Siapa tidak kenal sosok bernama
Ronaldinho. Jika anda penyokong Barcelona ataupun tidak, anda tentunya tidak
dapat menolak untuk menyintai Ronaldinho kerana beliau merupakan pemain yang
sangat terkenal kerana kehebatannya `skill’ individunya, kerana seni
bolasepaknya dan juga kerana sikapnya yang sangat `humble’. Sepertimana
pemain-pemain hebat yang lain, sebagai penyokong Manchester United, anda juga
tentunya pernah mengimpikan agar Ronaldinho dibawa ke Old Trafford dan bermain
untuk United.
Bagaimanapun impian kita suatu
ketika dahulu yang ingin melihat pemain hebat ini menyertai United tidak
kesampaian meskipun `rumour’ demi `rumour’ bertiup kencang tentang minat kelab
terhadap lagenda Brazil ini, terutamanya di awal dekad 2000. Perkara ini
disahkan Paul Scholes pada 2020 menerusi tembual beliau dengan Manchester
Evening News. Menurut Scholes, pada 2003 pemain-pemain United begitu kecewa
kerana kelab gagal menandatangani Ronaldinho yang ketika itu baru berusia 23
tahun dari Paris St Germain.
Meskipun kesepakatan begitu
hampir dicapai antara United dan PSG, malah pemain itu sendiri sudah tiba di
kota Manchester dan melakukan tinjauan di Stadium Old Trafford, Ronaldinho
akhirnya menyertai Barcelona menerusi nilai perpindahan sebanyak €30 juta.
Perpindahan Ronaldinho ke Camp Nou sebenarnya memenuhi ambisi Joan Laporta yang
mahu meletakkan Barcelona selaku kelab nombor satu dunia. Sebaik sahaja
memenangi pemilihan jawatan presiden, Laporta mensasarkan tiga nama untuk Barca
tandatangani. Iaitu sama ada Thierry Henry, David Beckham atau Ronaldinho.
Bagaimanapun Henry memilih
kekal bersama Arsenal, manakala Beckham pula menyertai Real Madrid yang juga
seteru utama Barca di La Liga. Keputusan Ronaldinho memilih Barca pada
saat-saat akhir begitu mengecewakan Scholes, malah lagenda United itu pernah
berhasrat mahu menendang Ronaldinho jika kedua-dua pasukan bertemu di atas
padang. Cakap-cakap Scholes bukan cakap kosong kerana beliau dan pemain-pemain
United yang lain memang benar-benar mahu melakukannya sebagai `peringatan’
kepada Ronaldinho
“Ketika itu kami dalam
persiapan pra musim dan dia pula begitu hampir menyertai kami. Tapi pada saat
akhir dia memilih menyertai Barcelona. Saya dan pemain-pemain United yang lain
betul-betul geram. Kebetulan, kami pula bakal berdepan mereka (Barca) dalam
satu aksi pra musim. Saya nak sangat tendang dia dan kami sepakat mahu
melakukannya dalam perlawanan itu. Bagaimanapun kami gagal melakukannya sebab tiada
seorang pun dari kami yang berjaya menghampirinya. Dia pemain yang sangat
bijak”, kata Scholes.
Quinton Fortune yang juga
merupakan seorang lagi bekas pemain United mengesahkan cerita Scholes, kali ini
dalam satu temubual bersama Daily Mail. Menurut Fortune, United sebenarnya cuma
selangkah dalam usaha mereka membawa Ronaldinho beraksi di Old Trafford.
Bagaimanapun dalam versi ini, Fortune mengatakan bahawa hujan adalah penyebab
utama mengapa United gagal menandatangani Ronaldinho. Menurut Fortune, kelab
memilih waktu yang salah ketika mereka membawa Ronaldinho melakukan tinjauan di
Old Trafford.
“Pada pendapat saya, United
memilih waktu yang salah ketika mereka mengundang Ronaldinho ke Old Trafford,
sebab ketika itu bandar Manchester dilanda musim hujan. Jika kami ubah jadual
pada hari yang cerah, ceritanya mungkin berbeza” kata Fortune. Mungkin ada
kebenarannya cerita Fortune kerana Barcelona memiliki cuaca yang lebih cerah
berbanding kota Manchester. Atau lebih tepatnya, bagi Ronaldinho yang berasal
dari bandar beriklim sub-tropika seperti Porto Alegre, Barcelona adalah kota
yang lebih menepati citarasanya berbanding Manchester.
“Sangat bertuah jika Ronaldinho
menyertai United ketika itu. Dia pemain terbaik dunia dengan skill yang sangat
menghiburkan. Bagaimanapun saya juga bertuah kerana pernah berdepan dengannya ketika
Afrika Selatan menentang Brazil di sukan Olimpik 2004 di hadapan 72 ribu
penonton. Ketika itu dia sudah menyertai Barcelona, dan tentulah juga dia
Ronaldinho yang berbeza berbanding ketika bersama PSG. Akhirnya saya dapat
lihat aksinya depan mata di atas padang. Mujurlah saya tidak diberikan tugas
untuk mengawalnya” kata Fortune lagi.
Ketika era kemuncaknya sebagai
pemain, tiada siapa yang mahu terlepas menyaksikan aksinya di atas padang, baik
ketika beliau menyarung jersi Barca mahupun ketika bersama skuad kebangsaan
Brazil. Sukar untuk menafikan bahawa Ronaldinho pemain yang sangat mengujakan,
dan disebalik senyuman yang sentiasa terukir di bibirnya, terselit naluri
`membunuh’ yang sangat kejam ketika beliau berada di hadapan gawang lawan.
Sudah pasti, tiada mana-mana pemain pertahanan lawan yang mahu berdepan dengan
pemain yang penuh tipu musliihat sepertinya.
Menyungkit dan menguis bola melepasi kepala `pengawalnya’ antara gerakan licik yang sering beliau peragakan, manakala gerakan-gerakan bersahaja dan ekspresi wajahnya setiap kali beliau berhasil menjaringkan gol antara momen yang tidak akan pernah anda mampu lupakan jika bercakap tentang sosok bernama Ronaldo de Assis Moreira ini. Jadi jangan cemburu jika beliau begitu dicintai khalayak peminat bolasepak dunia, hatta oleh penyokong Real Madrid sekalipun yang pernah memberikannya `standing ovation’ selepas aksi El Clasico pada 2005. Glory Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan