06 Ogos 2021

ADAKAH SITUASI DI CHELSEA DAN MAN CITY MENGUNTUNGKAN UNITED DALAM PEMBURUAN HAALAND?

 


Rumours sedang bertiup kencang mengaitkan perpindahan Romelu Lukaku ke Chelsea dan Harry Kane ke Manchester City. €130 juta ditawarkan Chelsea merupakan nilai yang mungkin tidak mampu ditolak Inter Milan, jadi kemungkinan untuk Lukaku pulang semula ke Stamford Bridge adalah sangat tinggi. Manchester City yang juga merupakan juara bertahan Liga Perdana pula sedang bekerja keras mendapatkan sentuhan Harry Kane, dan Pep Guardiola mendambakan pemain ini untuk beliau letakkan di barisan hadapan skuadnya sebagai pengganti kepada Sergio `Kun’ Aguero.

 

Menurut Dharmesh Sheth yang juga merupakan`journalist’ Sky Sports, jika Chelsea berjaya membawa pulang semula Lukaku ke Stamford Bridge, ini juga bermakna pemburuan mereka terhadap Erling Haaland akan berakhir. Begitu juga dengan City yang kini meletakkan Kane dan Jack Grealish dalam radar buruan mereka. Perpindahan Grealish dari Villa Park ke Stadium Etihad bakal meletakkan beliau selaku pemain termahal Inggeris, manakala usaha memindahkan Kane dari Utara London ke kota Manchester juga pastinya membabitkan biaya yang sangat besar.

 

Jika tiga perpindahan `mega’ ini berlaku, United menurut Dharmesh memiliki peluang yang sangat besar dalam usaha mereka mendapatkan tandatangan Haaland. Haaland tidak akan meninggalkan Signal Iduna Park musim ini, tetapi jika beliau memilih menyertai mana-mana kelab besar Eropah musim depan (terutamanya yang beraksi di Liga Perdana), Chelsea dan Manchester City bukanlah pilihan yang ideal. Sukar untuk memikirkan bagaimana Haaland akan bermain bersama-sama Lukaku di Chelsea atau Kane di City.

 

Apa yang boleh anda jangkakan ialah Haaland akan memilih menyertai kelab yang boleh menjadikan beliau sebagai pemegang watak utama, dan di England, United adalah pilihan utama yang boleh beliau pertimbangkan. Haaland adalah pesona yang tidak boleh dilepaskan, penyerang muda yang membina reputasi selaku antara peledak berbisa di Eropah. Musim ini United masih boleh bergantung kepada Edinson Cavani sebagai pemburu gol, tetapi bintang veteran Uruguay itu adalah penyelesaian jangka pendek d barisan hadapan. Musim depan, hampir pasti anda tidak akan melihat lagi kelibat beliau dengan jersi merah The Red Devils.

 

Potensi Musim Depan?

 

Semua orang tahu hubungan rapat Haaland dan Ole Gunnar Solskjaer kerana mereka pernah bekerjasama di FK Molde. Faktor ini setidak-tidaknya boleh memainkan peranan dalam mempengaruhi pilihan beliau tentang kelab mana yang akan disertainya musim depan. Tambahan pula United di bawah kendalian Solskjaer sedang melakukan `projek besar’ dan proses regenerasi kepada skuad mereka. Haaland memiliki klausa dalam kontraknya yang membolehkan beliau berpindah ke mana-mana pasukan dengan harga €75 juta pada 22 Jun 2022.

 

Jadi mana-mana kelab (terutamanya United) boleh mendapatka khidmat beliau pada harga yang jauh lebih murah berbanding Lukaku atau Kane. Bagaimanapun perlu anda ingat, untuk seorang pemain yang memiliki bakat dan potensi sehebat Haaland, United tidak akan bersendirian dalam misi mereka mendapatkan khidmat beliau. Peluang beraksi untuk kesebelasan sehebat Paris St Germain, Bayern Munich, Real Madrid atau Barcelona antara godaan yang boleh membuatkan potensi United `mendaratkan’ Haaland ke Old Trafford berkubur.

 

Penerus Legasi

 

United pernah dibarisi penggempur-penggempur hebat di barisan hadapan mereka. Mark Hughes, Brian McClair, Eric Cantona, Andy Cole, Dwight Yorke, Ruud Van Nistelrooy, Wayne Rooney, Dimitar Berbatov dan Robin Van Persie adalah diantaranya. Mereka-mereka ini sangat dikenali kerana ketajaman naluri mereka dalam menyudahkan peluang ketika berada di dalam petak penalti lawan. Sebagai penyerang, Haaland juga begitu dan sepanjang 27 penampilan beliau di Bundesliga musim lalu, Haaland meledak 27 gol dan mencipta 6 bantuan gol.

 

Bagi seorang pemain yang baru berusia 21 tahun, ratio satu gol dalam setiap perlawanan tentunya satu statistik yang cukup mengagumkan, apatah lagi beraksi dalam salah satu antara lima liga terbaik di Eropah. Kelebihan Haaland sebagai penyerang bukan hanya kerana ketajamannya dalam menyudahkan peluang, tetapi lihat juga bagaimana kebolehan beliau meletakkan dirinya di posisi yang baik dalam situasi tanpa bola.

 

Meskipun memiliki ketinggian 1.94m dan susuk tubuh yang tegap, Haaland bukanlah tipikal penyerang yang bergantung kepada kekuatan fizikal dalam menyudahkan peluang ketika situasi bola tinggi. Semasa menyarung jersi RB Salzburg, peratus kejayaan Haaland dalam perebutan bola tinggi cuma mencapai angka 41%. Haaland lebih gemar menggunakan aset kepantasannya untuk memberikan tekanan kepada pertahanan lawan. Dalam situasi counter attack, Haaland mampu memecut dalam jarak 60m hanya dalam masa 6.64 saat.

 

Penutup

 

Ketika ini kita masih dibayangi kelibat Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo, selaku dua superstar yang mendominasi bolasepak dunia selama lebih sedekad. Bagaimanapun sepertimana lumrah kehidupan, setiap yang bermula pasti akan ada pengakhirannya. Begitu juga dengan Messi dan Ronaldo yang kini sudah menghampiri titik penamat karier mereka sebagai pemain. Generasi pemain muda seperti Haaland adalah pengganti yang bakal mewarnai bolasepak dunia, di saat Messi dan Ronaldo memutuskan menggantung boot mereka suatu hari nanti.

 

Dan pada usia yang masih muda, Haaland sudah menunjukkan potensi besar untuk muncul sebagai `mega bintang’, mengambilalih takhta yang ditinggalkan Messi dan Ronaldo. Haaland pasti meninggalkan Dortmund kerana tuntutan untuk bakat sehebat beliau ialah beraksi bersama kelab besar Eropah, menerima imbuhan gaji yang lebih tinggi dan menikmati prestij beliau sebagai pemain ternama. Persoalannya kemana beliau akan pergi? Musim panas tahun hadapan adalah masa terbaik untuk mana-mana kelab memancing Haaland, jadi kita lihat apa yang mampu United tawarkan kepada beliau. Glory Glory Manchester United!!!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan