Secara tiba-tiba nama Mark
Noble menjadi sebutan, terutamanya dikalangan penyokong-penyokong Manchester
United. Semuanya gara-gara kegagalan beliau menyempurnakan sepakan penalti di
penghujung permainan yang menyaksikan United pulang dari Stadium London dengan
tiga mata penuh. Aksi menentang United sepatutnya berakhir dengan keputusan
seri, selepas Martin Atkinson menghadiahkan sepakan penalti kepada West Ham di
penghujung permainan. Malangnya, Noble yang diamanahkan untuk mengambil sepakan
tersebut gagal menyempurnakannya.
Sebelum sepakan penalti itu
dilakukan, satu tindakan berani telah dibuat David Moyes menerusi penggantian
pemain yang dilakukannya. Idea beliau ialah mengeluarkan Jarrod Bowen dan
memasukkan Noble, pemain yang difikirkan Moyes mampu menyempurnakan sepakan
penalti tersebut. Tiada salahnya idea Moyes, kerana selaku pemain yang sudah
melakukan lebih 500 penampilan untuk West Ham, Noble adalah pemain yang tepat
untuk melakukannya. Tambahan pula, Noble berjaya menyempurnakan 38 sepakan penalti
sepanjang kariernya bersama skuad bergelar `The Hammers’ itu.
Bagaimanapun takdir berkata
sebaliknya dan dengan sedikit tuah, David De Gea memilih arah yang tepat, lalu
berjaya menepiskan tendangan yang dilakukan Noble. Dan tidak lama selepas itu,
Atkinson meniup wisel penamat perlawanan. Perjudian berani yang dilakukan Moyes
gagal dalam usaha beliau menghalang United pulang dari kota London dengan tiga
mata penuh. Tetapi Noble kemudiannya dijadikan candaan berikutan kegagalan
beliau menyempurnakan sepakan penalti tersebut. Untuk rekod, ini merupakan
kegagalan kelima Noble selaku `specialist’ dalam mengambil sepakan penalti
sepanjang kariernya bersama West Ham.
Melihat kepada reputasi yang
dimiliki Noble, tidak banyak sebenarnya harapan yang boleh diletakkan kepada De
Gea untuk menyelamatkan sepakan penalti tersebut, tambahan pula selepas anda
menyaksikan rekod beliau setiap kali berdepan sepakan penalti lawan. Untuk
rekod, kali terakhir De Gea berjaya menyelamatkan sepakan penalti di Liga
Perdana ialah pada 5 Oktober 2014. Manakala menurut catatan Opta pula, sejak April
2016 De Gea tidak pernah berjaya menyelamatkan 40 sepakan penalti
berturut-turut. Jadi apa yang mampu anda bayangkan sebelum sepakan penalti itu
diambil ialah, De Gea bakal tewas buat kali ke-41.
Malang buat Moyes, perjudian
berani beliau tidak berhasil kerana kali ini `specialist’ seperti Noble pun
boleh gagal ketika berdepan detik genting dan penting. Noble gagal, manakala De
Gea pula berjaya menutup keraguan ramai pihak terhadap kemampuan beliau ketika
berdepan sepakan penalti, dan akhirnya United berjaya meraih tiga mata penuh. Selain
kejayaan De Gea menamatkan rentetan rekod buruk beliau ketika berdepan sepakan penalti,
aksi menentang West Ham ini juga menjadi pentas buat Jesse Lingard menebus
semula `dosanya’ ketika United tewas kepada Young Boys dalam aksi peringkat
kumpulan Liga Juara-Juara.
Ronaldo membuktikan betapa
pentingnya peranan beliau dalam skuad United menerusi satu lagi gol yang
dijaringkannya kegawang West Ham, kerana gol ini merupakan gol keempat Ronaldo
dari tiga penampilan awalnya sejak kembali menyarungi jersi United. Tetapi gol
Lingard di penghujung perlawanan sangat penting, kerana gol itu memberikan
United tiga mata berharga. Gol jaringan beliau diminit ke-89 itu merupakan gol
kedua Lingard musim ini. Sama seperti Noble, Lingard juga masuk sebagai pemain gantian,
tetapi berbanding Noble, kemunculan Lingard berjaya memberikan perbezaan dalam
perlawanan ini.
“Manchester United bukan cuma
perlukan Cristiano Ronaldo, tetapi mereka juga perlukan Jesse Lingard”. Jika
perkataan ini anda sebut dua tahun lalu, maka bersedialah kerana anda akan
dicop sebagai gila. Tetapi di Stadium London, Lingard membuktikan bahawa jika
beliau berada di prestasi terbaiknya, United memang memerlukan seorang pemain
seperti beliau. Lingard memang dikenali kerana kecenderungan beliau untuk
memusingkan badan sebelum menghadap gawang lawan ketika menerima bola. `Style’
seperti inilah yang sering dipraktikkan Lingard ketika bersama West Ham musim
lalu.
Gol yang menewaskan Lukasz
Fabianski itu sebenarnya sangat tipikal dengan gaya Lingard ketika era
kemuncaknya. Ketika itu anda sering melihat beliau menjaringkan gol dengan cara
yang sangat bergaya. Apa yang anda saksikan di Stadium London juga adalah satu
lagi bukti kesukaran yang dihadapi United setiap kali mereka berdepan lawan
yang mengamalkan pendekatan `low block’ ketika bertahan. Tetapi mujurlah kerana
kali ini United memiliki pemain yang sentiasa bijak mencari ruang seperti
Ronaldo, dan pemain gantian yang mampu memberikan perbezaan seperti Lingard.
Bersama United, Lingard tidak akan
menikmati peranan yang sama sepertimana beliau mainkan ketika bersama West Ham
musim lalu. Peranan yang menyaksikan Lingard menjaringkan sembilan gol dan
mencipta lima `assist’ dari 16 penampilan dalam seragam `claret and blue’. Di
Old Trafford, Lingard terpaksa menerima hakikat bahawa beliau bukanlah
berstatus `key player’. Bagaimanapun Lingard masih boleh memainkan peranan
penting dan memberikan perbezaan dari bangku simpanan sepertimana yang pernah
dilakukan Solskjaer ketika eranya sebagai pemain.
Tiga mata yang sangat berharga,
tetapi simpati juga buat lagenda seperti Mark Noble. Noble adalah nama yang sangat
identik dengan kelab yang berpangkalan di kota London itu, sejak dari era
mereka beraksi di Boleyn Ground hinggalah ke Stadium London. Selama 17 tahun,
Noble sudah melakukan 405 penampilan untuk West Ham di Liga Perdana, lantas
meletakkan beliau selaku pemain kelapan paling banyak melakukan penampilan
bersama sebuah kelab di liga tertinggi bolasepak Inggeris. Satu sepakan penalti
yang gagal disempurnakan tetap tidak akan memadam hakikat bahawa anda adalah
legenda `The Hammers’. Glory Glory Manchester United!!!