“Kelab Sepanyol lagi”…itu
mungkin perkataan yang terlintas dalam fikiran anda selepas selesai undian
peringat suku akhir Liga Europa yang dilangsungkan di Nyon, Switzerland pada 17
Mac lalu. Selepas dipertemukan dengan Real Sociedad (peringkat kumpulan),
Barcelona (pusingan play-off) dan Real Betis (pusingan 16 pasukan), United
bakal berdepan ujian getir apabila mereka diundi menentang satu lagi wakil
Sepanyol di peringkat suku akhir Liga Europa musim ini.
Sevilla bukan sekadar menjadi
kelab keempat dari Sepanyol yang bakal dihadapi United dalam impian mereka
menuju ke Puskas Arena, tetapi mereka juga merupakan kesebelasan yang memegang
rekod selaku pemenang terbanyak Liga Europa (enam kali). Bagaimanapun prestasi
Sevilla dalam saingan domestik musim agak berantakan. Sevilla disingkir Osasuna
di peringkat suku akhir Copa del Rey, manakala dalam saingan La Liga pula,
mereka sekadar berada di tangga ke-14 selepas mengharungi 26 perlawanan.
Bagaimanapun dalam masa yang
sama, anda juga perlu mengakui bahawa Sevilla merupakan `specialist’ serta
memiliki karisma tersendiri setiap kali mereka beraksi dalam saingan Liga
Europa. Selain daripada itu, mereka juga memiliki rekod yang sangat baik dalam
empat pertemuan menentang United. Untuk rekod, dari empat pertemuan menentang United,
mereka menang tiga kali, manakala satu lagi pertembungan berakhir dengan
keputusan seri.
Misi Tiga Kejuaraan
Sevilla umpama sumpahan, tetapi
jika United mahu mara ke Budapest dan menjulang trofi Liga Europa buat kali
kedua dalam tempoh enam tahun, mereka perlu menewaskan kesebelasan terbaik dan
`specialist’ kejohanan seperti Sevilla. Ini merupakan kali keempat United lolos
ke peringkat suku akhir Liga Europa, dan dari jumlah tersebut mereka layak ke
final sebanyak dua kali. Yang pertama tentunya kejayaan manis menjulang trofi
tersebut pada 2017, dan kedua pada final edisi 2021 yang menyaksikan United tewas
kepada Villareal menerusi penentuan sepakan penalti.
Liga Europa antara kejuaraan
yang masih realistik untuk United menenangi selepas kejayaan mereka menjulang
trofi Piala Liga pada 27 Februari lalu. Selain itu, skuad `The Red Devils’ juga
bakal berdepan Brighton & Hove Albion di peringkat separuh akhir kejuaraan
Piala FA pada 22 April nanti. Tatkala trofi Liga Perdana semakin jauh dari
jangkauan, menamatkan musim ini dengan tiga kejuaraan tetap satu pencapaian
yang menakjubkan pada musim pertama Erik Ten Hag di Old Trafford.
Bukan Mudah
Selepas kejayaan menjulang trofi
Piala Liga, United masih bersaing untuk merebut tiga lagi kejuaraan musim ini.
Dengan jadual yang sangat padat, Ten Hag bukan sahaja perlu memastikan skuadnya
lebih konsisten, tetapi beliau juga perlukan kedalaman skuad (squad depth) yang
bagus, faktor yang sebenarnya tidak dimiliki United musim ini. United sudah
beberapa kali berdepan kesukaran ketika pemain penting seperti Casemiro tidak
dapat diturunkan.
Ketika Christian Eriksen sudah
hampir dua bulan tidak bermain akibat kecederaan, berharaplah agar pemain seperti
Casemiro, Marcel Sabitzer, Bruno Fernandes atau Fred tidak mengalami nasib yang
sama pada baki saingan musim ini. Selain daripada itu, lihat juga
kebergantungan United kepada Marcus Rashford dalam misi memburu gol. Anda boleh
berikan kredit yang tinggi kepada usaha serta kesungguhan Wout Weghorst di atas
padang, tetapi tiada mana-mana pemain hadapan United yang mampu menggantikan
posisi Rashford sekiranya beliau mengalami kecederaan. Kehilangan Rashford
adalah bencana buat Ten Hag.
Strategi Ten Hag
Ten Hag sangat sinonim menerusi
pendekatan penguasaan bola dalam skema permainan yang diterapkan beliau. Bagaimanapun,
adakalanya strategi itu tidak dapat diimplementasikan, dan beliau akan beralih
kepada pendekatan yang lebih pragmatis. Sebagai contoh terbaik, lihat
pendekatan permainan United ketika mereka berdepan Barcelona di kedua-dua `leg’.
Di Camp Nou dan Old Trafford, Ten Hag menggunakan pendekatan `man-to-man’ di
zon tengah selain melakukan `pressing’ secara kolektif.
Menerusi pendekatan tersebut,
United bukan sahaja mampu menyerap setiap asakan Barca dengan berkesan, tetapi
mereka juga sangat efisien ketika melakukan serang balas pantas. Menerusi statistik
yang dikeluarkan FbRef, penguasaan bola United di zon `final third’ meningkat
dari 29.7% (musim lalu) kepada 32.94%. Pada aksi final Piala Liga, Newcastle United
adalah kesebelasan yang lebih intensif, begitu juga dengan Barca. Bagaimanapun United
akhirnya keluar sebagai pemenang kerana mereka bermain dengan sistem taktikal
Ten Hag yang disesuaikan dengan lawan yang beliau dihadapi.
Penutup
Sevilla boleh dilabel sebagai
`Raja Liga Europa’, kerana mereka merupakan kesebelasan paling banyak memenangi
kejuaraan tersebut. Bagaimanapun berdasarkan prestasi semasa, United berpeluang
menamatkan sumpahan buruk setiap kali mereka berdepan kelab dari Andalusia itu.
Jika berhasil melepasi halangan Sevilla, United bakal berdepan sama ada
Juventus atau Sporting Lisbon di peringkat separuh akhir.
Juventus sudah menemui semula
sentuhan terbaik mereka menerusi empat kemenangan yang dilakar dari empat
penampilan terakhir mereka. Manakala kejayaan menyingkir Arsenal pula tentunya
satu motivasi tambahan buat Sporting Lisbon untuk mara lebih jauh pada edisi
kali ini. Memenangi Liga Europa adalah kesempatan terbaik untuk United kembali
beraksi di Liga Juara-Juara dengan lebih bergaya. Ia bukan tentang ambisi
memenangi tiga kejuaraan semusim semata-mata, tetapi juga tentang setinggi mana
kemahuan United untuk melakar sejarah dan kembali ke podium kejuaraan. Glory
Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan