Tidak seperti yang digambarkan
dan tidak seperti yang diharapkan, begitulah situasi yang dialami Donny Van de
Beek sepanjang 15 bulan beliau berada di Old Trafford. Sejak diumumkan secara
rasmi sebagai anggota `The Red Devils’ pada musim panas tahun lalu, sejak itu
jugalah Donny terpaksa berjuang merebutkan tempatnya dalam kesebelasan utama
Manchester United.
Ketika artikel ini ditulis,
Donny baru dua kali disenaraikan dalam kesebelasan utama United, pertama dalam
aksi Liga Juara-Juara menentang Young Boys dan kedua ketika United disingkir
West Ham dari kempen Piala Liga. Sebelum kedatangannya ke Old Trafford, Donny
dilabel antara prospek panas bolasepak Eropah menerusi kemampuan beliau selaku
penggerak jentera tengah Ajax Amsterdam.
Bagaimanapun sepanjang 15 bulan
Donny menyarung jersi United, beliau nampaknya masih bergelut dalam usahanya
menyesuaikan diri dengan gaya permainan bolasepak Inggeris. Liga Perdana memang
liga yang sukar, dan mana-mana pemain yang gagal menyesuaikan diri dengan cepat
di England, maka bersedialah kerana anda akan menjadi korban. Adakah Donny
tidak mencapai tahap untuk bermain di Liga Perdana?
Musim ini, Donny cuma beraksi
selama lima minit di Liga Perdana selepas tujuh perlawanan meskipun United
berdepan masalah dengan kualiti di bahagian tengah mereka terutamanya
membabitkan pemain seperti Fred dan Scott McTominay. Donny sebenarnya merupakan
pemain tengah yang fleksibel, boleh beraksi lebih dari satu posisi iaitu
sebagai pemain `nombor 10’, `nombor 8’ atau `nombor 6’.
Untuk peranan sebagai pemain
`nombor 10’, tidak mungkin Donny mampu menyingkirkan Bruno Fernandes selaku
pemain paling efektif di posisi tersebut. Jadi mengapa Ole Gunnar Solskjaer
tidak cuba menggunakan beliau sebagai pemain `nombor 8’ atau `nombor 6’? Ketika
ditanya tentang situasi Donny selepas aksi menentang Everton, Solskjaer
menjelaskan bahawa pemain Belanda itu masih belum mencapai tahap yang
dimahukannya.
“Dia tahu bahawa permainannya
masih belum mencapai tahap yang kami mahukan. Obsesi untuk bermain tentunya ada
dalam diri setiap pemain. Tapi ini adalah Manchester United dan dia tahu apa
yang perlu dia lakukan di sini. Apa yang kami mahukan ialah dia bekerja keras
untuk merebut tempatnya dalam kesebelasan utama. Ada ramai pemain kami yang
tidak beraksi setiap minggu, begitu juga dengan Donny”, kata Solskjaer.
Masalah United di bahagian
tengah terutamanya membabitkan prestasi Fred bukanlah satu masalah kecil. Ini
antara sebab mengapa Solskjaer dikritik kerana tidak mendapatkan seorang pemain
tengah bertahan baharu ketika jendela perpindahan pemain musim panas dibuka. Siapa
tahu, apa yang ditampilkan Fred ketika berdepan Everton mungkin bakal
membuatkan pintu kesebelasan utama United terbuka untuk Donny.
Pada usia beliau sekarang,
Nemanja Matic tidak mampu untuk dikerah bermain dua perlawanan seminggu,
manakala ada kesangsian tentang kualiti Paul Pogba jika beliau diarahkan untuk
bermain lebih ke bawah. Jadi pilihan yang tinggal ialah kenapa tidak cuba
meletakkan Donny selaku watak sebagai pemain `nombor 6’. Dua opsyen yang ada
sekarang ialah, turunkan Donny atau lepaskan saja beliau ke kelab lain pada
Januari nanti.
Paling tidak jika percaturan
dengan meletakkan Donny selaku pemain `nombor 6’ gagal, setidak-tidaknya semua
orang tahu bahawa Solskjaer sudah memberikan beliau peluang bermain. Ketika
kekecewaan dan kesangsian masih membelenggu selepas menyaksikan United diikat
Everton minggu lalu, Solskjaer perlu lebih berani melakukan rombakan kepada
barisan tengahnya.
Untuk melakukannya, Solskjaer
terlebih dahulu perlu mengubah pandangan beliau terhadap Donny. Pada Sabtu ini,
adakah Donny bakal diberikan kesempatan untuk bermain? Atau adakah Fred masih
lagi pemain yang dipercayai Solskjaer untuk diletakkan dalam kesebelasan utama
United meskipun penampilan pemain tengah Brazil itu dikritik ramai pihak sejak
kebelakangan ini.
Persoalan paling besar ialah, ketika
Solskjaer menandatangani Donny musim lalu, adakah beliau benar-benar mahukan
pemain itu berada dalam skuadnya? Jika Donny hanya menjadi penonton setiap
minggu, mengapa kelab membayar sebanyak £35 juta kepada Ajax demi mendapatkan
khidmat seorang pemain yang kualitinya cuma layak untuk diletakkan di bangku
simpanan? Glory Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan