11 April 2012

FERDINAND INGIN AKHIRI KARIER BERSAMA UNITED DENGAN GEMILANG


Rio Ferdinand menghampiri tempoh sepuluh tahunnya bersama Manchester United, namun tonggak pertahanan itu masih laparkan kejayaan dan ingin mengumpul lebih banyak pingat kejuaraan bersama The Red Devils. Ketika melangkah masuk ke Old Trafford pada 2002 dari Leeds United dengan rekod perpindahan England ketika itu (29.1 juta Pound), Ferdinand berkata, kejayaan seseorang pemain bersama United akan hanya diukur dengan berapa banya mereka memenangi trofi. "Tidak ramai pemain yang meninggalkan kelab ini sesuai dengan keinginan mereka.  Pastinya tidak bagus jika mengakhiri karier di sini (Old Trafford) tanpa memenangi sesuatu", kata Ferdinand.  Ferdinand, 33 tahun mempunyai baki kontrak setahun bersama United dan pemain pertahanan itu dikatakan ingin menyambung kontraknya namun segalanya masih di peringkat perbincangan. Ferdinand turut mengakui dia masih belum memikirkan tentang persaraan dan ingin bermain di peringkat tertinggi dalam tempoh beberapa tahun lagi.  Bersama United, Ferdinand sudah memenangi Liga Juara-Juara, Kejuaraan Kelab Dunia, Piala Liga (2 kali) dan kejuaraan Liga Perdana keenam pula nampaknya dalam perjalanan selepas United selesa mendahului takhta liga dengan kelebihan lapan mata.

Terdapat khabar angin mengatakan Ferdinand akan mengakhiri kerjayanya dengan menyertai Liga Bolasepak Amerika (Major League Soccer) malah perkembangan bolasepak di timur turut dikatakan bakal membawa Ferdinand beraksi di rantau Asia.  Kelab Liga Super China yang tidak lokek berbelanja besar, Shanghai Shenhua sedang berusaha mendapatkan khidmat Ferdinand selepas mereka berjaya membawa masuk Nicholas Anelka, Januari lalu.  Gaji lumayan yang ditawarkan kelab tersebut juga mungkin boleh menyebabkan Ferdinand mengikut jejak Anelka dengan memilih China sebagai destinasinya selepas ini.  Meskipun semakin berada di penghujung karier, Sir Alex Ferguson tetap yakin, Ferdinand masih boleh memainkan peranan penting buat United sebagai pemain senior dengan menjadikan Paul Scholes dan Ryan Giggs sebagai contoh terbaik.  Setelah hampir sedekad di Old Trafford, Ferdinand muncul pertahanan England paling bergaya untuk generasinya dan menjadi tonggak pertahanan United sepanjang tempoh tersebut.  Bekas pertahanan West Ham dan Leeds itu menegaskan, "Komitmen saya adalah bersama kelab dan akan berada di sana selamanya. Saya tidak pernah terfikir untuk berpindah.  Saya ingin menjadi sebahagian dari sejarah kelab dan untuk itu saya harus berada di sini".  Glory Glory Manchester United!!!

10 April 2012

PREVIEW: WIGAN lwn MANCHESTER UNITED



Manchester United mungkin cuma menghitung hari sebelum ditabalkan sebagai juara liga dan jika mereka terus mencatat kemenangan dalam kunjungan ke DW Stadium awal pagi Khamis nanti, sebelah tangan mereka mungkin sudah mengenggam trofi tersebut buat kali ke-20.  United berada di landasan terbaik tatkala persaingan merebut kejuaraan liga semakin tiba di penghujung dan hanya melibatkan saingan dua penjuru bersama jiran setempat, Manchester City. Ketika tekanan perlumbaan merebut kejuaraan semakin memuncak, United sepertimana kebiasaannya mula mempamerkan kebangkitan di penghujung musim apabila mencatat 8 kemenangan berturut-turut, manakala City pula semakin goyah apabila hanya mengutip dua mata dari tiga perlawanan terakhir mereka.  Berbekalkan motivasi yang cukup tinggi ketika ini, United dilihat tidak menghadapi masalah untuk terus merakamkan kemenangan kesembilan berturut-turut, tetapi cabaran skuad The Latics juga tidak harus dipandang remeh apatah lagi mereka bakal beraksi di gelanggang sendiri.   Dalam usaha mereka untuk terus kekal bersaing dalam Liga Perdana musim depan, skuad bimbingan Roberto Martinez itu berjaya mengejutkan Liverpool di Anfield hasil kemenangan 2-1, menewaskan Stoke City di gelanggang sendiri, manakala hampir mengikat Chelsea di Stamford Bridge tetapi dinafikan oleh jaringan lewat permainan Juan Mata. Sebelum kecundang kepada Chelsea, Wigan tidak tewas dalam empat perlawanan terakhir mereka.

Saingan sengit di zon penyingkiran memungkinkan pasukan seperti Wigan mengerah sepenuhnya kemampuan mereka dan kejayaan mengejutkan pasukan teratas seperti United adalah satu kemenangan moral cukup besar dalam usaha mereka kekal bersaing di liga elit.  Ketiadaan Nemanja Vidic di bahagian belakang nampaknya tidak begitu dirasai ketika benteng United terus mempamerkan prestasi menakjubkan apabila mereka tidak dibolosi dalam lima perlawanan terakhir.  Hanya Jermain Defoe berjaya menewaskan David de Gea lebih sebulan yang lalu manakala barisan hadapan West Bromwich, Wolves, Fulham, Blackburn dan QPR buntu memecah kekebalan pertahanan United.  Sir Alex Ferguson dijangka terus mengekalkan kombinasi Rio Ferdinand dan Jonny Evans di bahagian tengah pertahanan manakala Patrice Evra dan Phil Jones di sebelah kiri dan kanan (pertahanan).  Franco de Santo dan Shaun Maloney pastinya menjadi sandaran Martinez dalam usaha memburu gol berikutan ketiadaan Hugo Rodallega yang masih lagi dibelenggu kecederaan.  Kunjungan terakhir United ke DW Stadium ialah pada 26 Februari 2011 yang menyaksikan mereka menang 4-0 di sini hasil dua jaringan Javier Hernandez dan masing-masing satu oleh Wayne Rooney dan Fabio da Silva.  Untuk rekod, Wigan gagal mengutip sebarang mata dalam sejarah 13 pertembungan mereka di peringkat liga setakat ini.  Glory Glory Manchester United!!!

Barisan Kemungkinan United:

David de Gea, Patrice Evra, Jonny Evans, Rio Ferdinand, Phil Jones, Ashley Young, Michael Carrick, Tom Cleverley, Antonio Valencia, Wayne Rooney & Javier Hernandez

09 April 2012

UNITED SELESA DI TAKHTA LIGA


Meskipun berjaya menewaskan Queens Park Rangers 2-0 semalam sekaligus mengukuhkan cengkaman United di tangga teratas liga dengan kelebihan lapan mata, Sir Alex Ferguson menganggap persembahannya pasukannya sebagai mendatar.  Pelawat kekurangan seorang pemain sejak minit ke-14 apabila Shaun Derry dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan Lee Mason kerana mengasari Ashley Young di kawasan penalti.  Layangan kad merah kepada Derry turut mencetuskan kontroversi selepas ulang tayang video menyaksikan Young sudahpun berada pada posisi off side, malah Ferguson sendiri turut mengakuinya.  Berbekalkan momentum tujuh kemenangan berturut-turut yang dicatat sebelum ini, United menguasai permainan sejak minit pertama lagi dan berjaya mendahului pelawat melalui penalti Wayne Rooney selepas Young dikasari Derry.  Rooney hampir menjaringkan gol peribadi keduanya diminit ke-34 namun rembatannya berjaya diselamatkan Patrick `Paddy' Kenny.  Walaupun menguasai sepenuhnya permainan, United hanya berpuashati dengan jaringan tunggal Rooney sehingga tamat separuh masa pertama.

Danny Welbeck berjaya membolosi gawang tuan rumah diminit ke-47 namun gol itu dibatalkan selepas dia dikesan sudah berada dalam posisi off side.  Diminit ke-59, Rafael da Silva sepatutnya menambah jaringan buat The Red Devils namun gagal memanfaatkan umpanan cantik Scholes biarpun hanya berdepan dengan Kenny di depan gawang.  Scholes akhirnya berjaya mencatatkan namanya dalam senarai penjaring apabila rembatannya dari luar petak penalti diminit ke-67 gagal diselamatkan Kenny.  Sepuluh minit selepas itu, giliran Michael Carrick pula menguji Kenny melalui percubaan  jarak jauh namun bola sekadar singgah ditiang gol.  United memperolehi beberapa peluang terbaik selepas itu terutamanya melalui Welbeck namun keputusan 2-0 tetap kekal hingga wisel penamat ditiupkan.  Kemenangan ini juga menyaksikan United terus mengukuhkan cengkaman mereka di puncak takhta liga dengan kelebihan lapan mata selepas pencabar terdekat, Manchester City tewas 0-1 kepada Arsenal di gelanggang lawan menerusi jaringan Mikel Arteta.  Glory Glory Manchester United!!!

Statistik Perlawanan Man Utd/QPR:

Tendangan Sudut: 11/5
Percubaan Tepat: 14/7
Percubaan Tersasar: 10/2
Kekasaran: 13/10
Offside: 3/0
Kad Kuning: 1/0
Kad Merah: 0/1
Penguasaan Bola: 65/35

07 April 2012

PREVIEW: MANCHESTER UTD lwn QPR



Manchester United akan melayan kunjungan Queens Park Rangers di Old Trafford hanya beberapa jam sebelum pencabar terdekat mereka, Manchester City berdepan Arsenal di gelanggang lawan.  Sir Alex Ferguson sedar, kemenangan ke atas Rangers yang kini sedang bergelut untuk keluar dari zon penyingkiran bakal memberikan tamparan psikologi ke atas jiran mereka itu dalam perlumbaan merebut kejuaraan liga.  United ketinggalan lapan mata di belakang skuad Roberto Mancini Disember lalu, tetapi kemenangan di Old Trafford esok bakal menyaksikan skuad The Red Devils pula memiliki kelebihan sama di hadapan jiran mereka itu.  Rangers yang dibimbing Mark Hughes, bekas pemain United dan juga pernah menguruskan City dilihat terdesak dan memerlukan mata bagi menghidupkan peluang mereka untuk terus bersaing dalam Liga Perdana musim depan.  Kemenangan ke atas Liverpool dan Arsenal di gelanggang sendiri melonjakkan mereka ke tangga 17 liga tetapi mereka juga harus memperbaiki prestasi ketika bertandang ke gelanggang lawan. Tiga mata penuh yang dikutip ke atas Wolverhampton Wanderers di Molineux pada bulan September lalu menjadi satu-satunya kemenangan mereka di luar Loftus Park dalam tempoh hampir tujuh bulan. 

Hughes bakal berdepan bos lamanya di Old Trafford, tetapi Ferguson sudah tentu tidak akan bermurah hati tatkala pasukannya sedang dalam misi memburu kejuaraan liga ke-20 mereka.  United masih kekal tanpa khidmat Anderson, Anders Lindegaard, Nemanja Vidic dan Darren Fletcher tetapi Nani dijangka menyertai semula pasukan selepas pulih dari kecederaan pergelangan kaki.  Michael Owen juga dikatakan sudah pulih tapi nama penyerang veteran itu tidak mungkin disenaraikan dalam pasukan untuk perlawanan minggu ini.  Kunjungan Rangers di Old Trafford tanpa kelibat penyerang mereka Djibril Cisse yang masih menjalani penggantungan empat perlawanan berikutan layangan kad merah kedua yang diterimanya musim ini ketika berdepan Sunderland. Walau bagaimanapun, Hughes sudah boleh menggunakan khidmat Heidar Helguson dan DJ Campbell untuk mengisi kekosongan Cisse di barisan hadapan selepas kedua-duanya pulih dari masalah hamstring.  Meskipun bermain di gelanggang sendiri, United tidak harus memandang mudah cabaran pasukan seperti Rangers yang pastinya akan berusaha meneruskan kelangsungan mereka dalam saingan elit Liga Perdana musim depan.  Glory Glory Manchester United!!!

Barisan Kemungkinan United:

David de Gea, Patrice Evra, Rio Ferdinand, Jonny Evans, Antonio Valencia, Michael Carrick, Ryan Giggs, Ashley Young, Wayne Rooney & Danny Welbeck

05 April 2012

FERGIE BERBELANJA DI BASQUE?


Oscar de Marcos
Sir Alex Ferguson dikatakan bakal menjadikan Basque sebagai destinasi untuk berbelanja bagi mendapatkan pemain baru pada musim panas ini.  Pemain yang menjadi sasaran Ferguson ialah bintang tengah Athletic Bilbao, Oscar De Marcos. De Marcos baru berusia 22 tahun dan muncul antara tonggak utama di sebalik kejayaan Bilbao mara ke peringkat suku akhir Liga Europa. Kejayaan Bilbao menyingkirkan  United dengan aggregat 5-3 sebelum itu nyata menarik minat Ferguson terhadap beberapa bakat muda yang ada dalam skuad dari Basque itu.  Selepas mengirim adiknya, Martin Ferguson ke Sepanyol untuk memantau aksi De Marcos minggu lalu, kini giliran Jim Lawlor yang juga merupakan ketua pencari bakat United memantau aksi De Marcos. Di bawah kendalian Marcelo Bielsa, De Marcos muncul watak utama yang boleh diletakkan di bahagian tengah atau hadapan pada formasi Bilbao.  De Marcos berjaya menjaringkan satu gol ketika Bilbao menang 3-2 ke atas United di Old Trafford pada perlawanan pertama dan sekali lagi mengulangi sentuhan jaringannya pada perlawanan kedua di San Memes.  Kehadiran Martin dan Lawlor ke Sepanyol meningkatkan lagi spekulasi tentang minat United terhadap bintang muda Bilbao itu pada musim panas ini. Walaupun berjaya memujuk Paul Scholes kembali dari persaraan Januari lalu, Ferguson tetap memerlukan tenaga baru di bahagian tengah United dan tidak boleh berterusan bergantung pada Scholes.  De Marcos mempunyai klausa pelepasan bernilai 26 juta Pound dalam kontraknya dan faktor itu mungkin menjadi halangan buat United mendapatkan khidmatnya musim panas ini.  Meskipun ada lagi beberapa pemain muda dalam skuad Bilbao yang menarik minat Ferguson, De Marcos dikatakan berada dalam senarai teratas pemain yang diinginkan bos United itu.  Mungkin juga kali ini, Ferguson melihat 26 juta Pound adalah pelaburan berbaloi buat pemain muda berpotensi seperti De Marcos.  Glory Glory Manchester United!!!

Berita-berita Lain:

UNITED JUARA SEBELUM DERBY

Kapten Everton, Phil Neville percaya aksi `final Liga Perdana' yang diramalkan akan berlaku antara Manchester United dan Manchester City pada 31 April ini tidak akan berlaku.  Bekas pemain United itu sebaliknya mengatakan, bekas pasukannya itu akan mengesahkan kejuaraan liga ke-20 mereka sebelum pertembungan derby itu berlangsung.  "Saya rasa, United akan memenangi gelaran sebelum mereka berkunjung ke Stadium Etihad.  Bukan berlawanan derby yang akan menentukan kejuaraan United tapi sebaliknya perlawanan melibatkan pasukan-pasukan seperti Blackburn Rovers, Swansea City dan Sunderland", kata Neville.  Neville melihat pada ketika ini United memiliki semangat dan kualiti untuk keluar sebagai juara, sesuatu yang tidak dimiliki pesaing meraka, City. Melihat kepada baki perlawanan musim ini, Neville berpendapat United memiliki kelebihan berbanding City yang terpaksa berdepan ujian getir menentang Arsenal di gelanggang lawan hujung minggu ini.  "City bakal berkunjung ke gelanggang Arsenal.  Perlawanan ini tentunya sukar untuk mereka.  Semua kelebihan kini dimiliki United dan mereka memiliki pengalaman dalam perlumbaan mengejar kejuaraan".  United kini mengumpul 76 mata di tangga teratas liga, lima mata unggul di hadapan City di tangga kedua.

ROONEY HAMPIRI REKOD PENJARING GOL UNITED

Selepas berjaya membantu United menduduki tangga teratas Liga Perdana England dan menghampiri gelaran ke-20 mereka musim ini, Wayne Rooney kini mempunyai misi peribadi memadamkan rekod penjaring gol terbanyak dalam sejarah kelab milik Sir Bobby Charlton.  Selepas beraksi selama lapan tahun bersama United, Rooney kini mengumpul 171 gol, empat gol di belakang George Best dan Dennis Viollet yang berada di tangga ketiga.  Meskipun masih jauh ketinggalan berbanding rekod jaringan Sir Bobby Charlton (249 gol) dan Denis Law (237 gol), Rooney optimis suatu hari nanti dia mampu memecahkan catatan kedua-dua lagenda United itu.  "Saya melihat catatan rekod gol sepanjang zaman dan beberapa individu telah mengingatkan saya tentang hal itu.  Bagaimanapun catatan saya masih jauh berbanding Sir Bobby dan Denis Law.  Saya bangga berada dalam senarai dan semakin menghampiri rekod beberapa lagenda kelab.  Semoga saya berjaya mengatasi rekod mereka", kata Rooney.

YOUNG: TIADA PEMAIN BERANI `MENENTANG' GIGGS DAN SCHOLES

Pemain sayap Manchester United, Ashley Young mengakui bahawa tidak ada satupun pemain United yang berani menetang Ryan Giggs dan Paul Scholes.  Kedua-dua pemain itu adalah pemain paling senior dalam skuad The Red Devils ketika ini.  Meskipun kini sudah agak berusia, Giggs dan Scholes menjadi contoh buat pemain-pemain muda dalam pasukan apatah lagi selepas mereka berdua mempamerkan aksi cemerlang ketika berdepan Blackburn Rovers Selasa lalu. Selain itu, Young turut mengakui, kedua-dua bintang veteran itu masih mampu menyumbang banyak perkara buat pasukan. "Para pemain muda mula mengambil alih kelab musim ini.  Mereka sukakan muzik yang keras dan sesuai dengan jiwa muda mereka yang penuh semangat dan agresif.  Tetapi apabila Ryan Giggs dan Paul Scholes mula bercakap, kami semua akan diam dan mendengar.  Hal ini terjadi tanpa arahan dari sesiapapun.  Sebelum datang ke sini, saya bertanya kepada rakan-rakan tentang Scholes.  Mereka mengatakan bahawa Scholes individu yang sangat hebat, bukan saja ketika perlawanan tetapi juga ketika berlatih", kata Young.

BERBATOV SERTAI GALATASARAY?

Gergasi Turki, Galatasaray dikatakan berminat mendapatkan khidmat Dimitar Berbatov musim panas ini.  Kelab itu memang diketahui sedang memburu nama-nama besar untuk memperkuatkan pasukan mereka musim depan dan Berbatov berada dalam senarai pemburuan mereka.  Berbatov yang memang sudah diketahui bakal meninggalkan Old Trafford, bahkan agen pemain itu, Emil Danchev mengesahkan bahawa kliennya itu sudahpun menandatangani kontrak dengan kelab yang namanya masih lagi dirahsiakan.  Menurut laporan media di England, kelab yang dimaksudkan Danchev ialah Galatasaray dan jurulatih mereka, Fatih Terim dikatakan sudah tidak sabar lagi menunggu kedatangan Berbatov.  Terim berharap Berbatov akan menjadi pemain penting dalam kempen Liga Juara-Juara kelab dari Istanbul itu musim depan.

04 April 2012

WATAK PENTING DISEBALIK KEBANGKITAN UNITED


Luis Antonio Valencia muncul antara pemain penting dalam misi pemburuan kejuaraan liga ke-20 Manchester United musim ini.  Kelmarin, Valencia sekali lagi membuktikan bahawa dia adalah pemain yang `wajib diturunkan' apabila membantu The Red Devils meraih tiga mata berharga di Ewood Park, sekaligus melebarkan pendahuluan mereka di tangga teratas liga.  Selepas diketepikan sejak 23 Februari kerana masalah hamstring, Valencia kembali diturunkan ketika United berdepan Wolverhampton Wanderers di Molineux pada 18 Mac.  Valencia membuktikan ketajamannya pada aksi sulung sejak hampir sebulan direhatkan apabila menjaringkan satu gol dan menyumbang dua assist di sebalik kemenangan bergaya 5-0 United ke atas pasukan yang berada di zon penyingkiran itu.  Aksi di Ewood Park membuktikan kebenaran kata-kata Sir Alex Ferguson sebelum ini bahawa bintang antarabangsa Ecuador itu adalah pemain yang bakal menentukan hala tuju pemburuan kejuaraan liga ke-20 United pada baki saingan musim ini.  United dilihat buntu dalam usaha mereka menembusi kubu Blackburn Rovers yang mengamalkan taktik bertahan, sehinggalah jaringan Valencia diminit ke-81 kembali membuka permainan.  Lima minit kemudian, Valencia sekali lagi memainkan peranan utama apabila umpanannya berjaya dimanfaatkan Ashley Young untuk gol kedua United sekaligus menebus kehampaan tewas kepada lawan yang sama pada aksi di Old Trafford, Disember lalu.  "Antonio adalah pemain yang luarbiasa dan dia akan menjadi yang lebih baik pada setiap perlawanan. Blackburn meletakkan 11 pemain di belakang bola dan itu menyukarkan kami, tetapi kami beruntung memiliki pemain seperti Antonio", komen Rafael da Silva selepas tamat perlawanan di Ewood Park.

Valencia kini berkongsi kedudukan dengan pemain Manchester City, David Silva sebagai pemain paling banyak melakukan assist dalam Liga Perdana England.  Valencia dan Silva mencatatkan 14 assist setakat ini, tetapi pemain tengah Manchester City itu melakukannya dalam 30 perlawanan berbanding Valencia yang melakukannya dengan hanya 20 perlawanan. Mengikut statistik, Valencia melakukan 12 assist sejak Disember, di mana saingan liga mula memasuki fasa penting dengan tekanan yang kian bertambah dan bayangan kelab mana yang bakal bersaing untuk kejuaraan liga hingga ke penghujung musim mula kelihatan.  Selepas pulih dari kecederaan sejak 23 Mac lalu, Valencia berjaya membantu United mengutip mata maksimum pada tiga perlawanan terakhir mereka sekaligus memintas Manchester City selaku pendahulu liga dengan kelebihan lima mata. Ketika mula-mula menjejak kaki di England dan menyertai Wigan Athletic dari kelab Sepanyol Recreativo Huelva, tiada siapa  menyedari potensi besar milik Valencia.  Ketika itu juga tiada siapa yang menyangka (termasuk penyokong-penyokong United) bahawa suatu hari nanti Valencia akan menyertai kelab besar seperti Manchester United. Valencia dibeli dari Wigan Athletic dengan harga 16 juta Pound pada musim panas 2009 sebagai pengganti Cristiano Ronaldo yang berhijrah ke Real Madrid. Kepantasan adalah aset utama Valencia yang sering menghadirkan mimpi buruk buat pertahanan lawan dan apa yang lebih penting, karier Valencia jarang diselubungi kontroversi.  Valencia sebaliknya secara diam-diam menolak United ke puncak liga sekaligus menghampiri kejuaraan liga kelima mereka dalam tempoh enam tahun.  Glory Glory Manchester United!!!

03 April 2012

UNITED LEBARKAN JURANG


Manchester United melebarkan jurang ditakhta Liga Perdana England selepas berjaya menewaskan Blackburn Rovers 2-0 di Ewood Park awal pagi tadi.  Biarpun dipaksa bekerja keras dengan corak bertahan yang diterapkan lawan, United akhirnya meraih tiga mata penuh, apabila Luis Antonio Valencia dan Ashley Young masing-masing menyumbang satu gol sekaligus menghadiahkan kemenangan berharga buat skuad The Red Devils.  Kemenangan ini juga menyaksikan United berjaya  melebar jurang mata dari pencabar terdekat, Manchester City dengan kelebihan lima mata.  United menguasai sepenuhnya perlawanan di Ewood Park sambil tuan rumah sekali sekala cuba memberi ancaman menerusi taktik serang balas pantas.  United jelas menguasai saingan namun hanya berjaya mencipta satu peluang keemasan sepanjang separuh masa pertama menerusi Javier Hernandez, namun bola berjaya diselamatkan Paul Robinson di atas garisan gol.   Walaupun jarang memberi tekanan, tuan rumah hampir berjaya membolosi gawang United menerusi rembatan Marcus Olsson dan tandukan Grant Hanley, namun berjaya dinafikan David de Gea.

Kebuntuan akhirnya terlerai apabila Valencia menjaringkan gol pembukaan United diminit ke-81 menerusi rembatan cantik dari sebelah kiri kotak penalti yang gagal diselamatkan Robinson.  Lima minit selepas itu, giliran Ashley Young pula menjaringkan gol kedua sekaligus mengesahkan tiga mata buat United. Gembira dengan kemenangan yang diraih pasukannya, Ferguson menganggap bahawa gol di penghujung permainan memang sudah menjadi `tanda dagang' dan sebahagian dari tradisi United.  "Ini merupakan malam yang panjang namun perjuangan kami akhirnya memperolehi ganjaran setimpal.  Kami mencipta beberapa peluang namun gagal menjaringkan gol.  Kami sentiasa memaksa mereka berada dalam tekanan namun mereka tetap berbahaya menerusi taktik serangan balas.  Gol akhirnya hadir biarpun agak lewat tetapi itu adalah antara ciri kami dan sebahagian dari tradisi kelab", kata Ferguson.  Dengan baki tujuh perlawanan, United berpeluang cerah mempertahankan kejuaraan liga yang mereka menangi musim lalu sekaligus mengumpul kejuaraan ke-20 sepanjang sejarah kelab.