Sejak kekalahan (2-3) kepada Arsenal
dalam saingan liga pada 23 Januari lalu, Manchester United mengharungi 11
perlawanan dalam semua kejohanan tanpa tewas. Bagaimanapun catatan itu terhenti
pada tengah malam Isnin lalu selepas United tewas pada penampilan ke-25 mereka
dalam saingan liga musim ini. Kekalahan besar (0-7) kepada Liverpool bukan
sahaja memanjangkan lagi rekod buruk United ketika mereka bertandang ke
Anfield, tetapi kekalahan besar itu juga sangat mengejutkan jika diambilkira
prestasi terkini barisan kendalian Erik Ten Hag.
Kekalahan besar kepada seteru
abadi seperti Liverpool memang menyakitkan, apatah lagi menjelang pertembungan
`North-West Derby’ ke 186 ini, United berada di prestasi terbaik mereka. Baru
seminggu dinobatkan selaku juara Piala Liga dan kemudiannya mara ke peringkat
suku akhir Piala FA selepas mereka menyingkirkan West Ham, kekalahan besar ini
memang tidak pernah dijangka dan sangat memalukan. United bermain dengan baik
di babak pertama meskipun pintu gol mereka dibolosi Cody Gakpo, tetapi babak
kedua adalah bencana buat `The Red Devils’.
Tinta hitam kini sudah
tertulis, kerana ini merupakan kekalahan terbesar dialami United dalam
pertembungan `North-West Derby’, juga kekalahan terbesar dialami mereka di
tangan Liverpool sepanjang era Liga Perdana. Kekalahan terbesar yang dialami
United dalam pertembungan `North-West Derby’ sebelum ini berlaku pada Oktober
1895. Ketika itu Liverpool menewaskan United (7-1) dalam aksi liga Divisyen 2
yang dilangsungkan di Anfield. Untuk rekod, kali terakhir United berjaya
menewaskan Liverpool di Anfield ialah pada 22 Mac 2015.
Kapasiti Bruno
Ini adalah hari dan penampilan
terburuk Bruno Fernandes, apatah lagi di Anfield beliau turun sebagai kapten
pasukan. Menurut Chris Sutton, bekas pemain dan legenda Blackburn Rovers, Bruno
sepatutnya tidak diberikan `arm band’ kapten pasukan lagi selepas ini. “Bruno
bukan pemimpin terbaik mereka. Ada pemain yang lebih layak untuk diberikan
lilitan lengan ketua pasukan. Casemiro adalah diantaranya”, kata Sutton. Manakala
Gary Neville pula melabelkan penampilan Bruno dalam perlawanan itu sebagai
memalukan.
Ketika beliau menjulang trofi
Piala Liga di Wembley minggu lalu, Bruno menunjukkan seolah-olah beliau adalah
kapten masa depan United. Ada momen-momen gemilang yang bakal menanti beliau selepas
ini, tetapi aksi di Anfield sepatutnya membuatkan Bruno sedar dari lena.
Tatkala benteng pertahanan huru-hara dalam usaha mereka mengekang asakan lawan,
Bruno pula seolah-olah hilang cengkaman sebagai pemimpin di tengah padang. Di Anfield,
ini bukanlah penampilan biasa Bruno dan ini juga bukanlah semangat yang biasanya
anda lihat dalam diri beliau.
Reaksi
Ten Hag
Selepas tamat aksi di Anfield,
Ten Hag melabelkan barisan pemainnya sebagai `tidak profesional’. Melihat
kepada keputusan di `scoreboard’, reaksi Ten Hag bukanlah sesuatu yang mengejutkan.
United membiarkan Liverpool mengamuk yang menyaksikan pintu gol mereka bolos
enam kali di babak kedua. “Sangat jelas bahawa mereka (pemain) tidak profesional.
Babak pertama, kami adalah kesebelasan yang lebih baik. Kami mencipta peluang,
dan ada dua situasi satu lawan satu dengan penjaga gol lawan. Tetapi babak
kedua betul-betul mengejutkan saya”, kata Ten Hag.
Hanya dua minit diperlukan
Liverpool untuk menghasilkan gol kedua sebaik babak kedua bersambung. Gol kedua
dan ketiga yang dijaringkan lawan terhasil menerusi proses transisi defensif.
Gol dari Darwin Nunez berlaku dalam situasi `turn over’ dan gol ketika menerusi
Cody Gakpo adalah menerusi gerakan `counter attack’. “Kami memberikan mereka
ruang di bahagian tengah. Ketika lawan mendahului 3-0, kami seolah-olah sudah
mengalah. Ia sepatutnya tidak begitu. Ini kejutan bagi saya, kerana bagi saya
ini bukanlah Manchester United”, kata Ten Hag lagi.
Kelas Tersendiri
Suka atau tidak, anda perlu
mengakui bahawa Liverpool berada dalam kelas tersendiri dalam perlawanan ini.
Malah dalam tempoh beberapa minggu terakhir, barisan kendalian Jurgen Klopp itu
sudah menunjukkan tanda-tanda kebangkitan. Akhirnya di Anfield pada tengah malam
Isnin lalu, mereka memilih lawan yang tepat untuk menunjukkan kepada dunia bahawa
`The Reds’ masih lagi kesebelasan yang wajar dihormati. Paling menarik
perhatian tentunya penampilan Cody Gakpo, pelaburan £37 juta yang dilakukan
Liverpool pada Januari lalu.
Gakpo tampil penuh `energetic’,
lancar dan sangat berbahaya dalam perlawanan ini. Meskipun pada awalnya
keputusan Klopp mendapatkan khidmat beliau dari PSV Eindhoven diragui, kini Gakpo
mula menunjukkan potensi sebenarnya sebagai antara penggempur yang wajar
diberikan perhatian khusus oleh mana-mana pertahanan lawan. Hanya dalam tempoh
dua bulan sejak ketibaannya di England, Gakpo sudah meledak empat gol dari 12
penampilan. Dua gol dijaringkannya ketika berdepan Everton dan Newcastle, dan
dua lagi ketika berdepan United kelmarin.
Selain Gakpo, pujian juga wajar
diberikan kepada Mohamed Salah. Tiada mana-mana pemain pertahanan yang gemar
berdepan dengan `Raja Mesir’ ini ketika beliau berada pada prestasi terbaiknya.
Meskipun ada pihak melabelkan bahawa Salah sedang melalui musim terburuknya di
Anfield, namun faktanya beliau sudah pun meledak 22 gol dalam semua kejohanan
setakat ini. Bukan sekadar dua `assist’ yang diciptanya, malah dua gol yang
beliau ledak dalam perlawanan ini menobatkan Salah selaku penjaring terbanyak
Liverpool di era liga Perdana mengatasi catatan Robbie Fowler.
Penutup
Sebelum aksi di Anfield ini
berlangsung, kita begitu optimis bahawa United mampu menjulang empat kejuaraan
musim ini. Tetapi selepas aksi di Anfield ini berakhir, kita sedar bahawa masih
banyak lagi kerja-kerja belakang tabir yang perlu dilakukan Ten Hag demi mengangkat
semula martabat United selaku gergasi bolasepak Inggeris. Akhirnya kita juga kini
kembali berpijak di bumi nyata dan sedar bahawa misi mengejar Arsenal selaku
pendahulu liga rupa-rupanya sekadar mimpi di siang hari.
Apa yang mampu kita harapkan
selepas United berdepan kejutan dan kekalahan sebesar ini? Berdoalah semoga
`pembantaian’ separah ini tidak mengganggu psikologi pemain dalam misi mereka menjulang
dua lagi kejuaraan yang sebenarnya masih realistik untuk dimenangi. Pada
Oktober lalu, United pernah berdepan kekalahan besar (3-6) kepada Manchester City,
tetapi lihatlah bagaimana mereka bangkit selepas itu. Percayalah, kali ini United
mampu bangkit sekali lagi kerana perjuangan ini masih belum selesai. Glory Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan