10 Mac 2012

KENALI LAGENDA: DUNCAN EDWARDS


Sir Matt Busby menyifatkan Duncan Edwards sebagai `pemain bolasepak paling lengkap di Britain, mungkin juga di dunia'.  Satu kerugian besar buat penyokong-penyokong Manchester United  era itu kerana mereka tidak dapat menyaksikan potensi Edwards untuk tempoh yang lebih panjang. Pada usia 21 tahun, Edwards bersama tujuh lagi pemain United terkorban dalam nahas udara Munich 1958.  Dilahirkan pada 1 Oktober 1936, Edwards memiliki stamina tidak terbatas sebagai atlet dan juga rembatan padu sebagai aset utamanya.  Bakat luar biasa Edwards mula dikesan ketika dia mewakili sekolahnya pada usia 11 tahun, sekaligus menarik perhatian Wolverhampton Wanderers, Aston Villa, West Bromwich Albion dan Birmingham City.  Guru sekolahnya ketika itu meramalkan Edwards bakal mewakili England suatu hari nanti.  Walaupun menjadi rebutan kelab-kelab di Midlands ketika itu, Edwards akhirnya menyertai United sebagai perantis selepas Sir Matt Busby melakukan kunjungan peribadi ke kediaman keluarganya pada 31 Mei 1952.  Susuk tubuh Edwards yang besar berbanding usianya memberikan kelebihan kepada beliau dan  penampilan pertamanya bersama United ialah ketika menentang Cardiff City pada 4 April 1953.  Ketika itu, Edwards hanya berusia 16 tahun, 185 hari, sekaligus muncul pemain paling muda bermain untuk skuad utama United. Edwards juga berjaya membantu United memenangi Piala FA Remaja untuk musim 1952/53 sekaligus trofi pertamanya bersama United.  Pada sambutan ulang tahun ke 17, Edwards menikmati musim penuhnya apabila beliau disenaraikan dalam skuad utama United untuk musim 1953/54.   

Menyedari skuadnya dibarisi pemain-pemain yang agak berusia, Busby memberi peluang kepada berapa pemain muda seperti Dennis Viollet, Jackie Blanchflower dan Edwards sendiri menyertai skuad utama bagi menghadapi musim 1953/54.  Akhbar The Guardian memuji penampilan Edwards dalam musim pertamanya dan beliau sendiri berjaya membalas kepercayaan yang diberikan oleh Busby hingga berjaya disenaraikan dalam kesebelasan utama.  Prestasi Edwards mula menarik perhatian ramai ketika dia diturunkan menentang Kilmarnock dalam satu perlawanan persahabatan, lantas menjadi calon pengganti kepada Henry Cockburn yang mengalami kecederaan ketika berdepan Huddersfield Town pada 31 Oktober 1953.  Selepas itu, Edwards adalah anggota tetap kesebelasan utama United di mana dia bermain sebanyak 24 perlawanan liga tetapi gagal membantu United dalam kempen Piala FA apabila mereka disingkir Burnley 3-5 pada pusingan ketiga. Selain menganggotai skuad utama, Edwards juga bermain untuk skuad remaja United musim tersebut, dan berjaya memenangi Piala FA Remaja buat kali kedua berturut-turut.  Edwards kemudiannya dipanggil menyertai skuad bawah 23 tahun England pada 20 Januari 1954 tetapi prestasi menurun yang dipamerkannya ketika menentang Arsenal pada 27 Mac menyebabkan   dia gagal menyertai skuad senior.

Edwards bermain sebanyak 36 perlawanan dan menjaringkan 6 gol sepanjang musim 1954/55.  Beliau bagaimanapun tetap gagal menyertai skuad kebangsaan England meskipun mempamerkan prestasi cemerlang bersama United selain berjaya disenaraikan dalam kesebelasan terbaik liga pada perlawanan persahabatan menentang skuad terbaik Liga Scotland.  Karier Edwards bersama skuad kebangsaan kembali bersinar apabila dia dipanggil menyertai skuad England B pada perlawanan menentang Jerman, dan seminggu kemudian berjaya menyertai skuad kebangsaan.  Penampilan sulungnya bersama England ialah ketika menentang Scotland pada 2 April 1955.  Edwards memegang rekod sebagai pemain termuda bermain untuk England ketika itu pada usia 18 tahun dan 183 hari. Rekod itu bagaimanapun dipecahkan Michael Owen pada kejohanan Piala Dunia 1998.  Tiga minggu kemudian, Busby menyenaraikan Edwards dalam barisan skuad remaja United bagi menghadapi perlawanan akhir Piala FA Remaja.  Tindakan Busby menyenaraikan Edwards yang berstatus pemain kebangsaan dalam kejohanan peringkat remaja mengundang kritikan keras, tetapi itu tidak menghalang beliau (Edwards) dari membantu United menang trofi tersebut buat musim ketiga berturut-turut.  Bulan Mei 1955, Edwards dipilih menyertai skuad kebangsaan pada jelajah Eropah menentang Perancis, Portugal dan Sepanyol.  Walaupun diserang selsema teruk hingga diketepikan selama dua bulan, Edwards tampil sebanyak 33 perlawanan dan berjaya membantu United menjulang kejuaraan liga musim 1955/56.

Musim berikutnya (1956/57) Edwards bermain sebanyak 34 perlawanan dan berjaya melepasi angka 100 penampilan buat United, selain berjaya membantu kelab mempertahankan kejuaraan liga dua musim berturut-turut.  Edwards bagaimanapun terlepas medal kejuaraan Piala FA apabila United tewas 1-2 kepada Aston Villa di perlawanan akhir.  Di pentas Eropah, Edwards membuat tujuh penampilan dan beliau antara pemain dalam skuad yang berjaya membelasah Anderlecht 10-0 (kekal sebagai rekod jaringan United di peringkat Eropah hingga kini).  Karier Edwards bersama skuad kebangsaan semakin bersinar dan dia adalah calon bagi menggantikan pemain veteran, Billy Wright sebagai kapten England pada pusingan akhir Piala Dunia 1958.  Perlawanan terakhir beliau di England ialah pada 1 Februari 1958 di mana beliau berjaya menjaringkan gol pembukaan ketika  United menewaskan Arsenal 5-4.  Lima hari kemudian Edwards bermain perlawanan terakhirnya buat United, kali ini dalam saingan Piala Eropah di Belgrade.  Dalam perlawanan itu, United mencatat keputusan seri 3-3 ketika menentang Red Star Belgrade sekaligus mara ke peringkat separuh akhir dengan aggregat 5-4.  Dalam perjalanan pulang dari Belgrade, berlaku nahas udara di Munich (6 Februari 1958) yang mengorbankan lapan pemain United termasuk Edwards.  Biarpun bertarung untuk hidup selama dua minggu, Edwards akhirnya meninggal dunia pada 21 Februari 1958.  Sepanjang kariernya Edwards bermain sebanyak 177 perlawanan dan menjaringkan 21 gol untuk United.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan