Kemenangan ke atas Tottenham Hotspurs di gelanggang lawan kelmarin adalah kemenangan kesepuluh United musim ini, sekali ganda melebihi dari apa yang mereka capai musim lalu. Musim lalu United hanya mencatat lima kemenangan dari 19 perlawanan mereka di gelanggang lawan tetapi rekod menggerunkan di gelanggang sendiri membantu The Red Devils menang trofi ke-19 Liga Perdana Inggeris. Musim ini juga menyaksikan United mencatat rekod yang membanggakan apabila gawang mereka tidak dibolosi dalam enam perlawanan di gelanggang lawan. Benteng berpengaruh United, Rio Ferdinand mengakui kemenangan di White Hart Lane memberikan isyarat bahawa mereka kini berada di landasan tepat dalam misi mempertahankan kejuaraan yang dimenangi musim lalu. "Musim lalu kami tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku. Mungkin juga kami cepat berpuas hati, tetapi musim ini kami bersikap lebih profesional. Kini kami adalah pasukan yang sukar untuk dikalahkan dan mempunyai pemain yang boleh mengalahkan sesiapa saja", kata Ferdinand. Menilai persembahan United kelmarin, Ferdinand menyifatkan White Hart Lane adalah gelanggang yang sukar buat mana-mana pasukan pelawat tetapi berbekalkan kerja keras rakan-rakan sepasukan dan disiplin ketika bertahan, United akhirnya berjaya meraih tiga mata penting di gelanggang lawan itu.
Selain itu, Ferdinand turut memuji penampilan David De Gea pada musim pertamanya dalam saingan Liga Perdana. De Gea yang dibawa ke Old Trafford bagi menggantikan tempat Edwin Van der Sar yang bersara penghujung musim lalu membuktikan pelaburan yang dibuat ke atasnya berbaloi. Penjaga gol berusia 21 tahun itu cukup cemerlang sejak akhir-akhir ini terutama aksinya ketika United menewaskan Norwich City di Carrow Road dan sekali lagi mengulangi aksi hebatnya dengan menyelamatkan beberapa percubaan bahaya lawan di White Hart Lane. "David telah melakukan beberapa langkah untuk meningkatkan prestasinya. Dia banyak belajar dan ingin menjadi penjaga gol yang lebih baik. Perkara itu amat penting buat pemain muda sepertinya". Spurs mendominasi permainan di separuh masa pertama pada pertemuan hujung minggu lalu tetapi jaringan Wayne Rooney dan Ashley Young memadamkan terus harapan tuan rumah yang cuba memadamkan rekod buruk sepuluh tahun mereka ketika berdepan United. Selepas mengharungi dua perlawanan sukar di gelanggang lawan (bertemu Norwich dan Spurs), Ferguson kini sudah boleh berkira-kira untuk terus memberikan tekanan lebih hebat kepada Manchester City selaku pendahulu liga. Minggu ini United akan melayan kunjungan West Bromwich Albion manakala City pula akan menentang Swansea City di Stadium Liberty. Glory Glory Manchester United!!!
Berita-Berita Lain:
DE GEA: MENYERTAI UNITED SATU KEBANGGAN BUAT SAYA
David De Gea mengakui dia amat berbangga menyertai Manchester United musim ini. Penjaga gol muda Sepanyol yang dibawa dari Atletico Madrid itu kagum ketika pertama kali menjejakkan kakinya ke Old Trafford dan bertemu dengan nama-nama besar yang lain seperti Ryan Giggs, Paul Scholes dan Wayne Rooney. "Setiap pagi ketika saya masuk ke bilik persalinan dan melihat pemain-pemain seperti Ryan Giggs dan Paul Scholes membuat saya seolah-olah sedang bermimpi. Perkara itu membuatkan saya merasa sangat bangga. Saya juga mengatakan kepada Giggs bahawa saya adalah lagenda United yang berikutnya", kata De Gea. De Gea turut mengakui dia memiliki hubungan yang cukup akrab dengan pemain-pemain United yang boleh berbahasa Sepanyol seperti Javier Hernandez dan Antonio Valencia.
FERGUSON TAK TERPERANJAT VILLAS BOAS DIPECAT
Sir Alex Ferguson mengakui dia tidak terkejut ketika mendengar berita pemecatan Andre Villas-Boas sebagai pengurus Chelsea. Villas-Boas dipecat pemilik kelab, Roman Abramovich selepas mereka tewas 0-1 kepada West Bromwich Albion, Sabtu lalu. Pemecatan itu juga mengakhiri kerjaya singkat bekas jurulatih Porto itu di Stamford Bridge. Ferguson yang mengharungi tempoh karier panjang selama 25 tahun di Old Trafford mengakui kelab-kelab besar kini lebih menginginkan kejayaan segera dan tidak langsung memiliki kesabaran dalam mencipta kecemerlangan. "Berita pemecatan Villas-Boas langsung tidak mengejutkan saya", kata Ferguson. "Media turut memainkan peranan dalam isu pemecatannya. Agak mengecewakan kerana dia adalah seorang pengurus muda. Dia perlukan waktu tetapi sayangnya bidang ini tidak memberikannya banyak waktu, jadi ia sungguh menyedihkan". Ferguson jelas mengagumi pencapaian yang diraih Villas-Boas ketika bersama Porto dan berharap suatu hari nanti jurulatih muda itu kembali semula dalam saingan bolasepak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan