Selepas tamat aksi menentang
Leicester City di King Power Stadium pada 16 Oktober lalu, laman WhoScored
memberikan Harry Maguire rating 5.8. Rating yang diterima Maguire itu merupakan
angka paling rendah diterima beliau berbanding mana-mana pemain yang beraksi
dalam perlawanan tersebut. Kegagalan beliau mengawal bola dengan baik menjadi
punca kepada gol penyamaan lawan yang dihasilkan Youri Tielemans. `Blunder’
Maguire tidak terhenti setakat itu, apabila di penghujung permainan, kawalan
longgarnya membolehkan Patson Daka menjaringkan gol keempat tuan rumah.
Kelibat Maguire terus dijadikan
sorotan pada aksi menentang Liverpool di Old Trafford, yang menyaksikan barisan
The Red Devils diaibkan menerusi kekalahan besar 0-5 kepada seteru domestik
mereka itu. Dan sekali lagi WhoScored `menghadiahkan’ Maguire rating 5.8. Angka
ini bukanlah rating terendah yang diterimanya berbanding mana-mana pemain yang
beraksi dalam `North West Derby’ tersebut, tetapi Maguire tetap tidak dapat
mengelak dari dijadikan sasaran kritikan. Sudah tentu kapasiti beliau sebagai
kapten pasukan terus diperdebatkan dan dipertanyakan ramai pihak.
Kapten
Kontroversi
Di era Liga Perdana, Maguire
merupakan kapten ke sebelas United. Tugas mengetuai rakan-rakan sepasukan itu
diambilalih Maguire dari Ashley Young pada 2020 selepas pemain veteran Aston
Villa itu menyertai Inter Milan. Tugas seorang kapten bukanlah mudah, tatkala
jurulatih cuma mampu memberikan arahan dari tepi padang, kapten pula adalah individu
yang bertanggungjawab memimpin sepuluh lagi rakannya sepanjang perlawanan.
Ringkasnya, pengaruh seorang kapten sangat penting dalam dalam satu-satu
perlawanan, kerana `armband’ bukan sekadar hiasan di lengan.
Sepanjang sejarah kelab
terutamanya di era Liga Perdana, United sentiasa memiliki individu-individu
unik yang memiliki keterampilan tersendiri untuk diberikan tanggungjawab selaku
kapten pasukan. Dari sebelas pemain United yang pernah memikul tugas sebagai
kapten pasukan (di era Liga Perdana), anda pastinya tidak akan pernah melupakan
sosok bernama Roy Maurice Keane, atau Roy Keane atau juga lebih akrab dengan
panggilan `Keano’. Keane bukan sahaja merupakan pemain United yang sangat
disegani, tetapi juga seorang kapten yang penuh karismatik penampilannya.
Untuk rekod, Keane menggalas
tugas selaku kapten pasukan selama lapan tahun, dari 1997 hingga 2005. Dan
sepanjang tempoh tersebut, beliau membina reputasinya selaku pemain yang
memiliki corak permainan keras, berdisiplin, penuh kontroversi dan tonggak
tengah United yang sangat dominan. Kontroversi dan Keane memang sangat akrab,
dan jika elemen tersebut dicabut keluar dari tubuh beliau, Keane mungkin
sekadar pemain yang biasa-biasa saja. Perseteruan dengan Patrick Vieira,
menghantar Alf-Inge Haaland ke alam persaraan hinggalah kritikan pedasnya
kepada rakan sepasukan antara kontroversi besar yang pernah dicetuskan Keane.
Perubahan
Karakter
Pada 1990, Keane berpindah ke
England dengan menyertai Nottingham Forest dari Cobh Ramblers, dan di bawah
kendalian Brian Clough beliau dididik sebagai pemain dengan cara yang sangat
keras. Kerasnya disiplin dan corak latihan yang diterapkan Clough bukanlah
penyebab utama Keane menjadi pemain yang sangat menggerunkan sepertimana yang
anda lihat ketika eranya di Old Trafford. Menurut Keane, momen sebenar yang
mengubah karakter beliau ialah perpindahannya ke Old Trafford pada musim panas
1993.
“Saya menyertai United selepas
mereka menjuarai liga. Ketika itu mereka dalam momentum, mereka ada pemain-pemain
yang berkualiti dan paling penting mereka ada karakter yang sangat bagus. Saya
sukakan tekanan, bermain dalam perlawanan-perlawanan besar dan tentunya
penyokong mereka”, kata Keane dalam satu wawancara dengan Belfast Telegraph. Sepanjang
tempoh 12 musim bersama United, Keane berjaya memenangi 17 medal kejuaraan,
sekaligus meletakkan beliau sebagai kapten paling berjaya di Old Trafford.
Keajaiban
Di Turin
Jika anda bercakap tentang
karakter Keane sebagai kapten United, momen di Turin pada malam 22 April 1999
sepatutnya tidak terlepas dari topik perbincangan anda. Teddy Sheringham dan
Ole Gunnar Solskjaer merupakan wira di Camp Nou ketika United menundukkan
Bayern Munich di perlawanan akhir Liga Juara-Juara edisi 99. Tetapi `turning
point’ paling penting di sebalik kejayaan United melengkapkan kejuaraan
`treble’ mereka berlaku pada perlawanan sebelumnya. Lebih tepat lagi pada aksi
separuh akhir kedua menentang Juventus di Turin.
Bagaimanapun, dua minggu
sebelum aksi di Stadium Delle Alpi itu berlangsung, Juventus berjaya mengikat
United (1-1) pada perlawanan pertama peringkat separuh akhir. Paling penting, Juventus
yang dikendalikan Carlo Ancelotti ketika itu pulang ke Turin dengan keyakinan
cukup tinggi selepas mereka berjaya menjaringkan satu gol di gelanggang lawan.
Berbekalkan pemain-pemain kelas dunia yang mereka miliki seperti Zinedine
Zidane, Didier Deschamps, Antonio Conte, Edgar Davids dan Alessandro Del Piero,
Juventus adalah pasukan pilihan untuk mara ke final.
Segalanya tampak mudah buat
Juventus di Delle Alpi apabila Filippo Inzaghi, pemain yang dilabel Sir Alex
Ferguson sebagai `dilahirkan offside’ berjaya meledak dua gol dalam tempoh
sebelas minit pertama permainan. Tugas United semakin sukar, kerana apa yang
diperlukan mereka ketika itu ialah menjaringkan dua gol dan mara ke final
menerusi peraturan gol di gelanggang lawan. Tetapi untuk melakukannya di Delle
Alpi dan menentang kesebelasan seperti Juventus adalah tugas yang hampir
mustahil untuk dilakukan.
Tatkala api perjuangan di kota
Turin semakin malap, Keane menghidupkan kembali harapan United menerusi gol
yang dihasilkannya diminit ke-24 menerusi tandukan. Gol itu bukanlah antara gol
yang indah pernah dijaringkan Keane, tetapi gol itu menjadi momen kebangkitan
United dalam perlawanan tersebut. Ketika David Beckham melepaskan tendangan sudut,
Keane memandang tepat ke arah bola, berlari melepasi kawalan Gianluca Pessotto
dan menewaskan Zinedine Zidane dalam duel di udara. Bola tandukan itu melepasi
jangkauan Angelo Peruzzi dan menuju tepat ke sebelah kiri pintu gol lawan.
Sepuluh minit selepas
menjaringkan gol tersebut, Keane dilayangkan kad kuning, yang menyebabkan
beliau terlepas aksi final. Meskipun menyedari bahawa beliau tidak akan bermain
di pentas final sekiranya United mara ke Camp Nou, hakikat tersebut tidak
membuatkan Keane `mengendurkan’ permainannya. Selaku kapten, Keane terus
menjadikan dirinya inspirasi kepada rakan-rakan sepasukan. Hasilnya di babak
kedua, ego Juventus direntap sehabisnya menerusi dua gol yang dijaringkan Andy
Cole dan Dwight Yorke, sekaligus mengesahkan kemaraan United ke pentas final.
Dalam autobiografi beliau,
Fergie turut mengiktiraf peranan penting yang dimainkan Keane di sebalik
kejayaan United mara ke final dan menjulang trofi Liga Juara-Juara buat kali
kedua dalam sejarah kelab. “Pengaruh yang dimainkannya cukup besar untuk
pasukan dan di Stadium Delle Alpi adalah contoh terbaik. Dia tahu yang dia
tidak akan bermain selepas itu, tetapi dia meningkatkan usahanya untuk membawa
pasukan ke final. Dia seolah-olah lebih sanggup mati dari menerima kekalahan
dan menjadi inspirasi kepada rakan-rakan disekelilingnya. Satu penghormatan
bagi saya untuk dikaitkan dengan pemain seperti dia” kata Fergie
Penutup
Apa yang terjadi antara Keane
dan Fergie selepas itu cumalah sejarah. Keceluparan beliau ketika mengkritik
rakan sepasukan hingga menyebabkan Keane terpaksa disingkirkan antara titik
hitam dalam kariernya. Bagaimanapun fakta yang tidak mampu anda nafikan ialah,
Keane antara kapten United terhebat pernah anda saksikan aksinya di atas
padang. Saya yakin, Fergie juga tahu bahawa Keane merupakan kapten terbaik yang
pernah dimilikinya. Jika anda mencari definisi sebenar seorang `pejuang’, lihat
dalam diri Keane kerana di sana ada jawapannya.
Sepanjang era pengurusan Fergie
di Old Trafford, beliau memiliki begitu ramai pemain berbakat. Akan sentiasa
ada perdebatan siapa pemain `nombor 7’ terhebat, siapa pemilik jersi `nombor 1’
paling kebal mengawal gawang, siapa pertahanan paling sukar dilepasi lawan,
siapa `flanker’ paling mempesonakan atau siapa penyerang paling tajam dalam
menyudahkan peluang. Tetapi sangat mudah untuk memilih siapa kapten terbaik
United sepanjang zaman, kerana nama Keane sentiasa berada di posisi nombor
satu.
Aksi kompetitif terakhir Keane bersama United berlaku pada 18 September 2005 ketika berdepan Liverpool. Selepas itu anda tidak lagi melihat kelibat seorang lelaki garang berjersi nombor 16 dengan semangat meluap-luap memimpin rakan-rakan sepasukan United-nya di atas padang. Keane bukan sekadar seorang kapten di atas padang, tetapi juga pemimpin yang meletakkan standard sebenar tentang dedikasi dan disiplin kepada rakan-rakan sepasukannya. Dan selepas September 2005 itu, United masih tercari-cari karakter seorang kapten seperti Keane, yang sebenarnya tidak pernah pun mereka temui hingga ke hari ini. Glory Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan