Empat kali pintu gol Real Betis
bolos pada aksi pertama pusingan 16 pasukan Liga Europa yang dilangsungkan di
Old Trafford pada awal pagi kelmarin. Tetapi paling menarik adalah jaringan
keempat United yang dihasilkan Wout Weghorst diminit ke-82. Gol ini merupakan
gol peribadi kedua beliau sejak menyertai United pada Januari lalu dengan
status sebagai pemain pinjaman. Dan gol ini juga merupakan yang pertama
dijaringkan Weghorst di Old Trafford.
Dua gol dari 15 penampilan
bukanlah jumlah yang banyak untuk seorang penyerang seperti beliau, jadi tidak
hairanlah mengapa penampilan Weghorst sering dijadikan sasaran kritikan oleh
para pengkritiknya. Sukar untuk membayangkan United mengekalkan beliau di Old
Trafford secara tetap musim depan, tetapi Weghorst antara contoh pemain yang
mampu melaksanakan segala arahan dan taktikal Erik Ten Hag dengan sangat baik.
Weghorst bukan mesin gol, tetapi `pelaksana dan pendengar arahan yang setia’.
Apa yang anda lihat sepanjang
15 penampilan beliau dalam seragam merah United ialah kerja kerasnya tanpa
kenal penat. Beliau sentiasa berlari hampir sepanjang perlawanan, pemain
pertama yang meluru kearah pertahanan lawan ketika mereka menguasai bola bagi
melakukan `pressing’, selain membantu rakan-rakan sepasukan dalam situasi
bertahan. Jadi gol ke gawang Betis itu adalah ganjaran dari kerja kerasnya
selama ini.
Gol pertamanya hadir ketika
United menewaskan Nottingham Forest dalam saingan Piala Liga di gelanggang
lawan. Tetapi gol ke gawang Betis ini adalah gol yang ditunggu-tunggu Weghorst
kerana ia berlaku di Old Trafford, dan dilakukan beliau di hadapan puluhan ribu
penyokong United. Bagi seorang penyerang, satu perasaan yang sangat luarbiasa
apabila dapat menjaringkan gol, apatah lagi Weghorst sendiri terpaksa menunggu
selama 44 hari sebelum gol kedua peribadi beliau ini terhasil.
Dalam skema permainan yang
digunakan Ten Hag, Weghorst biasanya akan digunakan sebagai penyerang tunggal
dalam formasi 4-2-3-1. Di atas kertas beliau adalah pemain dengan peranan nombor
9, tetapi sejak kebelakangan ini anda juga boleh melihat Weghorst adakalanya digunakan
sebagai pemain nombor 10. Sebagai contoh lihat penampilan beliau ketika United berdepan
Barcelona pada perlawanan pertama pusingan `play-off’ Liga Europa di Camp Nou
pada 16 Februari lalu.
Menurut Ten Hag, keputusan
beliau meletakkan posisi Weghorst di belakang Marcus Rashford bagi memberikan
lebih variasi kepada setiap gerakan yang dilancarkan ke zon pertahanan lawan. Beliau
tidak menjaringkan sebarang gol atau menyumbang bantuan gol, tetapi
keberadaannya berjaya menarik pertahanan lawan hingga membuka ruang buat Marcus
Rashford, Jadon Sancho dan Bruno Fernandes melakukan `penetration’.
Kerja-kerja yang dilakukan
Weghorst ini bukanlah mudah kerana ia memerlukan stamina yang tinggi dari
seorang pemain. “Saya fikir dia antara pemain terbaik di atas padang. Dia tahu
di mana posisinya ketika kami menguasai bola dan dia melakukan tugasnya dengan
sangat baik untuk pasukan”. kata Ten Hag. Jika anda bercakap tentang `skill’
permainannya, Weghorst bukanlah pemain yang istimewa. Tetapi sebagai penyerang
anda patut berikan kredit kepada kerja kerasnya.
Ambisi, semangat dan dedikasi
beliau dalam permainan sangat luarbiasa, dan sebagai contoh terbaik lihat apa
yang beliau lakukan ketika United menyingkirkan West Ham dalam aksi pusingan
kelima Piala FA pada 1 Mac lalu. Penempatan posisinya yang baik menyebabkan
Nayef Aguerd melakukan kesilapan hingga terhasilnya gol penyamaan United,
manakala gol ketiga yang dijaringkan Fred pula berpunca dari `pressing’ dan
`assist’ yang dilakukannya.
Weghorst dibawa ke Old Trafford
bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Cristiano Ronaldo dan kini selepas melakukan
15 penampilan untuk United, timbul pertanyaan adakah beliau layak untuk terus
berada dalam skuad Ten Hag musim depan? Jika jumlah jaringan mahu dijadikan
ukuran, Weghorst sudah tentu gagal mencapai KPI beliau sebagai penyerang United.
Jika jumlah gol mahu dijadikan indikator, Weghorst juga sebenarnya tidak layak mengisi
kekosongan yang ditinggalkan Ronaldo.
Kerja kerasnya dan bagaimana
beliau sentiasa memberikan tekanan kepada lawan menyebabkan gaya bolasepak yang
diterapkan Ten Hag berjalan dengan baik. Dan aspek inilah yang menjadi kelemahan
Ronaldo pada fasa akhir kariernya di Old Trafford. Pada aksi menentang Betis
kelmarin, Weghorst bukanlah pemain United paling menonjol. Tetapi bagi `Bobo’,
malam itu adalah malam beliau, `Theatre of Dreams’ seolah-olah memang disediakan
untuknya dan `Bobo’ menikmati malam itu menerusi jaringan yang dihasilkannya.
Glory Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan