Kemenangan dramatik yang
dilakar Manchester United ketika berdepan Villareal dalam saingan peringkat
kumpulan Liga Juara-Juara nampaknya tidak cukup untuk meredakan laungan #OleOut
di dunia maya. Perdebatan masih berterusan tentang kapasiti Ole Gunnar
Solskjaer sebagai pengurus United dan ini sebenarnya bukanlah situasi baharu
dialami beliau. #OleOut sebenarnya sudah lama bergema, dan gema ini kembali
kuat kedengaran selepas United tewas mengejut (1-2) kepada Young Boys di Liga
Juara-Juara, disingkir West Ham pada saingan Piala Liga dan kemudiannya tewas
kepada Aston Villa dalam aksi liga.
Sebagai pengurus, Solskjaer
dibayar untuk mengemudi skuadnya menjulang kejuaraan, apatah lagi beliau kini
berada di dalam sebuah kelab bolasepak yang diiktiraf antara terbesar di dunia.
Louis Van Gaal berjaya melakukannya, begitu juga Jose Mourinho, malah siapa
tahu jika David Moyes turut diberikan masa dan peluang yang sama, beliau juga mungkin
mampu mengemudi United menjulang kejuaraan. Malangnya Moyes cuma sempat
menjalani tempoh sepuluh bulan sebagai pengurus United sebelum dipecat akibat
prestasi buruk yang dipamerkan skuadnya.
Trofi merupakan KPI utama bagi
mana-mana pengurus, apatah lagi untuk kelab seperti United. Solskjaer perlu
sedar bahawa beliau bukan berada di Cardiff City atau Molde, kerana di United
tuntutan memenangi kejuaraan sentiasa perlu dipenuhi, dan beliau tidak
terkecuali meskipun statusnya sebagai lagenda hidup kelab. Kini kemampuan
Solskjaer terus dijadikan sorotan selepas United cuma mampu menamatkan aksi mereka
menentang Everton di gelanggang sendiri dengan hanya satu mata. Raut kekecewaan
jelas terpancar diwajah Cristiano Ronaldo, tetapi percayalah kita juga turut berkongsi
kekecewaan tersebut.
Ronaldo memutuskan untuk
kembali menyarung jersi United bukan tanpa sebarang sasaran. Sudah tentu beliau
mahu membantu kelab kembali ke podium kejuaraan selepas empat musim gagal
melakukannya. Bagaimanapun selepas anda menyaksikan empat aksi United ketika
mereka menentang Young Boys, West Ham, Aston Villa dan Everton, sukar untuk
membayangkan bahawa Solskjaer mampu mengemudi kelab menamatkan kemarau empat
musim tanpa sebarang kejuaraan. Meskipun tampil `memukau’ pada aksi pembukaan
liga menentang Leeds United dan kemudiannya Newcastle United, United jelas
seolah-olah sedang berada dalam fasa penurunan prestasi.
United sebenarnya bermain
dengan sangat baik pada separuh masa pertama dalam aksi menentang Everton.
Pergerakan-pergerakan mereka sangat lancar, malah gol jaringan Anthony Martial
terhasil menerusi proses gerakan yang sangat bijak dari sebelah sisi.
Bagaimanapun situasi di babak kedua berubah sebaliknya, tatkala tempo United
diganggu oleh pertukaran pemain yang dilakukan Solskjaer. Kemasukkan Ronaldo,
Jadon Sancho dan Paul Pogba tidak menjadikan United kesebelasan yang lebih baik,
tetapi sebaliknya mereka secara tiba-tiba hilang kreativiti.
Apa yang berlaku selepas itu
ialah Everton mula memberikan tekanan demi tekanan kepada benteng pertahanan
United menerusi gerakan-gerakan `counter attack’ mereka. Akhirnya apa yang anda
lihat ialah gol penyamaan menerusi Andros Townsend terhasil. Kelemahan ketara
United bukan sekadar kegagalan Fred atau Scott McTominay memainkan peranan
mereka sebagai `defensive midfielder’, tetapi juga transisi menyerang kepada
bertahan mereka yang tidak tersusun. Javier Manquillo pernah memanfaatkan ruang
kosong dalam transisi menyerang kepada bertahan United yang tidak teratur dan kini
giliran Townsend pula menghukum kelemahan tersebut.
United sangat beruntung kerana
meraih satu mata dalam perlawanan ini, kerana jika jaringan Yerri Mina
disahkan, skrip perlawanan akan bertukar sebaliknya. Apa yang dapat anda lihat
ialah `gol’ Mina itu sebenarnya sekali lagi mendedahkan kelemahan `shape’ United
ketika mereka bertahan. Keputusan seri ini sebenarnya meningkatkan lagi tekanan
di bahu Solskjaer kerana laungan #OleOut semakin kuat kedengaran dari hari ke
hari. Tatkala beliau sudah memasuki musim penuh ketiganya di Old Trafford,
tuntutan yang perlu beliau penuhi juga semakin tinggi untuk dicapai.
Sebelum Solskjaer mengimpikan
untuk menghadirkan kembali trofi kejuaraan di Old Trafford, beliau sebenarnya
perlu mengatasi terlebih dahulu permasalahan yang dihadapi skuadnya. Hingga
sekarang, beliau masih belum menemui formula untuk memecah kebuntuan ketika
berdepan lawan yang bermain dengan pendekatan blok pertahanan rendah. Begitu juga
dengan masalah kreativiti ketika melakukan gerakan. Dalam aksi menentang
Everton, United cuma mencatatkan `expected goal’ sebanyak 0.92 meskipun mereka
melepaskan enam percubaan `on target’ ke gawang lawan.
Dari dua perlawanan terakhir liga
di gelanggang sendiri, United sudah melepaskan lima mata, jadi keputusan seri dalam
perlawanan ini bukanlah keputusan yang dimahukan penyokong, meskipun kita sedar
bahawa Everton tidak tewas dalam dua kunjungan terakhir mereka di Old Trafford
pada saingan liga sebelum ini. Apa yang bakal menanti Solskjaer selepas ini
ialah aksi sukar bukan Oktober menentang Leicester City, Liverpool dan
Tottenham Hotspurs pada saingan liga. Manakala Atalanta pula merupakan cabaran
getir yang perlu diatasi United dalam survival mereka di Liga Juara-Juara.
Semoga tempoh rehat sepanjang
minggu hadapan kerana memberi laluan kepada aksi antarabangsa mampu
menghadirkan ilham kepada Solskjaer tentang bagaimana mahu meningkatkan kembali
prestasi skuadnya. Oktober bakal menjadi ujian yang sangat getir buat Solskjaer
tatkala laungan yang mahukan agar beliau berundur semakin kuat kedengaran. Adakah
Oktober bakal menjadi bulan yang penuh tragedi buat Solskjaer? Atau adakah
Oktober bakal menyaksikan pentas kebangkitan semula Solskjaer sepertimana sentuhan
magisnya ke gawang Bayern Munich di Camp Nou 22 tahun lalu? Glory Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan