Tampil `menakutkan’ di Liga
Perdana, tetapi terkulai di Liga Juara-Juara. Manchester United datang ke Bern
dengan reputasi yang cukup besar, tetapi itu tidak pernah membuatkan Young Boys
gentar. Di atas kertas, skuad kendalian David Wagner itu kalah dari segenap
segi kerana tiada apa yang mampu menandingi United terutamanya apabila anda
melihat senarai pemain yang dimiliki mereka. Dalam kumpulan F, United adalah
pilihan utama, Villareal dan Atalanta diramal bersaing sesama sendiri untuk satu
lagi slot ke `round of 16’, manakala Young Boys pula sekadar kesebelasan yang
dilabel sebagai `kuda hitam’ dalam kumpulan ini.
Tidak banyak harapan diletakkan
kepada wakil dari Switzerland itu untuk lolos ke pusingan kalah mati, tetapi
bolasepak sentiasa penuh dengan elemen kejutan di dalamnya. Di Bern, Young Boys
terus menampilkan prestasi terpuji apabila mereka menewaskan United (2-1) dalam
aksi pertama peringkat kumpulan Liga Juara-Juara. Sebelum layak beraksi di
peringkat kumpulan, juara Swiss itu mengharungi enam aksi (timbal balik) diperingkat
kelayakan dan `play-off’ dengan rekod empat kemenangan dan dua keputusan seri.
Apa yang menariknya mereka
menjaringkan 13 gol dari enam penampilan dipusingan kelayakan dan `play-off’
ketika menyingkirkan Slovan Bratislava, CFR Cluj dan Ferencvaros. Pendekatan
permainan Young Boys ialah sentiasa memberikan tekanan kepada lawan ketika
mereka hilang penguasaan bola, dan segera melancarkan serangan sebaik sahaja
bola berjaya dikuasai semula. Falsafah Wagner pula sangat mudah, beliau tidak
peduli dengan jumlah gol yang bolos ke gawang pasukannya, kerana bagi beliau
kemenangan hanya mampu dicapai menerusi berapa banyak gol yang mampu mereka
jaringkan ke gawang lawan.
Jadi tidak hairanlah mengapa
anda melihat pintu gol mereka bolos lapan kali hanya dalam enam aksi di
pusingan kelayakan dan `play-off’. United pernah mengalami situasi bagaimana
sukarnya berdepan Wagner di Liga Perdana ketika mereka tewas (1-2) kepada
Huddersfield Town di bawah kendalian beliau dalam aksi liga pada Oktober 2017.
Dan di Bern, Wagner sekali lagi melakukannya, kali ini di pentas Eropah pula.
Anda boleh berdebat dengan mengatakan bahawa kekalahan mengejut United di Bern
disumbang faktor mereka bermain dengan sepuluh pemain selama 55 minit.
Bagaimanapun dalam masa yang
sama, anda juga patut melihat rekod United di era Ole Gunnar Solskjaer
sepanjang kempen Eropah mereka. Kekalahan ini menyaksikan rekod United di bawah
kendalian Solskjaer pada saingan di pentas Eropah semakin buruk. Menurut
catatan Opta, Solskjaer tewas tujuh dari 11 penampilan beliau sebagai pengurus
United di saingan Liga Juara-Juara. Malahan Solskjaer juga menyumbang 13% dari
54 kekalahan keseluruhan United sepanjang sejarah penyertaan mereka dalam
saingan tertinggi kelab-kelab Eropah ini.
Lebih buruk, United juga cuma mampu
mencatatkan satu `clean sheet’ dari 11 penampilan mereka di bawah kendalian
Solskjaer di Liga Juara-Juara. Jadi jangan salahkan penyokong jika mereka mula
meragui kemampuan United untuk mara lebih jauh dalam saingan edisi kali ini. Tiada
alasan kerana kekalahan ini harus diterima dengan hati terbuka. Dan jangan
salah permukaan padang yang menggunakan rumput sintetik, kerana tiga tahun
sebelum itu United pernah menang 3-0 di sini. Jadi hakikat yang perlu kita akui
ialah Young Boys kesebelasan yang lebih baik dalam perlawanan ini.
Faktanya, sebelum gol pertama
perlawanan jaringan Cristiano Ronaldo terhasil, lawan melepaskan lima
percubaan, mencipta empat `key passes’ dan sukses melakukan tiga `dribble’ di
dalam petak penalti United. Hakikatnya United memang tidak selesa dengan
pendekatan `high pressing’ dan permainan `direct ball’ yang digunakan Young
Boys dalam perlawanan ini. Tambah menyukarkan bila Aaron Wan-Bissaka pula dilayangkan
kad merah hingga menyaksikan Solskjaer terpaksa menukar plan permainan dengan
memasukkan Diogo Dalot dan Raphael Varane.
Jika mahu dibandingkan dengan
Jose Mourinho, Solskjaer sebenarnya memiliki catatan jumlah kemenangan yang hampir
seimbang berbanding pengendali warga Portugal itu. Dari 156 perlawanan yang
sudah beliau harungi sebagai pengurus, Solskjaer berjaya membawa United menang
88 perlawanan. Manakala Mourinho pula dari 144 perlawanan keseluruhan, United di
bawah kendalian beliau menang 84 perlawanan. Bagaimanapun, statistik Mourinho
di pentas Liga Juara-Juara sebenarnya lebih baik berbanding pencapaian
Solskjaer.
Dari 14 penampilan Mourinho
selaku pengurus United di Liga Juara-Juara, beliau berjaya mengemudi kelab menang
8 perlawanan, seri dua dan kalah empat kali. Purata mata yang dikutip United
dalam setiap perlawanan pula ialah 1.85 (berbanding 1.09 oleh Solskjaer).
Kekalahan ini sebenarnya memberikan tekanan kepada Solskjaer, apatah lagi musim
ini beliau memiliki skuad yang lebih berkualiti berbanding musim-musim
sebelumnya menerusi kehadiran Cristiano Ronaldo, Jadon Sancho dan Raphael
Varane. Jadi apa yang perlu beliau lakukan ialah membina skuad yang kompetitif
untuk menjulang kejuaraan.
Ronaldo sekali lagi mencuri
tumpuan dalam penampilan keduanya selepas kembali menyertai United. Meskipun
gol yang beliau jaringkan ke gawang Young Boys gagal membantu United meraih
sebarang mata, gol itu terus mengukuhkan cengkaman beliau selaku penjaring
terbanyak Liga Juara-Juara sepanjang masa dengan 135 gol. 177 penampilan yang
dilakukan beliau pula meletakkan Ronaldo selaku pemain paling banyak melakukan
penampilan di Liga Juara-Juara bersama Iker Casillas. Selain itu, Young Boys
juga merupakan kesebelasan ke-36 yang gawang mereka berjaya dibolosi Ronaldo di
Liga Juara-Juara.
Untuk skuad kerdil seperti Young Boys, menewaskan gergasi Eropah seperti United satu pencapaian `besar’ yang mereka tidak akan lupakan sampai bila-bila. Jadi jangan hairan jika pemain dan penyokong mereka meraikan kejayaan tersebut secara berlebihan sebaik sahaja tamat perlawanan. Kejutan dan keajaiban bukanlah sesuatu yang terlalu asing dalam bolasepak, jadi kali ini anda nikmati sahaja kisah epik yang berlaku di Bern ini. Tahniah Young Boys…tetapi selepas ini kami tunggu anda di Old Trafford pula. Glory Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan