16 Mac 2012

FERGUSON: BILBAO MEMANG LAYAK MENANG


Tersingkir dari saingan Liga Juara-Juara dan kemudiannya beraksi di Liga Europa mungkin mengaibkan buat kelab seperti Manchester United.  Peluang menebus kehampaan kempen Liga Juara-Juara gagal dimanfaatkan skuad The Red Devils apabila mereka tersingkir di pusingan 16 pasukan selepas tewas kepada Athletic Bilbao dengan aggregat 3-5.  Awal pagi tadi, United gagal bangkit dari kekalahan pada perlawanan pertama di gelanggang sendiri apabila mereka tewas 1-2 kepada Bilbao di San Memes.  Gol jaringan Fernando Llorente diminit ke-23 dan Oscar de Marcos diminit ke-65 menutup terus peluang United untuk melakukan kebangkitan di gelanggang lawan.  Jaringan Wayne Rooney ketika permainan sebenar berbaki 10 minit sudah terlewat buat United untuk melakukan sesuatu.  Ferguson bagaimanapun agak berlembut dan enggan menyalah pemain-pemainnya atas satu lagi prestasi buruk United di pentas Eropah.  Ferguson sebaliknya melihat Bilbao memang layak melangkah keperingkat suku akhir berdasarkan persembahan cemerlang mereka dalam kedua-dua perlawanan. 

"Mereka unggul apabila berjaya mendapatkan gol di babak pertama.  Sukar untuk mempercayai apabila kami dibolosi dan mereka juga bermain dengan baik di awal babak kedua.  Mereka juga sepatutnya menjaringkan dua atau tiga gol lagi di babak kedua tetapi gol Rooney memberikan kami sedikit harapan", kata Ferguson.  Ferguson jelas agak kecewa dengan kegagalan United di pentas Eropah musim ini namun berharap pasukannya memperolehi pelajaran berguna dari kegagalan ini.  Sementara itu,  penjaga gol United, David de Gea meramalkan skuad kendalian Marcelo Bielsa itu mampu melangkah ke perlawanan akhir yang akan diadakan di Bucharest pada 9 Mei nanti.  De Gea mengakui Bilbao mempamerkan prestasi lebih baik berbanding United dan dia percaya kelab Basque itu adalah calon utama melangkah ke perlawanan akhir.  "Kami berdepan pasukan hebat pada peringkat ini dan saya mengucapkan selamat berjaya kepada Athletic Bilbao.  Mereka bermain lebih baik dan berhak menang.  Mereka mengalahkan kami, jadi mereka juga boleh mengalahkan mana-mana pasukan dan melangkah hingga ke perlawanan akhir", kata De Gea.  Glory Glory Manchester United!!!

Berita-Berita Lain:

PELUANG SAHIN BERPINDAH KE OLD TRAFFORD

Manchester United memang diketahui sedang mencari pemain tengah kreatif bagi memperkuatkan barisan tengahnya musim depan dan nama Nuri Sahin dilihat pemain paling sesuai mengisi posisi tersebut.  Sahin yang berpindah dari Borussia Dortmund, gagal bersaing dengan Xabi Alonso, Sami Khedira dan Lassana Diarra untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama Real Madrid pada musim pertamanya di Bernabeu.  Pemain terbaik Bundesliga musim lalu itu, muncul pemain yang disebut-sebut berada dalam senarai pemain yang akan dijual musim panas ini.  Dengan  harga lebih rendah yang mungkin ditawarkan Real, Sahin dilihat pemain paling sesuai untuk dibawa masuk oleh Sir Alex Ferguson sebagai pengganti jangka panjang Paul Scholes.  Bagaimanapun usaha United turut disaingi Borussia Monchengladbach yang berhasrat membawa kembali pemain itu ke Bundesliga.

PELUANG UNITED JARAKKAN KEDUDUKAN

Perlawanan Liga Perdana Inggeris hujung minggu ini hanya membabitkan empat perlawanan kerana penglibatan beberapa kelab dalam saingan Piala FA.  United yang akan beraksi pada hari Ahad, berpeluang menjarakkan kedudukan di tangga teratas liga apabila pencabar di tangga kedua, Manchester City akan hanya beraksi pada hari Khamis.  United akan bertandang ke kubu Wolverhampton Wanderers di Molineux manakala City pula berdepan saingan getir menentang Chelsea di gelanggang sendiri.  Kemenangan United ke atas Wolves bakal menyaksikan mereka melebarkan kedudukan di tangga teratas kepada empat mata, sekaligus menghadirkan tekanan lebih besar buat skuad kendalian Roberto Mancini itu.  City  terpaksa melepaskan kedudukan selaku peneraju takhta liga kepada United berikutan kekalahan mengejut mereka kepada Swansea City Ahad lalu, dan bakal berdepan halangan besar Chelsea pada perlawanan pertengahan minggu.  Skuad kendalian Roberto de Matteo itu memiliki motivasi tambahan berikutan kejayaan mereka layak ke peringkat suku akhir Liga Juara-Juara.

15 Mac 2012

PREVIEW: ATHLETIC BILBAO lwn MANCHESTER UTD


Selepas dikejutkan dengan kekalahan 2-3 kepada Athletic Bilbao pada perlawanan pertama minggu lalu, Sir Alex Ferguson berharap pasukannya mampu memadamkan defisit satu gol yang diperolehi lawan pada perlawanan kedua saingan Liga Europa awal pagi esok.  Biarpun berdepan misi sukar memandangkan lawan memiliki rekod cemerlang di gelanggang sendiri di peringkat Eropah, Ferguson tetap yakin United mampu melepasi halangan Bilbao sekaligus menempah tempat di peringkat suku akhir.  Untuk rekod, kali terakhir Bilbao tewas di San Memes pada saingan peringkat Eropah ialah pada 17 Disember 2009 kepada Werder Bremen.  Ferguson berharap kejayaan merampas kedudukan pendahulu takhta liga daripada Manchester City Ahad lalu akan menyuntik motivasi tambahan buat pemain-pemainnya dalam perlawanan ini.  "Ini merupakan perlawanan yang sukar bagi kami.  Bilbao memiliki kelebihan besar sekarang kerana mereka menang 3-2 di Old Trafford.  Saya percaya rekod kami di gelanggang lawan di peringkat Eropah akan membantu kami", kata Ferguson.  Penalti Wayne Rooney di penghujung permainan pada perlawanan pertama minggu lalu menghidupkan harapan skuad The Red Devils bangkit pada perlawanan ini dan tugas mencari dua gol tampak tidak mustahil untuk dilaksanakan.  Bilbao sudah boleh melupakan perlumbaan merebut tempat pada saingan Liga Juara-Juara musim depan selepas mereka tewas kepada Osasuna, Ahad lalu, tetapi Fernando Llorente dan Javi Martinez tetap pemain yang perlu diberikan perhatian pada perlawanan ini.  Selepas kehilangan khidmat Nemanja Vidic sejak Disember lalu, Ferguson juga tidak membawa bersama Nani, Anderson, Chris Smalling dan Phil Jones pada kunjungan ke Sepanyol kali ini kerana masalah kecederaan.  Bagaimanapun ada berita baik buat Ferguson apabila Luis Antonio Valencia yang mengalami kecederaan hamstring bulan lalu kini diberitakan cergas dan akan diturunkan di San Memes nanti.  Glory Glory Manchester United!!!

Barisan Kemungkinan United:

David de Gea, Patrice Evra, Jonny Evans, Rio Ferdinand, Rafael da Silva, Michael Carrick, Paul Scholes, Luis Antonio Valencia, Ashley Young, Wayne Rooney & Danny Welbeck

Berita-Berita Lain:

ISYARAT UNTUK BERBATOV PERGI

Isyarat untuk membiarkan Dimitar Berbatov pergi dari Old Trafford telah diberikan oleh Sir Alex Ferguson. Ferguson nampaknya memahami kehendak bekas pemain yang dibawa dari Tottenham Hotspurs dengan nilai 30 juta Pound untuk mendapatkan kelab yang boleh memberikan tempat untuknya dalam kesebelasan utama.  "Pada usia 31 tahun, dia mahukan jaminan diberikan tempat dalam pasukan utama.  Sukar bagi saya memberikan jaminan itu untuknya", kata Ferguson.  Musim ini, Berbatov kerap memanaskan bangku simpanan di mana Ferguson nampaknya lebih gemar menggunakan gandingan Wayne Rooney, Javier Hernandez atau Danny Welbeck sebagai penggempur.  Kali terakhir Berbatov beraksi ialah pada  23 Februari lalu ketika pertemuan dengan Ajax Amsterdam dalam saingan Liga Europa. 

HAZARD GEMBIRA FERGUSON TONTON AKSINYA

Bintang Lille, Eden Hazard yang dikatakan menarik minat beberapa kelab gergasi Liga Perdana Inggeris mengakui bahawa beliau gembira apabila mengetahui Sir Alex Ferguson terbang ke Paris untuk menyaksikan aksinya.  Ferguson dikatakan antara pengurus Liga Perdana Inggeris paling serius cuba mendapatkan tandatangan Hazard dan sanggup ke Paris menyaksikan pertemuan antara Lille dan Olympique Lyon hujung minggu lalu.  Usaha itu dilakukan Ferguson sebelum tawaran secara rasmi diberikan untuk membawa bintang tengah itu ke Old Trafford musim panas nanti.  "Saya sungguh gembira apabila mengetahui aksi saya dipantau oleh salah seorang jurulatih terbaik di dunia", kata Hazard.


10 Mac 2012

KENALI LAGENDA: DUNCAN EDWARDS


Sir Matt Busby menyifatkan Duncan Edwards sebagai `pemain bolasepak paling lengkap di Britain, mungkin juga di dunia'.  Satu kerugian besar buat penyokong-penyokong Manchester United  era itu kerana mereka tidak dapat menyaksikan potensi Edwards untuk tempoh yang lebih panjang. Pada usia 21 tahun, Edwards bersama tujuh lagi pemain United terkorban dalam nahas udara Munich 1958.  Dilahirkan pada 1 Oktober 1936, Edwards memiliki stamina tidak terbatas sebagai atlet dan juga rembatan padu sebagai aset utamanya.  Bakat luar biasa Edwards mula dikesan ketika dia mewakili sekolahnya pada usia 11 tahun, sekaligus menarik perhatian Wolverhampton Wanderers, Aston Villa, West Bromwich Albion dan Birmingham City.  Guru sekolahnya ketika itu meramalkan Edwards bakal mewakili England suatu hari nanti.  Walaupun menjadi rebutan kelab-kelab di Midlands ketika itu, Edwards akhirnya menyertai United sebagai perantis selepas Sir Matt Busby melakukan kunjungan peribadi ke kediaman keluarganya pada 31 Mei 1952.  Susuk tubuh Edwards yang besar berbanding usianya memberikan kelebihan kepada beliau dan  penampilan pertamanya bersama United ialah ketika menentang Cardiff City pada 4 April 1953.  Ketika itu, Edwards hanya berusia 16 tahun, 185 hari, sekaligus muncul pemain paling muda bermain untuk skuad utama United. Edwards juga berjaya membantu United memenangi Piala FA Remaja untuk musim 1952/53 sekaligus trofi pertamanya bersama United.  Pada sambutan ulang tahun ke 17, Edwards menikmati musim penuhnya apabila beliau disenaraikan dalam skuad utama United untuk musim 1953/54.   

Menyedari skuadnya dibarisi pemain-pemain yang agak berusia, Busby memberi peluang kepada berapa pemain muda seperti Dennis Viollet, Jackie Blanchflower dan Edwards sendiri menyertai skuad utama bagi menghadapi musim 1953/54.  Akhbar The Guardian memuji penampilan Edwards dalam musim pertamanya dan beliau sendiri berjaya membalas kepercayaan yang diberikan oleh Busby hingga berjaya disenaraikan dalam kesebelasan utama.  Prestasi Edwards mula menarik perhatian ramai ketika dia diturunkan menentang Kilmarnock dalam satu perlawanan persahabatan, lantas menjadi calon pengganti kepada Henry Cockburn yang mengalami kecederaan ketika berdepan Huddersfield Town pada 31 Oktober 1953.  Selepas itu, Edwards adalah anggota tetap kesebelasan utama United di mana dia bermain sebanyak 24 perlawanan liga tetapi gagal membantu United dalam kempen Piala FA apabila mereka disingkir Burnley 3-5 pada pusingan ketiga. Selain menganggotai skuad utama, Edwards juga bermain untuk skuad remaja United musim tersebut, dan berjaya memenangi Piala FA Remaja buat kali kedua berturut-turut.  Edwards kemudiannya dipanggil menyertai skuad bawah 23 tahun England pada 20 Januari 1954 tetapi prestasi menurun yang dipamerkannya ketika menentang Arsenal pada 27 Mac menyebabkan   dia gagal menyertai skuad senior.

Edwards bermain sebanyak 36 perlawanan dan menjaringkan 6 gol sepanjang musim 1954/55.  Beliau bagaimanapun tetap gagal menyertai skuad kebangsaan England meskipun mempamerkan prestasi cemerlang bersama United selain berjaya disenaraikan dalam kesebelasan terbaik liga pada perlawanan persahabatan menentang skuad terbaik Liga Scotland.  Karier Edwards bersama skuad kebangsaan kembali bersinar apabila dia dipanggil menyertai skuad England B pada perlawanan menentang Jerman, dan seminggu kemudian berjaya menyertai skuad kebangsaan.  Penampilan sulungnya bersama England ialah ketika menentang Scotland pada 2 April 1955.  Edwards memegang rekod sebagai pemain termuda bermain untuk England ketika itu pada usia 18 tahun dan 183 hari. Rekod itu bagaimanapun dipecahkan Michael Owen pada kejohanan Piala Dunia 1998.  Tiga minggu kemudian, Busby menyenaraikan Edwards dalam barisan skuad remaja United bagi menghadapi perlawanan akhir Piala FA Remaja.  Tindakan Busby menyenaraikan Edwards yang berstatus pemain kebangsaan dalam kejohanan peringkat remaja mengundang kritikan keras, tetapi itu tidak menghalang beliau (Edwards) dari membantu United menang trofi tersebut buat musim ketiga berturut-turut.  Bulan Mei 1955, Edwards dipilih menyertai skuad kebangsaan pada jelajah Eropah menentang Perancis, Portugal dan Sepanyol.  Walaupun diserang selsema teruk hingga diketepikan selama dua bulan, Edwards tampil sebanyak 33 perlawanan dan berjaya membantu United menjulang kejuaraan liga musim 1955/56.

Musim berikutnya (1956/57) Edwards bermain sebanyak 34 perlawanan dan berjaya melepasi angka 100 penampilan buat United, selain berjaya membantu kelab mempertahankan kejuaraan liga dua musim berturut-turut.  Edwards bagaimanapun terlepas medal kejuaraan Piala FA apabila United tewas 1-2 kepada Aston Villa di perlawanan akhir.  Di pentas Eropah, Edwards membuat tujuh penampilan dan beliau antara pemain dalam skuad yang berjaya membelasah Anderlecht 10-0 (kekal sebagai rekod jaringan United di peringkat Eropah hingga kini).  Karier Edwards bersama skuad kebangsaan semakin bersinar dan dia adalah calon bagi menggantikan pemain veteran, Billy Wright sebagai kapten England pada pusingan akhir Piala Dunia 1958.  Perlawanan terakhir beliau di England ialah pada 1 Februari 1958 di mana beliau berjaya menjaringkan gol pembukaan ketika  United menewaskan Arsenal 5-4.  Lima hari kemudian Edwards bermain perlawanan terakhirnya buat United, kali ini dalam saingan Piala Eropah di Belgrade.  Dalam perlawanan itu, United mencatat keputusan seri 3-3 ketika menentang Red Star Belgrade sekaligus mara ke peringkat separuh akhir dengan aggregat 5-4.  Dalam perjalanan pulang dari Belgrade, berlaku nahas udara di Munich (6 Februari 1958) yang mengorbankan lapan pemain United termasuk Edwards.  Biarpun bertarung untuk hidup selama dua minggu, Edwards akhirnya meninggal dunia pada 21 Februari 1958.  Sepanjang kariernya Edwards bermain sebanyak 177 perlawanan dan menjaringkan 21 gol untuk United.

09 Mac 2012

FERGIE YAKIN UNITED AKAN BANGKIT SEMULA


Biarpun tewas 2-3 di gelanggang sendiri kepada Athletic Bilbao dalam perlawanan pertama pusingan 16 pasukan Liga Europa, Sir Alex Ferguson tetap yakin anak-anak buahnya mampu bangkit pada perlawanan kedua di gelanggang lawan nanti.  Ini juga adalah kekalahan kedua berturut-turut United  di gelanggang sendiri dalam saingan Liga Europa.  Pada 24 Februari lalu, United tewas 1-2 kepada Ajax Amsterdam di Old Trafford tetapi tetap layak ke pusingan 16 pasukan melalui kemenangan aggregat 3-2.  Awal pagi tadi, Wayne Rooney meletakkan United di depan diminit ke-22 tetapi pelawat berjaya menyamakan kedudukan melalui tandukan Fernando Llorente diminit ke-44.  Bilbao terus memberi tekanan kepada barisan The Red Devils apabila Oscar de Marcos menjaringkan gol kedua pelawat diminit ke-71 sebelum Iker Muniain melebarkan kedudukan kepada 3-1 dipenghujung perlawanan.  Tugas United untuk memadamkan defisit dua gol menjelang pertembungan kedua di Sepanyol minggu hadapan tampak berat, sehinggalah mereka dihadiahkan sepakan penalti yang berjaya disempurnakan Rooney dimasa kecederaan.  

Ferguson mengakui Bilbao adalah pasukan yang lebih baik dalam perlawanan ini dan berharap pemain-pemainnya akan bangkit pada perlawanan kedua nanti.  "Kami tewas dan saya harus mengakui bahawa lawan adalah pasukan yang lebih baik malam ini.  Ini adalah perlawanan yang cukup terbuka dan menghiburkan", kata Ferguson.  Meskipun Bilbao memperolehi bekalan gol yang selesa di gelanggang lawan, Ferguson tetap yakin pasukannya masih berpeluang memenangi perlawanan kedua nanti.  Bos United itu juga berharap barisan pertahanannya akan menampilkan aksi lebih kemas minggu hadapan dan tidak menolak kemungkinan akan menggunakan Rio Rerdinand ketika aksi di San Memes nanti.  "Saya yakin kami masih berpeluang memadam kelebihan lawan tetapi kami juga harus memperbaiki kelonggaran di bahagian pertahanan.  Saya juga sedang melihat kemungkinan membawa Rio Ferdinand tanpa menganggu tumpuan kami dalam saingan liga". Ferguson mengkritik keputusan pengadil perlawanan Florian Meyer yang memberikan sepakan percuma kepada lawan sehingga menghasilkan gol ketiga mereka.  "Saya tidak faham mengapa pengadil menghentikan perlawanan dan memberikan sepakan percuma kepada lawan hanya disebabkan but Patrice Evra tertanggal".

08 Mac 2012

PREVIEW: MANCHESTER UTD lwn ATHLETIC BILBAO


Manchester United mengalu-alukan kepulangan semula Chris Smalling ke dalam pasukan selepas pemain pertahanan itu pulih dari kecederaan yang dialami ketika mewakili England menentang Belanda minggu lalu.  Pemain tengah, Anderson juga dikatakan hanya menunggu masa melakukan kemunculan semula selepas berehat selama dua bulan akibat masalah kecederaan lutut. Ini merupakan berita baik buat Sir Alex Ferguson menjelang pertembungan Liga Europa menentang Athletic Bilbao di Old Trafford awal pagi nanti.  Bagaimanapun khidmat dua lagi pemain iaitu Tom Cleverley dan Antonio Valencia yang masih dibelenggu kecederaan tidak dapat digunakan dalam perlawanan ini dengan Valencia hanya dijangka sedia diturunkan pada perlawanan kedua di San Memes nanti.  Sementara itu, kunjungan Bilbao ke Old Trafford kali ini dalam tempoh 55 tahun tanpa kelibat Aitor Ocio, kapten pasukan, Carlos Gurpegui dan Xabi Castello yang mengalami kecederaan.  Pemain tengah mereka Ander Iturraspe yang terlepas derby Basque menentang Real Sociedad hujung minggu lalu dijangka kembali ke dalam skuad.

Jika berhajat menempah tempat ke suku akhir Liga Europa musim ini, United perlu segera memperbaiki prestasi mereka di gelanggang sendiri ketika bersaing di peringkat Eropah.  Rekod kempen Eropah United di gelanggang sendiri musim ini kurang menyakinkan apabila mereka hanya mencatat kemenangan sekali iaitu ketika menewaskan Otelul Galati di Old Trafford dalam saingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara.  Perlawanan terakhir United di gelanggang sendiri menyaksikan mereka tewas 1-2 kepada Ajax Amsterdam dan mereka perlu mengelak dari melakukan kesilapan yang sama jika berhajat melangkah lebih jauh dalam saingan ini.  Cabaran dari skuad kendalian Marcelo Bielsa yang menduduki tangga kelima La Liga ini tidak harus dipandang ringan dan pemain lawan yang harus diberikan perhatian ialah Fernando Llorente.  Llorente menjaringkan 19 gol dalam saingan La Liga dan juga merupakan penjaring terbanyak kelab, namun gagal meneruskan kecemerlangan dalam kempen Liga Europa mereka apabila dia hanya menjaringkan dua gol setakat ini.  Glory Glory Manchester United!!!

Barisan Kemungkinan United:

David de Gea, Jonny Evans, Chris Smalling, Patrice Evra, Rafael da Silva, Ashley Young, Michael Carrick, Ryan Giggs, Nani, Wayne Rooney & Javier Hernandez

06 Mac 2012

FERDINAND: UNITED DI LANDASAN TEPAT


Kemenangan ke atas Tottenham Hotspurs di gelanggang lawan kelmarin adalah kemenangan kesepuluh United musim ini, sekali ganda melebihi dari apa yang mereka capai musim lalu.  Musim lalu United hanya mencatat lima kemenangan dari 19 perlawanan mereka di gelanggang lawan tetapi rekod menggerunkan di gelanggang sendiri membantu The Red Devils menang trofi ke-19 Liga Perdana Inggeris.  Musim ini juga menyaksikan United mencatat rekod yang membanggakan apabila gawang mereka tidak dibolosi dalam enam perlawanan di gelanggang lawan.  Benteng berpengaruh United, Rio Ferdinand mengakui kemenangan di White Hart Lane memberikan isyarat bahawa mereka kini berada di landasan tepat dalam misi mempertahankan kejuaraan yang dimenangi musim lalu.  "Musim lalu kami tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku.  Mungkin juga kami cepat berpuas hati, tetapi musim ini kami bersikap lebih profesional.  Kini kami adalah pasukan yang sukar untuk dikalahkan dan mempunyai pemain yang boleh mengalahkan sesiapa saja", kata Ferdinand.  Menilai persembahan United kelmarin, Ferdinand menyifatkan White Hart Lane adalah gelanggang yang sukar buat mana-mana pasukan pelawat tetapi berbekalkan kerja keras rakan-rakan sepasukan dan disiplin ketika bertahan, United akhirnya berjaya meraih tiga mata penting di gelanggang lawan itu.  

Selain itu, Ferdinand turut memuji penampilan David De Gea pada musim pertamanya dalam saingan Liga Perdana.  De Gea yang dibawa ke Old Trafford bagi menggantikan tempat Edwin Van der Sar yang bersara penghujung musim lalu membuktikan pelaburan yang dibuat ke atasnya berbaloi.  Penjaga gol berusia 21 tahun itu cukup cemerlang sejak akhir-akhir ini terutama aksinya ketika United menewaskan Norwich City di Carrow Road dan sekali lagi mengulangi aksi hebatnya dengan menyelamatkan beberapa percubaan bahaya lawan di White Hart Lane. "David telah melakukan beberapa langkah untuk meningkatkan prestasinya.  Dia banyak belajar dan ingin menjadi penjaga gol yang lebih baik.  Perkara itu amat penting buat pemain muda sepertinya".  Spurs mendominasi permainan di separuh masa pertama pada pertemuan hujung minggu lalu tetapi jaringan Wayne Rooney dan Ashley Young memadamkan terus harapan tuan rumah yang cuba memadamkan rekod buruk sepuluh tahun mereka ketika berdepan United.  Selepas mengharungi dua perlawanan sukar di gelanggang lawan (bertemu Norwich dan Spurs), Ferguson kini sudah boleh berkira-kira untuk terus memberikan tekanan lebih hebat kepada Manchester City selaku pendahulu liga.  Minggu ini United akan melayan kunjungan West Bromwich Albion manakala City pula akan menentang Swansea City di Stadium Liberty.  Glory Glory Manchester United!!!

Berita-Berita Lain:

DE GEA: MENYERTAI UNITED SATU KEBANGGAN BUAT SAYA

David De Gea mengakui dia amat berbangga menyertai Manchester United musim ini.  Penjaga gol muda Sepanyol yang dibawa dari Atletico Madrid itu kagum ketika pertama kali menjejakkan kakinya ke Old Trafford dan bertemu dengan nama-nama besar yang lain seperti Ryan Giggs, Paul Scholes dan Wayne Rooney.  "Setiap pagi ketika saya masuk ke bilik persalinan dan melihat pemain-pemain seperti Ryan Giggs dan Paul Scholes membuat saya seolah-olah sedang bermimpi.  Perkara itu membuatkan saya merasa sangat bangga.  Saya juga mengatakan kepada Giggs bahawa saya adalah lagenda United yang berikutnya", kata De Gea.  De Gea turut mengakui dia memiliki hubungan yang cukup akrab dengan pemain-pemain United yang boleh berbahasa Sepanyol seperti Javier Hernandez dan Antonio Valencia.

FERGUSON TAK TERPERANJAT VILLAS BOAS DIPECAT

Sir Alex Ferguson mengakui dia tidak terkejut ketika mendengar berita pemecatan Andre Villas-Boas sebagai pengurus Chelsea.  Villas-Boas dipecat pemilik kelab, Roman Abramovich selepas mereka tewas 0-1 kepada West Bromwich Albion, Sabtu lalu.  Pemecatan itu juga mengakhiri kerjaya singkat bekas jurulatih Porto itu di Stamford Bridge.  Ferguson yang mengharungi tempoh karier panjang selama 25 tahun di Old Trafford mengakui kelab-kelab besar kini lebih menginginkan kejayaan segera dan tidak langsung memiliki kesabaran dalam mencipta kecemerlangan.  "Berita pemecatan Villas-Boas langsung tidak mengejutkan saya", kata Ferguson.  "Media turut memainkan peranan dalam isu pemecatannya.  Agak mengecewakan kerana dia adalah seorang pengurus muda.  Dia perlukan waktu tetapi sayangnya bidang ini tidak memberikannya banyak waktu, jadi ia sungguh menyedihkan".  Ferguson jelas mengagumi pencapaian yang diraih Villas-Boas ketika bersama Porto dan berharap suatu hari nanti jurulatih muda itu kembali semula dalam saingan bolasepak.

05 Mac 2012

FERGIE FOKUS PADA PERTEMBUNGAN DERBY



Sir Alex Ferguson mengakui kemenangan 3-1 ke atas Tottenham Hotspurs di White Hart Lane awal pagi tadi amat penting dalam usaha pasukannya mempertahankan kejuaraa liga musim ini.  Sebelum perlawanan berlangsung, United ketinggalan lima mata di belakang pendahulu, Manchester City dan berdepan kemungkinan gagal merapatkan kedudukan berikutan reputasi Spurs sebagai antara pencabar utama merebut kejuaraan liga musim ini.  Walau bagaimanapun barisan The Red Devils akhirnya lulus dengan cemerlang, selain berjaya memanjangkan rentetan rekod buruk lawan sepanjang sepuluh tahun pertemuan antara kedua-dua pasukan.  Gol menerusi tandukan Wayne Rooney di penghujung separuh masa pertama dan dua jaringan Ashley Young diminit ke-60 dan 69 memberikan tiga mata berharga sekaligus meletakkan United kembali berada dua mata di belakang City. Spurs memperolehi gol tunggal menerusi penyerang gantian, Jermain Defoe di penghujung permainan.  Kemenangan ini menyaksikan United berjaya melebarkan jurang mata dengan Spurs yang berada di tangga ketiga kepada 11 mata, dan mungkin menamatkan terus usaha anak-anak buah Harry Redknapp mencabar kejuaraan liga musim ini.  

Meskipun berjaya meraih tiga mata penuh, Ferguson mengakui ini bukanlah prestasi terbaik United selain dibantu sedikit tuah terutamanya selepas melihat jaringan Adebayor dibatalkan pengadil.  "Tottenham bermain dengan baik dan kami pula mungkin melakukan taktik yang salah di babak pertama.  Kami berubah di babak kedua dan saya memberitahu pemain agar terus memberi tekanan kepada pertahanan lawan.  Selepas memperolehi gol kedua, permainan kami semakin lancar", kata Ferguson. Ferguson menyifatkan gol sulung United menerusi Rooney hadir tepat pada masanya yang juga merupakan percubaan pertama mereka ke arah pintu gol Spurs.  "Kami menunjukkan keinginan tinggi untuk menang.  Tottenham adalah pasukan yang sangat kuat dan mereka hanya kalah dua kali di gelanggang sendiri musim ini.  Kemenangan ini sungguh luar biasa".  Selepas kejayaan ini, Ferguson segera mengalihkan fokusnya pada pertemuan derby menentang Manchester City, 30 April ini.  Perlawanan derby kali ini dianggap penting kerana ada kemungkinan ianya bakal menentukan siapa bergelar juara liga musim ini.  Melihat kepada persembahan United di White Hart Lane, Ferguson yakin mereka sudah bersedia berdepan pertembungan yang dianggap paling besar musim ini.  Glory Glory Manchester United!!!