10 Oktober 2021

APA YANG DIPERLUKAN SANCHO CUMALAH ADAPTASI

 


Sejak melakukan perpindahan saga dari Signal Iduna Park ke Old Trafford, Jadon Sancho sudah melakukan enam penampilan dalam saingan liga untuk Manchester United menerusi 235 minit permainan yang dicatatkannya. Dari jumlah tersebut, Sancho masih belum mampu menjaringkan sebarang gol serta mencipta sebarang bantuan gol, satu catatan yang sangat kontra berbanding apa yang beliau lakukan ketika masih menyarung jersi Borussia Dortmund dulu.

 

Perkataan paling tempat bagi menggambarkan apa yang sedang dialami Sancho ketika ini ialah “beliau masih belum memenuhi harapan tinggi” penyokong-penyokong United sedangkan mereka menunggu begitu lama ketibaan bintang muda ini di Old Trafford. Tentu saja, sebelum ini tiada siapa mampu membayangkan bahawa pemain berharga £70 juta itu akan bergelut dalam usahanya beradaptasi dengan gaya bolasepak Inggeris yang serba lasak dan mencabar ini.

 

Persoalan paling besar ialah mengapa Sancho yang begitu mempersonakan aksinya di Bundesliga, tiba-tiba gagal (hingga setakat ini) memberikan impak kepada United? Apa yang lebih memeritkan, Sancho tidak diturunkan dalam kesebelasan utama United dalam tiga aksi terakhir mereka di saingan liga ketika berdepan West Ham, Aston Villa dan Everton. Sangat berbahaya untuk Sancho apabila Mason Greenwood tampil lebih bagus berbanding beliau di sisi sayap, manakala Anthony Martial pula sudah mula menjaringkan gol.

 

Keputusan Solskjaer menurunkan Martial dalam kesebelasan utama United ketika berdepan Everton bukanlah satu tindakan yang mengejutkan kerana prestasi di bawah par yang dipamerkan Sancho. Jadi Martial adalah pilihan yang ada untuk menggalas peranan di sisi kiri dalam formasi tiga pemain tengah menyerang yang digunakan Solskjaer. Beruntungnya Solskjaer kerana perjudian berani beliau menurunkan Martial berhasil apabila pemain antarabangsa Perancis itu meledak gol pertama perlawanan yang juga gol pertamanya dalam tempoh sembilan bulan.

 

Apa yang jelas, bukan sahaja Sancho berdepan masalah memenuhi harapan tinggi penyokong, tetapi secara keseluruhannya United yang dibimbing Solskjaer juga berdepan situasi sama. Komposisi skuad yang dimiliki Solskjaer musim ini dilabel sebagai skuad terbaik dalam tempoh beberapa musim terakhir. Malah tidak keterlaluan juga jika kita melabelkan bahawa skuad United musim ini adalah skuad terbaik sejak persaraan Sir Alex Ferguson pada 2013.

 

Sancho memang sedang berdepan kesukaran dalam usahanya menyesuaikan diri dengan tempo dan corak permainan United serta Liga Perdana. Bagaimanapun kita juga perlu berlaku adil kepada beliau, kerana Sancho cumalah anak muda yang baru berusia 21 tahun. Sancho masih belum melalui tempoh-tempoh terbaik dalam kariernya serta kemuncaknya sebagai pemain. Jadi apa yang boleh kita lakukan ialah, berikan beliau sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan `atmosphere’ bolasepak Inggeris.

 

Bundesliga adalah `syurga’ buat mana-mana pemain di barisan hadapan, kerana kecenderungan kelab-kelab di sana bermain dengan meninggalkan ruang yang agak luas di zon pertahanan mereka. Situasi seperti ini tidak dinikmati Sancho di Liga Perdana. Jadi tidak hairanlah mengapa anda melihat pemain seperti Timo Werner dan Kai Havertz juga agak bergelut pada musim pertama mereka di Stamford Bridge. Jangan lupakan juga nama seperti Henrikh Mkhitaryan dan Shinji Kagawa yang tidak pernah `menemui semula permainan sebenar mereka’ selepas berhijrah ke England.

 

Dengan usia yang baru mencapai angka 21 tahun, Sancho merupakan antara prospek masa depan United, jadi berikan beliau peluang, sedikit masa dan ruang untuk beradaptasi dengan gaya permainan bolasepak Inggeris. Percayalah, apa yang diperlukan Sancho sekarang cumalah adaptasi dan jika beliau berjaya mendapatkannya, anda akan melihat seorang pemain muda yang begitu mempersonakan aksinya di Signal Iduna Park `dilahirkan semula’ di Old Trafford. Glory Glory Manchester United!!!



Tiada ulasan:

Catat Ulasan