Selepas dihidangkan dengan aksi
Euro 2020 selama sebulan, Liga Perdana akhirnya kembali mengambilalih posisi
mereka bagi menceriakan semula malam hujung minggu anda. Semalam, Manchester
United membuka langkah pertama dalam saingan baharu musim 2021/22 menerusi
kemenangan besar (5-1) yang dilakar mereka ke atas Leeds United. Tiada kelibat
Raphael Varane dan Jadon Sancho dalam kesebelasan utama, cuma yang dapat anda
lihat ialah barisan pemain musim lalu tetapi kita tetap dihiburkan dengan
persembahan menarik dipamerkan kedua-dua pasukan.
Permulaan musim ini boleh
dianggap permulaan yang lancar buat United. Dalam jendela perpindahan pemain,
United sukses dalam menjalankan operasi mereka ketika menandatangani Sancho dan
Varane. Ole Gunnar Solskjaer selaku pengendali pula diberikan lanjutan kontrak
baharu yang menyaksikan beliau kekal di kerusi pengurus hingga 2024. Tidak
sepertimana pengurus-pengurus United sebelum beliau, Solskjaer dilihat cukup memahami
budaya kelab, tahu apa yang penyokong mahukan dan bijak mengendalikan beberapa
pemain bintang yang ada dalam skuadnya. Lihat apa yang beliau lakukan kepada
Paul Pogba musim lalu.
“Saya dan pasukan kejurulatihan
saya sudah bersedia mengambil langkah selanjutnya. Kami mahu memenangi trofi dan
kami sedang menuju ke arah itu menerusi peningkatan yang dipamerkan, baik di
dalam mahupun di luar padang”, kata Solskjaer. Ambisi Solskjaer hampir menjadi
kenyataan musim lalu selepas United mara ke pentas final Liga Europa. Malangnya
potensi untuk United menjulang trofi pertama mereka di era Solskjaer ranap
hanya disebabkan satu sepakan penalti yang gagal disempurnakan. Kegagalan pada
malam final di Gdansk itu menyaksikan kemarau kejuaraan United berpanjangan
kepada empat musim.
Musim ini, mungkin antara musim
yang mengujakan buat penyokong-penyokong United. Impian selama dua tahun mereka
yang mahu melihat Sancho menyarung jersi The Red Devils direalisasikan
kelab. Begitu juga dengan kejayaan mendapatkan centre back kelas dunia
seperti Varane pada harga yang cukup `murah’. Sancho akan menambah variasi kepada
bentuk gerakan-gerakan offensive United, manakala Varane pula saya harap
bakal melengkapkan kepingan puzzle yang hilang di benteng pertahanan. Bagaimanapun
awal musim United `diganggu’ dengan kecederaan jangka panjang dialami Marcus Rashford
dan Alex Tellex.
Tanpa Edinson Cavani, Rashford
dan Varane, manakala Sancho pula hanya dimasukkan ketika tempoh sebenar berbaki
20 minit sebelum ditamatkan, penampilan United ketika berdepan Leeds semalam
memang mengujakan jika diambilkira faktor bahawa ini bukanlah kesebelasan
terbaik yang ditampilkan Solskjaer. United bermain baik sepanjang tempoh 90
minit permainan, menekan Leeds menerusi gerakan-gerakan dari sisi kanan, kiri
dan tengah yang dilancarkan mereka. Manakala pemain `anchor’ seperti Pogba dan
Bruno Fernandes terus membuktikan mengapa kehadiran mereka sangat penting dalam
kesebelasan utama United.
Empat bantuan gol yang dicipta
Pogba semalam meletakkan beliau selaku pemain ketujuh yang berjaya merakamkan
empat assist dalam satu perlawanan sepanjang sejarah Liga Perdana.
Manakala tiga gol yang diledak Bruno pula meletakkan beliau selaku pemain
pertama United yang berjaya menjaringkan hatrik dalam perlawanan pembukaan sejak
Lou Macari melakukannya pada musim 1977/78. Selebihnya, gol diledak Mason
Greenwood dan Fred adalah bonus tambahan kepada langkah pertama yang sangat
cemerlang buat United memulakan musim baharu mereka kali ini.
Kemenangan pada aksi pertama
liga adalah sangat penting. Tiga mata pertama yang dikutip adalah gambaran awal
bagaimana kemampuan barisan kendalian Solskjaer musim ini. Setidak-tidaknya
`tragedi’ tewas 1-3 kepada Crystal Palace dalam perlawanan pembukaan musim lalu
tidak berulang. Solskjaer mengimpikan permulaan yang cemerlang dalam musim
baru, setidak-tidaknya United perlu memanfaatkan lima aksi awal mereka dengan
catatan positif. Selepas ini mereka bakal berdepan Southampton, Wolverhampton,
Newcastle United dan West Ham, sekaligus melengkapkan lima aksi awal United
dimusim baru.
Musim lalu, United cuma mengutip
tujuh mata dari lima penampilan pertama mereka dalam saingan liga. Adakah musim
ini mereka mampu mengumpul jumlah mata yang lebih baik berbanding catatan lima
perlawanan awal mereka musim lalu? Untuk rekod, musim lalu United tidak tewas
ketika mereka berdepan Southampton, Wolves, Newcastle dan West Ham, jadi
sesuatu yang sangat menakjubkan jika kali ini mereka berjaya mengumpul mata
maksimum dari lima penampilan pertama. Adakah cabaran ini mustahil dilakukan?
Saya fikir tidak berdasarkan persembahan mereka semalam. Glory Glory Manchester
United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan