Sudah dua musim setengah Ole
Gunnar Solskjaer berada di Old Trafford selaku pengendali sejak beliau
menggantikan posisi Jose Mourinho pada Disember 2018. Ketika eranya sebagai
pemain, Solskjaer cukup disayangi dan dihormati penyokong-penyokong United dan
dengan statusnya sebagai `legenda hidup’, beliau juga dianggap individu yang
cukup faham dengan budaya kelab berbanding David Moyes, Louis Van Gaal dan Jose
Mourinho. Dibahunya juga harapan tinggi diletakkan agar Solskjaer mampu membawa
kembali United ke era kegemilangan mereka.
Bagaimanapun harapan
penyokong-penyokong yang mahu melihat trofi pertama dibawa ke Old Trafford
dalam tempoh empat tahun masih belum menjadi kenyataan. Tiada lagi sebarang
kejuaraan yang singgah di Old Trafford sejak kejayaan Mourinho dan skuadnya
menjulang kejuaraan berganda (Liga Europa dan Piala Liga) pada musim 2016/17.
Paling hampir berlaku pada musim lalu, namun United gagal menepati reputasi
mereka sebagai pasukan pilihan bila tewas kepada Villareal dalam penentuan
sepakan penalti pada aksi final Liga Europa.
Musim ini United juga nampaknya
lebih serius melakukan persiapan. Pergerakan mereka dalam bursa perpindahan
musim panas berjalan dengan cukup lancar dan teratur. Selain Tom Heaton, United
menandatangani tiga nama besar menerusi kejayaan mereka mendapatkan khidmat
Jadon Sancho, Raphael Varane dan sudah tentu kisah sensasi pulangnya semula Cristiano
Ronaldo selepas 12 tahun beliau meninggalkan kelab. Untuk itu, tanpa ragu
Solskjaer melabelkan skuad yang dimilikinya musim ini lebih baik berbanding
`hero-hero Treble 99’.
Jika benar bahawa Solskjaer memiliki
skuad yang lebih kuat berbanding barisan `Treble 99’ yang pernah dianggotainya,
United sepatutnya mampu menjulang setidak-tidaknya satu kejuaraan musim ini. Satu
trofi adalah sasaran yang realistik, kerana kejayaan `Treble 99’ (Liga Perdana,
Piala FA dan Liga Juara-Juara) merupakan satu pencapaian yang di dalamnya penuh
keajaiban, serta pencapaian yang `hampir mustahil’ untuk diulangi oleh
mana-mana kelab Inggeris. Musim lalu Pep Guardiola gagal melakukannya meskipun City
dilabel sebagai `kesebelasan terbaik dunia’.
Dengan penambahbaikan dibenteng
pertahanan menerusi kehadiran Varane, barisan hadapan yang lebih tajam dengan
adanya Sancho dan Ronaldo, adalah satu kegagalan jika United tidak memenangi
sebarang trofi musim ini. Menurut Paul Parker yang juga merupakan bekas pemain
United, kehadiran Ronaldo bakal memberikan lebih tekanan kepada Solskjaer di
kerusi pengurus. “Saya jamin 100%, Solskjaer berada di bawah tekanan dengan
adanya Ronaldo dalam skuad. Dia akan berdepan dengan penyokong yang mengharapkan
kejuaraan. Akan ada pertanyaan jika dia gagal melakukannya”, kata Parker.
Ambisi United yang mahu
menamatkan kemarau empat musim tanpa kejuaraan mereka dibuktikan menerusi tiga
pembelian besar yang dilakukan pada bursa perpindahan musim panas. Mungkin
sedikit mengecewakan bila kelab memutuskan untuk tidak menandatangani pemain
kelima, tetapi Solskjaer sebenarnya sudah memiliki skuad yang hampir lengkap
untuk mencabar mana-mana kejuaraan yang ditawarkan musim ini. Apa gunanya sekiranya
Ronaldo memenangi anugerah kasut emas, jika United gagal memenangi sebarang
kejuaraan.
Ronaldo dan Varane sudah
memenangi banyak kejuaraan sepanjang karier mereka di Sepanyol, dan mereka juga
tentunya mahu melakukan hal yang sama di England. Pada usia yang sudah
menjangkau 36 tahun Ronaldo masih dahagakan pengiktirafan, Varane sedang berada
di kemuncak kariernya, manakala Sancho pula prospek yang sangat menarik dan
masa depan United. Adakah ini masa terbaik untuk United kembali memenangi
kejuaraan? Ya…ini adalah harapan dan jangkaan kita, kerana kita percaya bahawa Ronaldo
kembali ke Old Trafford bukan untuk membantu United melariskan jualan jersi
mereka. Glory Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan