya, di mana
Old Trafford adalah destinasi yang beliau pilih.
Bek
Moden
Dalam satu temubual dengan
Bleacher Report pada 2019, Varane mengatakan bahawa bek tengah dalam era
bolasepak moden bukan sekadar tentang melakukan kerja-kerja bertahan
semata-mata. Menurut beliau, seorang bek tengah moden adalah seorang pemain
paling `complete’ di tengah padang. Ia bukan lagi tentang bagaimana
bagusnya mereka ketika melakukan `tackle’ atau mengawal pemain lawan yang
berada di hadapan mereka, tetapi bek tengah moden adalah pusat gerakan dan
tulang belakang pasukan.
Dalam temubual tersebut, Varane
juga menggambarkan bahawa beliau seorang bek tengah yang `kontemporari’, iaitu
seorang bek tengah yang bukan sahaja memiliki kekuatan fizikal untuk melakukan
duel dengan mana-mana pemain lawan, tetapi juga bijak membaca permainan serta
mampu meletakkan dirinya sebagai pemain pertama dalam melakukan `build up’.
Contoh terbaik seorang bek tengah `complete’ yang anda lihat di Liga
Perdana ialah Virgil Van Dijk (maaf kepada penyokong-penyokong United kerana
anda tentunya tidak gemar dengan fakta tersebut).
Di Liverpool, Van Dijk
melakukan semua tugas, dari kerja-kerja defensif, melepaskan hantaran jauh atau
dekat dari garis pertahanan sendiri, melakukan `build up’ hinggalah
memberikan arahan kepada rakan-rakan sepasukannya. Persamaan ketara antara Van
Dijk dan Varane ialah mereka bukan sekadar bergantung kepada kekuatan fizikal
tetapi mereka juga adalah bek tengah yang `composure’. Jika bek tengah
klasik sering dikaitkan dengan corak permainan mereka yang keras, bek tengah
moden pula adalah sisi yang lebih `moderate’.
Di Madrid, Varane dan Ramos
merupakan dua bek tengah yang memiliki karakter sangat berbeza. Ramos sangat
dikenali kerana corak permainan kerasnya, manakala Varane pula lebih tenang,
jarang melakukan terjaha-terjahan berisiko serta berkebolehan membina gerakan
dari belakang. Jadi tidak hairanlah mengapa Zidane pernah melabelkan Varane
sebagai bek tengah yang solid dan `fenomenal’. Bukan kebetulan, kerana United
juga sebenarnya sudah memiliki seorang bek tengah yang `complete’
menerusi keberadaan Harry Maguire.
Jadi sangat mengujakan untuk
melihat bagaimana Varane dan Maguire mampu membentuk kerjasama selaku dua bek
tengah yang dominan di benteng pertahanan United nanti. Sepertimana Varane,
Maguire juga memiliki kemampuan melakukan `build up’, berkebolehan
melakukan `dribble’ dan cenderung melakukan `progressive passes’.
Catatan `offensive’ mereka menyaksikan Maguire mampu melepaskan purata
3.07 `progressive passes’ per perlawanan manakala Varane pula 2.51 di La
Liga. Apa yang menariknya, Varane juga mencatatkan purata 0.32 `dribble’
(per perlawanan) manakala Maguire pula 0.38.
Bagaimana pula dengan peratus ketepatan
hantaran yang dirakam Varane dan Maguire musim lalu? Musim lalu peratus ketepatan
hantaran jauh yang dilakukan Varane ialah 82.6%, manakala Maguire pula
mencatatkan 79.1%. Dalam aspek melakukan hantaran-hantaran pendek pula, Varane
dan Maguire masing-masing mencatatkan peratus ketepatan hantaran sebanyak 90%. Bagi
kesebelasan yang bermain secara `direct’ seperti United, kehadiran dua bek
tengah yang mampu membina gerakan dan memiliki kualiti hantaran yang bagus bakal
memberikan impak kepada permainan mereka. Untuk itu, anda juga akan melihat
United bermain dengan pendekatan garis pertahanan lebih tinggi berbanding
sebelumnya.
Mengikut statistik dari Markrstats,
garis pertahanan United merupakan yang kelima tertinggi dalam saingan liga musim
2020/21 di belakang Manchester City, Liverpool, Chelsea dan Brighton & Hove
Albion. Secara purata, jarak garis pertahanan United ialah 39.2 meter dari
gawang berbanding Manchester City (43.2 meter). Bagaimana pula pembabitan bek
tengah United di zon `middle third’ sepanjang musim lalu? Secara purata
Maguire menyentuh bola sebanyak 36.6 kali per perlawanan di zon `middle
third’, Lindelof pula 33.53 kali, manakala catatan Varane di La Liga pula
ialah 37.02.
Penutup
Melihat kepada catatan tiga bek
tengah United ini (Varane, Maguire dan Lindelof), apa yang boleh anda bayangkan
ialah Solskjaer akan menerapkan pendekatan lebih `offensive’ kepada gaya
permainan United musim ini. Anda akan melihat United akan bermain dengan garis
pertahanan lebih tinggi kerana mereka kini memiliki dua `ball playing
defender’ yang setara kualitinya. Cuma persoalannya sekarang, siapakah pilihan
yang boleh memainkan peranan sebagai `holding midfielder’ dengan
berkesan jika Maguire dan Varane diarah untuk bermain lebih jauh ke atas?
Tiada apa-apa yang perlu Varane
buktikan, kerana sebagai pemain beliau sudah memenangi kesemua kejuaraan yang
ditawarkan, baik di peringkat kelab mahupun antarabangsa. Di Old Trafford,
Varane bukanlah pemain tunggal yang pernah memenangi medal Piala Dunia kerana
selain beliau, Pogba dan Juan Mata juga sudah memilikinya. Tetapi harus
diingat, empat trofi Liga Juara-Juara yang pernah dimenangi Varane lebih banyak
berbanding (tiga) yang sudah diraih United sepanjang sejarah kelab. Varane menyertai
United kerana beliau mahukan cabaran baharu, jadi berikan sahaja apa yang
beliau mahukan dan tunggu impak yang bakal beliau berikan. Glory Glory
Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan