05 April 2012

FERGIE BERBELANJA DI BASQUE?


Oscar de Marcos
Sir Alex Ferguson dikatakan bakal menjadikan Basque sebagai destinasi untuk berbelanja bagi mendapatkan pemain baru pada musim panas ini.  Pemain yang menjadi sasaran Ferguson ialah bintang tengah Athletic Bilbao, Oscar De Marcos. De Marcos baru berusia 22 tahun dan muncul antara tonggak utama di sebalik kejayaan Bilbao mara ke peringkat suku akhir Liga Europa. Kejayaan Bilbao menyingkirkan  United dengan aggregat 5-3 sebelum itu nyata menarik minat Ferguson terhadap beberapa bakat muda yang ada dalam skuad dari Basque itu.  Selepas mengirim adiknya, Martin Ferguson ke Sepanyol untuk memantau aksi De Marcos minggu lalu, kini giliran Jim Lawlor yang juga merupakan ketua pencari bakat United memantau aksi De Marcos. Di bawah kendalian Marcelo Bielsa, De Marcos muncul watak utama yang boleh diletakkan di bahagian tengah atau hadapan pada formasi Bilbao.  De Marcos berjaya menjaringkan satu gol ketika Bilbao menang 3-2 ke atas United di Old Trafford pada perlawanan pertama dan sekali lagi mengulangi sentuhan jaringannya pada perlawanan kedua di San Memes.  Kehadiran Martin dan Lawlor ke Sepanyol meningkatkan lagi spekulasi tentang minat United terhadap bintang muda Bilbao itu pada musim panas ini. Walaupun berjaya memujuk Paul Scholes kembali dari persaraan Januari lalu, Ferguson tetap memerlukan tenaga baru di bahagian tengah United dan tidak boleh berterusan bergantung pada Scholes.  De Marcos mempunyai klausa pelepasan bernilai 26 juta Pound dalam kontraknya dan faktor itu mungkin menjadi halangan buat United mendapatkan khidmatnya musim panas ini.  Meskipun ada lagi beberapa pemain muda dalam skuad Bilbao yang menarik minat Ferguson, De Marcos dikatakan berada dalam senarai teratas pemain yang diinginkan bos United itu.  Mungkin juga kali ini, Ferguson melihat 26 juta Pound adalah pelaburan berbaloi buat pemain muda berpotensi seperti De Marcos.  Glory Glory Manchester United!!!

Berita-berita Lain:

UNITED JUARA SEBELUM DERBY

Kapten Everton, Phil Neville percaya aksi `final Liga Perdana' yang diramalkan akan berlaku antara Manchester United dan Manchester City pada 31 April ini tidak akan berlaku.  Bekas pemain United itu sebaliknya mengatakan, bekas pasukannya itu akan mengesahkan kejuaraan liga ke-20 mereka sebelum pertembungan derby itu berlangsung.  "Saya rasa, United akan memenangi gelaran sebelum mereka berkunjung ke Stadium Etihad.  Bukan berlawanan derby yang akan menentukan kejuaraan United tapi sebaliknya perlawanan melibatkan pasukan-pasukan seperti Blackburn Rovers, Swansea City dan Sunderland", kata Neville.  Neville melihat pada ketika ini United memiliki semangat dan kualiti untuk keluar sebagai juara, sesuatu yang tidak dimiliki pesaing meraka, City. Melihat kepada baki perlawanan musim ini, Neville berpendapat United memiliki kelebihan berbanding City yang terpaksa berdepan ujian getir menentang Arsenal di gelanggang lawan hujung minggu ini.  "City bakal berkunjung ke gelanggang Arsenal.  Perlawanan ini tentunya sukar untuk mereka.  Semua kelebihan kini dimiliki United dan mereka memiliki pengalaman dalam perlumbaan mengejar kejuaraan".  United kini mengumpul 76 mata di tangga teratas liga, lima mata unggul di hadapan City di tangga kedua.

ROONEY HAMPIRI REKOD PENJARING GOL UNITED

Selepas berjaya membantu United menduduki tangga teratas Liga Perdana England dan menghampiri gelaran ke-20 mereka musim ini, Wayne Rooney kini mempunyai misi peribadi memadamkan rekod penjaring gol terbanyak dalam sejarah kelab milik Sir Bobby Charlton.  Selepas beraksi selama lapan tahun bersama United, Rooney kini mengumpul 171 gol, empat gol di belakang George Best dan Dennis Viollet yang berada di tangga ketiga.  Meskipun masih jauh ketinggalan berbanding rekod jaringan Sir Bobby Charlton (249 gol) dan Denis Law (237 gol), Rooney optimis suatu hari nanti dia mampu memecahkan catatan kedua-dua lagenda United itu.  "Saya melihat catatan rekod gol sepanjang zaman dan beberapa individu telah mengingatkan saya tentang hal itu.  Bagaimanapun catatan saya masih jauh berbanding Sir Bobby dan Denis Law.  Saya bangga berada dalam senarai dan semakin menghampiri rekod beberapa lagenda kelab.  Semoga saya berjaya mengatasi rekod mereka", kata Rooney.

YOUNG: TIADA PEMAIN BERANI `MENENTANG' GIGGS DAN SCHOLES

Pemain sayap Manchester United, Ashley Young mengakui bahawa tidak ada satupun pemain United yang berani menetang Ryan Giggs dan Paul Scholes.  Kedua-dua pemain itu adalah pemain paling senior dalam skuad The Red Devils ketika ini.  Meskipun kini sudah agak berusia, Giggs dan Scholes menjadi contoh buat pemain-pemain muda dalam pasukan apatah lagi selepas mereka berdua mempamerkan aksi cemerlang ketika berdepan Blackburn Rovers Selasa lalu. Selain itu, Young turut mengakui, kedua-dua bintang veteran itu masih mampu menyumbang banyak perkara buat pasukan. "Para pemain muda mula mengambil alih kelab musim ini.  Mereka sukakan muzik yang keras dan sesuai dengan jiwa muda mereka yang penuh semangat dan agresif.  Tetapi apabila Ryan Giggs dan Paul Scholes mula bercakap, kami semua akan diam dan mendengar.  Hal ini terjadi tanpa arahan dari sesiapapun.  Sebelum datang ke sini, saya bertanya kepada rakan-rakan tentang Scholes.  Mereka mengatakan bahawa Scholes individu yang sangat hebat, bukan saja ketika perlawanan tetapi juga ketika berlatih", kata Young.

BERBATOV SERTAI GALATASARAY?

Gergasi Turki, Galatasaray dikatakan berminat mendapatkan khidmat Dimitar Berbatov musim panas ini.  Kelab itu memang diketahui sedang memburu nama-nama besar untuk memperkuatkan pasukan mereka musim depan dan Berbatov berada dalam senarai pemburuan mereka.  Berbatov yang memang sudah diketahui bakal meninggalkan Old Trafford, bahkan agen pemain itu, Emil Danchev mengesahkan bahawa kliennya itu sudahpun menandatangani kontrak dengan kelab yang namanya masih lagi dirahsiakan.  Menurut laporan media di England, kelab yang dimaksudkan Danchev ialah Galatasaray dan jurulatih mereka, Fatih Terim dikatakan sudah tidak sabar lagi menunggu kedatangan Berbatov.  Terim berharap Berbatov akan menjadi pemain penting dalam kempen Liga Juara-Juara kelab dari Istanbul itu musim depan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan