Ralph Hasenhuttl gembira meskipun
skuadnya sekadar seri 1-1 ketika berdepan Manchester United di St Mary pada
Ahad lalu, tetapi tidak bagi Ole Gunnar Solskjaer. Bagi Solskjaer, seri ketika
menentang Southampton umpama satu kekalahan, terutamanya selepas mereka menampilkan
aksi terpuji ketika berdepan Leeds dalam perlawanan pertama liga seminggu
sebelum itu. Anda boleh berdebat sepanjang minggu tentang gol kontroversi tuan
rumah, tetapi hakikatnya kita juga perlu mengakui bahawa United tidak bermain sepertimana
diharapkan di St Mary.
“Tiada kreativiti dan tiada
kualiti”, itu kata-kata ringkas yang keluar dari mulut Roy Keane selepas tamat
perlawanan. Paling ketara penampilan jentera tengah yang agak tenggelam dalam menangani
pendekatan high pressing kesebelasan The Saints, dan sudah
tentunya juga pemilihan pemain yang dilakukan Solskjaer dalam perlawanan ini
wajar diberi perhatian. Di St Mary, Solskjaer melakukan dua perubahan dalam
skuadnya berbanding ketika mereka menang besar ke atas Leeds minggu lalu.
Pertama, beliau menyenaraikan
Nemanja Matic bagi membentuk dua pivot bersama Fred dan meletakkan Scott
McTominay di bangku simpanan. Manakala yang kedua, beliau mengubah posisi di
bahagian depan dengan meletakkan Anthony Martial sebagai penyerang tengah. Dan
untuk itu, Daniel James terpaksa dikorbankan. Menurut Solskjaer, idea meletakkan
Martial sebagai penyerang tengah kerana beliau ingin menggunakan pendekatan dua
striker dalam perlawanan ini.
“Saya menyenaraikan Martial
kerana mahu dia bergandingan dengan Mason di bahagian hadapan. Mason akan
bergerak di sisi kanan dan Martial di sisi kiri”, kata Solskjaer. Idea itu pada
mulanya tampak bagus kerana sepertimana yang anda tahu, Martial pada kemuncak
prestasinya merupakan pemain yang memiliki mobiliti, kawalan bola dan penyudah
yang bagus. Tetapi itu dulu, kerana Martial kini bukan lagi pemain yang sama
ketika beliau meledak 23 gol sepanjang musim 2019/20.
Akibatnya, sepanjang babak
pertama Martial cuma mampu menyentuh bola sebanyak sepuluh kali, manakala sepanjang
59 minit penampilannya di St Mary, beliau melepaskan hanya satu percubaan dan peratus
ketepatan hantaran yang dilakukannya pula sekadar mencapai angka 67%. Melihat
kepada pendekatan Solskjaer memang sangat mengejutkan, apatah lagi bila
memikirkan bahawa kali terakhir Martial tersenarai dalam kesebelasan utama
United ialah pada Mac lalu.
Selain barisan hadapan,
keputusan Solskjaer merombak jentera tengah skuadnya juga mengudang persoalan.
Berbanding keputusan beliau menyenaraikan Martial dalam kesebelasan utama, idea
Solskjaer memilih Matic berbanding McTominay sebenarnya idea yang lebih mudah
kita fahami. Berbanding McTominay, Matic pula merupakan seorang holding
midfielder dengan kualiti hantaran yang bagus. Bagaimanapun pada usia 33
tahun, mobiliti beliau semakin terbatas.
Itu yang dapat anda lihat
sepanjang penampilan Matic di St Mary. Matic bagus dalam melakukan
hantaran-hantaran, tetapi mobiliti beliau yang rendah menyaksikan banyak
gerakan-gerakan yang cuba diatur United terganggu. Hakikat yang perlu anda akui
ialah kombinasi Matic/Fred merupakan titik kelemahan United ketika mereka berdepan
Southampton. Apa yang terjadi, Fred melakukan empat kesilapan hantaran hanya dalam
tempoh 16 minit pertama permainan.
Melihat kepada kemampuan
jentera tengah United terutamanya membabitkan pemain yang boleh berperanan dengan
berkesan sebagai holding midfielder, wajarlah kelab dikaitkan dengan
pemain seperti Ruben Neves. Pemain Wolverhampton Wanderers ini memang dikenali
sebagai seorang holding midfielder dengan kemampuan defensive dan
offensive yang bagus. Southampton berjaya mendedahkan titik kelemahan
United, jadi selepas ini sangat menarik untuk kita melihat apa yang bakal
dilakukan kelab pada baki tempoh jendela perpindahan musim panas ini.
Solskjaer perlu
mempertimbangkan secara serius untuk meletakkan seorang holding midfielder
yang dominan di jentera tengah skuadnya, setidak-tidaknya sebelum jendela
perpindahan pemain ditutup. Lihat sahaja peranan dimainkan Fernandinho bersama
Manchester City, Ngolo Kante untuk Chelsea atau Fabinho untuk Liverpool. Di
sinilah mengapa pentingnya United memiliki type pemain yang sama, seorang
pemain yang boleh bertindak sebagai water carrier bagi menghubungkan
barisan belakang dan barisan hadapan.
United pernah memiliki seorang holding
midfielder sebagus Michael Carrick, tetapi selepas persaraan beliau
pencarian untuk mengisi role tersebut nampaknya masih lagi berterusan.
Ketepikan idea mengarut yang mencadangkan agar Victor Lindelof diberikan peranan
baru sebagai holding midfielder, kerana untuk tugas tersebut seorang
pemain bukan sahaja perlu memiliki kualiti hantaran pendek dan jauh yang bagus
tetapi mereka juga mestilah seorang yang press-resistant. Siapa pemain
di luar sana yang sesuai? Dalam soal harga, Ruben Neves lebih realistik
berbanding Declan Rice. Glory Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan