27 Mac 2023

ANTONY...SATU LAGI PROJEK YANG GAGAL?

 


Penyokong-penyokong Manchester United meletakkan harapan yang sangat tinggi kepada Antony Matheus dos Santos ketika kelab mengumumkan secara rasmi perpindahan pemain antarabangsa Brazil itu ke Old Trafford pada Ogos tahun lalu. Antony adalah bakat muda sedang meningkat naik, pemain yang dilabel `bintang dalam pembikinan’ manakala sumbangan dan peranan yang dimainkannya sepanjang dua setengah musim di Johan Cryuff Arena meletakkan namanya dalam senarai panas pemain yang diburu kelab-kelab besar Eropah. 

 

Di Ajax, Antony pemain yang memukau menerusi kelicikan serta dianugerahkan `skill’ individu yang tinggi, manakala daya penyudahnya sering tidak terjangka oleh mana-mana pertahanan lawan khususnya di Eredivisie. Untuk seorang pemain yang datang dari negara `pencinta bolasepak sebenar’ seperti Brazil, kebolehan dan bakat yang dimiliki Antony bukanlah sesuatu yang terlalu asing. Dari Sao Paolo, Antony berlabuh ke kota Amsterdam, tetapi untuk bakat besar seperti beliau, Ajax cumalah persinggahan sementara untuknya.

 

Di Ajax, Antony bukanlah seorang `winger’ yang ortodoks, kerana beliau juga merupakan penjaring dan pencipta peluang yang dinamik. Kebolehan beliau dalam melakukan `progressive dribble’, percubaan-percubaan `on target’ yang sering dilepaskannya, `assist’ yang diciptanya dan gol-gol yang dijaringkannya meletakkan Antony sasaran yang didambakan penyokong-penyokong United pada jendela perpindahan musim panas tahun lalu. Apatah lagi beliau antara pemain yang sangat menyinar ketika Ajax di bawah kendalian Erik Ten Hag dulu.

 

Bukan Mudah

 

Penghijrahan beramai-ramai pemain-pemain utama mereka musim ini menyebabkan Ajax keberatan untuk membenarkan seorang lagi bakat besar mereka meninggalkan kelab. Jadi usaha memujuk Edwin van der Sar membenarkan Antony keluar dari Johan Cryuff Arena bukanlah satu kerja yang mudah. Bagaimanapun tawaran sebanyak £85 juta yang diberikan United tidak mampu ditolak Ajax, dan Liga Perdana akhirnya mengucapkan `selamat datang’ kepada seorang lagi prospek bintang masa depan bolasepak dunia untuk memperagakan kebolehannya di sini.

 

Apa yang didambakan penyokong-penyokong United ketika itu ialah barisan hadapan skuad `The Red Devils’ lebih menggerunkan dengan adanya Antony. Kelicikan Antony di sisi kanan, kelajuan Marcus Rashford di sisi kiri dan ketajaman Cristiano Ronaldo selaku penyerang tengah bakal memberikan dimensi baharu kepada trio hadapan United musim ini. Bagaimanapun impian tidak semestinya berakhir dengan realiti. Hakikatnya Ronaldo meninggalkan pasukan ketika saingan liga belum pun memasuki separuh musim manakala Antony pula belum menyerlah.

 

Satu-satunya perkara yang hebat berlaku di bahagian hadapan ialah prestasi terpuji Rashford, pemain yang menjadi sumber penting kepada gol-gol United musim ini. Apa yang berlaku kepada Antony bukanlah sesuatu yang mengejutkan. Pergelutan di peringkat awal dalam menyesuaikan diri dengan kelab baharu dan tempo permainan Liga Perdana adalah sesuatu yang normal buat mana-mana `rookie’ di Old Trafford. Tetapi saya berharap nasib Antony tidaklah seburuk Karel Poborsky, Diego Forlan, Kleberson atau Eric Djemba Djemba.   

 

Persoalan  

 

Kemampuan teknikal Antony tidak perlu dipersoalkan, tetapi adakah fizikal serta mentalnya sudah bersedia menangani kerasnya sepak terajang Liga Perdana? Secara teorinya, Antony merupakan `winger’ yang energik menerusi kemampuannya melakukan penetrasi ke zon pertahanan lawan, aktif dalam hal penguasaan bola, cuba mencipta bantuan gol atau menjaringkan gol. Penampilan United adakalanya agak buruk ketika Antony tersisih akibat kecederaan, tetapi statistik juga menunjukkan beliau antara pemain sayap yang tidak efektif di Liga Perdana.

 

Statistik `expected assist’ (xA) Antony iaitu 0.05 per perlawanan merupakan angka yang sangat rendah jika anda bandingan dengan catatan `rookie’ Liga Perdana yang lain seperti Erling Haaland (4.11) atau Darwin Nunez (4.88). Kecenderungan Antony melakukan `cut inside’ sebelum beliau melakukan umpanan silang dengan menggunakan kaki dominannya (iaitu kaki kiri) adalah kelemahan terbesarnya. Ruang masa yang ada inilah membolehkan lawan meletakkan pemain tambahan bagi menutup sebarang ruang sebelum beliau melakukan umpanan silang.

 

Atas sebab itulah mengapa anda masih belum melihat Antony menyumbang sebarang `assist’ dalam 14 penampilannya di Liga Perdana setakat ini. Apa yang perlu dilakukan Antony? Keluar dari kebiasaan dan belajar pendekatan permainan Arjen Robben, antara pemain sayap kanan berkaki kidal terbaik pernah disaksikan di Liga Perdana. Antony boleh menjadi pemain sayap (kanan) yang jauh lebih berbahaya dan bagus berbanding sekarang jika beliau mampu meningkatkan penggunaan kaki kanan sebaik kaki kirinya ketika melakukan hantaran atau gerakan.

 

Penutup

 

Adakah Antony satu lagi `projek’ United yang gagal? Masih terlalu awal untuk meletakkan label `overrated’ di bahu beliau, setidak-tidaknya jika anda melihat penampilan Antony di Liga Europa. Antony menjaringkan gol ketika United berdepan Barcelona dan Real Betis, di mana dalam dua perlawanan itu, Antony menampil sisi lebih variasi dalam permainannya. Beliau lebih berani ketika menguasai bola, lebih banyak bergerak di belakang pertahanan lawan dan melepaskan hantaran-hantaran berkualiti.

 

Ketika beliau menggantikan Hakim Ziyech di Ajax, Antony berkembang menjadi pemain sayap yang menarik menerusi kualiti kawalan bola dimilikinya, visi permainan serta gol-gol yang dijaringkannya. Kini Antony sedang berjuang dalam usahanya beradaptasi dengan budaya dan tempo permainan Liga Perdana. Dan jika beliau berjaya keluar dari pergelutan ini, percayalah bahawa Antony akan menjadi salah seorang pemain penting dalam evolusi yang dilakukan Ten Hag. Glory Glory Manchester United!!!



22 Mac 2023

MENUJU KE PUSKAS ARENA

 


“Kelab Sepanyol lagi”…itu mungkin perkataan yang terlintas dalam fikiran anda selepas selesai undian peringat suku akhir Liga Europa yang dilangsungkan di Nyon, Switzerland pada 17 Mac lalu. Selepas dipertemukan dengan Real Sociedad (peringkat kumpulan), Barcelona (pusingan play-off) dan Real Betis (pusingan 16 pasukan), United bakal berdepan ujian getir apabila mereka diundi menentang satu lagi wakil Sepanyol di peringkat suku akhir Liga Europa musim ini.

 

Sevilla bukan sekadar menjadi kelab keempat dari Sepanyol yang bakal dihadapi United dalam impian mereka menuju ke Puskas Arena, tetapi mereka juga merupakan kesebelasan yang memegang rekod selaku pemenang terbanyak Liga Europa (enam kali). Bagaimanapun prestasi Sevilla dalam saingan domestik musim agak berantakan. Sevilla disingkir Osasuna di peringkat suku akhir Copa del Rey, manakala dalam saingan La Liga pula, mereka sekadar berada di tangga ke-14 selepas mengharungi 26 perlawanan.

 

Bagaimanapun dalam masa yang sama, anda juga perlu mengakui bahawa Sevilla merupakan `specialist’ serta memiliki karisma tersendiri setiap kali mereka beraksi dalam saingan Liga Europa. Selain daripada itu, mereka juga memiliki rekod yang sangat baik dalam empat pertemuan menentang United. Untuk rekod, dari empat pertemuan menentang United, mereka menang tiga kali, manakala satu lagi pertembungan berakhir dengan keputusan seri.

 

Misi Tiga Kejuaraan

 

Sevilla umpama sumpahan, tetapi jika United mahu mara ke Budapest dan menjulang trofi Liga Europa buat kali kedua dalam tempoh enam tahun, mereka perlu menewaskan kesebelasan terbaik dan `specialist’ kejohanan seperti Sevilla. Ini merupakan kali keempat United lolos ke peringkat suku akhir Liga Europa, dan dari jumlah tersebut mereka layak ke final sebanyak dua kali. Yang pertama tentunya kejayaan manis menjulang trofi tersebut pada 2017, dan kedua pada final edisi 2021 yang menyaksikan United tewas kepada Villareal menerusi penentuan sepakan penalti.

 

Liga Europa antara kejuaraan yang masih realistik untuk United menenangi selepas kejayaan mereka menjulang trofi Piala Liga pada 27 Februari lalu. Selain itu, skuad `The Red Devils’ juga bakal berdepan Brighton & Hove Albion di peringkat separuh akhir kejuaraan Piala FA pada 22 April nanti. Tatkala trofi Liga Perdana semakin jauh dari jangkauan, menamatkan musim ini dengan tiga kejuaraan tetap satu pencapaian yang menakjubkan pada musim pertama Erik Ten Hag di Old Trafford.

 

Bukan Mudah

 

Selepas kejayaan menjulang trofi Piala Liga, United masih bersaing untuk merebut tiga lagi kejuaraan musim ini. Dengan jadual yang sangat padat, Ten Hag bukan sahaja perlu memastikan skuadnya lebih konsisten, tetapi beliau juga perlukan kedalaman skuad (squad depth) yang bagus, faktor yang sebenarnya tidak dimiliki United musim ini. United sudah beberapa kali berdepan kesukaran ketika pemain penting seperti Casemiro tidak dapat diturunkan.

 

Ketika Christian Eriksen sudah hampir dua bulan tidak bermain akibat kecederaan, berharaplah agar pemain seperti Casemiro, Marcel Sabitzer, Bruno Fernandes atau Fred tidak mengalami nasib yang sama pada baki saingan musim ini. Selain daripada itu, lihat juga kebergantungan United kepada Marcus Rashford dalam misi memburu gol. Anda boleh berikan kredit yang tinggi kepada usaha serta kesungguhan Wout Weghorst di atas padang, tetapi tiada mana-mana pemain hadapan United yang mampu menggantikan posisi Rashford sekiranya beliau mengalami kecederaan. Kehilangan Rashford adalah bencana buat Ten Hag.

 

Strategi Ten Hag

 

Ten Hag sangat sinonim menerusi pendekatan penguasaan bola dalam skema permainan yang diterapkan beliau. Bagaimanapun, adakalanya strategi itu tidak dapat diimplementasikan, dan beliau akan beralih kepada pendekatan yang lebih pragmatis. Sebagai contoh terbaik, lihat pendekatan permainan United ketika mereka berdepan Barcelona di kedua-dua `leg’. Di Camp Nou dan Old Trafford, Ten Hag menggunakan pendekatan `man-to-man’ di zon tengah selain melakukan `pressing’ secara kolektif.

 

Menerusi pendekatan tersebut, United bukan sahaja mampu menyerap setiap asakan Barca dengan berkesan, tetapi mereka juga sangat efisien ketika melakukan serang balas pantas. Menerusi statistik yang dikeluarkan FbRef, penguasaan bola United di zon `final third’ meningkat dari 29.7% (musim lalu) kepada 32.94%. Pada aksi final Piala Liga, Newcastle United adalah kesebelasan yang lebih intensif, begitu juga dengan Barca. Bagaimanapun United akhirnya keluar sebagai pemenang kerana mereka bermain dengan sistem taktikal Ten Hag yang disesuaikan dengan lawan yang beliau dihadapi.

 

Penutup

 

Sevilla boleh dilabel sebagai `Raja Liga Europa’, kerana mereka merupakan kesebelasan paling banyak memenangi kejuaraan tersebut. Bagaimanapun berdasarkan prestasi semasa, United berpeluang menamatkan sumpahan buruk setiap kali mereka berdepan kelab dari Andalusia itu. Jika berhasil melepasi halangan Sevilla, United bakal berdepan sama ada Juventus atau Sporting Lisbon di peringkat separuh akhir.

 

Juventus sudah menemui semula sentuhan terbaik mereka menerusi empat kemenangan yang dilakar dari empat penampilan terakhir mereka. Manakala kejayaan menyingkir Arsenal pula tentunya satu motivasi tambahan buat Sporting Lisbon untuk mara lebih jauh pada edisi kali ini. Memenangi Liga Europa adalah kesempatan terbaik untuk United kembali beraksi di Liga Juara-Juara dengan lebih bergaya. Ia bukan tentang ambisi memenangi tiga kejuaraan semusim semata-mata, tetapi juga tentang setinggi mana kemahuan United untuk melakar sejarah dan kembali ke podium kejuaraan. Glory Glory Manchester United!!!



11 Mac 2023

MALAM UNTUK `BOBO'

 


Empat kali pintu gol Real Betis bolos pada aksi pertama pusingan 16 pasukan Liga Europa yang dilangsungkan di Old Trafford pada awal pagi kelmarin. Tetapi paling menarik adalah jaringan keempat United yang dihasilkan Wout Weghorst diminit ke-82. Gol ini merupakan gol peribadi kedua beliau sejak menyertai United pada Januari lalu dengan status sebagai pemain pinjaman. Dan gol ini juga merupakan yang pertama dijaringkan Weghorst di Old Trafford.

 

Dua gol dari 15 penampilan bukanlah jumlah yang banyak untuk seorang penyerang seperti beliau, jadi tidak hairanlah mengapa penampilan Weghorst sering dijadikan sasaran kritikan oleh para pengkritiknya. Sukar untuk membayangkan United mengekalkan beliau di Old Trafford secara tetap musim depan, tetapi Weghorst antara contoh pemain yang mampu melaksanakan segala arahan dan taktikal Erik Ten Hag dengan sangat baik. Weghorst bukan mesin gol, tetapi `pelaksana dan pendengar arahan yang setia’.

 

Apa yang anda lihat sepanjang 15 penampilan beliau dalam seragam merah United ialah kerja kerasnya tanpa kenal penat. Beliau sentiasa berlari hampir sepanjang perlawanan, pemain pertama yang meluru kearah pertahanan lawan ketika mereka menguasai bola bagi melakukan `pressing’, selain membantu rakan-rakan sepasukan dalam situasi bertahan. Jadi gol ke gawang Betis itu adalah ganjaran dari kerja kerasnya selama ini.

 

Gol pertamanya hadir ketika United menewaskan Nottingham Forest dalam saingan Piala Liga di gelanggang lawan. Tetapi gol ke gawang Betis ini adalah gol yang ditunggu-tunggu Weghorst kerana ia berlaku di Old Trafford, dan dilakukan beliau di hadapan puluhan ribu penyokong United. Bagi seorang penyerang, satu perasaan yang sangat luarbiasa apabila dapat menjaringkan gol, apatah lagi Weghorst sendiri terpaksa menunggu selama 44 hari sebelum gol kedua peribadi beliau ini terhasil.

 

Dalam skema permainan yang digunakan Ten Hag, Weghorst biasanya akan digunakan sebagai penyerang tunggal dalam formasi 4-2-3-1. Di atas kertas beliau adalah pemain dengan peranan nombor 9, tetapi sejak kebelakangan ini anda juga boleh melihat Weghorst adakalanya digunakan sebagai pemain nombor 10. Sebagai contoh lihat penampilan beliau ketika United berdepan Barcelona pada perlawanan pertama pusingan `play-off’ Liga Europa di Camp Nou pada 16 Februari lalu.

 

Menurut Ten Hag, keputusan beliau meletakkan posisi Weghorst di belakang Marcus Rashford bagi memberikan lebih variasi kepada setiap gerakan yang dilancarkan ke zon pertahanan lawan. Beliau tidak menjaringkan sebarang gol atau menyumbang bantuan gol, tetapi keberadaannya berjaya menarik pertahanan lawan hingga membuka ruang buat Marcus Rashford, Jadon Sancho dan Bruno Fernandes melakukan `penetration’.

 

Kerja-kerja yang dilakukan Weghorst ini bukanlah mudah kerana ia memerlukan stamina yang tinggi dari seorang pemain. “Saya fikir dia antara pemain terbaik di atas padang. Dia tahu di mana posisinya ketika kami menguasai bola dan dia melakukan tugasnya dengan sangat baik untuk pasukan”. kata Ten Hag. Jika anda bercakap tentang `skill’ permainannya, Weghorst bukanlah pemain yang istimewa. Tetapi sebagai penyerang anda patut berikan kredit kepada kerja kerasnya.

 

Ambisi, semangat dan dedikasi beliau dalam permainan sangat luarbiasa, dan sebagai contoh terbaik lihat apa yang beliau lakukan ketika United menyingkirkan West Ham dalam aksi pusingan kelima Piala FA pada 1 Mac lalu. Penempatan posisinya yang baik menyebabkan Nayef Aguerd melakukan kesilapan hingga terhasilnya gol penyamaan United, manakala gol ketiga yang dijaringkan Fred pula berpunca dari `pressing’ dan `assist’ yang dilakukannya.

 

Weghorst dibawa ke Old Trafford bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Cristiano Ronaldo dan kini selepas melakukan 15 penampilan untuk United, timbul pertanyaan adakah beliau layak untuk terus berada dalam skuad Ten Hag musim depan? Jika jumlah jaringan mahu dijadikan ukuran, Weghorst sudah tentu gagal mencapai KPI beliau sebagai penyerang United. Jika jumlah gol mahu dijadikan indikator, Weghorst juga sebenarnya tidak layak mengisi kekosongan yang ditinggalkan Ronaldo.

 

Kerja kerasnya dan bagaimana beliau sentiasa memberikan tekanan kepada lawan menyebabkan gaya bolasepak yang diterapkan Ten Hag berjalan dengan baik. Dan aspek inilah yang menjadi kelemahan Ronaldo pada fasa akhir kariernya di Old Trafford. Pada aksi menentang Betis kelmarin, Weghorst bukanlah pemain United paling menonjol. Tetapi bagi `Bobo’, malam itu adalah malam beliau, `Theatre of Dreams’ seolah-olah memang disediakan untuknya dan `Bobo’ menikmati malam itu menerusi jaringan yang dihasilkannya. Glory Glory Manchester United!!!



09 Mac 2023

MEDAN MENEBUS DOSA

 


Berhenti meratap dan lupakan segera kekalahan besar kepada Liverpool, kerana Manchester United kini berdepan misi yang harus mereka selesaikan. Aksi menentang Real Betis di pusingan 16 pasukan Liga Europa adalah medan terbaik untuk United bangkit, meraih semula kepercayaan penyokong dan menjadikan aksi pusingan pertama ini sebagai medan untuk para pemain `menebus dosa’ selepas kekalahan memalukan di Anfield tempohari.

 

Saingan Liga Europa musim ini seolah-olah memang sudah `diatur’ untuk United berdepan wakil dari Sepanyol. Dalam saingan peringkat kumpulan, United diletakkan dalam kumpulan yang sama bersama Real Sociedad, manakala di pusingan `play-off’ pula mereka terpaksa berdepan ujian getir bila diundi menentang Barcelona. Dan kini, Betis menjadi wakil ketiga Sepanyol yang terpaksa dihadapi United jika mereka ingin mara lebih jauh dalam kempen Eropah kali ini.

 

Siapa Real Betis?

 

Betis berasal dari perkataan `Baetis’ di mana kelab ini ditubuhkan pada 1907 dengan nama Sevilla Balompei. Bagaimanapun tujuh tahun selepas itu, mereka memilih untuk berpisah dengan Sevilla dan bergabung dengan Betis Football Club dengan nama baharu Real Betis Balompei. Kejayaan mara ke final kejohanan Cup Winners Cup pada 1931 dan kemudiannya di promosikan ke La Liga pada 1932 antara pencapaian cemerlang pada fasa awal penubuhan kelab.

 

Di bawah kendalian Patrick O’Connell, Betis meraih kesuksesan terbesar mereka menerusi kejayaan menjulang trofi La Liga pada 1935 menerusi kelebihan hanya satu mata di hadapan Real Madrid. Kejayaan itu bagaimanapun menjadi satu-satunya kejuaraan La Liga yang pernah mereka menangi dalam sejarah kelab. Bermula pada 1947, Betis terhumban ke Divisyen 3 dan tempoh tujuh tahun yang mereka habiskan di sana merupakan fasa paling gelap sepanjang sejarah penubuhan Betis.

 

Pada 1977, Betis akhirnya berjaya meraih kejuaraan besar pertama mereka dalam tempoh 42 tahun menerusi kejayaan menjulang trofi Copa del Rey. Pada musim 2014/15 mereka terhumban semusim di Segunda Division sebelum kembali ke liga utama pada musim berikutnya (2015/16). Sejak itu Betis tidak pernah gagal menamatkan saingan La Liga dalam kelompok 10 teratas, malah dalam tempoh lima musim terakhir, tiga kali mereka berjaya menamatkan saingan liga di kelompok enam teratas.

 

Musim Terbaik

 

Di bawah kendalian Manuel Pellegrini, Betis mengharungi musim terbaik mereka setakat ini menerusi kejayaan menduduki tangga kelima liga. Keputusan seri yang dilakar ketika berdepan Real Madrid pada Ahad lalu menyaksikan Betis sudah mengharungi empat perlawanan terakhir liga tanpa tewas. Dalam kempen Liga Europa pula, hanya AS Roma sahaja satu-satunya pasukan yang berjaya memaksa mereka keciciran mata dalam saingan peringkat kumpulan.

 

Betis kemudiannya menamatkan saingan Kumpulan C selaku juara selepas mengutip 16 mata, enam mata di hadapan Roma yang muncul kesebelasan kedua terbaik peringkat kumpulan. Keberadaan Pellegrini sejak 2020 di kerusi pengendali banyak memberikan impak kepada peningkatan Betis. Catatan beliau ketika berdepan United juga perlu anda perhatikan kerana dari 13 pertembungan membabitkan skuad kendaliannya dengan United, Pellegrini menang lima perlawanan dan seri lima kali.

 

Penutup

 

United dan Betis tidak pernah bertemu dalam mana-mana saingan Eropah sebelum ini. Jadi ini adalah pertembungan pertama membabitkan kedua-dua pasukan sepanjang sejarah penubuhan kelab dengan slot ke peringkat suku akhir sebagai rebutan. Selepas `pembantaian’ di Anfield tempohari, tiada apa yang boleh dilakukan pemain selain meminta maaf kepada para penyokong. Bagaimanapun kita mahukan lebih daripada itu, bukan sekadar permohonan maaf atas prestasi buruk yang mereka pamerkan di Anfield.

 

Kita ingin melihat reaksi pemain selepas kekalahan besar di Anfield tempohari dan aksi menentang Betis adalah kesempatan terbaik untuk United bangkit semula. Kalahkan Betis dan jaringkan seberapa banyak gol sebagai bekalan untuk perlawanan kedua nanti adalah cara paling sempurna untuk United menutup segala keaiban yang berlaku di Anfield. Semoga episod hitam di Anfield tidak membunuh United, tetapi sebaliknya menjadikan mereka lebih kuat. Glory Glory Manchester United!!!

07 Mac 2023

PERJUANGAN YANG MASIH BELUM SELESAI

 


Sejak kekalahan (2-3) kepada Arsenal dalam saingan liga pada 23 Januari lalu, Manchester United mengharungi 11 perlawanan dalam semua kejohanan tanpa tewas. Bagaimanapun catatan itu terhenti pada tengah malam Isnin lalu selepas United tewas pada penampilan ke-25 mereka dalam saingan liga musim ini. Kekalahan besar (0-7) kepada Liverpool bukan sahaja memanjangkan lagi rekod buruk United ketika mereka bertandang ke Anfield, tetapi kekalahan besar itu juga sangat mengejutkan jika diambilkira prestasi terkini barisan kendalian Erik Ten Hag.

 

Kekalahan besar kepada seteru abadi seperti Liverpool memang menyakitkan, apatah lagi menjelang pertembungan `North-West Derby’ ke 186 ini, United berada di prestasi terbaik mereka. Baru seminggu dinobatkan selaku juara Piala Liga dan kemudiannya mara ke peringkat suku akhir Piala FA selepas mereka menyingkirkan West Ham, kekalahan besar ini memang tidak pernah dijangka dan sangat memalukan. United bermain dengan baik di babak pertama meskipun pintu gol mereka dibolosi Cody Gakpo, tetapi babak kedua adalah bencana buat `The Red Devils’.

 

Tinta hitam kini sudah tertulis, kerana ini merupakan kekalahan terbesar dialami United dalam pertembungan `North-West Derby’, juga kekalahan terbesar dialami mereka di tangan Liverpool sepanjang era Liga Perdana. Kekalahan terbesar yang dialami United dalam pertembungan `North-West Derby’ sebelum ini berlaku pada Oktober 1895. Ketika itu Liverpool menewaskan United (7-1) dalam aksi liga Divisyen 2 yang dilangsungkan di Anfield. Untuk rekod, kali terakhir United berjaya menewaskan Liverpool di Anfield ialah pada 22 Mac 2015.

 

Kapasiti Bruno

 

Ini adalah hari dan penampilan terburuk Bruno Fernandes, apatah lagi di Anfield beliau turun sebagai kapten pasukan. Menurut Chris Sutton, bekas pemain dan legenda Blackburn Rovers, Bruno sepatutnya tidak diberikan `arm band’ kapten pasukan lagi selepas ini. “Bruno bukan pemimpin terbaik mereka. Ada pemain yang lebih layak untuk diberikan lilitan lengan ketua pasukan. Casemiro adalah diantaranya”, kata Sutton. Manakala Gary Neville pula melabelkan penampilan Bruno dalam perlawanan itu sebagai memalukan.

 

Ketika beliau menjulang trofi Piala Liga di Wembley minggu lalu, Bruno menunjukkan seolah-olah beliau adalah kapten masa depan United. Ada momen-momen gemilang yang bakal menanti beliau selepas ini, tetapi aksi di Anfield sepatutnya membuatkan Bruno sedar dari lena. Tatkala benteng pertahanan huru-hara dalam usaha mereka mengekang asakan lawan, Bruno pula seolah-olah hilang cengkaman sebagai pemimpin di tengah padang. Di Anfield, ini bukanlah penampilan biasa Bruno dan ini juga bukanlah semangat yang biasanya anda lihat dalam diri beliau.

 

Reaksi Ten Hag

 

Selepas tamat aksi di Anfield, Ten Hag melabelkan barisan pemainnya sebagai `tidak profesional’. Melihat kepada keputusan di `scoreboard’, reaksi Ten Hag bukanlah sesuatu yang mengejutkan. United membiarkan Liverpool mengamuk yang menyaksikan pintu gol mereka bolos enam kali di babak kedua. “Sangat jelas bahawa mereka (pemain) tidak profesional. Babak pertama, kami adalah kesebelasan yang lebih baik. Kami mencipta peluang, dan ada dua situasi satu lawan satu dengan penjaga gol lawan. Tetapi babak kedua betul-betul mengejutkan saya”, kata Ten Hag.

 

Hanya dua minit diperlukan Liverpool untuk menghasilkan gol kedua sebaik babak kedua bersambung. Gol kedua dan ketiga yang dijaringkan lawan terhasil menerusi proses transisi defensif. Gol dari Darwin Nunez berlaku dalam situasi `turn over’ dan gol ketika menerusi Cody Gakpo adalah menerusi gerakan `counter attack’. “Kami memberikan mereka ruang di bahagian tengah. Ketika lawan mendahului 3-0, kami seolah-olah sudah mengalah. Ia sepatutnya tidak begitu. Ini kejutan bagi saya, kerana bagi saya ini bukanlah Manchester United”, kata Ten Hag lagi.

 

Kelas Tersendiri

 

Suka atau tidak, anda perlu mengakui bahawa Liverpool berada dalam kelas tersendiri dalam perlawanan ini. Malah dalam tempoh beberapa minggu terakhir, barisan kendalian Jurgen Klopp itu sudah menunjukkan tanda-tanda kebangkitan. Akhirnya di Anfield pada tengah malam Isnin lalu, mereka memilih lawan yang tepat untuk menunjukkan kepada dunia bahawa `The Reds’ masih lagi kesebelasan yang wajar dihormati. Paling menarik perhatian tentunya penampilan Cody Gakpo, pelaburan £37 juta yang dilakukan Liverpool pada Januari lalu.

 

Gakpo tampil penuh `energetic’, lancar dan sangat berbahaya dalam perlawanan ini. Meskipun pada awalnya keputusan Klopp mendapatkan khidmat beliau dari PSV Eindhoven diragui, kini Gakpo mula menunjukkan potensi sebenarnya sebagai antara penggempur yang wajar diberikan perhatian khusus oleh mana-mana pertahanan lawan. Hanya dalam tempoh dua bulan sejak ketibaannya di England, Gakpo sudah meledak empat gol dari 12 penampilan. Dua gol dijaringkannya ketika berdepan Everton dan Newcastle, dan dua lagi ketika berdepan United kelmarin.

 

Selain Gakpo, pujian juga wajar diberikan kepada Mohamed Salah. Tiada mana-mana pemain pertahanan yang gemar berdepan dengan `Raja Mesir’ ini ketika beliau berada pada prestasi terbaiknya. Meskipun ada pihak melabelkan bahawa Salah sedang melalui musim terburuknya di Anfield, namun faktanya beliau sudah pun meledak 22 gol dalam semua kejohanan setakat ini. Bukan sekadar dua `assist’ yang diciptanya, malah dua gol yang beliau ledak dalam perlawanan ini menobatkan Salah selaku penjaring terbanyak Liverpool di era liga Perdana mengatasi catatan Robbie Fowler.

 

Penutup

 

Sebelum aksi di Anfield ini berlangsung, kita begitu optimis bahawa United mampu menjulang empat kejuaraan musim ini. Tetapi selepas aksi di Anfield ini berakhir, kita sedar bahawa masih banyak lagi kerja-kerja belakang tabir yang perlu dilakukan Ten Hag demi mengangkat semula martabat United selaku gergasi bolasepak Inggeris. Akhirnya kita juga kini kembali berpijak di bumi nyata dan sedar bahawa misi mengejar Arsenal selaku pendahulu liga rupa-rupanya sekadar mimpi di siang hari.

 

Apa yang mampu kita harapkan selepas United berdepan kejutan dan kekalahan sebesar ini? Berdoalah semoga `pembantaian’ separah ini tidak mengganggu psikologi pemain dalam misi mereka menjulang dua lagi kejuaraan yang sebenarnya masih realistik untuk dimenangi. Pada Oktober lalu, United pernah berdepan kekalahan besar (3-6) kepada Manchester City, tetapi lihatlah bagaimana mereka bangkit selepas itu. Percayalah, kali ini United mampu bangkit sekali lagi kerana perjuangan ini masih belum selesai. Glory Glory Manchester United!!!



01 Mac 2023

SATU SUDAH DIGAPAI...TIGA LAGI SELEPAS INI

 


Enam tahun tanpa trofi terasa begitu terlalu lama, apatah lagi untuk sebuah kelab seperti Manchester United. Bagi sebuah kelab yang sebelumnya sangat sinonim dengan prestasi dan sangat kuat tarikannya terhadap trofi, enam tahun tanpa sebarang kejuaraan adalah tempoh yang membingungkan, tempoh yang menyakitkan dan tempoh yang membuatkan kita sering tertanya-tanya, apa sebenarnya yang sudah terjadi kepada United?

 

Bagaimanapun, awal pagi 27 Februari di Wembley, segalanya tuntas. Penantian enam tahun tanpa sebarang trofi berakhir apabila barisan kendalian Erik Ten Hag menewaskan Newcastle United untuk menjulang kejuaraan Piala Liga keenam dalam sejarah kelab. Ini mungkin cuma `piala kecil’, tetapi apa yang menariknya United berjaya menjulang trofi pertama mereka sejak 2017 hanya dalam tempoh sembilan bulan selepas ketibaan Ten Hag di Old Trafford.

 

Kejayaan United menjulang `piala kecil’ ini memang luarbiasa, kerana di sebalik dominasi lawan dalam hal penguasaan bola (61%), mereka masih mampu keluar sebagai pemenang. `Turning point’ dalam perlawanan ini tentunya dua gol yang dijaringkan United dalam tempoh lima minit. Pertama menerusi Casemiro (minit ke-33) dan kedua menerusi Marcus Rashford (minit ke-38). Dua gol itu sebenarnya menoktahkan perjuangan Newcastle kerana di babak kedua tidak banyak yang mampu dilakukan mereka untuk menembusi pertahanan solid `The Red Devils’.

 

Ramai yang bercakap tentang  Casemiro dan Marcus Rashford, dua pemain yang gol mereka membawa United ke podium kejuaraan. Casemiro memang seorang pemain dengan mentaliti pemenang, manakala Rashford pula sedang menikmati musim terbaiknya. Bagaimanapun individu terpenting di sebalik kejayaan United di Wembley tempohari ialah Erik Ten Hag, sosok yang didambakan penyokong-penyokong `The Red Devils’ sejak sekian lama untuk menduduki kerusi panas pengendali di Old Trafford.

 

Sejak 2013, David Moyes, Louis Van Gaal, Jose Mourinho dan Ole Gunnar Solskjaer dilantik dalam usaha kelab mengembalikan semula kegemilangan yang pernah mereka kecapi di era Sir Alex Ferguson. Tetapi kesemua mereka tidak mampu bertahan lama kerana prestasi buruk kelab yang menyebabkan mereka akhirnya di pecat. Sepuluh bulan lalu, United melakukan satu lagi tindakan drastik apabila mereka mengumumkan Ten Hag selaku pengendali baharu skuad utama, menggantikan posisi Ralf Rangnick yang sebelumnya bertindak sebagai pengurus interim.

 

Di Belanda, kredibiliti Ten Hag sudah terbukti apabila beliau berjaya mengemudi Ajax Amsterdam muncul juara Eredivisie sebanyak tiga kali, tetapi di Liga Perdana sentuhannya masih belum teruji. Bagaimanapun dalam tempoh hanya sepuluh bulan, Ten Hag berjaya menjadikan United sebuah kesebelasan yang mampu mencabar kejuaraan, sukar dikalahkan serta tahu bagaimana mahu memenangi perlawanan. Dan selepas enam tahun tanpa sebarang kejuaraan, United akhirnya menjulang trofi pertama mereka sejak 2017.

 

Sebaik wisel penamat aksi final Piala Liga ditiup, jutaan penyokong United di seluruh dunia akhirnya berasa lega kerana mereka kembali menghirup aroma kejuaraan yang sudah enam tahun tidak mereka nikmati. United tidak akan mampu keluar sebagai juara jika bukan kerana transformasi yang dilakukan Ten Hag. Dengan wibawa, ketajaman fikiran serta falsafah bolasepak yang beliau bawa, Ten Hag kini sudah memiliki trofi pertama sebagai bukti bahawa beliau juga mampu bersaing dengan mana-mana pengurus terbaik di Liga Perdana.

 

Jangan lupakan juga, hanya tiga hari sebelum final ini berlangsung, beliau berjaya mengemudi United menyingkirkan Barcelona dari saingan Liga Europa. `Mood’ pemain ketika ini sangat berbeza dengan apa yang mereka tunjukkan dalam tempoh beberapa musim terakhir. Segala aspek luaran yang ditunjukkan pemain sama ada menerusi prestasi mereka di atas padang atau dari bahasa tubuh sebenarnya lahir dari kerja-kerja dalaman yang dilakukan pengendali berkepala botak itu.

 

Masih ingat lagi dengan tindakan beliau selepas United tewas 0-4 ditangan Brentford pada perlawanan kedua liga musim ini? Berang dengan kekalahan memalukan itu, Ten Hag bukan sahaja membatalkan cuti hujung minggu para pemainnya, tetapi beliau juga mengarahkan mereka untuk melakukan larian sejauh 13.8 km bersama-sama. Isyarat beliau jelas, iaitu tiada sebarang toleransi dengan kekalahan seperti itu dan semua anggota dalam skuad perlu bertanggungjawab.

 

Apa yang berlaku selepas itu? Para pemain menunjukkan reaksi yang sangat baik dan United berjaya menewaskan Liverpool pada perlawanan ketiga liga mereka. Kejayaan menjulang trofi Piala Liga antara progres yang dapat anda lihat setelah sepuluh bulan Ten Hag mengendalikan kelab, dan sekarang semua pihak optimis bahawa beliau adalah sosok yang tepat untuk membawa kembali kelab ke kelompok elit setelah bertahun-tahun tenggelam dalam rasa `frustasi’.

 

Trofi ini (Piala Liga) sangat besar ertinya bukan sahaja kepada penyokong United tetapi juga pemain seperti Christian Eriksen, Bruno Fernandes dan Harry Maguire. Tujuh musim ketika bersama Tottenham Hotspurs, Eriksen tidak pernah memenangi sebarang trofi. Ini juga merupakan trofi pertama Bruno selepas tiga tahun beliau menyertai United. Dalam soal trofi, Maguire tidak pernah beruntung, kerana bersama skuad kebangsaan, beliau gagal menjulang trofi Euro biarpun England mara ke final pada edisi 2020.

 

Selepas Maguire meninggalkan Leicester City, skuad `The Foxes’ itu berjaya menjulang trofi Piala FA dan Perisai Komuniti, manakala di Old Trafford pula, beliau sering dijadikan sasaran kritikan berikutan prestasi buruknya di benteng pertahanan. Medal kejuaraan Piala Liga ini tetap tidak akan menaikkan darjat Maguire di mata penyokong United, tetapi momen ketika menjulang trofi Piala Liga tetap akan menjadi kenangan abadi dalam karier beliau.

 

Kejayaan menjulang trofi Piala Liga ini hanyalah permulaan. Apa yang pastinya penyokong-penyokong United mahu melihat lebih banyak kejuaraan di bawa masuk ke Old Trafford selepas ini. Sepertimana Mourinho, Ten Hag menjadikan Piala Liga sebagai prioriti utama untuk dimenangi pada eranya selaku pengendali. Dan sepertimana ketika era Mourinho dulu, kita berharap akan ada lagi trofi berjaya di bawa masuk selepas ini. Satu sudah digenggam, tiga lagi masih dalam jangkauan. Adakah `quadruple’ itu mustahil untuk di gapai? Saya fikir tidak. Glory Glory Manchester United!!!