09 Mac 2012

FERGIE YAKIN UNITED AKAN BANGKIT SEMULA


Biarpun tewas 2-3 di gelanggang sendiri kepada Athletic Bilbao dalam perlawanan pertama pusingan 16 pasukan Liga Europa, Sir Alex Ferguson tetap yakin anak-anak buahnya mampu bangkit pada perlawanan kedua di gelanggang lawan nanti.  Ini juga adalah kekalahan kedua berturut-turut United  di gelanggang sendiri dalam saingan Liga Europa.  Pada 24 Februari lalu, United tewas 1-2 kepada Ajax Amsterdam di Old Trafford tetapi tetap layak ke pusingan 16 pasukan melalui kemenangan aggregat 3-2.  Awal pagi tadi, Wayne Rooney meletakkan United di depan diminit ke-22 tetapi pelawat berjaya menyamakan kedudukan melalui tandukan Fernando Llorente diminit ke-44.  Bilbao terus memberi tekanan kepada barisan The Red Devils apabila Oscar de Marcos menjaringkan gol kedua pelawat diminit ke-71 sebelum Iker Muniain melebarkan kedudukan kepada 3-1 dipenghujung perlawanan.  Tugas United untuk memadamkan defisit dua gol menjelang pertembungan kedua di Sepanyol minggu hadapan tampak berat, sehinggalah mereka dihadiahkan sepakan penalti yang berjaya disempurnakan Rooney dimasa kecederaan.  

Ferguson mengakui Bilbao adalah pasukan yang lebih baik dalam perlawanan ini dan berharap pemain-pemainnya akan bangkit pada perlawanan kedua nanti.  "Kami tewas dan saya harus mengakui bahawa lawan adalah pasukan yang lebih baik malam ini.  Ini adalah perlawanan yang cukup terbuka dan menghiburkan", kata Ferguson.  Meskipun Bilbao memperolehi bekalan gol yang selesa di gelanggang lawan, Ferguson tetap yakin pasukannya masih berpeluang memenangi perlawanan kedua nanti.  Bos United itu juga berharap barisan pertahanannya akan menampilkan aksi lebih kemas minggu hadapan dan tidak menolak kemungkinan akan menggunakan Rio Rerdinand ketika aksi di San Memes nanti.  "Saya yakin kami masih berpeluang memadam kelebihan lawan tetapi kami juga harus memperbaiki kelonggaran di bahagian pertahanan.  Saya juga sedang melihat kemungkinan membawa Rio Ferdinand tanpa menganggu tumpuan kami dalam saingan liga". Ferguson mengkritik keputusan pengadil perlawanan Florian Meyer yang memberikan sepakan percuma kepada lawan sehingga menghasilkan gol ketiga mereka.  "Saya tidak faham mengapa pengadil menghentikan perlawanan dan memberikan sepakan percuma kepada lawan hanya disebabkan but Patrice Evra tertanggal".

Tiada ulasan:

Catat Ulasan