16 Mac 2012

FERGUSON: BILBAO MEMANG LAYAK MENANG


Tersingkir dari saingan Liga Juara-Juara dan kemudiannya beraksi di Liga Europa mungkin mengaibkan buat kelab seperti Manchester United.  Peluang menebus kehampaan kempen Liga Juara-Juara gagal dimanfaatkan skuad The Red Devils apabila mereka tersingkir di pusingan 16 pasukan selepas tewas kepada Athletic Bilbao dengan aggregat 3-5.  Awal pagi tadi, United gagal bangkit dari kekalahan pada perlawanan pertama di gelanggang sendiri apabila mereka tewas 1-2 kepada Bilbao di San Memes.  Gol jaringan Fernando Llorente diminit ke-23 dan Oscar de Marcos diminit ke-65 menutup terus peluang United untuk melakukan kebangkitan di gelanggang lawan.  Jaringan Wayne Rooney ketika permainan sebenar berbaki 10 minit sudah terlewat buat United untuk melakukan sesuatu.  Ferguson bagaimanapun agak berlembut dan enggan menyalah pemain-pemainnya atas satu lagi prestasi buruk United di pentas Eropah.  Ferguson sebaliknya melihat Bilbao memang layak melangkah keperingkat suku akhir berdasarkan persembahan cemerlang mereka dalam kedua-dua perlawanan. 

"Mereka unggul apabila berjaya mendapatkan gol di babak pertama.  Sukar untuk mempercayai apabila kami dibolosi dan mereka juga bermain dengan baik di awal babak kedua.  Mereka juga sepatutnya menjaringkan dua atau tiga gol lagi di babak kedua tetapi gol Rooney memberikan kami sedikit harapan", kata Ferguson.  Ferguson jelas agak kecewa dengan kegagalan United di pentas Eropah musim ini namun berharap pasukannya memperolehi pelajaran berguna dari kegagalan ini.  Sementara itu,  penjaga gol United, David de Gea meramalkan skuad kendalian Marcelo Bielsa itu mampu melangkah ke perlawanan akhir yang akan diadakan di Bucharest pada 9 Mei nanti.  De Gea mengakui Bilbao mempamerkan prestasi lebih baik berbanding United dan dia percaya kelab Basque itu adalah calon utama melangkah ke perlawanan akhir.  "Kami berdepan pasukan hebat pada peringkat ini dan saya mengucapkan selamat berjaya kepada Athletic Bilbao.  Mereka bermain lebih baik dan berhak menang.  Mereka mengalahkan kami, jadi mereka juga boleh mengalahkan mana-mana pasukan dan melangkah hingga ke perlawanan akhir", kata De Gea.  Glory Glory Manchester United!!!

Berita-Berita Lain:

PELUANG SAHIN BERPINDAH KE OLD TRAFFORD

Manchester United memang diketahui sedang mencari pemain tengah kreatif bagi memperkuatkan barisan tengahnya musim depan dan nama Nuri Sahin dilihat pemain paling sesuai mengisi posisi tersebut.  Sahin yang berpindah dari Borussia Dortmund, gagal bersaing dengan Xabi Alonso, Sami Khedira dan Lassana Diarra untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama Real Madrid pada musim pertamanya di Bernabeu.  Pemain terbaik Bundesliga musim lalu itu, muncul pemain yang disebut-sebut berada dalam senarai pemain yang akan dijual musim panas ini.  Dengan  harga lebih rendah yang mungkin ditawarkan Real, Sahin dilihat pemain paling sesuai untuk dibawa masuk oleh Sir Alex Ferguson sebagai pengganti jangka panjang Paul Scholes.  Bagaimanapun usaha United turut disaingi Borussia Monchengladbach yang berhasrat membawa kembali pemain itu ke Bundesliga.

PELUANG UNITED JARAKKAN KEDUDUKAN

Perlawanan Liga Perdana Inggeris hujung minggu ini hanya membabitkan empat perlawanan kerana penglibatan beberapa kelab dalam saingan Piala FA.  United yang akan beraksi pada hari Ahad, berpeluang menjarakkan kedudukan di tangga teratas liga apabila pencabar di tangga kedua, Manchester City akan hanya beraksi pada hari Khamis.  United akan bertandang ke kubu Wolverhampton Wanderers di Molineux manakala City pula berdepan saingan getir menentang Chelsea di gelanggang sendiri.  Kemenangan United ke atas Wolves bakal menyaksikan mereka melebarkan kedudukan di tangga teratas kepada empat mata, sekaligus menghadirkan tekanan lebih besar buat skuad kendalian Roberto Mancini itu.  City  terpaksa melepaskan kedudukan selaku peneraju takhta liga kepada United berikutan kekalahan mengejut mereka kepada Swansea City Ahad lalu, dan bakal berdepan halangan besar Chelsea pada perlawanan pertengahan minggu.  Skuad kendalian Roberto de Matteo itu memiliki motivasi tambahan berikutan kejayaan mereka layak ke peringkat suku akhir Liga Juara-Juara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan