Dua musim lalu, Manchester
United memulakan projek `regenerasi’ dalam skuad mereka di bawah regim Ole
Gunnar Solskjaer. Projek itu bermula dengan kedatangan Daniel James dari Swansea
City dan kemudiannya Aaron Wan-Bissaka dari Crystal Palace. Penyertaan James
dan Wan-Bissaka yang ketika itu baru berusia 21 tahun, memanjangkan lagi
senarai pemain-pemain muda dalam skuad United yang sebelumnya sudah dibarisi nama-nama
seperti Marcus Rashford, Mason Greenwood, Andres Pereira, Anthony Martial dan
Scott McTominay.
Berbeza dari musim-musim
sebelumnya, tiada nama-nama besar seperti Radamel Falcao, Angel Di Maria,
Bastian Schweinsteiger, Paul Pogba, Alexis Sanchez atau Romelu Lukaku yang dibawa
masuk. Sebaliknya United menandatangani James dari Swansea City, sebuah kelab
yang sekadar beraksi di Liga Kejuaraan. Satu-satunya pembelian besar dilakukan
kelab pada musim panas 2019 ialah kejayaan mereka membawa masuk Harry Maguire
dari Leicester City, yang menyaksikan beliau dinobatkan sebagai `pemain
pertahanan termahal dunia’.
Solskjaer menandatangani James
kerana beliau percaya pemain muda itu mampu memberikan impak kepada permainan
United. James merupakan pemain yang laju, lincah dan cenderung bermain secara
`direct’ ketika bola berada dikakinya bagi melakukan `penetration’ kepada
pertahanan lawan. Gaya permainan beliau dilihat sangat ideal untuk dipadankan
dengan skema `counter attack’ yang sangat sinonim dengan corak permainan
United. Malah Graham Potter yang juga merupakan pengurus Swansea City ketika
itu melabelkan James sebagai `Gareth Bale’ yang baharu.
“James pemain muda yang
mengghairahkan dengan kemampuan yang sangat bagus. Dia menjalani musim yang
cemerlang bersama Swansea dan punya segala kemampuan untuk menjadi pemain
Manchester United”. Itu antara kata-kata pujian dari Potter selepas James
menyertai United secara rasmi. Tidak cukup dengan itu, pujian melangit juga
datang dari mulut Ryan Giggs yang menyifatkan United memiliki pemain muda
berbakat besar menerusi pembelian James. Permulaanya memang tampak begitu,
tetapi pengakhirannya tidak seperti yang diramalkan.
James memulakan kariernya di
Old Trafford dengan cemerlang menerusi gol yang beliau jaringkan ke gawang
Chelsea pada penampilan pertamanya. Momen tersebut bukan sahaja sangat
emosional buat James tetapi juga seolah-olah isyarat bahawa United sudah
menemui `New Ronaldo’ menerusi keberadaan beliau. Pada peringkat awal
kedatangannya, James sentiasa menjadi titik fokus kepada serangan-serangan United
terutamanya dalam gerakan-gerakan `counter attack’ kerana kelajuan yang beliau
miliki.
Selepas United mengharungi sembilan
perlawanan awal liga pada musim 2019/20, James menjaringkan tiga gol dan
mencipta satu bantuan gol. Dalam senarai penjaring terbanyak United ketika itu,
beliau berada di belakang Marcus Rashford yang sudah meledak empat gol. Bagaimanapun,
James adalah pemain United paling efektif dalam menyempurnakan peluang
berbanding Rashford. Menurut catatan laman Premier League, James hanya
mensia-siakan satu peluang jaringan gol berbanding (tiga) oleh Rashford.
Pada awalnya, kehadiran James
memang menepati idea taktikal Solskjaer. Bagi pemain yang pernah dilabel Marco
Rossi (pengendali Hungary) sebagai `memiliki kepantasan seperti Usain Bolt’
itu, kelajuan James menjadi aset penting kepada corak permainan menyerang
United. Musim pertama boleh dianggap musim yang memberangsangkan buat seorang
`rookie’ di Liga Perdana seperti James. Tampil dalam 33 aksi liga untuk United,
menjaringkan tiga gol dan mencipta enam bantuan gol, jadi untuk £15 juta wang
yang dibelanjakan United keatas beliau sebenarnya lebih daripada berbaloi.
Bagaimanapun musim kedua tidak
seindah musim pertama buat James. Musim lalu beliau hanya diturunkan sebanyak
15 kali dalam saingan liga, dimana empat daripadanya beliau bermula dari bangku
simpanan. Walaupun begitu, James masih mampu meledak tiga gol untuk United. Ketika
ramai pihak meletakkan harapan agar prestasi James lebih meningkat berbanding
musim pertamanya di Old Trafford, beliau sebaliknya bergelut dengan prestasi
sendiri. Dalam sistem dua penyerang sayap, Solskjaer lebih memilih untuk
meletakkan Marcus Rashford di sisi kiri, manakala Mason Greenwood bergerak di sisi
kanan.
Situasi yang berlaku ke atas
James umpama sumpahan untuk pemain yang datang dari liga bawahan. James
bukanlah satu-satunya pemain yang United tandatangani dari kelab-kelab yang
beraksi di liga bawahan. Pada 2001 mereka pernah mendapatkan khidmat Roy Carroll
dari Wigan Athletic. Ketika itu Wigan beraksi di `Football League Second
Division’ atau lebih tepatnya Divisyen 3 dalam hierarki bolasepak Inggeris.
Empat tahun selepas itu, United merekrut pula Ben Foster dari Stoke City yang
bermain di Liga Kejuaraan.
Carroll dan Foster bagaimanapun
gagal menambat hati Fergie untuk beliau letakkan selaku penjaga gol utama
United apabila mereka sekadar menjadi pilihan kedua di belakang Fabien Barthez
dan Tim Howard. Pada 2012, seorang lagi pemain dari kelab liga bawahan di
tandatangani United, dan kali ini giliran Nick Powell pula yang tiba dari Crewe
Alexandra. Powell bagaimanapun gagal menepati potensi selaku pengganti jangka panjang
Paul Scholes apabila beliau cuma melakukan tiga penampilan untuk skuad utama
United.
Hakikatnya, Carroll, Foster, Powell dan kini James gagal mengikut jejak yang ditinggalkan Denis Irwin. Berbanding mereka, Irwin merupakan lagenda United meskipun pada 1990, Fergie menandatangani beliau dari Oldham Athletic, kelab yang ketika itu beraksi di liga Divisyen 2 bolasepak Inggeris. Perpindahan James ke Leeds sebenarnya agak mengejutkan, jadi mungkin juga ada kebenaran teori yang menyebut bahawa beliau menjadi korban kembalinya Cristiano Ronaldo ke Old Trafford. Semoga berjaya di sana Daniel James…terima kasih untuk dua tahun yang anda abadikan dengan jersi merah `The Red Devils’. Glory Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan