18 Ogos 2021

POGBA YANG `MENGGILA' DALAM PERANAN SEBAGAI `FREE ROLE'

 


Empat assist dari seorang pemain dalam satu perlawanan. Apa lagi yang boleh anda katakan selain `luarbiasa’. Pada aksi pertama liga musim ini, Paul Pogba melakukannya, malah beliau tampak seperti tidak terganggu disebalik cerita-cerita luar padang yang mengaitkan beliau dengan perpindahan ke Paris St Germain atau Real Madrid. Empat assist yang dicipta Pogba dilakukan beliau dalam empat situasi berbeza. Yang pertama, Pogba cepat bertindakbalas melakukan hantaran yang melepasi dua pemain lawan sebelum disempurnakan Bruno Fernandes.

 

Assist kedua dilakukan beliau menerusi hantaran jauh dari kawasan sendiri yang tepat dalam laluan larian Mason Greenwood. Yang ketiga, beliau berada di posisi nombor 10 sebelum melepaskan hantaran yang sekali lagi berjaya disempurnakan Bruno, manakala assist keempat pula dicipta Pogba menerusi gerakan `cut back’ beliau dari sisi kanan pertahanan lawan. Keempat-empat assist ini membuktikan tingginya kualiti dan visi permainan Pogba, manakala pergerakan dan hantaran-hantaran yang dilakukannya pula sering menyukarkan lawan.

 

Sepertimana yang anda tahu, Pogba sejak kepulangan semula beliau ke Old Trafford sering diberikan peranan yang berbeza-beza. Ketika era Jose Mourinho, Pogba `dipaksa’ untuk bermain lebih defensif meskipun semua orang tahu bahawa beliau bukanlah pemain yang memiliki disiplin bertahan yang bagus. Di era pengurusan Ole Gunnar Solskjaer pula, Pogba kadangkala anda lihat berperanan sebagai pemain `nombor 6’ dan juga `nombor 8’, malah ketika aksi liga United menentang Leicester City pada Disember 2020, Pogba berperanan sebagai inverted winger dalam sistem 4-2-3-1 yang digunakan Solskjaer.

 

Ada pendapat mengatakan bahawa sukar untuk mana-mana pasukan meletakkan dua pemain tengah yang memiliki attacking minded seperti Pogba dan Bruno dalam lineup yang sama. Tetapi apa yang ditampilkan United ketika mereka membelasah Leeds pula menunjukkan sebaliknya. Pogba dan Bruno membuktikan bahawa mereka boleh bekerjasama dalam membentuk kombinasi yang hebat di bahagian tengah The Red Devils. Hasilnya Bruno berjaya meledak tiga gol manakala Pogba pula menggila dengan empat assist yang diciptanya.

 

Empat assist yang dilakukan Pogba dalam hanya satu perlawanan sudah melepasi angka keseluruhan assist  yang beliau sumbangkan sepanjang musim lalu.  Apa yang menariknya dalam aksi menentang Leeds itu, Pogba tidak dibebankan dengan peranan tertentu, atau lebih tepatnya Pogba yang anda lihat ketika aksi menentang Leeds berperanan sebagai free role. Solskjaer memberikan kebebasan kepada Pogba untuk berlegar-legar di zon tengah atau mara lebih jauh bagi membantu serangan, dan nampaknya pemain antarabangsa Perancis itu benar-benar menikmati peranannya.

 

Selain penampilan mengagumkan yang dipamerkan Pogba dan Bruno, kredit juga wajar anda berikan kepada Solskjaer menerusi taktikal yang beliau terapkan dalam perlawanan ini. Pada dasarnya United bermain dengan sistem 4-2-3-1, tetapi `shape’ tersebut boleh berubah menjadi 4-3-3 sepertimana yang sering disebutkan Solskjaer dalam sidang media beliau sebelum ini. Di atas keras, anda melihat Pogba ditempat di sisi kiri dalam rangkaian tiga pemain tengah menyerang United, tetapi fungsi sebenar beliau ialah sebagai pemain `nombor 10’ manakala Bruno bertindak sebagai `false 9’.

 

Apa yang ditampilkan United ketika berdepan Leeds satu petanda baik bagi memulakan musim baharu, manakala penampilan `magis’ Pogba dan Bruno di bahagian tengah pula memberikan harapan awal kepada kita bahawa kelab kini sudah memiliki gandingan pemain tengah yang `sempurna’. Saya tidak tahu apa kesudahan masa depan Pogba di Old Trafford, semoga dengan persembahan cemerlang yang ditampilkannya bakal membuatkan beliau berfikir bahawa “United juga skuad yang kompetitif” dan mampu lebih mencabar musim ini. Glory Glory Manchester United!!!



Tiada ulasan:

Catat Ulasan