Cristiano Ronaldo dan
Manchester United umpama irama dan lagu yang tidak dapat dipisahkan. Sejak
penampilan pertama beliau menentang Bolton Wanderers pada Ogos 2003,
penyokong-penyokong United sudah jatuh hati melihat bagaimana anak muda
Portugal ini memporak perandakan pertahanan lawan menerusi gerakan-gerakan
liciknya dari sisi padang. Melihat penampilan pertama Ronaldo membuatkan penyokong-penyokong
United mula berhenti meratapi pemergian David Beckham, kerana mereka tahu
bahawa kelab sudah memiliki pengganti untuk mengisi posisi yang ditinggalkan
bintang antarabangsa England itu.
Pada awal era millenium,
bolasepak mula berubah dengan pantas. Jika sepanjang era 90an, Arsenal
merupakan satu-satunya pencabar yang perlu dibimbangi, kini United juga perlu
berdepan dengan kuasa baharu iaitu wang. Roman Abramovich mencurahkan wang yang
banyak di Stamford Bridge bagi menjayakan misinya menjadikan Chelsea sebagai
kuasa baharu bolasepak Inggeris. Manakala Arsenal pula masih lagi musuh yang sama,
hinggakan United terpaksa menyaksikan bagaimana skuad asuhan Arsene Wenger itu menjulang
trofi Liga Perdana pada musim 2003/04 tanpa disentuh sebarang kekalahan.
Ballon
d’Or Pertama
Meskipun agak pahit melihat
bagaimana bergayanya Arsenal mengharungi kempen liga mereka tanpa sebarang
kekalahan, dan kemunculan Chelsea sebagai pencabar baharu bolasepak Inggeris,
musim 2003/04 sebenarnya bukanlah musim yang terlalu buruk buat United.
Meskipun United sekadar menamatkan saingan liga di tangga ketiga, kelab berjaya
memenangi kejuaraan Piala FA, dan paling manis tentunya melihat Ronaldo
mengharungi musim pertamanya di Old Trafford. Selepas itu semuanya menjadi
sejarah kerana selama enam musim Ronaldo menabur bakti di Old Trafford, beliau
berjaya memenangi semua trofi yang ditawarkan.
Kemuncak pengiktirafan kepada
kerjaya Ronaldo bersama United berlaku pada 2008 apabila beliau dinamakan
selaku pemenang anugerah Ballon d’Or. Selepas enam musim di England, Ronaldo
tidak mampu menahan godaan untuk berpindah ke Sepanyol. Pada 2009, beliau
mengatakan bahawa menyarung jersi putih Real Madrid adalah impian zaman
kanak-kanaknya. Jadi apa yang mampu Sir Alex Ferguson lakukan, selain
melepaskan anak didiknya itu pergi. Penyokong-penyokong United patah hati melihat
pemergian beliau, tetapi menyertai Real merupakan satu keputusan tepat yang diambil
Ronaldo demi mengejar karier yang lebih gemilang.
Dari
Madrid Ke Turin
Kita perlu mengakui bahawa di
Santiago Bernabeu, Ronaldo mencapai kemuncak kariernya. Tempoh enam musim
bersama United merupakan fasa Ronaldo membina kariernya, tetapi sembilan musim
di Real, Ronaldo berubah menjadi pemain yang lebih menakutkan. Beraksi untuk
Real bukan sahaja memenuhi impian masa kecil Ronaldo, tetapi Real juga
memberikan dimensi baharu kepada karier beliau. Disini, Ronaldo mengecapi
begitu banyak kegemilangan menerusi deretan trofi yang beliau menangi, manakala
pencapaiannya diiktiraf menerusi anugerah-anugerah individu yang dimenanginya.
Bersama Real, Ronaldo empat
kali diiktiraf selaku pemain terbaik dunia, dan muncul penjaring terbanyak
Eropah sebanyak tiga kali hasil ketajaman penyudahnya. Selepas tempoh sembilan
musim yang penuh sukses, Ronaldo perlukan cabaran dan keterujaan baharu. Untuk
itu, pada musim panas 2018, beliau menyertai Juventus dalam misi menjulang
kejuaraan liga di tiga negara berbeza. Seni bertahan dalam bolasepak Itali
tidak pernah membuatkan sentuhan gol Ronaldo pudar. Tiga musim di Serie A,
beliau menjaringkan 81 gol, manakala musim lalu beliau memenangi anugerah `Capocannoniere’
selaku penjaring terbanyak liga.
Anugerah `Capocannoniere’ yang
beliau menangi musim lalu menerusi 29 gol yang dijaringkannya cukup istimewa,
kerana Ronaldo melakukannya pada usia beliau yang sudah menjangkau 36 tahun.
Selain itu, misi Ronaldo di Itali juga berjaya beliau sempurnakan menerusi
kejayaan membantu Juventus menjulang dua kejuaraan `Scudetto’. Cuma malangnya
tiada kejuaraan peringkat Eropah yang beliau menangi sepanjang tiga musim di
kota Turin. Ketika ramai pihak menjangkakan beliau akan beraksi semusim lagi di
Turin, bolasepak dunia digemparkan dengan perkhabaran bahawa Ronaldo ingin
meninggalkan saingan bolasepak Itali.
Kembali
Semula
Berita ini memang berita yang
menggemparkan, kerana bagi penyokong United, ini adalah masa paling tepat untuk
kelab membawa kembali Ronaldo pulang. Sejak beliau pergi pada 2009, penyokong
United sentiasa menganggap Ronaldo masih sebahagian dari diri mereka, tidak
pernah berhenti melaungkan nama Ronaldo di `tribune’ dan berharap suatu masa nanti beliau akan
kembali. Selepas digemparkan dengan pelbagai `rumours’ tentang masa depan
beliau, Ronaldo akhirnya memilih jalan pulang selepas beliau berada di titik
persimpangan antara United dan City. Ya…Ronaldo kini kembali selepas 12 musim
beliau meninggalkan kita.
Perpindahan Ronaldo ke Old
Trafford kali ini cuma membabitkan dana sebanyak £15 juta, hanya £2.8 juta
lebih tinggi berbanding perpindahan pertamanya 18 tahun yang lalu. Meskipun
begitu, tiada siapa mampu menyangkal bahawa ini merupakan perpindahan terbesar
di Liga Perdana walaupun City membayar £100 juta kepada Aston Villa ketika
mereka menjadikan Jack Grealish selaku pemain Inggeris termahal dalam sejarah. Pada
usia 36 tahun, Ronaldo juga masih produktif dalam menghasilkan gol, jadi
kepulangannya kali ini juga bukan tentang pertautan romantisme antara beliau
dan United semata-mata.
Penutup
Bagi penyokong United, nama
Cristiano Ronaldo adalah memori masa lampau yang tidak pernah usang ditelan
masa. Sudah 18 tahun berlalu, tetapi mereka masih mengingati kelincahan
sepasang kaki budak dari Madeira ini yang cukup melelahkan Ivan Campo pada
penampilan pertamanya menentang Bolton Wanderers. Ronaldo sentiasa pemain yang
mengujakan dan dicintai penyokong United, jadi jangan salahkan kami sekiranya
`euphoria’ menyambutkan kepulangan semula beliau masih belum reda hingga kini. Ketahuilah,
Ronaldo bukan sekadar legenda kelab, tetapi juga `cinta hati penyokong United
sampai mati’. Glory Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan