07 Ogos 2021

KEMANA HALUAN MESSI?

 


Pemain sehebat Lionel Messi sentiasa menjadi perhatian. Mana-mana penyokong pastinya mendambakan pemain seperti Messi berada dalam kesebelasan utama kelab yang mereka minati. Pastinya penyokong Manchester United juga tidak terkecuali. Semua orang tahu, Messi tidak akan bersama Barcelona musim depan kerana peraturan kawalan ekonomi (ECP) La Liga menyebabkan gergasi Catalan itu tidak mampu mengekalkan pemenang enam kali Ballon d’Or itu di Camp Nou. Jadi tiada apa yang mereka mampu lakukan selain melepaskan Messi pergi. Persoalan paling besar yang bermain dalam kepala pemerhati bolasepak dunia ketika ini, ialah kemana destinasi yang bakal menjadi pilihan Messi dan kelab mana paling berpotensi mendapatkan tandatangan `La Pulga’ dalam kontrak mereka?

 

Paris St Germain

 

Setakat ini Messi masih belum menentukan masa depan beliau, tetapi Fabrizio Romano mendedahkan bahawa Paris St Germain muncul kelab pertama menghubungi Messi bagi mendapatkan khidmatnya. Setakat ini PSG berjaya mendapatkan Sergio Ramos, Giorgino Wijnaldum dan Gianluigi Donnaruma di mana ketika-tiganya merupakan agen bebas. Jadi ada kemungkinan mereka mampu menjadikan Messi sebagai pemain agen bebas kempat yang berjaya ditandatangani. PSG antara kelab yang memiliki sokongan kewangan kukuh dan ambisi mereka yang mahu menjuarai trofi Liga Juara-Juara mungkin mampu menarik Messi berpindah ke kota Paris.

 

Manchester City

 

Kelab kedua berpotensi mendapatkan tandatangan Messi tentunya sebuah lagi kelab kaya yang berpangkalan di kota Manchester. Sudah tentu kelab yang saya maksudkan ialah Manchester City. City baru sahaja menjadikan Jack Grealish sebagai pemain termahal Inggeris, mereka juga masih dalam pemburuan untuk mendapatkan khidmat Harry Kane. Kelab yang memiliki sokongan kewangan kukuh dari pemilik seperti City juga pastinya tidak berdepan masalah menggajikan Messi. Sepertimana PSG, City juga terlalu inginkan trofi Liga Juara-Juara, dan dengan adanya Pep Guardiola di sana, Stadium Etihad antara destinasi yang ideal untuk Messi meneruskan kariernya.

 

Juventus

 

Di Itali pula, Juventus merupakan satu-satunya kelab paling berpotensi untuk disertai Messi. Gagal mempertahankan kejuaraan Serie A yang terlepas ke tangan Inter Milan musim lalu, Juventus pastinya akan lebih bernafsu melakukan persiapan menjelang musim baharu. Prospek beraksi dalam kesebelasan yang sama bersama Cristiano Ronaldo mungkin antara tarikan yang boleh membawa Messi berlabuh di kota Turin. Walaupun sukar membayangkan dua `seteru’ ini bermain dalam satu pasukan, tetapi bolasepak sebenarnya memiliki sejuta kejutan dan segala kemungkinan boleh sahaja berlaku.

 

Chelsea

 

Selain Manchester City, sebuah lagi kelab Inggeris yang berpotensi meletakkan Messi dalam kesebelasan utama mereka ialah Chelsea. Disokong menerusi aspirasi yang kuat dari Roman Abramovich yang mahukan Chelsea berada dalam kelompok kelab elit Eropah, beliau sudah membelanjakan berbilion Pound sejak mengambilalih The Blues pada 2003. Selaku juara bertahan Liga Juara-Juara, Thomas Tuchel pastinya akan lebih agresif melakukan persiapan bagi memperkuatkan skuadnya. Chelsea tampak seperti masih `menyimpan kuku’ dalam bursa perpindahan kali ini apabila Marcus Bettinelli masih menjadi satu-satunya pemain yang mereka tandatangani. Adakah mereka sebenarnya sedang mengintai sebarang peluang untuk membawa Messi ke Stamford Bridge?

 

Manchester United

 

Tidak sah jika tidak meletakkan United dalam senarai. Meskipun polisi pembelian pemain yang dilakukan kelab tidak mengarah kepada pemain mega bintang seperti Messi, tiada apa yang mustahil dalam bolasepak. Hanya beberapa kelab elit Eropah yang mampu memenuhi tuntutan gaji Messi, dan United adalah diantaranya. Jika Cristiano Ronaldo pernah membina karier beliau di Old Trafford, sebelum muncul nama besar dalam dunia bolasepak hari ini, Messi pula boleh menjadikan peluang beraksi bersama United sebagai pentas dan cabaran baharu buat beliau di penghujung kariernya. Sangat menarik jika dapat melihat pemain yang pernah menjadi watak penting kepada kegagalan United di dua pentas final Liga Juara-Juara (2009 dan 2011) mengakhiri kariernya dengan menyarung jersi merah The Red Devils.

 

Penutup

 

Bukan mudah mendapatkan khidmat pemain terbaik dunia seperti Messi. Meskipun mana-mana kelab tidak perlu membayar yuran perpindahan walau sesen pun kepada Barcelona, faktor gaji tinggi yang perlu ditanggung mereka setiap minggu wajar diberikan perhatian. Atas sebab itulah mengapa saya letakkan PSG dan Manchester City sebagai dua kelab paling berpotensi mendapatkan khidmat Messi. PSG kelab paling serius setakat ini, manakala City pula ada sosok Pep Guardiola yang boleh menggamit Messi berpindah ke kota Manchester. United pula? Saya mengharapkan ada keajaiban besar berlaku. Glory Glory Manchester United!!!



Tiada ulasan:

Catat Ulasan