Aksi menentang Newcastle United
kali ini tidak sepertimana musim-musim sebelumnya, kerana aksi kali ini memang
sangat dinantikan penyokong Manchester United. Menjelang perlawanan, aura penuh
keterujaan menyelubungi kita, kerana aksi menentang Newcastle kali ini adalah
detik untuk kita menyaksikan kemunculan semula Cristiano Ronaldo selepas 12
musim beliau meninggalkan kelab.
Dalam tempoh hampir dua minggu
sejak kelab mengumumkan secara rasmi kejayaan mereka membawa pulang semula
Ronaldo ke Old Trafford, kita diselubungi dengan rasa teruja yang bukan sedikit
menanti berlangsungnya sepak mula perlawanan ini. Ya…keghairahan menanti aksi
menentang Newcastle kali ini lebih dari biasa, apatah lagi saingan liga
`diganggu’ kerana memberi laluan kepada perlawanan antarabangsa minggu lalu.
Ketika kelab mengumumkan
kepulangan semula Ronaldo, ramai pihak yang agak skeptikal tentang kemampuan
beliau memberikan impak kepada kesebelasan United. Tambahan pula usia Ronaldo
bukan lagi muda berbanding kemunculan pertamanya 18 tahun yang lalu. Bolasepak
moden bukan lagi berkisar tentang kualiti atau reputasi yang dimiliki oleh
seorang pemain, tetapi fungsi dan peranan yang mereka boleh mainkan untuk
sesebuah pasukan.
Disaat ramai pihak menyebut
bahawa perpindahan semula Ronaldo ke Old Trafford lebih bersifat `sentimental’
semata-mata, cuba lihat statistik yang dirakamkan beliau pada musim terakhirnya
di Itali. Musim lalu, Ronaldo muncul penjaring terbanyak Serie A menerusi 29
gol yang berjaya dijaringkannya. Jumlah ini terhasil menerusi purata 5.35
percubaan yang dilakukan beliau dalam setiap perlawanan, manakala xG (expected
goals) yang dicatatkan Ronaldo pula mencapai angka 29.84.
Statistik di atas sepatutnya
memadam keraguan para pengkritik tentang keputusan United menandatangani
seorang pemain yang sudah berusia 36 tahun. Untuk seorang pemain yang memiliki
penyudah sebagus Ronaldo, apa yang beliau perlukan ialah hantaran-hantaran
berkualiti dibekalkan terus kepadanya. Selebihnya biarkan sahaja urusan menjaringkan
gol dilakukan beliau, kerana `type’ penyerang seperti Ronaldo mampu mengubah
peluang kepada jaringan gol dalam mana-mana situasi.
Persoalan yang sering
ditanyakan ialah, apa yang Ronaldo mampu berikan kepada United pada usia
`senja’ beliau? Untuk soalan tersebut, Ronaldo sudahpun memberikan jawapan pada
`debut’ beliau menerusi dua gol yang diledaknya kegawang Newcastle. Selain dari
dua gol tersebut, statistik turut merakamkan Ronaldo melepaskan dua percubaan
`on target, dua percubaan `off target’ dan dua percubaan yang berjaya di halang
pemain lawan.
Selain muncul sebagai pemain
United yang paling banyak memberkan ancaman kepada gawang lawan, Ronaldo juga
mencatatkan xG 1.42 dalam perlawanan ini. Angka ini meletakkan Ronaldo sebagai pemain
United yang mencatatkan xG paling tinggi selepas empat perlawanan liga
berlangsung. Istimewanya berbanding pemain-pemain United yang lain, Ronaldo
melakukannya dalam tempoh hanya 90 minit permainan.
Sepanjang penampilan beliau
selama 90 minit juga, Ronaldo menyentuh bola sebanyak 62 kali, melepaskan satu
`key passes’, manakala peratus ketepatan hantaran yang dilakukannya mencapai
angka 87%. Dalam melakukan `duel’ pula, Ronaldo berjaya memenangi satu
perebutan bola tinggi dan tiga bola rendah. Statistik ini menyaksikan beliau
diberikan rating paling tinggi berbanding mana-mana pemain yang beraksi di atas
padang.
Apa yang ditampilkan Ronaldo
ketika berdepan Newcastle, menepati reputasi beliau bukan sahaja sebagai
penjaring gol yang ulung, tetapi juga sebagai `game-changer’. Gol pertama berlaku
ketika United bergelut dalam usaha mereka memecah benteng pertahanan lawan.
Manakala gol kedua pula hadir hanya dalam tempoh enam minit selepas lawan
berjaya menyamakan kedudukan. Selepas itu segala-galanya mudah buat United
apabila gol ketiga jaringan Bruno Fernandes terhasil dan Jesse Lingard menutup
perlawanan menerusi gol keempat.
Menurut Steve Bruce, gol
pertama yang dihasilkan Ronaldo membuktikan naluri beliau sebagai penyerang.
“Gol itu terhasil dari naluri seorang penyerang tengah. Ketika pertahanan kami
tidak bersedia dengan situasi tersebut, dia datang dari belakang dan kemudian
menyudahkannya. Jika ada pemain yang layak digelar `superstar’, dia adalah
orangnya. Hari ini kita menyaksikan lagi seorang pemain yang luarbiasa”, kata
Bruce selepas tamat perlawanan.
Menerusi `debut’ beliau kali
ini, Ronaldo membuktikan kepulangan semulanya ke Old Trafford bukan untuk
bercuti sementara menunggu hari persaraan. Atau membantu kelab melariskan
jualan jersi mereka semata-mata. Meskipun masih terlalu awal untuk kita menilai
sumbangan keseluruhan beliau kepada misi kelab musim ini, mereka-mereka yang
skeptikal perlu mengakui bahawa perpindahan Ronaldo melangkaui aspek
sentimental semata-mata.
Ronaldo meletakan `tanda’ yang
jelas pada `debut’ keduanya menerusi dua gol yang beliau ledak ke gawang Newcastle.
Dua gol ini turut meletakkan nama beliau dalam kelompok sepuluh penjaring
terbanyak liga setakat ini. Sejak beliau meninggalkan kelab 12 tahun lalu,
Ronaldo tidak pernah gagal menjaringkan lebih 20 gol semusim dalam saingan
liga. Malahan pada `musim terburuk’nya sekalipun, Ronaldo masih mampu meledak
21 gol untuk Juventus.
Selain Ronaldo, kredit juga
wajar diberikan kepada Paul Pogba yang sudah mencipta sepuluh `assist’ tahun
ini. Dua `assist’ yang dicipta Pogba dalam perlawanan ini juga menyaksikan beliau
sudah mengumpul tujuh `assist’, jumlah terbanyak berbanding mana-mana pemain
yang beraksi di Liga Perdana dari empat perlawanan. Peranan Pogba sebagai `deep
lying playmaker’ sangat penting menerusi visi dalam hantaran-hantaran yang
dilakukannya, dan akhirnya di babak kedua, dua `assist’ dari beliau menghasilkan
gol ketiga dan keempat.
Ronaldo mengakui beliau gugup pada `penampilan pertamanya’, tetapi masih mampu menyumbang dua gol untuk United. Dua gol ini hanyalah permulaan, kerana percayalah anda akan melihat lebih banyak keraian `siu’ dari Ronaldo selepas ini. Walaupun sudah 12 tahun berlalu sejak beliau meninggalkan kelab, satu perkara yang tidak pernah berubah dalam diri beliau ialah…`Ronaldo masih kejam seperti dulu’. Membantu United menang besar dan menjaringkan dua gol selepas kembali adalah satu `debut’ yang sangat sempurna buat Ronaldo. Glory Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan