Enam tahun tanpa trofi terasa
begitu terlalu lama, apatah lagi untuk sebuah kelab seperti Manchester United.
Bagi sebuah kelab yang sebelumnya sangat sinonim dengan prestasi dan sangat
kuat tarikannya terhadap trofi, enam tahun tanpa sebarang kejuaraan adalah
tempoh yang membingungkan, tempoh yang menyakitkan dan tempoh yang membuatkan
kita sering tertanya-tanya, apa sebenarnya yang sudah terjadi kepada United?
Bagaimanapun, awal pagi 27
Februari di Wembley, segalanya tuntas. Penantian enam tahun tanpa sebarang
trofi berakhir apabila barisan kendalian Erik Ten Hag menewaskan Newcastle
United untuk menjulang kejuaraan Piala Liga keenam dalam sejarah kelab. Ini
mungkin cuma `piala kecil’, tetapi apa yang menariknya United berjaya menjulang
trofi pertama mereka sejak 2017 hanya dalam tempoh sembilan bulan selepas
ketibaan Ten Hag di Old Trafford.
Kejayaan United menjulang
`piala kecil’ ini memang luarbiasa, kerana di sebalik dominasi lawan dalam hal
penguasaan bola (61%), mereka masih mampu keluar sebagai pemenang. `Turning
point’ dalam perlawanan ini tentunya dua gol yang dijaringkan United dalam
tempoh lima minit. Pertama menerusi Casemiro (minit ke-33) dan kedua menerusi
Marcus Rashford (minit ke-38). Dua gol itu sebenarnya menoktahkan perjuangan
Newcastle kerana di babak kedua tidak banyak yang mampu dilakukan mereka untuk
menembusi pertahanan solid `The Red Devils’.
Ramai yang bercakap
tentang Casemiro dan Marcus Rashford,
dua pemain yang gol mereka membawa United ke podium kejuaraan. Casemiro memang
seorang pemain dengan mentaliti pemenang, manakala Rashford pula sedang
menikmati musim terbaiknya. Bagaimanapun individu terpenting di sebalik
kejayaan United di Wembley tempohari ialah Erik Ten Hag, sosok yang didambakan
penyokong-penyokong `The Red Devils’ sejak sekian lama untuk menduduki kerusi
panas pengendali di Old Trafford.
Sejak 2013, David Moyes, Louis
Van Gaal, Jose Mourinho dan Ole Gunnar Solskjaer dilantik dalam usaha kelab
mengembalikan semula kegemilangan yang pernah mereka kecapi di era Sir Alex
Ferguson. Tetapi kesemua mereka tidak mampu bertahan lama kerana prestasi buruk
kelab yang menyebabkan mereka akhirnya di pecat. Sepuluh bulan lalu, United
melakukan satu lagi tindakan drastik apabila mereka mengumumkan Ten Hag selaku
pengendali baharu skuad utama, menggantikan posisi Ralf Rangnick yang
sebelumnya bertindak sebagai pengurus interim.
Di Belanda, kredibiliti Ten Hag
sudah terbukti apabila beliau berjaya mengemudi Ajax Amsterdam muncul juara
Eredivisie sebanyak tiga kali, tetapi di Liga Perdana sentuhannya masih belum
teruji. Bagaimanapun dalam tempoh hanya sepuluh bulan, Ten Hag berjaya
menjadikan United sebuah kesebelasan yang mampu mencabar kejuaraan, sukar
dikalahkan serta tahu bagaimana mahu memenangi perlawanan. Dan selepas enam
tahun tanpa sebarang kejuaraan, United akhirnya menjulang trofi pertama mereka
sejak 2017.
Sebaik wisel penamat aksi final
Piala Liga ditiup, jutaan penyokong United di seluruh dunia akhirnya berasa
lega kerana mereka kembali menghirup aroma kejuaraan yang sudah enam tahun
tidak mereka nikmati. United tidak akan mampu keluar sebagai juara jika bukan
kerana transformasi yang dilakukan Ten Hag. Dengan wibawa, ketajaman fikiran
serta falsafah bolasepak yang beliau bawa, Ten Hag kini sudah memiliki trofi
pertama sebagai bukti bahawa beliau juga mampu bersaing dengan mana-mana
pengurus terbaik di Liga Perdana.
Jangan lupakan juga, hanya tiga
hari sebelum final ini berlangsung, beliau berjaya mengemudi United
menyingkirkan Barcelona dari saingan Liga Europa. `Mood’ pemain ketika ini
sangat berbeza dengan apa yang mereka tunjukkan dalam tempoh beberapa musim
terakhir. Segala aspek luaran yang ditunjukkan pemain sama ada menerusi
prestasi mereka di atas padang atau dari bahasa tubuh sebenarnya lahir dari
kerja-kerja dalaman yang dilakukan pengendali berkepala botak itu.
Masih ingat lagi dengan
tindakan beliau selepas United tewas 0-4 ditangan Brentford pada perlawanan
kedua liga musim ini? Berang dengan kekalahan memalukan itu, Ten Hag bukan
sahaja membatalkan cuti hujung minggu para pemainnya, tetapi beliau juga
mengarahkan mereka untuk melakukan larian sejauh 13.8 km bersama-sama. Isyarat
beliau jelas, iaitu tiada sebarang toleransi dengan kekalahan seperti itu dan
semua anggota dalam skuad perlu bertanggungjawab.
Apa yang berlaku selepas itu?
Para pemain menunjukkan reaksi yang sangat baik dan United berjaya menewaskan
Liverpool pada perlawanan ketiga liga mereka. Kejayaan menjulang trofi Piala
Liga antara progres yang dapat anda lihat setelah sepuluh bulan Ten Hag
mengendalikan kelab, dan sekarang semua pihak optimis bahawa beliau adalah
sosok yang tepat untuk membawa kembali kelab ke kelompok elit setelah bertahun-tahun
tenggelam dalam rasa `frustasi’.
Trofi ini (Piala Liga) sangat
besar ertinya bukan sahaja kepada penyokong United tetapi juga pemain seperti
Christian Eriksen, Bruno Fernandes dan Harry Maguire. Tujuh musim ketika bersama
Tottenham Hotspurs, Eriksen tidak pernah memenangi sebarang trofi. Ini juga
merupakan trofi pertama Bruno selepas tiga tahun beliau menyertai United. Dalam
soal trofi, Maguire tidak pernah beruntung, kerana bersama skuad kebangsaan,
beliau gagal menjulang trofi Euro biarpun England mara ke final pada edisi 2020.
Selepas Maguire meninggalkan
Leicester City, skuad `The Foxes’ itu berjaya menjulang trofi Piala FA dan Perisai
Komuniti, manakala di Old Trafford pula, beliau sering dijadikan sasaran
kritikan berikutan prestasi buruknya di benteng pertahanan. Medal kejuaraan
Piala Liga ini tetap tidak akan menaikkan darjat Maguire di mata penyokong
United, tetapi momen ketika menjulang trofi Piala Liga tetap akan menjadi
kenangan abadi dalam karier beliau.
Kejayaan menjulang trofi Piala Liga ini hanyalah permulaan. Apa yang pastinya penyokong-penyokong United mahu melihat lebih banyak kejuaraan di bawa masuk ke Old Trafford selepas ini. Sepertimana Mourinho, Ten Hag menjadikan Piala Liga sebagai prioriti utama untuk dimenangi pada eranya selaku pengendali. Dan sepertimana ketika era Mourinho dulu, kita berharap akan ada lagi trofi berjaya di bawa masuk selepas ini. Satu sudah digenggam, tiga lagi masih dalam jangkauan. Adakah `quadruple’ itu mustahil untuk di gapai? Saya fikir tidak. Glory Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan